Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Masak ala kadar, tidak sedap punca ramai isteri dikasari suami

SHAH ALAM, 3 JULAI: Kegagalan isteri menghidangkan juadah enak kepada suami antara aduan kes keganasan rumah tangga yang dilaporkan di Selangor sepanjang Januari hingga September tahun lalu.

Meskipun kedengaran seperti tidak masuk akal namun rekod Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor mendapati 20 hingga 30 peratus daripada 254 kes keganasan rumah tangga yang diadu membabitkan isu berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Wanita Berdaya Selangor (WBS) Siti Kamariah Ahmad Subki berkata kekurangan bekalan makanan menjadi punca kebiadaban itu berlaku berikutan kekangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Ada kes diterima apabila si suami mengamuk sehingga sanggup membaling pinggan ke arah si isteri gara-gara makanan yang dimasak tidak sedap dan ala kadar dengan hanya berlaukkan telur goreng.

“Memang tidak logik si suami berbuat demikian sedangkan mereka yang sepatutnya bertanggungjawab memberi makan dan minum kepada ahli keluarga. Oleh kerana terdesak serta kelaparan, dia (suami) tahu marah sahaja,” katanya ketika dihubungi.

Mengulas lanjut, beliau berkata aduan sampingan lain yang turut dilapor membabitkan masalah kewangan, dibelenggu hutang tinggi, kehilangan pekerjaan dan kesukaran memohon bantuan disediakan kerajaan.

“Kita mengenal pasti majoriti mereka yang membuat aduan berkaitan tidak memiliki tahap pendidikan tinggi. Mungkin ia biasa bagi kita, tetapi menjadi masalah besar buat mereka,” katanya lagi.

Categories
SELANGOR

JKM bakal buat pemeriksaan mengejut ke rumah pengasuh

OLEH NADIAH ZAMLUS

KUALA LUMPUR, 16 NOV: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor akan membuat pemeriksaan mengejut ke rumah pengasuh di sekitar negeri ini dalam tempoh terdekat.

Pengarahnya, Hanafi Maulud berkata, ia bagi membantu pengasuh yang masih belum menerima sebarang kursus intensif penjagaan kanak-kanak dan bayi untuk berbuat sedemikian.

“Oleh sebab itu, JKM meminta orang ramai menyalurkan maklumat sekiranya terdapat pengasuh di kawasan penempatan masing-masing bagi membolehkan JKM berhubung dengan mereka.

“Ini kerana pihak kami mahu golongan ini mendapat pengetahuan cara mengasuh kanak-kanak dan bayi yang betul sekali gus mengelakkan perkara tidak diingini berlaku, maka ibu-bapa yang bekerja tidak perlu risau,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika Kursus Intensif Perkembangan Kanak-kanak anjuran Rantai Mesra Sdn Bhd (RMSB) di Hotel KIP, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengurus Besar Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS), Gan Pei Nei dan Ketua Unit Rantaian Mesra Sdn Bhd, Arba’ain Abdul Rahman.

Kursus tiga hari itu turut disertai hampir 30 pengasuh kanak-kanak dan bayi serata Selangor.

Arba’in berkata, selain membantu golongan suri rumah menjana pendapatan, program ini juga mampu menyediakan lebih banyak pusat asuhan di rumah sekali gus memberi kemudahan untuk ibu bapa bekerja meninggalkan anak masing-masing di pusat asuhan terlatih, teratur dan selamat.

“Sejak 2013 Kerajaan Selangor membelanjakan kira-kira RM720,000 kerana komited untuk melatih pengasuh yang menjaga kanak-kanak dan bayi di rumah ini.

“Kerajaan Selangor juga mahu pengasuh-pengasuh ini menjadi individu lebih berketerampilan walaupun menjaga kanak-kanak dan bayi dari rumah sahaja,” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Enam beradik ditinggal ibu bapa akan dipelihara pihak ketiga

rodziah pc green 20 jul 01

SHAH ALAM 10 OKT: Enam beradik ditinggalkan ibu bapa di Jalan Bukit Panjang, Kuala Selangor sejak beberapa hari lalu, mendapat pembelaan Kerajaan Selangor, kata  Rodziah Ismail.

Dibantu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor, Exco Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita itu berkata, mereka ditempatkan dalam penjagaan sementara pihak ketiga.

“Kejadian itu benar. Ibu bapa mereka abaikan tanggungjawab. Jadi, kita memohon perintah mahkamah supaya enam anak itu diberi kepada pihak yang lebih bertanggungjawab,” katanya

Hak penjagaan mereka dijangka diputuskan Mahkamah Kanak-Kanak Kuala Selangor esok.

Rodziah yang mengunjungi rumah mereka selepas pendedahan media berkata, isu  pendidikan akan diberi perhatian berikutan mereka tidak pernah bersekolah.

“Anak sulung berusia sembilan tahun tidak pernah ke sekolah walaupun kerajaan membina rumah mereka di bawah kelolaan Lembaga Zakat Selangor (LZS),” katanya.

Rodziah berkata, ibu bapa mereka pula akan dibawa ke pihak berwajib untuk sesi kaunseling supaya timbul kesedaran dan tidak mengabai tanggungjawab.

Katanya, kerjasama masyarakat diperlukan dengan memiliki sensitiviti tinggi supaya melaporkannya kepada pihak berkuasa.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Teresa Lapor Polis Artikel ‘Cina Mahu Duit Zakat’ – FOKUS

Sinopsis

FOKUS Untuk 07082013

Saksikan secara langsung “FOKUS” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT setiap jam 2.00 Petang dan 6.00 Petang. Pelbagai berita dan maklumat terkini negeri dan nasional yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok hari ini membuat laporan polis berhubung satu tulisan di sebuah blog yang menurutnya berniat jahat memfitnah dirinya menuntut kutipan zakat untuk kaum cina.

2. Lembaga Zakat Selangor tidak mengambil kira faktor rumah yang besar dan cantik sebagai syarat menerima zakat selagi ia hanya harta peninggalan yang diwarisi pemohon.

3. Kesemua Exco dan Ahli Dewan Undangan Negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang mengistiharkan aset mereka semalam.

Categories
SELANGOR

LZS: Boleh dapat zakat walaupun ada ‘perabot mahal’

Logo Lembaga Zakat Selangor

SHAH ALAM 6 OGOS: Lembaga Zakat Selangor (LZS) tidak mengambil kira faktor rumah yang besar dan cantik sebagai syarat menerima zakat selagi ia hanya harta peninggalan yang diwarisi pemohon.

Ketua Sektor Komunikasi Lembaga Zakat Selangor (LZS), Norajun Ainun, berkata sesetengah pihak menganggap keadaan rumah cantik atau perabot mahal mampu mempengaruhi keputusan permohonan bantuan yang diterima mereka.

“Sebenarnya LZS tidak memandang sama ada rumah cantik atau tidak, ada piring Astro atau tidak atau pendapatan beribu-ribu tetapi jika ada tanggungan ramai, mencukupi had kifayah, maka layak diberi bantuan.

“Saya akan beritahu LZS Gombak untuk hantar pegawai ke rumah Puan Norbaya untuk dibanci. Mengikut gambaran yang saya terima, dia memang layak. Apapun, kita tunggu laporan pegawai bancian duahulu,” katanya.

Beliau mengulas laporan TV Selangor mengenai nasib Norbaya Ahmad, 63, yang menderita kanser payu dara sejak 13 tahun lalu tetapi memiliki rumah peninggalan suami yang meninggal dunia, beberapa tahun lalu.

Malah, Norbaya yang tidak memiliki pendapatan selain bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor RM300 sebulan, turut menyara ibunya berusia 83 tahun.

Sedangkan, rumah dan perabot di premis yang yang didiaminya itu milik ibunya dan peninggalan arwah suaminya.

Sehubungan itu, Norbaya meminta umat Islam tidak perlu keliru dengan had kelayakan bagi membolehkan seseorang menerima bantuan LZS.

– FZL

Categories
NASIONAL SELANGOR

Pasangan OKU Dinafi Hak Terima BR1M 2.0

OKU BR1M borhan 30 apr 01

DENGKIL 1 MEI : Pasangan Orang Kelainan Upaya (OKU) cacat penglihatan dari Jenderam Hulu dekat sini tidak menerima bantuan BR1M 2.0 bernilai RM500 sepertimana dijanjikan kerajaan Umno-BN.

Menurut Kamal Abdullah, 44, berkata mereka mendapat bantuan BR1M 1.0 dan itu mengesahkan kelayakan untuk menerima bantuan sama buat kali kedua.

Beliau mendakwa, rujukan dibuat kepada Ahli Parlimen Sepang, Datuk Seri Mohd Zin Mohamed, mendapati kuota pemberian automatik kepada golongan OKU seperti mereka telah dihapuskan.

“Saya dimaklumkan kami akan diberi BR1M 2.0 secara automatik tetapi sebaliknya yang berlaku.

“Sedang BR1M 1.0 diadakan dengan majlis khas melibatkan kehadiran lebih 100 orang OKU pada Oktober tahun lalu.

“Saya rasa wujud diskriminasi dalam perkara ini,” katanya yang menyara keluarga dengan bekerja kampung.

Kamal dan isteri, Noraini Salleh, 35, sudah melaporkan perkara itu kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor, Persatuan Orang-Orang Buta Malaysia dan Pertubuhan Pembangunan Orang-Orang Buta Malaysia.

Calon PR DUN Dengkil, Borhan Aman Shah berkata, pihak yang dilantik bagi pemberian BR1M 2.0 perlu bersikap adil tanpa diskriminasi.

Beliau berkata, kerajaan Umno-BN perlu melihat perkara itu secara teliti supaya tiada salah faham.

“Golongan OKU ini perlu dibantu, saya harap ketelusan dijadikan amalan dalam perkara ini.

“Jangan pula dibezakan antara penyokong dan bukan penyokong kerajaan. Itu tidak betul,” dakwanya.

Katanya, pemeriksaan mesti dilakukan sama ada golongan OKU perlu didaftarkan semula untuk menerima bantuan berkenaan.