Categories
AGENSI SELANGOR

PKP: Jakess susun semula operasi libat tarikh prosiding kes

SHAH ALAM, 28 JAN: Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (Jakess) menjadualkan semula operasinya susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan sehingga 4 Februari depan.

Unit komunikasi korporatnya memaklumkan penyusunan itu membabitkan tarikh prosiding kes termasuk sebutan atau pengurusan kes, perbicaraan, Majlis Sulh dan Majlis Tahkim.

Menurutnya, pada masa sama mahkamah juga akan memberi keutamaan kepada kes lama dan kes yang mempunyai elemen keterdesakan.

“Oleh itu, orang awam digalakkan untuk meneruskan semua prosiding secara dalam talian bagi mengurangkan jumlah pelanggan yang hadir ke premis mahkamah sekali gus mengelak risiko jangkitan Covid-19.

“Perkhidmatan kaunter pendaftaran kes baharu bagi semua kes, wakalah dan pentadbiran afidavit dibuka semula, tetapi dengan temu janji awal melalui aplikasi di https://www.picktime.com/jakess,” katanya dalam kenyataan.

Jakess turut mengingatkan, kehadiran tanpa kaedah itu tidak akan dilayan kecuali melibatkan kes mendesak seperti keganasan rumah tangga dan penderaan.

“Bagi kes yang mempunyai tempoh had masa tetapi tidak berjaya mendapat slot temu janji, mereka boleh menghubungi mahkamah bagi membolehkan pendaftar menetapkannya secara manual.

“Perkhidmatan runding cara am dan runding cara Bahagian Sokong Keluarga dalam talian telefon akan diteruskan seperti biasa,” katanya.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor negeri pertama kendali bicara kes rayuan syariah secara maya

SHAH ALAM, 16 JAN: Selangor menjadi negeri pertama di negara ini berjaya melaksanakan perbicaraan kes rayuan mahkamah syariah secara dalam talian.

Unit Komunikasi Korporat Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) berkata perbicaraan itu dilakukan susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula Rabu lalu hingga 26 Januari depan.

Menurutnya, sebelum PKP dilaksana, sebanyak enam kes sudah ditetapkan tarikh pendengarannya.

“Bagi memastikan kes tersebut tidak tertunggak dan dapat diteruskan pendengarannya di hadapan hakim dengan persetujuan pihak terlibat, maka ia diteruskan secara maya tanpa kehadiran mereka ke mahkamah.

“Ia sekali gus menjadikan Selangor negeri pertama berjaya menjalankan prosiding perbicaraan bagi kes Mahkamah Rayuan Syariah secara dalam talian sejak PKP dikuat kuasa,” kata jabatan itu menerusi kenyataan.

JAKESS menambah, sejak PKP dilaksana pada 18 Mac tahun lalu, negeri ini juga menjadi yang pertama mengendalikan pendengaran kes dengan kaedah sama bagi kes di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rendah Syariah.

“Kami juga memperkenalkan beberapa perkhidmatan secara maya antaranya wakalah, afidavit, Majlis Sulh, sebutan dan pengurusan kes.

“Ini bagi mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dalam usaha membendung penularan Covid-19 sekali gus memastikan pihak mempunyai kes di Mahkamah Syariah Selangor masih boleh mendapatkan akses perkhidmatan secara selamat,” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

Jakess raih tempat pertama anugerah pentadbiran cemerlang

SHAH ALAM, 16 NOV: Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (Jakess) meraih tempat pertama dalam Anugerah Pengurusan Pejabat dan Pentadbiran Cemerlang (APPC) tahun ini.

Jakess turut mendapat kedudukan sama pada 2015 dan 2018.

“Alhamdulillah, tahniah Jakess atas kejayaan mengekalkan tempat pertama dalam APPC Pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor bagi tiga penilaian (2015, 2018 dan 2020).

“Tempat kedua diterima Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor dan tempat ketiga pula Lembaga Urus Air Selangor,” katanya di Facebook.

Sementara itu, Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia Dato’ Dr Mohd Na’im Mokhtar mengucapkan tahniah kepada Jakess atas kejayaan tersebut.

Categories
EXCO SELANGOR

EXCO: Jakess terima 5,911 permohonan bubar perkahwinan

SHAH ALAM, 6 NOV: Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (Jakess) menerima 5,911 permohonan pembubaran perkahwinan sejak Mei hingga 4 November lalu.

EXCO hal ehwal agama Islam berkata angka direkodkan dianggap tinggi ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Bersyarat (PKPB).

“Oleh sebab itu, kita akan cuba untuk mengadakan beberapa program bagi menangani masalah ini,” kata Mohd Zawawi Ahmad Mughni menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri Lembah Jaya Haniza Talha ketika sesi perbahasan Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan 2021 pada sidang Dewan Negeri Selangor.

Beliau berkata pihaknya akan memperhalusi cadangan supaya kos prosiding di mahkamah syariah tidak membebankan orang awam seperti mana mahkamah sivil.

“Saya akan bawa perkara ini kepada Jakess untuk diperbincangkan,” katanya.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

PKPB: Jakess jadualkan semula kes di mahkamah syariah

SHAH ALAM, 30 OKT: Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (Jakess) akan menjadualkan semula semua kes ditetapkan di mahkamah syariah negeri ini bermula Rabu lalu hingga 9 November.

Unit komunikasi korporatnya berkata penjadualan semula itu susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi memastikan penjarakan fizikal di semua premis mahkamah syariah.

“Mahkamah akan menghubungi pihak terlibat dengan kes dikenal pasti untuk diteruskan pendengarannya sepanjang tempoh PKPB berkuat kuasa.

“(Proses) wakalah, afidavit, majlis sulh, perbicaraan dan sebutan kes boleh dibuat melalui sidang video dengan permohonan serta persetujuan bersama plaintif dan defendan. Perkhidmatan runding cara dilaksanakan secara dalam talian telefon,” kata jabatan itu menerusi kenyataan semalam.

Agensi itu berkata perkhidmatan pendaftaran kes baharu tanpa janji temu di kaunter mahkamah terhad kepada pendaftaran kes mendesak.

Jelasnya, kes mendesak membabitkan keganasan rumah tangga, penderaan, pengesahan lafaz cerai di luar mahkamah, permohonan wali raja atau merekodkan persetujuan selain kes mempunyai tempoh had masa seperti pemfailan notis rayuan dan semakan.

Orang ramai boleh merujuk garis panduan operasi Jakess melalui laman sesawang www.jakess.gov.my .

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

PKPB: Mahkamah syariah negeri operasi seperti biasa

SHAH ALAM, 14 OKT: Semua mahkamah syariah negeri beroperasi seperti biasa sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang berkuatkuasa di Selangor mulai hari ini.

Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (Jakess) memaklumkan semua pelanggan perlu mematuhi tatacara operasi piawai (SOP)  termasuk mengimbas kod QR Langkah masuk dengan selamat (SELangkah).

“Kanak-kanak (kecuali yang diperintahkan hadir oleh mahkamah), pelatih dalam kamar yang hadir bersama penyelia yang mempunyai kes dan ahli keluarga atau teman yang mengiringi pelanggan berurusan tidak dibenarkan masuk.

“Semua pihak yang mempunyai urusan di mahkamah diseru untuk mengoptimumkan penggunaan perkhidmatan yang disediakan secara dalam talian,” kata unit komunikasi korporatnya dalam kenyataan.

Jakess menjelaskan kehadiran pelanggan yang telah diwakili peguam semasa prosiding sebutan atau pengurusan kes adalah dikecualikan dan lafaz wakalah pelantikan peguam syarie boleh dibuat secara dalam talian.

Selain itu, pihak yang memerlukan dokumen sokongan melibatkan maklumat prosiding perbicaraan, sebutan, majlis sulh atau majlis tahkim di mahkamah yang terletak di luar tempat tinggal boleh memohon dengan menghubungi pendaftar di mahkamah yang berkaitan.

“Pelanggan yang menghadapi masalah kesihatan dinasihatkan untuk menangguhkan hasrat untuk hadir sehingga benar-benar sembuh dan mana-mana individu yang dikehendaki menjalani kuarantin perlu memastikan tempoh kuarantin tamat,” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

Mahkamah Syariah Selangor dibuka mulai 13 Mei – Jakess

SHAH ALAM, 4 MEI: Operasi hadir secara fizikal tanpa janji temu di mahkamah syariah seluruh negeri ini bermula 13 Mei depan, kata Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (Jakess).

Unit komunikasi korporatnya memaklumkan waktu operasi tersebut adalah dari Isnin hingga Jumaat bermula jam 8 pagi hingga 1 petang dan bersambung dari jam 2 hingga 3 petang.

“Orang awam yang hadir ke mahkamah dikehendaki memakai penutup hidung dan mulut serta diwajibkan melalui saringan kesihatan dengan memastikan penjarakan sosial dilaksanakan.

“Dilarang membawa kanak-kanak semasa berurusan di Mahkamah Syariah Selangor dan diingatkan mereka yang menghadapi masalah kesihatan dinasihatkan untuk menangguhkan tujuan hadir ke mahkamah sehingga didapati sembuh,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebarang pertanyaan boleh dibuat dengan menghubungi talian 03-5519 1291 atau layari laman sesawang Jakess di www.jakess.gov.my.

Selain perkhidmatan mengambil perintah meterai bertulis, semua kes yang hendak difailkan atau dibicarakan mestilah disertakan dengan Surat Perakuan Segera yang menyatakan alasan-alasan menyokong permohonan untuk kes-kes tersebut dibenarkan difailkan dan dibicarakan.

Perkhidmatan yang ditawarkan adalah:

– Pemfailan dan perbicaraan kes tuntutan fasakh dengan alasan berlaku keganasan rumah tangga (disokong dengan laporan polis dan laporan perubatan)
– Pemfailan dan perbicaraan kes pengesahan lafaz cerai di luar mahkamah
– Pemfailan dan perbicaraan kes penceraian dengan persetujuan bersama antara suami dan isteri
– Pemfailan dan merekodkan apa-apa kes yang berjaya mencapai penyelesaian secara persetujuan bersama
– Pemfailan kes yang melibatkan tempoh dan had masa (contoh: Notis Rayuan)
– Pemfailan dan perbicaraan kes permohonan Injunksi; dan
– Pengambilan perintah meterai bertulis (perlu buat janji temu awal terlebih dahulu)

Categories
SELANGOR

Operasi Mahkamah Syariah Selangor ditutup sepanjang PKP

SHAH ALAM, 8 APRIL: Operasi seluruh Mahkamah Syariah di Selangor ditutup untuk sebarang urusan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan kerajaan sehingga 14 April ini.

Unit Komunikasi Korporat Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) dalam kenyataan memaklumkan bagi urusan pemfailan kes-kes mal baharu dan dokumen yang berkaitan hanya akan diterima selepas tempoh PKP berakhir.

“Manakala, bagi perbicaraan/pendengaran/sebutan/pengurusan kes mal dan jenayah sepanjang tempoh PKP juga ditangguhkan dan notis penetapan tarikh baharu akan dikeluarkan kemudian,” tulis kenyataan tersebut.

Selain itu, prosiding yang melibatkan majlis sulh, majlis tahkim, runding cara bahagian sokongan keluarga dan pelaporan oleh Jawatankuasa Pendamai sepanjang PKP turut ditangguhkan dan JAKESS akan mengeluarkan notis tarikh baharu akan datang.

Untuk maklumat lanjut atau sebarang pertanyaan orang ramai boleh hubungi Mahkamah Syariah Selangor sepanjang tempoh PKP di nombor yang tertera pada poster dilampirkan atau layari laman web JAKESS di www.jakess.gov.my atau facebook dan instagram rasmi.

Waktu operasi setiap Isnin hingga Jumaat bermula jam 8 pagi hingga 5 petang. 

Categories
SELANGOR

Mesyuarat dalam talian, Jakess guna aplikasi Skype For Business

SHAH ALAM, 19 MAC: Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (Jakess) menjalankan mesyuarat secara dalam talian menggunakan aplikasi Skype For Business melalui capaian 1govuc susulan Perintah Kawalan Pergerakan.

Mesyuarat Pengurusan Pendaftar itu dipengerusikan Ketua Pendaftar Noor Huda Roslan disertai pendaftar dan timbalan pendaftar mahkamah tinggi syariah; penolong pendaftar mahkamah rendah syariah serta ketua bahagian dan unit.

“Mesyuarat bermula jam 10.30 pagi dan berakhir jam 1.30 petang itu membincangkan mengenai arahan dan gerak kerja sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan serta persediaan dan tindakan sebaik sahaja perintah berakhir 31 Mac ini,” menurut unit komunikasi korporat Jakess dalam kenyataan.

Noor Huda mengingatkan ahli mesyuarat supaya bersama-sama mengambil tanggungjawab dalam membantu kerajaan mengekang penularan wabak Covid-19 dan sentiasa mematuhi arahan.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Fast Track atasi karenah birokrasi, elak wanita digantung tidak bertali

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 10 JUL: Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) mempertahankan proses kes cerai secara ‘fast track’ bukan saluran menggalakkan masyarakat Islam di Selangor bercerai.

Sebaliknya, JAKESS dalam kenyataannya berkata, proses cerai yang diperkenalkan sejak 2015 itu bagi menyelesaikan rungutan dan aduan pelanggan yang mendakwa Mahkamah Syariah Selangor mengambil masa terlalu lama menyelesaikan sesuatu kes cerai.

JAKESS juga memaklumkan, proses perceraian daripada 90 hari kepada enam jam itu antara lain berfungsi menangani masalah wanita yang mendakwa diri mereka ‘digantung tidak bertali’.

“Proses kerja ini adalah prosedur operasi standard (SOP) dibangunkan JAKESS bagi mengurangkan kerenah birokrasi dalam pengendalian kes cerai yang difailkan atas persetujuan bersama suami dan isteri yang sebelum ini mengambil masa sehingga 90 hari untuk diselesaikan.

“Proses kerja ini juga sebenarnya menjimatkan masa dan kos pihak terbabit dan memberi peluang kepada mereka memulakan hidup baharu secara damai tanpa perlu bermusuhan antara satu sama lain, sebagaimana yang biasa berlaku kesan daripada perbicaraan kes yang panjang di mahkamah,” menurut kenyataan itu.

Untuk rekod, proses penceraian melalui ‘fast track’ hanya untuk penyelesaian kes cerai dengan talak yang difailkan secara persetujuan bersama di bawah Seksyen 47 Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor (2003).

Pelaksanaan kes cerai itu memerlukan dokumen lengkap, pasangan suami isteri hadir, persetujuan bersama untuk bercerai, isteri dalam keadaan suci dan tidak dicampuri, tidak mengandung, putus haid atau tidak pernah disetubuhi dalam tempoh perkahwinan serta mahkamah berpuas hati dengan alasan pecah belah (syiqaq).

“ Kaedah ‘fast track’ bukan proses yang diwujudkan semata-mata menyelesaikan kes cerai dengan sewenang-wenangnya tanpa perlu melalui langkah yang sewajarnya.

“Tetapi pasangan suami isteri datang ke Mahkamah untuk memfailkan kes cerai, mereka akan berjumpa dengan Pegawai Runding Cara Keluarga di Unit Undang-Undang Keluarga, Pejabat Agama Islam Daerah bagi mencari jalan penyelesaian terhadap konflik rumah tangga yang dihadapi oleh mereka,” menurut kenyataan itu.

 

Menyentuh rekod kes cerai tertinggi di Selangor, JAKESS memaklumkan bahawa angka itu disebabkan oleh jumlah penduduk yang ramai di negeri ini berbanding negeri lain.

 

Semalam, persidangan Dewan Rakyat gamat dengan isu punca penceraian selain dakwaan wujudnya kaunter khas di Selangor seolah menggalakkan kes penceraian berlaku.

Categories
SELANGOR

Seminar Hakam JAKESS, rungkai konflik gantung tak bertali

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 16 OKT: Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) akan menganjurkan Seminar Hakam : Merungkai Konflik Gantung Tak Bertali, pada 20 Oktober ini.

Seminar dari jam 8 pagi hingga 5 petang itu dijadual berlangsung di Dewan Muktamar Bangunan Mahkamah Syariah Sultan Idris Shah, di sini.

Pada seminar itu, ucaptama disampaikan Hakim Mahkamah Rayuan Syariah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Yang Arif Profesor Adjung, Dato’ Dr Mohd Na’im Mokthar.

Manakala, antara panel jemputan adalah Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Selangor, Zulfikri Yasoa’ Hakim; Hakim Mahkamah Rendah Syariah, Shukran Yusof; Hakim Mahkamah Rendah Syariah, Mohd Hairuddin Ab Rahim dan Pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia, Prof Madya Dr Wan Abdul Fattah Wan Ismail.

Yuran penyertaan RM100 dikenakan bagi peserta manakala RM50 untuk pelajar yang berminat mahu menyertai seminar itu.

Difahamkan, yuran termasuk pendaftaran, jamuan makan (sarapan, minum pagi, makan tengah hari dan minum petang), nota kursus serta sijil penyertaan.

Orang ramai berminat boleh mendaftar sebelum atau pada 17 Oktober ini di talian 011-36873558 (Atrasina Mohd Zahrullail) atau email ke [email protected].

Selain itu, orang ramai juga boleh melayari laman web dan laman sosial JAKESS untuk maklumat lanjut.

Categories
AGAMA SELANGOR

JAKESS persiap pegawai hadapi risiko kemusnahan rekod

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 11 OKT: Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) komited mempersiapkan pegawai dalam menghadapi risiko kemusnahan rekod akibat berlakunya bencana menerusi Kursus Pemuliharaan Rekod Selepas Bencana , pada 8 Oktober lalu.

JAKESS berkata, penganjuran kursus dua hari yang membabitkan Pegawai Rekod Jabatan dan Pembantu Tadbir Rekod Jabatan seluruh Mahkamah Syariah Selangor lantikan Arkib Negara Malaysia (ANM).

“Antara objektif kursus itu adalah untuk memberi kefahaman mengenai keperluan pemeliharaan dan pemuliharaan rekod-rekod kerajaan selaras dengan Akta Arkib Negara 2003 (Akta 629) dan Pekeliling Perkhidmatan Bil. 5 Tahun 2007.

“Malah, kursus itu penting bagi JAKESS kerana banyak menyimpan rekod-rekod penting seperti perintah mahkamah, catatan hakim dan alasan penghakiman.

“Pemeliharaan dan pemuliharaan rekod penting bagi melindungi ia daripada sebarang kemusnahan akibat banjir, kebakaran, tanah runtuh, serangan makhluk perosak, vandalisme dan faktor kimia,” kata agensi itu dalam kenyataan.

Dalam kursus tersebut peserta turut didedahkan dengan teknik pengeringan yang digunakan antaranya seperti sidai, helaian dan haba bagi menyelamatkan rekod-rekod akibat bencana.