Categories
AGENDA NASIONAL

Jabatan Peguam Negara siar warta Muhyiddin jadi PM sementara

KUALA LUMPUR, 17 OGOS: Jabatan Peguam Negara menyiarkan Warta Kerajaan Persekutuaan, Perintah Menteri-Menteri Kerajaan Persekutuan 2021 berhubung pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri sehingga pelantikan Perdana Menteri baharu.

Warta itu memaklumkan fungsi Muhyiddin yang dipertanggungjawabkan dengan tanggungjawab mengenai semua jabatan kerajaan persekutuan dan perkara yang jabatan itu bertanggungjawab sehingga pelantikan menteri lain dalam Jemaah Menteri.

Perintah itu berkuat kuasa semalam.

Warta itu turut memaklumkan pembatalan Perintah Menteri-Menteri Kerajaan Persekutuan (No.3) 2020 [P.U.(A)201/2020].

Semalam, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan Muhyiddin menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri sementara atau ‘caretaker’ sehingga Perdana Menteri baharu dilantik.

Pelantikan sebagai perdana menteri sementara itu diputuskan setelah Seri Paduka berkenan menerima surat peletakan jawatan Muhyiddin sebagai perdana menteri dan jawatan seluruh Jemaah Menteri yang berkuat kuasa semalam.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Darurat: Pesalah dipenjara tiga tahun dibenar jalani khidmat masyarakat

KUALA LUMPUR, 16 APRIL: Bermula hari ini, pesalah yang menghadapi hukuman penjara tiga tahun, layak untuk melakukan khidmat masyarakat, menurut Ordinan Darurat (Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah) (Pindaan) 2021.

Sebelum ini, mereka yang menghadapi hukuman penjara hingga tiga bulan, memenuhi syarat untuk melakukan khidmat masyarakat.

Menurut Warta Kerajaan mengenai Ordinan Darurat (Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah) (Pindaan) 2021 yang diterbitkan Jabatan Peguam Negara semalam, ia memperkenalkan pindaan kepada Seksyen 5 Akta Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah 1954 yang menyatakan mahkamah boleh, selain hukuman atau komital berkenaan, membuat perintah kehadiran wajib yang menghendaki seseorang hadir setiap hari di pusat yang mereka harus melakukan kerja wajib selama tempoh tidak lebih 12 bulan dan tidak lebih empat jam setiap hari.

Mahkamah harus mempertimbangkan karakter individu terbabit, sifat dan keseriusan kesalahan dan semua keadaan lain yang berkaitan.

Sementara itu, menurut Seksyen 5A akta sama menyatakan ketua pengarah boleh, secara bertulis, memberi arahan untuk memindahkan mana-mana pesalah yang dikehendaki di bawah perintah kehadiran wajib untuk hadir setiap hari dari satu pusat ke pusat lain, atas permohonan yang dibuat pesalah atau sekiranya ketua pengarah merasakan perlu untuk melakukannya.

Ordinan itu diisytiharkan setelah Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa tindakan serta-merta adalah dikehendaki untuk menjamin dan memelihara keselamatan, kehidupan ekonomi dan ketenteraman awam.

Pada 12 Januari lepas, Istana Negara dalam satu kenyataan memaklumkan Yang di-Pertuan Agong memberi perkenan Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan hingga 1 Ogos sebagai langkah proaktif membendung wabak Covid-19 di Malaysia.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Covid-19: Jauhi perhimpunan, kawasan jangkitan

SHAH ALAM, 18 MAC: Jabatan Peguam Negara menyiarkan Warta Kerajaan Persekutuan Peraturan-Peraturan Pencegahan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Warta itu memaklumkan peraturan perlu dipatuhi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan berkuat kuasa mulai hari ini hingga 31 Mac nanti.

Ia menyenaraikan kawalan pergerakan dan perhimpunan iaitu tidak boleh bergerak dari satu tempat ke satu tempat lain kecuali untuk melaksanakan tugas rasmi, mendapatkan perkhidmatan kesihatan dan perubatan serta membeli, membekal atau menghantar makanan dan keperluan harian.

Orang ramai turut dilarang terlibat dalam perhimpunan sama ada keagamaan, sukan, rekreasi, sosial dan kebudayaan – jika upacara pengebumian bilangan orang perlu pada tahap minuman.

Selain itu tiada seorang pun boleh bergerak dari kawasan jangkitan ke kawasan jangkitan lain kecuali mendapat kebenaran bertulis pegawai polis.

Warta tersebut menjelaskan hanya 22 sektor penting yang dibenarkan beroperasi iaitu:

1. Perbankan dan kewangan
2. Elektrik dan tenaga
3. Bomba
4. Perkhidmatan pelabuhan, limbungan, lapangan terbang, pemunggahan, pengangkutan, pengendalian kargo, pemalimam dan penyimpanan atau pemukalan komoditi
5. Pos
6. Penjara
7. Pengeluaran, penyulingan, penyimpanan, pembekalan, pengagihan bahan api dan pelincir
8. Jagaan kesihatan dan perubatan
9. Pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam
10. Pembentungan
11. Komunikasi radio, penyiaran dan televisyen
12. Telekomunikasi
13. Pengangkutan darat, air dan udara
14. Air
15. E-dagang
16. Pertahanan dan keselamatan
17. Pembekalan makanan
18. Hidupan liar
19. Imigresen
20. Kastam
21. Hotel dan penginapan
22. Perkhidmatan atau kerja yang ditentukan menteri sebagai kritikal kepada kesihatan atau keselamatan awam

Warta tersebut menyatakan mereka yang melanggar mana-mana peruntukan dalam peraturan boleh disabitkan denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan, atau kedua-duanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar hargai profesionalisme Jabatan Peguam Negara

KUALA LUMPUR, 14 JAN: Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menzahirkan penghargaan dan terima kasih beliau atas sikap profesionalisme Jabatan Peguam Negara (AGC), yang mengumumkan untuk tidak mendakwa mana-mana pihak, berhubung dakwaan serangan seksual oleh seorang ahli politik, kerana tidak terdapat cukup keterangan untuk berbuat demikian.

“Saya telah meneliti kenyataan Peguam Cara Negara Datuk Engku Nor Faizah Engku Atek hari ini. Saya mengalu-alukan keputusan pihak Jabatan Peguam Negara tersebut, serta saya turut ingin menzahirkan penghargaan dan terima kasih saya kepada pihak berkuasa atas profesionalisme yang ditonjolkan,” katanya menerusi ciapan di Twitter, malam ini.

Dalam kenyataan media hari ini, Engku Nor Faizah berkata setelah mengkaji kesemua keterangan yang diperoleh dalam Kertas Siasatan daripada Polis Diraja Malaysia, AGC mendapati terdapat percanggahan fakta yang material, yang tidak dapat menyokong sebarang pendakwaan mana-mana orang, di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan, atau mana-mana seksyen lain di bawah Kanun yang sama.

Anwar dalam ciapan di Twitter beliau itu juga berkata sungguhpun dakwaan yang sah tidak boleh diketepikan dan harus disiasat bersesuaian dengan proses hukum, namun beliau tidak dapat memaafkan tuduhan dan penghinaan terhadapnya.

“Untuk memastikan keadilan ditegakkan, tindakan undang-undang yang telah dimulakan sebelum ini, akan diteruskan,” tambahnya.

Media melaporkan bahawa pada 4 Disember tahun lepas, Muhammed Yusoff Rawther iaitu pegawai penyelidik Anwar telah membuat akuan berkanun, mendakwa dirinya diserang Anwar pada 2 Oktober 2018, tetapi Ahli Parlimen Port Dickson itu menafikan dakwaan berkenaan, kerana beliau sedang sibuk berkempen bagi pilihan raya kecil Parlimen Port Dickson pada masa itu.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Jabatan Peguam Negara fail permohonan harta dirampas dari Najib, Rosmah dan 16 lagi

KUALA LUMPUR, 8 MEI: Jabatan Peguam Negara telah menfailkan notis usul berhubung pelucutan hak terhadap ratusan beg tangan pelbagai jenama, wang tunai pelbagai mata wang asing, jam tangan dan 27 buah buah kereta yang dirampas dari bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, tiga anak mereka dan 13 individu serta syarikat.

Notis usul itu difailkan semalam di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Jenayah, di sini, menamakan pendakwa raya sebagai pemohon dan 18 individu serta syarikat selaku responden-responden.

Dalam notis usul itu Pendakwa Raya memohon suatu perintah daripada Mahkamah Tinggi supaya disiarkan satu notis dalam warta di bawah Seksyen 61(2) Akta Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Daripada Aktiviti Haram 2001, bagi memanggil semua pihak ketiga yang menuntut apa-apa kepentingan dalam harta yang dirampas daripada semua responden untuk hadir atau melalui peguam di hadapan Mahkamah Tinggi pada tarikh yang akan ditetapkan.

Ini bagi pihak ketiga menunjukkan sebab mengapa harta-harta itu tidak harus dilucuthakkan kepada Kerajaan Malaysia.

Pendakwa Raya menamakan Najib sebagai responden pertama diikuti Rosmah, Riza Shahriz Abdul Aziz, Nor Ashman Razak Mohd Najib, Nooryana Najwa Mohd Najib, Mohd Kyizzad Mesran, Senijauhar Sdn Bhd, Aiman Ruslan, Yayasan Rakyat 1Malaysia, Yayasan Semesta, Yayasan Mustika Kasih, Rembulan Kembara Sdn Bhd, Goh Gaik Ewe, Ng Chong Hwa, Lim Hwee Bin, Kee Kok Thiam, Tan Vern Tact dan |Geh Choh Hun sebagai responden kedua hingga ke-18.

Pendakwa Raya juga memohon perintah lain yang difikirkan adil, munasabah oleh mahkamah.

Alasan permohonan itu adalah bahawa Pendakwa Raya bertindak mengikut kuasa-kuasa yang diberi di bawah Seksyen 56(1) dibaca bersama Seksyen 376 Kanun Tatacara Jenayah telah berpuas hati harta yang disita oleh pegawai penyiasat polis antara 17 Mei 2018 hingga 11 Mac 2019 adalah berhubung dengan pelakuan suatu kesalahan di bawah Seksyen 4(1) atau hasil daripada aktiviti haram melibatkan responden-responden.

Permohonan itu juga turut disokong oleh afidavit yang diikrarkan Timbalan Pendakwa Raya dan dua pegawai penyiasat polis pada 6 Mei 2019.

Antara barangan yang disita itu ialah, 52 buah beg tangan pelbagai jenama, 10 utas jam tangan pelbagai jenama, wang tunai berjumlah RM537,000, Pound Sterling 2,700, Rupee Sri Lanka 2,870,000, wang lama Ringgit Malaysia RM187,750, Pound Sterling 320,500, Rupiah 13,177,00, USD100, Hryvnies (Ukraine) 376, Euro 20, France 50, South African 10 Rand, Singapore Dollar 40, Riyal 531, Phillipines Peso 740 dan Ringgit Malaysia 21,150 (wang baru) yang disita pada 17 Mei 2018.

Barangan lain yang disita pada tarikh sama (17 Mei 2018) ialah empat utas jam tangan pelbagai jenama, empat buah beg tangan pelbagai saiz dan jenama, 167 buah beg tangan pelbagai jenama dan 27 pasang kasut pelbagai jenama serta 40 buah beg tangan pelbagai jenama turut disita pada 11 Jun 2018.

Sebanyak 27 buah kereta jenis model Nissan Urvan turut disita pada 2 Ogos 2018.

Selain itu, wang berjumlah lebih RM18 juta dan apa-apa faedah ke atasnya turut disita dalam beberapa akaun di Bank Islam Malaysia Berhad, Al-Rajhi Bank Berhad, Malayan Banking Berhad, CIMB Bank Berhad, RHB Bank Berhad, Public Bank Berhad, AmBank Berhad dan Hong Leong Bank Berhad antara 16 Ogos 2018 dan 11 Mac 2019.

Turut dirampas satu unit hartanah di Mukim Bandar Tanjong Bungah, Pulai Pinang milik responden ke-13 pada 17 Januari tahun ini.

Pendakwa Raya juga memfailkan notis usul sama terhadap Obyu Holding Sdn Bhd selaku responden tunggal bagi memohon perintah supaya disiarkan notis di bawah seksyen sama bagi memanggil semua pihak ketiga yang menuntut harta yang disita daripada syarikat itu untuk menunjukkan sebab mengapa harta berkenaan tidak harus dilucuthakkan kepada Kerajaan Malaysia.

Antara yang disita pada 17 Mei 2018 ialah 11,990 unit barang kemas, jam tangan 401 utas dan 16 unit aksesori jam tangan, cermin mata 234 unit dan 306 beg tangan serta wang tunai berjumlah RM114,164,393.44 dalam pelbagai denominasi yang disita pada 31 Januari 2019.

Selain itu, sebuah hartanah di sebuah Daerah Kuala Lumpur turut disita pada 1 November 2018.

Semakan di mahkamah hari ini mendapati kes itu telah dibawa di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Jenayah.

Bagaimanapun, tarikh kes itu akan didengar di mahkamah mana belum ditetapkan lagi.

SUMBER: BERNAMA

Categories
KENYATAAN MEDIA

Pembongkaran audit ‘tersimpan bawah karpet’ kerana tiada pendakwaan

audit(KENYATAAN MEDIA) Saban tahun rakyat Malaysia akan memperolehi Laporan Ketua Audit Negara yang akan membongkarkan berlakunya ketirisan, penyelewengan, pembaziran dan salah guna tadbir wang negara yang sangat ketara yang melibatkan tanggungjawab kepada menteri dan penjawat awam daripada pelbagai Kementerian dan Jabatan samaada diperingkat nasional dan negeri.

Selepas segalanya didedahkan oleh Ketua Audit Negara tiada tindakan yang drastik diambil oleh pihak yang bertanggungjawab, malah pendedahan dan tindakan yang tahun sebelumnya melibatkan dana awam tiada sebarang kedengaran tindakan dan statusnya.

Sudah pasti Jabatan Audit Negara menggunakan dana awam yang cukup banyak dalam menjalankan tugasan mengaudit ke seluruh Kementerian dan Jabatan sektor awam terhadap penggunaan dana awam atau wang rakyat yang akhirnya hanya “gegak gempita” untuk beberapa hari dan semua kesalahan dan tindakan salah laku, penyelewengan, pembaziran “tersimpan bawah karpet” tanpa sebarang tindakan.

Malah lebih ketara memperlihatkan tidak ada sebarang hubungan antara Jabatan Audit Negara dengan agensi kerajaan lain seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Fungsi Jabatan Peguam Negara langsung tidak bertanggungjawab sedangkan segala siasatan dibuat oleh Jabatan Audit Negara dibuat untuk mendakwa mereka yang bertanggungjawab dalam kes-kes yang melibatkan penyelewengan dan penyalahgunaan wang rakyat.

Sepertimana yang diketahui umum Jabatan Audit Negara tidak mempunyai kuasa dan tanggungjawab bagi membawa kes-kes yang melibatkan ketirisan, penyelewengan, pembaziran dana awam selepas segala siasatan dan auditan yang dibuat.

Betapa telus dan profesionalnya Jabatan Audit Negara di bawah tanggungjawab Ketua Audit Negara tidak akan membawa apa-apa makna dan kesan sekiranya segala pelaku dan mereka yang bertanggungjawab tidak diambil sebarang tindakan undang-undang.

Agenda Tranformasi Datuk Seri Najib hanyalah retorik semata-mata kerana apa yang didedah dan dilaporkan oleh Ketua Audit Negara setiap tahun tidak menunjukkan keberhasilan yang baik tetapi terus memperlihatkan kegagalan beliau sebagai ketua kerajaan.

Jingga 13 Malaysia merasakan adalah wajar Jabatan Audit Negara dibubarkan kerana tidak ada sebarang tindakan diambil terhadap segala pendedahan yang dibuat setiap tahun dan Jabatan Audit Negara sudah pasti juga turut membazirkan wang rakyat atau dana awam terhadap hasil audit yang tidak membawa apa-apa tindakan undang-undang.

Malah hasilnya saban tahun Berbillion Ringgit Malaysia dana awam ‘hangus’ begitu sahaja.

– Jingga 13 Malaysia

Categories
NASIONAL

Peguam Negara Perlu Tumpu Kes Jenayah Bukan Dakwa Pemimpin PR

Anwar PC

PETALING JAYA 29 JULAI :Peguam Negara didakwa melakukan pendakwaan terpilih apabila secara langsung terlibat dalam kes-kes yang membabitkan pemimpin Pakatan Rakyat (PR).

Dakwaan ini dibuat oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila Tan Sri Abdul Ghani Patail dilihat terlibat secara langsung apabila pemimpin PR didakwa di mahkamah.

Tegas Anwar, tanggungjawab asal Peguam Negara ialah menangani kes-kes yang lebih besar seperti salah guna kuasa dan keganasan jenayah.

“Adalah kurang wibawa Jabatan Peguam Negara, saya rasa ada motif tidak sihat dan mereka mahu melafazkan dendam kesumat apabila semua kes baik di pihak sebelah sana atau sini, semuanya hendak diuruskan dan menyinggungkan saya,” katanya kepada pemberita dalam sidang medianya di Ibupejabat PKR pagi tadi.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli dan Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke didakwa gagal mematuhi syarat yang ditetapkan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Zainuddin Ahmad untuk memperoleh kebenaran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk berhimpun di Padang Merbok.

Mereka didakwa gagal memberi notis 10 hari kepada polis sebelum menganjurkan perhimpunan Black505 itu.

Menurut Anwar, dakwaan hari ini yang dikenakan terhadap 33 orang yang menyertai perhimpunan berkenaan adalah contoh lain terhadap penyalahgunaan kuasa yang dilakukan secara jelas dan terang-terangan oleh Peguam Negara.