Categories
AGENDA NASIONAL

Jabatan Kastam diminta siasat terlebih bayar tuntutan GST RM4.38 juta

KUALA LUMPUR, 24 OGOS: Pengauditan Jabatan Audit Negara terhadap Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mendapati jabatan itu membuat lebihan bayaran balik terhadap tuntutan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bagi 2019 berjumlah RM4.38 juta.

Susulan itu, Jabatan Audit Negara mengesyorkan supaya JKDM menjalankan siasatan ke atas syarikat yang membuat tuntutan dan pegawai yang bertanggungjawab.

Menurut laporan itu, semakan audit mendapati sebanyak 75 daripada 100,736 tuntutan bayaran balik GST berjumlah RM4.38 juta dibayar walaupun permohonan diterima selepas tempoh ditetapkan.

“Pihak audit mendapati perkara ini berlaku kerana pegawai yang bertanggungjawab tidak menyemak tarikh terimaan Penyata GST-03 sebaliknya melaksanakan proses pembayaran balik mengikut fail tugasan yang diserahkan.

“Kesilapan ini pembayaran ini menyebabkan ketirisan hasil kepada kerajaan sekiranya tidak dikutip semula. JKDM juga disyorkan agar membuat kutipan balik bayaran terkhilaf daripada Orang Kena Cukai (OKC) itu pada kadar segera,” demikian menurut Laporan Ketua Audit Negara 2019 Siri 1 yang dikeluarkan hari ini.

Bagaimanapun, berdasarkan maklum balas yang diterima pihak audit pada 29 Mei 2020, JKDM mengambil tindakan menuntut semula tuntutan terkhilaf bayar itu yang melibatkan 75 transaksi bagi penyata yang diterima pada Jan-Mei 2019.

Hasil tindakan JKDM menyaksikan sejumlah 48 transaksi dikeluarkan membabitkan bil tuntutan berjumlah RM3.98 juta setakat 28 Mei 2020 manakala 27 transaksi dalam tindakan tuntutan semula.

Dalam maklum balas diterima pada 4 Ogos 2020, JKDM memaklumkan 42 transaksi bil tuntutan selesai dipungut berjumlah RM798,453.64 sehingga 3 Ogos 2020.

Seksyen 8 Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan (Pemansuhan) 2018 menetapkan OKC dikehendaki mengemukakan penyata terakhir dan mengakaunkan semua pembekalan yang dibuat.

Penyata akhir dan bayaran GST hendaklah dikemukakan tidak lewat daripada 120 hari iaitu pada 31 Dis 2018 (dari tarikh yang ditetapkan iaitu 1 Sept 2018). Selain itu, Seksyen 8(1), menyatakan sebarang tuntutan cukai hendaklah dibuat dalam penyata akhir yang ditetapkan pada 31 Dis 2018.

-BERNAMA

Kerajaan digesa siasat kehilangan RM2 bilion hasil cukai akibat penyeludupan rokok

Nga Kor Ming rokokKUALA LUMPUR 23 OKT : Kerajaan Pusat digesa meningkatkan tindakan penguatkuasaan ke atas kes penyeludupan rokok kerana negara kehilangan hampir RM2 bilion hasil cukai duti dalam tempoh setahun.

Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming, berkata kehilangan itu tidak termasuk kerugian cukai akibat penyeludupan minuman keras ke dalam negara yang dijangka lebih besar daripada jumlah berkenaan.

Beliau berkata, berdasarkan penyelidikan British American Tobacco Co, Malaysia mempunyai kadar penyeludupan rokok tertinggi di dunia iaitu satu pertiga rokok di pasaran adalah hasil produk daripada lambakan aktiviti penyeludupan secara haram.

“Memandangkan harga rokok di pasaran RM12.50 sekotak, ramai perokok memilih untuk menghisap bahan yang diseludup masuk kerana dianggap lebih murah walaupun menjejaskan kesihatan mereka.

“Fenomena itu jelas membuktikan langkah kerajaan menaikkan duti cukai sama ada rokok atau arak adalah kurang berkesan dalam mengawal kegiatan penyeludupan membabitkan barangan berkenaan,” katanya pada sidang media, di lobi Parlimen, hari ini.

Kor Ming berkata, harga rokok yang mahal secara tidak langsung mempergiat lagi aktiviti penyeludupan hingga menyebabkan pengguna dan kerajaan terpaksa menanggung kerugian akibat kelemahan pihak berkuasa seperti Jabatan Kastam, Polis DiRaja Malaysia dan Jabatan Imigresen.

Katanya, kerajaan disaran supaya menempatkan ejen Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di setiap agensi penguatkuasaan bagi mengatasi masalah terbabit.

“Berdasarkan kepada pengumuman Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Robert Low, kerajaan akan mengupah 500 pegawai integriti mulai tahun depan untuk ditempatkan di agensi kerajaan.

“Bagi membanteras kegiatan penyeludupan, badan penguatkuasa undang-undang harus diberi keutamaan menerima penempatan pegawai terbabit sebagai semakan dalaman supaya mereka dapat memberi maklumat berguna bagi mencegah kegiatan penyeludupan yang kian membimbangkan,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

MB Jumpa Persekutuan Minta Sumbangan Untuk Rakyat P. Klang

northport cranes 01

SHAH ALAM, 17 JUN: Kerajaan Selangor akan mengadakan perbincangan dengan Unit Perancang Ekonomi Negara (UPEN) bagi membincangkan sumbangan  hasil cukai yang dikutip Jabatan Kastam kepada penduduk Klang.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata sumbangan itu akan membolehkan penduduk Pelabuhan Klang menikmati kemudahan prasarana yang lebih baik setanding dengan imej Klang sebgai sebuah bandar pelabuhan.

“Kita ada membuat beberapa langkah untuk berbincang dengan UPEN untuk menerangkan kepada mereka sumbangan Daerah Klang kepada ekonomi Selangor dan Malaysia.

?(Kita) minta sebahagian dari hasil yang didapati oleh pihak kastam di pelabuhan Klang digunakan secara bajet untuk pembaikan prasarana atau infrastruktur di Klang,” beliau berkata di dalam sidang media di sini hari ini.

Abdul Khalid berkata perjumpaan tersebut bakal dilakukan selepas sidang pertama Dewan Rakyat.

Selain itu Abdul Khalid juga akan membincangkan tentang kesepakatan antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan untuk pembangunan semula Zon Perindustrian Bebas (FTZ) agar lebih berdaya maju.

Ketika kempen Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu, Abdul Khalid berkata beliau akan meminta sumbangan tiga peratus daripada hasil kutipan cukai dan pulangan yang diperoleh oleh operasi Pelabuhan Klang untuk digunakan di kawasan itu.

Ini kerana masyarakat Pelabuhan Klang terpaksa menanggung pelbagai kesukaran akibat jalanraya kawasan tersebut merupakan laluan utama lori-lori kontena pergi dan balik ke Pelabuhan Klang.

Antara kesukaran yang terpaksa ditanggung oleh masyarakat Pelabuhan Klang termasuklah, berisiko tinggi kemalangan, kerosakan jalan raya dan pencemaran alam sekitar.

Menurut beliau,  Lembaga Pelabuhan Klang  yang mengaut keuntungan kira-kira RM 1 bilion setiap bulan wajar memberi sumbangan bagi membiayai pembangunan dan membaiki prasarana termasuk membaiki jalan-jalan rosak.

Ketika itu Abdul Khalid turut berkata, beliau akan menuntut kira-kira tiga peratus royalti dari hasil keuntungan tersebut bagi pihak masyarakat Pelabuhan Klang.