Categories
SELANGOR

Status Hospital Shah Alam Bakal Diketahui Sebelum Sidang Parlimen

hospital shah alam sketch

SHAH ALAM 8 JUN : Perkembangan projek Hospital Shah Alam yang telah tergendala selama setahun dan akan menelan kos lebih setengah bilion untuk disiapkan, bakal diketahui sebelum sidang Dewan Rakyat bermula pada 24 Jun ini.

MP Shah Alam, Khalid Abdul Samad menjangkakan beliau akan melawat tapak projek itu di Seksyen 7 seteleh mendapat persetujuan daripada Jabatan Kerja Raya.

“Pihak kami telahpun hantar surat dan faks pada Februari lalu mengikut alamat dan nombor yang diberikan kontraktor utama (Gadang Engineering (M) Sdn Bhd), serta telah menerima pengesahan ianya telah sampai.

“Apapun, saya menyambut baik tawaran pihak JKR pusat dan berharap agar lawatan ini dapat diatur sebelum sidang parlimen diadakan kira-kira dua minggu lagi.

“Saya yakin tempoh masa itu sudah cukup buat pihak JKR mengatur lawatan sepertimana ditawarkan,” jelas Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor itu apabila dihubungi.

Semalam, Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia mengeluarkan kenyataan tidak menerima sebarang permohonan berhubung lawatan tapak yang ingin dilakukan Khalid, namun memaklumkan bersedia untuk mengatur lawatan tersebut.

Rabu lepas, Khalid mendakwa masih menunggu jawapan daripada JKR Pusat berhubung permohonannya Februari lalu untuk melawat tapak projek.

Ujarnya, lawatan itu perlu dilakukan beliau untuk mengetahui perkembangan projek yang beberapa tahun tergendala itu.

Pada Disember tahun lalu, Menteri Kerja Raya ketika itu, Datuk Seri Shaziman Abu Mansor didakwa berkata kerja-kerja struktur hospital itu 98 peratus siap namun masih perlu menunggu kerja mekanikal dan kerja elektrik.

Shaziman berkata, kerja-kerja berkenaan dijangka siap pada Oktober 2013 dan hospital tersebut akan menyediakan 300 katil untuk kegunaan warga kawasan Shah Alam dan Subang.

Sebelum ini, ratusan ribu warga Shah Alam dan Subang terpaksa menuju ke Hospital Tuanku Ampuan Rahimah, Klang yang sudah sesak dengan warga kawsan Klang dan Banting.

Pembinaan Hospital Shah Alam pada awalnya membabitkan kos sebanyak RM 482.6 juta dan dijangka siap pada bulan April tahun lepas.

Bagaimanapun, ekoran penukaran kontraktor, hospital itu hanya dijangka siap pada Oktober tahun ini dengan kos keseluruhan berjumlah RM 550.7 juta.

Jumlah tersebut adalah termasuk dengan pampasan berjumlah RM 139.9 juta yang dibayar kepada kontraktor lama.

 

Categories
SELANGOR

Ilham Kapal Layar Menang Pertandingan Rekabentuk Jambatan Ketiga Klang

 

pemenang jambatan 01

SHAH ALAM 7 MAC : Rekabentuk senibina bercirikan kapal layar dan keris membawa tuah kepada syarikat Vast Consultants Sdn Bhd apabila menang tempat pertama pertandingan rekabentuk Jambatan Ketiga Klang hari ini.

Konsep rekabentuk yang unik itu bakal menjadi ikon dan mercu tanda bandar Klang menepati pilihan juri seterusnya menewaskan sembilan lagi firma perunding kejuruteraan awam tempatan lain yang turut bertanding.

Pengarahnya, Rosely Abdul Latif berkata, rekabentuk jambatan ini pada asalnya diilhamkan melalui kabel dan bentuk kapal layar ‘penisi’ yang terkenal dan diterjemahkan ke dalam tiga elemen dimensi strukturnya.

“Saya mengambil masa selama dua minggu bagi merangka idea pembinaan jambatan ini dengan mengambil kira Klang sebagai sebuah bandar diraja dan beberapa aspek lain seperti elemen keris dan kapal layar ini,” katanya.

pemenang jambatan 02Syarikat beliau berjaya memenangi RM50,000 serta sijil penghargaan yang disampaikan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Pemenang dinilai oleh Juri Teknikal Jabatan Kerja Raya (JKR) yang dipengerusikan Pengarah JKR Selangor, Datuk Abdullah Abdul Rahman, dan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Mohammed Khusrin Munawi.

Pertandingan ini diilhamkan sendiri Abdul Khalid bertujuan mendapat pelbagai idea daripada perunding kejuruteraan awam yang terkenal dan berpengalaman bagi menghasilkan rekabentuk yang mampan dan lestari.

Menurut Abdul Khalid, jambatan sepanjang 500 meter ini akan disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan dengan menggunakan peruntukan yang disediakan melalui wang rizab simpanan negeri berjumlah RM300 juta.

“Selepas ini, akan di tender, bulan Jun (2013) baru boleh dan akan mengambil masa dua hingga ke tiga tahun untuk di siapkan,” katanya dalam sidang media di majlis itu.

Baru-baru ini, Abdul Khalid telah merasmikan Majlis Pecah Tanah Jambatan Ketiga tersebut di Jalan Tepi Sungai, Klang.

Sebelum ini, pembinaan jambatan tersebut telah dijanjikan Kerajaan Umno-BN pada tahun 2008 namun tidak menunaikannya walaupun Majlis Pecah Tanah Jambatan itu telah dilakukan oleh bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohd Khir Toyo.

Pembinaan jambatan merentasi Sungai Klang ini penting kepada pengguna jalan raya khususnya penduduk di Klang kerana tidak perlu meredah kesesakan di tengah bandar Klang untuk ke Kuala Lumpur atau ke Pelabuhan Klang.

Pekan Semenyih Perlu Lampu Jalan

SEMENYIH 7 MAC : Ketiadaan lampu jalan di sepanjang laluan utama pekan ini menimbulkan kebimbangan dari segi soal keselamatan pengguna selain kejadian jenayah.

Menurut Ahli Parlimen Hulu Langat, Dr. Che Rosli Che Mat pelbagai usaha dilakukan pihaknya dan DUN untuk memohon lampu jalan namun kesemuanya tidak berhasil.

“Alasan yang kita terima daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) ialah tiada permohonan daripada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Jadi buat masa ini kita cuma bergantung harap pada lampu-lampu kedai sekitar sini dan juga lampu masjid. Namun sampai waktu tertentu keadaan menjadi gelap gelita bilamana kesemua lampu ini tadi sudah tertutup,” jelas Dr Che Rosli.

Sementara itu, Penyelaras DUN, Nor Azlan Mohamad berkata, keadaan gelap di sini ketika malam menyebabkan banyak kemalangan jalan raya dan ada antaranya kemalangan maut.

“Selain itu, kita juga risau keadaan gelap begini memberi ruang kepada kejadian jenayah yang berleluasa,” ujar Nor Azlan yang ditemui ketika tinjauan lokasi di sepanjang jalan utama sepanjang kira-kira 3 kilometer itu.

Bagi Fazil Zakaria ,40, penduduk dari Kampung Sungai Macang berkata, pekan ini sudah lama wujud dan kini laluan ini semakin sibuk. Jadi lampu jalan itu sepatutnya diadakan.

“Terutama waktu pagi penduduk keluar untuk bekerja, ibubapa hantar anak ke sekolah, keadaan yang gelap memang mampu mengundang bahaya,” beritahu Fazil.