Categories
AGENDA NASIONAL

Banjir di Terengganu pulih, mangsa di Kelantan terus menurun

KUALA LUMPUR, 5 MAC: Keadaan banjir di Terengganu dilaporkan telah pulih sepenuhnya, manakala di Kelantan jumlah mangsa semakin berkurang sejak tengah hari tadi.

Di Terengganu, tiga pusat pemindahan sementara (PPS) terakhir di Hulu Terengganu ditutup secara rasmi pada pukul 1 tengah hari dan semua 477 mangsa daripada 160 keluarga, dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan, pihaknya masih bersiap siaga untuk sebarang kemungkinan dan menasihati orang ramai supaya berhati-hati dengan sebarang perubahan cuaca, di sekitar kawasan mereka.

Sementara itu, di Kelantan jumlah mangsa banjir yang berlindung di sembilan PPS di Pasir Mas dan Tumpat, berkurang kepada 2,260 orang daripada 692 keluarga berbanding 2,730 orang daripada 836 keluarga pagi tadi.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui laman sesawang turut melaporkan, semua sungai utama di negeri itu kini berada pada paras biasa.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Jumlah mangsa banjir di Terengganu, Kelantan meningkat

KUALA LUMPUR, 2 MAC: Jumlah mangsa banjir di Terengganu dan Kelantan meningkat pagi ini dengan 26,447 mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 8 pagi ini.

Di Terengganu, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 17,384 orang daripada 4,549 keluarga berbanding 16,756 orang daripada 4,269 keluarga semalam dan mereka ditempatkan di 87 PPS yang beroperasi merangkumi lapan daerah iaitu 27 di Kemaman, Dungun (24), Hulu Terengganu (19), masing-masing lima di Kuala Terengganu dan Kuala Nerus, Besut (empat) dan Setiu (tiga).

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Terengganu memaklumkan Kemaman menempatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 9,245 orang, diikuti Hulu Terengganu (3,845), Dungun (2,795), Kuala Nerus (502), Kuala Terengganu (490), Besut (355) dan Setiu (152).

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui laman web https://publicinfobanjir.water.gov.my pula melaporkan kebanyakan sungai sudah berada di paras normal dan ketika ini hanya satu sungai masih melebihi paras bahaya iaitu Sungai Kemaman.

Sementara itu, di Kelantan, jumlah mangsa banjir turut meningkat kepada 9,063 orang setakat 8 pagi ini berbanding 8,678 orang semalam yang ditempatkan di 29 pusat pemindahan sementara (PPS) di empat daerah iaitu 22 di Pasir Mas, Tumpat (tiga), Tanah Merah dan Pasir Puteh, masing-masing dua.

Portal JPS pula melaporkan dua sungai utama di negeri berkenaan iaitu Sungai Golok di Kampung Jenob, Tanah Merah dan Air Bol di Jeli berada pada paras waspada.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

JPS: Air pasang besar di empat negeri mulai hari ini hingga Rabu

KUALA LUMPUR, 2 JAN: Penduduk di pesisir pantai khususnya di negeri pantai barat Semenanjung dinasihatkan supaya lebih berwaspada, berikutan fenomena air pasang besar yang dijangka berlaku selama empat hari bermula hari ini sehingga Rabu.

Menurut kenyataan dikeluarkan Bahagian Pengurusan Zon Pantai, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), antara kawasan yang berisiko tinggi adalah Kuala Muda di Kedah, Bagan Datuk (Perak), Klang, Kuala Langat, Sabak Bernam dan Kuala Selangor di Selangor, serta Batu Pahat dan Pontian di Johor.

“Walaupun fenomena air pasang besar kali ini berskala lebih kecil berbanding November lepas, keadaan akan menjadi lebih buruk sekiranya disertai angin kencang, ombak besar dan hujan lebat yang berlaku serentak.

“Keadaan tersebut akan menyebabkan berlakunya banjir kilat, limpahan air laut dan banjir pantai,” demikian menurut kenyataan tersebut, hari ini.

Justeru, orang ramai diminta untuk sentiasa memantau keadaan cuaca dan sekiranya hujan lebat serta air laut pasang berlaku serentak, mereka perlu bersedia untuk berpindah ke tempat selamat dan mematuhi arahan pihak berkuasa yang ditetapkan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Banjir landa Johor pula, jumlah mangsa di empat negeri meningkat

KUALA LUMPUR, 1 JAN: Selepas Sabah malam tadi, Johor pula menjadi negeri seterusnya dilanda banjir membabitkan pembukaan lapan pusat pemindahan sementara (PPS) di Segamat yang menempatkan seramai 456 mangsa daripada 133 keluarga setakat 8 pagi ini.

Jumlah mangsa banjir di empat negeri pula iaitu Sabah, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu mencatatkan peningkatan.

Di Johor, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri R Vidyananthan berkata PPS berkenaan dibuka mulai lewat malam tadi susulan hujan berterusan di daerah berkenaan sejak semalam.

“PPS yang dibuka ialah Balai Raya Kampung Sermin, Balai Raya Kampung Lembah Bakti, Dewan Serbaguna Pekan Air Panas, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ai Chun, Balai Raya Kampung Paya Lenga, Balai Raya Kampung Paya Lebar, Balai Raya Kampung Gelang Chinchin, Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Tenang dan Dewan Serbaguna Jalan Genuang.

“Kawasan terjejas melibatkan Kampung Sermin, Kampung Lembah Bakti, Kampung Pekan Air Panas, Kampung Paya Lenga, Kampung Paya Lebar, Kampung Gelang Chinchin, Kampung Tenang dan Kampung Sedeng,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menerusi laman web rasmi public infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) https://publicinfobanjir.water.gov.my , aras air Sungai Muar di Kampung Awat, Segamat telah melebihi tahap bahaya iaitu 20.11 meter (m), manakala Sungai Lenik di Kampung Chaah, Segamat telah melebihi tahap amaran dengan 5.58 m setakat 8.15 pagi ini.

Sementara itu, aras air Sungai Tangkak di Kampung Seri Makmur, Tangkak, juga telah melebihi paras bahaya yang mencatatkan 4.16 m, pagi ini.

Di Sabah, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 504 mangsa daripada 167 keluarga pagi ini berbanding 73 mangsa daripada 17 keluarga malam tadi dalam bencana banjir di daerah Kota Marudu dan sebuah PPS baharu dibuka di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tandek menempatkan 253 mangsa daripada 97 keluarga manakala PPS SK Teritipan menempatkan 251 mangsa daripada 70 keluarga.

“Jumlah kemasukan mangsa ke PPS terus bertambah ekoran keadaan paras air masih tinggi. Pasukan pemantau telah membuat pemantauan di kampung-kampung yang telah dinaiki air,” menurut Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Sabah menerusi kenyataan hari ini.

Di Negeri Sembilan, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri Lt Kol (PA) Mohd Syukri Madnor berkata mangsa banjir meningkat kepada 138 individu daripada 41 keluarga yang berada di sembilan PPS termasuk Surau Kampung Gedok, SK Felda Palong 1 dan Dewan Desa Dangi, setakat 8 pagi ini.

Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan memaklumkan seramai 295 individu yang terperangkap dalam banjir di Felda Jelai 4 di Gemas, Kampung Tengah, Kampung Geduk, Kampung Tenai, dan Kampung Baru Geduk di Gemencheh, Felda Palong 1 di Bahau, Kampung Kuala Johol, Kuala Pilah serta Kampung Tanah Datar Hilir dan Teha Homestay di Seri Menanti, diselamatkan oleh anggotanya sejak awal pagi tadi.

Jumlah mangsa banjir di Kelantan mencatatkan sedikit peningkatan setakat 8 pagi ini, apabila seramai 1,129 individu terjejas berbanding 1,128 orang semalam yang ditempatkan di 18 PPS melibatkan tiga jajahan iaitu 11 di Kuala Krai, enam di Jeli dan satu di Tanah Merah, menurut aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Sementara itu, portal rasmi info banjir JPS melaporkan hanya satu sungai utama di Kelantan berada pada paras bahaya iaitu Sungai Kelantan di Kuala Krai merekodkan bacaan 25.27 m.

Hari ketiga banjir di Terengganu menyaksikan jumlah mangsa terus meningkat kepada 451 orang daripada 128 keluarga pagi ini berbanding 433 orang daripada 123 keluarga malam tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dalam satu kenyataan memberitahu satu lagi PPS di daerah Dungun dibuka menjadikan jumlah keseluruhan PPS adalah empat buah.

“PPS itu ialah Dewan Orang Ramai Kampung Minda yang dibuka tengah malam tadi menempatkan 18 mangsa daripada lima keluarga. Tiga PPS lain kekal dengan jumlah sama iaitu surau Kampung Ban Ho di Kemaman (43 mangsa, lapan keluarga), Dewan Serbaguna Kampung Shukur, Dungun (225 mangsa, 60 keluarga) dan Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja, Dungun (165 orang, 55 keluarga),” menurut kenyataan itu.

Di Pahang, aplikasi Info Bencana JKM melaporkan seramai 2,030 mangsa masih berada di 32 PPS melibatkan enam daerah pagi ini.

Hujan lebat berterusan menyebabkan tujuh PPS kembali dibuka di Raub sebagai persediaan awal, namun setakat awal pagi ini hanya satu PPS iaitu di SK Ulu Atok dihuni oleh 35 orang daripada lapan keluarga.

JPS melaporkan dua sungai berada pada paras bahaya iaitu Sungai Lipis di Batu Malim, Raub dan Sungai Serting di Padang Gudang, Bera dengan kedua-duanya menunjukkan trend menaik.

Enam sungai berada pada paras amaran iaitu Sungai Pahang di Paya Gintong, Jerantut; Sungai Dong di Kampung Peruas (Raub); Sungai Lipis di Benta (Lipis), Sungai Triang di Chemomoi (Bentong); Sungai Luit di Kampung Subuh, Maran dan Sungai Kechau di Kampung Dusun (Lipis).

Di Selangor, setakat 11 malam tadi, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan ribut petir atau hujan lebat bakal berlaku di Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor dan Gombak.

Di Melaka, sebanyak 96 mangsa daripada 29 keluarga dipindahkan ke dua PPS berikutan banjir yang kembali melanda Alor Gajah malam tadi.

Pengarah APM Melaka Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra dalam kenyataan berkata 15 mangsa daripada lapan keluarga menghuni Balai Raya Gadek yang dibuka pada 3.30 pagi tadi manakala 81 daripada 21 keluarga dipindahkan ke SMK Seri Pengkalan yang dibuka pada 7 pagi ini.

“Sekolah Rendah Agama (SRA) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) juga kini dibuka pada 7 pagi dan mangsa sedang dalam proses pendaftaran,” katanya.

Ketiga-tiga PPS yang ditutup Khamis lepas dibuka semula hari ini berikutan banjir kembali melanda daerah Alor Gajah.

– BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Tindakan Luas elak henti tugas LRA Sungai Selangor, putus bekalan air

SHAH ALAM, 19 SEPT: Lembaga Urus Air Selangor (Luas) bertindak pantas mengelak henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor dan bekalan air tergendala selepas insiden air berwarna hitam dikesan di Sungai Gong, Rawang hari ini.

Dalam kenyataannya agensi Kerajaan Negeri itu memaklumkan kejadian pada jam 12.11 tengah hari susulan laporan daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Gombak dan siasatan di kawasan Inlet Kolam Tebatan Banjir JPS mendapati air sungai berwarna hitam dan tiada bau selain disyaki disebabkan pewarna.

“Kod Kuning diaktifkan berdasarkan Manual Kecemasan Pencemaran Sumber Air bagi siasatan secara menyeluruh di kawasan terlibat yang berisiko menyebabkan henti tugas Loji Pembersihan Air (LPA) utama di bahagian hilir Sungai Selangor,” katanya.

Luas menambah siasatan turut mendapati terdapat pelepasan efluen berwarna dan berbuih dari discaj efluen loji rawatan kumbahan Indah Water Konsortium (IWK) GBK 134 area 5 di kawasan Perindustrian Rawang.

Katanya, pensampelan in-situ mendapati kandungan ammonia sebanyak 5.2 mg/I dan TSS adalah 47 mg/I sebelum aliran dari pam masuk serta pelepasan caj efluen diberhentikan.

“Siasatan bersama Air Selangor di sistem pemantauan sungai (RMS) Country Home Rawang mendapati sampel aliran air berwarna hitam tersebut menunjukkan tiada bau dan kesan minyak,” katanya.

Agensi itu menjelaskan siasatan diteruskan ke Sungai Sembah iaitu aliran sebelum masuk ke Sungai Selangor untuk pensampelan in-situ dan mendapati tiada bau serta tiada warna kehitaman.

“Pemantauan rapi dari semasa ke semasa dilakukan Luas bersama agensi berkaitan. Tiada henti tugas loji dan gangguan bekalan air dilaporkan,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

LPP mahu JPS ditempatkan semula bawah MoA

BUKIT MERTAJAM, 29 DIS: Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) meminta kerajaan meletakkan semula Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MoA), bagi mengelakkan masalah saliran dan perparitan terutamanya di kawasan tanaman padi berulang.

Pengerusinya, Datuk Mazlan Aliman berkata, sebahagian besar aktiviti yang berkait dengan JPS melibatkan kawasan pertanian dan sepatutnya jabatan itu diletakkan di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, supaya masalah sistem saliran dan perparitan di kawasan pertanian dapat ditangani dengan lebih mudah.

Menurutnya, baru-baru ini terdapat beberapa Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) terjejas, apabila kawasan sawah padi menjadi kering dan merekah, disebabkan bekalan air yang tidak mencukupi terutamanya pada musim kemarau, berikutan sistem pengairan yang tidak sempurna.

“Saya sudah pun meninjau di kawasan terlibat iaitu di PPK Jejawi dan PPK Paya di Perlis semalam, di mana kira-kira 400 hektar sawah padi terjejas. Kes yang hampir sama telah berlaku di Kelantan beberapa bulan lalu. Isunya di sini ialah sistem pengairan yang tidak mampu mengatasi masalah (bekalan air) apabila berlakunya kemarau yang panjang.

“Trend di kedua-dua negeri ini nampak sama, jadi saya mencadangkan supaya JPS yang kini terletak di bawah Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli diletakkan kembali di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani,” katanya pada sidang media selepas program ‘Back To School’ LPP Pulau Pinang, di sini semalam.

Mazlan berkata, setiap kali timbulnya masalah saliran dan perparitan di kawasan pertanian pihaknya tidak boleh mengeluarkan sebarang arahan kepada JPS, sebaliknya hanya mampu menjemput wakil JPS untuk memberikan taklimat sahaja.

Beliau berkata, sudah tiba masanya pembangunan tempat tadahan air dibina di kawasan empangan yang tidak mempunyai bekalan air, yang mencukupi terutamanya pada musim kemarau.

“Bila kita bina kawasan tadahan air, ia mampu membekalkan air ke kawasan pertanian padi jika berlakunya musim kemarau yang panjang. Selain itu, saya hendak sarankan supaya kenal pasti kawasan untuk membina ‘tube well’ atau ‘boring’ di kawasan empangan, yang fungsinya sama untuk mengatasi masalah kekurangan bekalan sumber air ke kawasan tanaman padi.

“Selain itu, bagi menghadapi musim kemarau parit-parit sepatutnya diselenggara dengan baik termasuk pam-pam…sedikit sebanyak ia dapat mengawal kerosakan yang akan menjejaskan tanaman pertanian itu sendiri. Itu saranan saya,” katanya.

Terdahulu, Mazlan menyampaikan baucar bernilai RM100 seorang kepada 100 daripada 271 anak-anak ahli LPP Pulau Pinang yang disumbangkan oleh Agrobank selaku penaja.

“Baki 171 penerima boleh mengambil baucar tersebut di PPK masing-masing yang meliputi PPK Bukit Mertajam, PPK Sungai Cheenam, PPK Seri Pulau dan PPK Sungai Acheh,” kata Mazlan.

– BERNAMA

RM10 juta diperuntukkan, atasi banjir di Sek.13 dan U1


RM10 juta diperuntukkan oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bagi perlaksanaan projek mitigasi banjir di Seksyen 13 dan Seksyen U1.

Categories
SELANGOR

JPS bina ban batu elak sungai melimpah

Oleh : AFEEQA AFEERA

SABAK BERNAM, 2 OKT : Ban Sungai Tengar yang pecah ekoran fenomena air pasang besar tempoh hari akan dibina semula menggunakan struktur batuan untuk pengukuhan.

Adun Sabak, Sallehen Mukhyi, berkata ia bagi menggantikan cerucuk batang kelapa yang tidak lagi sesuai digunakan berikutan sungai itu sering membentuk gelombang kuat.

Katanya, kerja pembaikan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor sudah bermula dan dijangka siapa dalam tempoh terdekat.

SALLEHIN MUHYI“Kita harap kejadian sama tidak berulang kerana kawasan itu adalah laluan kapal besar dan terdedah kepada hakisan tanah.

“Apabila JPS membina benteng menggunakan batu seperti di tepi laut, maka risiko untuk air melimpah atau ban pecah akan berkurangan,” katanya kepada Selangor Kini.

Bagaimanapun, Sallehen berkata limpahan air sungai itu tidak terlalu kritikal hingga menjejaskan kediaman penduduk atau jalan raya.

BAN“Sekarang ini kerja pembaikan sedang dibuat, jadi tiada masalah walaupun limpahan air berlaku,” katanya.

Pada masa sama, katanya Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11) memperuntukkan untuk membina benteng sepanjang 33 kilometer (km) bermula daripada Sungai Lang ke pekan Sabak.

Katanya, projek itu akan bermula pada tahun depan dengan pelaksanaan secara berperingkat.

-NR-

Zaidy : Elak banjir, 84 kolam takungan diperdalam

84 kolam takungan diselenggarakan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan didalamkan sekali lagi dalam tempoh empat tahun dengan peruntukan RM6.7 juta.

Categories
SELANGOR

LZS sampaikan bantuan kepada 210 mangsa ribut

dr rani

SHAH ALAM, 19 SEPT – Kesukaran 210 penduduk Meru, Klang dekat sini yang rumah mereka dilanda banjir dan ribut baru-baru ini mendapat simpati Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Berikutan itu, mereka diberi bantuan RM300 setiap seorang yang disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Meru, Dr Abdul Rani Osman yang mahu membawa hal itu ke sidang Dewan Negeri Selangor (DNS).

“Kejadian kali ini lebih kepada ribut. Ada kawasan yang kita kenal pasti setiap kali hujan akan berhadapan banjir,” katanya yang menyatakan masalah banjir di beberapa lokasi utama sudah selesai.

Beliau akan mengadakan mesyuarat bersepadu dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi menyelesaikan masalah di kawasan baru itu.

Penduduk, Abdul Muhit Karmain yang tujuh tahun menetap di Taman Meru Indah, Klang menyifatkan pengalaman pertama berdepan banjir dan ribut, sukar dilupakan.

Apatah lagi, mereka sekeluarga sedang mengadakan rumah terbuka sempena sambutan Aidilfitri ketika kejadian, malah khemah untuk tetamu diterbangkan ribut.

Beliau menganggarkan kos kerugian berjumlah RM5,000 termasuk kerosakan bumbung dan barangan elektrik.

“Kejadian berlaku 1 September lalu. Saya pasang satu khemah, khemah terbang dan makanan semua kena hujan. Banyak barangan tidak dapat diselamatkan,” katanya.

Bagi Mohd Nasir Saad yang empat tahun menetap di Jalan Kasim Meru, beliau berharap sistem perparitan dibaik pulih dan dinaik taraf supaya banjir dapat dielak.

Beliau mengakui berhadapan bencana banjir dua kali setahun lantaran tinggal berdekatan parit yang menjadi laluan saliran air.

“Saya di rumah jiran, Tiba-tiba ribut dan hujan. Tak sampai 30 minit bumbung terbang dan kami bergotong-royong membantu jiran,” katanya.

– FZL

Categories
NASIONAL SELANGOR

20 Tahun Menanti, Baru Kini Jambatan Sg Delek Siap

Sg Delek 01

KLANG 29 APRIL : Penantian lebih 20 tahun penduduk sekitar Selat Klang khususnya Kampung Delek untuk mendapatkan sebuah jambatan berakhir apabila ia sudah siap sepenuhnya.

Jambatan yang diberi nama ‘Mini Serambi Mekah’ itu menelan kos sebanyak lebih RM3.4 juta yang dibiayai oleh Kerajaan Negeri Selangor dan dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya dan Majlis Perbandaran Klang(MPK).

Calon DUN Selat Klang, Dr Halimah Ali berkata jambatan berkenaan akan dapat menyelesaikan banyak masalah perhubungan penduduk.

Katanya, sebelum ini penduduk hanya menggunakan jambatan kunci air milik Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang hanya mampu memberi laluan kepada satu kenderaan sahaja dalam satu masa.

“Jadi, bila waktu puncak pagi dan petang, ia sangat sesak malah ia tidak boleh dilalui kenderaan berat. Dengan adanya jambatan ini, ia dapat mengurangkan kesesakan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan jambatan baru itu, di sini.

Sg Delek 02

Beliau berkata dengan adanya jambatan itu ia juga dapat memudahkan penduduk sekitar membawa jenazah daripada seberang sungai ke tanah perkuburan di mana sebelum ini penduduk terpaksa melalui jalan yang jauh kerana tiada jambatan.

Sementara itu, Ketua Kampung Delek, Samsul Bahri berkata keprihatinan Kerajaan Negeri itu sangat dihargai penduduk kampung.

“Saya sebagai wakil penduduk sangat bersyukur dan berterima kasih kepada YB dan Kerajaan Negeri.

“Selain itu, ia dapat sekurang-kurangnya mengurangkan kadar kemalangan selain tidak lagi terpaksa mengikut jalan jauh lebih 10 kilometer jika untuk ke Pelabuhan Klang,” katanya.

Projek yang dimulakan pada awal Januari lalu itu meliputi pembinaan jambatan dan jalan sepanjang 1.2 kilometer yang mempunyai laluan dua hala.

Jambatan itu dibina di atas Sungai Telok Gadung dan Jalan Sri Perantau Kampung Delek berjaya disiapkan dalam tempoh dua bulan. Ia meliputi penyediaan jalan raya baru.

Sg Delek 03

Categories
SELANGOR

Jambatan Kg Delek Ke Kg Sungai Sireh Siap Dua Bulan Lagi

jambatan kpg delek

KLANG 15 FEB : Penduduk Klang khususnya mereka yang tinggal di Kampung Sungai Delek dan Kampung Sungai Sireh di sini bakal menikmati satu lagi kemudahan infrastruktur yang disediakan Kerajaan Negeri.

Dengan kos sebanyak RM 3 juta, jambatan yang dibina di atas Sungai Telok Gadung, Jalan Sri Perantau Kampung Delek dijangka dapat disiapkan dalam tempoh selewat-lewatnya dua bulan lagi.

Adun Selat Kelang, Dr Halimah Ali ketika mengadakan lawatan di tapak projek pagi tadi berkata, usaha Kerajaan Negeri itu selaras dengan dasar pentadbiran Kerajaan Pakatan yang tulus berbakti untuk kepentingan rakyat.

“Pertamanya, dengan adanya jambatan ini dapat memudahkan penduduk sekitar untuk membawa jenazah daripada seberang sungai ke tanah perkuburan di mana sebelum ini penduduk terpaksa melalui jalan yang jauh kerana ketiadaan jambatan.

“Selain itu, ia juga dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas terutamanya di waktu puncak kerana laluan sebelum ini sempit dan tidak boleh dilalui kenderaan berat,” ujar Dr Halimah yang juga merupakan Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan.

Sebelum ini, penduduk yang kebanyakannya bekerja di kawasan pelabuhan terpaksa menggunakan jambatan kunci air milik Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang hanya mampu memberi laluan kepada satu kenderaan sahaja dalam satu-satu masa.

“Kini, penduduk bakal menikmati kemudahan jambatan yang lebih lebar yang pastinya dapat memberi manfaat kepada mereka dari segi keselesaan, penjimatan masa dan lain-lain,” tambah Dr Halimah.

Beliau sendiri menyempurnakan upacara Majlis Pecah Tanah projek tersebut yang diadakan pada Disember tahun 2011.

Projek yang dimulakan pada awal Januari tahun lalu itu meliputi pembinaan jambatan dengan kelebaran seluas 10.5 meter dengan panjang 23 meter dan dibina mengikut standard R3 iaitu mempunyai laluan dua hala.

Projek itu juga melibatkan penyediaan jalan raya yang baru bagi menghubungkan laluan daripada Kampung Sungai Sireh ke jalan utama.