Categories
AGENDA NASIONAL

Jabatan Penjara benar lawatan keluarga sempena Tahun Baharu Cina

KUALA LUMPUR, 27 JAN: Jabatan Penjara membenarkan lawatan perjumpaan sempena sambutan Tahun Baru Cina ini kepada keluarga penghuni penjara mulai 3 hingga 7 Februari ini.

Jabatan itu dalam kenyataan hari ini memaklumkan perjumpaan boleh diadakan melalui dua pilihan iaitu secara bersemuka (intercom) untuk pelawat yang lengkap divaksin dan panggilan video.

“Seorang penghuni penjara hanya dibenarkan untuk menerima sekali sahaja lawatan daripada keluarga dan lawatan perjumpaan hanya dibenarkan kepada pelawat yang membuat janji temu sahaja.

“Terdapat tiga kaedah tempahan iaitu melalui sistem i-Visit di laman web www.prison.gov.my, panggilan telefon di institusi berkenaan dan melalui emel atau surat ke institusi berkenaan,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu pihak penjara akan menetapkan tarikh dan sesi perjumpaan selepas tempahan dibuat dan masa perjumpaan tidak lebih 30 minit, yang juga bergantung kepada situasi institusi penjara berkaitan.

Kenyataan itu memaklumkan hanya dua pelawat sahaja dibenarkan dalam kalangan keluarga yang telah ditetapkan pihak penjara, manakala bagi pelawat warga emas berumur lebih 60 tahun, kebenaran diberi adalah bersyarat iaitu mesti dalam keadaan sihat dan tidak bergejala.

Selain itu pelawat wajib mematuhi tatacara operasi piawai Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4 yang telah ditetapkan semasa perjumpaan.

“Bagi kebenaran perjumpaan secara panggilan video sahaja, adalah terpakai bagi penjara jika negeri atau tempat berkaitan berada di luar PPN Fasa 4 semasa tarikh lawatan ini berkuat kuasa,” menurut kenyataan itu.

Selain itu perjumpaan secara bersemuka (Pusat Reintegrasi Penjara dan Sekolah Henry Gurney) perlu mematuhi Panduan Lawatan Perjumpaan Banduan/Tahanan/Penghuni Norma Baharu.

Orang ramai yang ingin berurusan diminta menghubungi institusi berkaitan untuk mendapatkan maklumat lanjut melalui laman web Jabatan Penjara.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

19 kluster dadah dibina atasi sesak dalam penjara

JELEBU, 16 NOV: Jabatan Penjara akan membina 19 kluster dadah atau penempatan khas di penjara yang bertindak sebagai model pengurusan program pemulihan dadah bagi menyelesaikan isu kesesakan dalam penjara di negara ini.

Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Keselamatan dan Koreksional) Jabatan Penjara Malaysia, Datuk Abdul Aziz Abd Razak berkata bermula dengan projek rintis iaitu dua penempatan khas dibina di Penjara Sungai Buloh dengan kapasiti 1,000 banduan dan sebuah lagi di Penjara Kajang dengan kapasiti 500 banduan yang mempunyai kes berkaitan dadah.

“Kerajaan telah meluluskan pembinaan kluster dadah ini dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12). Menerusi projek tersebut, semua kesalahan dadah yang perlu menjalani pemulihan secara intensif di sini dan pihak penjara akan tempatkan banduan ini dalam kluster dadah tersebut.

“Kesalahan dadah dalam penjara melibatkan 60 peratus daripada keseluruhan banduan di negara ini, jumlah tersebut adalah faktor utama kesesakan dalam penjara. Pembinaan kluster dadah ini juga dapat meningkatkan keberkesanan pemulihan dalam kalangan banduan,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pusat Terapi Komuniti di Institusi Pemulihan Dadah Jelebu di sini hari ini.

Menurut beliau, program pemulihan dadah di penempatan khas itu mengikut tempoh hukuman penjara ditetapkan oleh mahkamah bagi setiap banduan.

Dalam pada itu, Abdul Aziz berkata Pusat Terapi Komuniti adalah satu modaliti berasaskan pembuktian yang dicadangkan dalam garis panduan pelaksanaan program pemulihan dadah mengikut Piawaian Antarabangsa Untuk Rawatan Penyalahgunaan Dadah oleh Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu Mengenai Jenayah dan Dadah (UNODC) .

Katanya, sebanyak 20 institusi penjara melaksanakan modaliti tersebut sejak diperkenalkan di Rawatan Pemulihan Dadah Penjara Kajang pada 1992.

Beliau berkata Jabatan Penjara menetapkan empat matlamat utama penubuhan Pusat Terapi Komuniti ini iaitu melaksanakan program pemulihan dadah secara intensif dan fokus bagi mencapai kadar residivis yang rendah dalam kalangan pesalah dadah.

“Matlamat kedua ialah untuk mencapai Dasar Dadah Negara bagi mengurangkan kadar penagih dadah di negara ini dan ketiga ialah untuk menjadikan IPD Jelebu ini sebagai pusat latihan pelaksanaan program pemulihan dadah yang komprehensif di peringkat kebangsaan dan juga antarabangsa,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Penjara satelit elak sesak, muatkan hingga 500 banduan

MACHANG, 8 APRIL: Jabatan Penjara mewujudkan 13 penjara satelit di seluruh negara sejak awal tahun ini bagi mengatasi kesesakan banduan di penjara.

Pengarah Pengurusan Banduan Jabatan Penjara Komisioner Penjara Ajidin Salleh berkata penjara satelit itu diwujudkan dengan menggunakan bekas lokasi Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang boleh menempatkan seramai 400 hingga 500 banduan.

“Penjara satelit ini merupakan antara inisiatif untuk mengurangkan kesesakan banduan di penjara, banduan baharu yang melibatkan kesalahan ringan akan ditempatkan di 13 lokasi penjara satelit yang telah dikenal pasti termasuk dua di Kelantan iaitu di Batu Jong, Kuala Krai, dan juga Pasir Mas.

“Selain itu, penjara satelit ini turut dijadikan sebagai zon tapisan untuk pesalah bagi menjalani ujian calitan Covid-19 sebelum mereka dibawa masuk ke penjara utama,” katanya selepas melancarkan Master Of Trainer Modul Five Minute Intervention (FMI) dan Kursus Senamtari di Pusat Pemulihan Akhlak Machang.

Beliau berkata Jabatan Penjara Malaysia tidak menafikan berlaku kesesakan di penjara iaitu hampir keseluruhan penjara terutamanya di Pantai Timur yang melibatkan Kelantan dan Terengganu selain Sabah dan Lembah Klang yang melebihi 50 peratus daripada kapasiti ditetapkan.

Mengulas lanjut, Ajidin berkata selain penjara satelit, pihaknya juga mengambil inisiatif melaksanakan Program Pelepasan Banduan Secara Berlesen (PBSL) di bawah kuasa Ketua Pengarah Penjara untuk melepaskan banduan lebih awal pulang ke komuniti.

Beliau berkata mengikut statistik, pemulihan dalam komuniti lebih efektif kerana mereka akan dicarikan kerja di syarikat-syarikat tempatan termasuk sektor perladangan, perkilangan dan lain-lain.

“Kita juga berharap mereka yang dilepaskan awal itu dapat diambil bekerja oleh majikan sebelum ini sekiranya ada ataupun majikan-majikan baharu,” katanya sambil menambah seramai 1,000 banduan di seluruh negara telah dibebaskan menerusi PBSL sejak November tahun lepas hingga kini.

Ditanya mengenai jangkitan Covid-19 melibatkan banduan, Ajidin berkata setakat ini, keadaan adalah terkawal malah pihaknya sentiasa menjalankan ujian saringan terhadap semua banduan bagi memastikan tidak berlaku penularan wabak itu di dalam penjara.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Hanya boleh lawat penjara melalui kaedah tempahan

KUALA LUMPUR, 7 APRIL: Jabatan Penjara kini membenarkan perjumpaan dan lawatan penjara melalui kaedah tempahan dengan garis panduan ketat bagi mengelakkan penularan Covid-19.

Jabatan Penjara dalam kenyataan memaklumkan pelawat perlu membuat tempahan melalui sistem i-visit dengan melayari ivisit.prison.gov.my, secara panggilan telefon dan menghantar e-mel atau surat.

“Pihak institusi penjara akan menetapkan tarikh dan sesi perjumpaan selepas tempahan dibuat,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu juga menyebut pendaftaran terbuka (walk-in) dan pelawat berumur 12 tahun ke bawah tidak dibenarkan buat masa ini.

–BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Jabatan Penjara batal sesi perjumpaan keluarga sempena Krismas

KUALA LUMPUR, 23 DIS: Jabatan Penjara membatalkan sesi perjumpaan keluarga bersama penghuni penjara secara fizikal di seluruh institusi penjara sempena Hari Natal.

Jabatan Penjara dalam satu kenyataan ringkas memaklumkan sesi perjumpaan berkenaan digantikan dengan menggunakan aplikasi Skype dan juga perkhidmatan telefon prabayar yang disediakan di seluruh institusi penjara.

Kenyataan itu memberitahu langkah tersebut bagi mencegah penularan wabak Covid-19 ke dalam institusi penjara.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

1,126 kes aktif Covid-19 babit banduan, kakitangan penjara

KUALA LUMPUR, 7 OKT: Sebanyak 1,126 kes aktif Covid-19 melibatkan banduan dan kakitangan penjara dicatatkan di seluruh negara, kata Ketua Pengarah Penjara Datuk Seri Zulkifli Omar.

Beliau berkata penularan dalam kalangan banduan itu bermula di Penjara Tawau, Sabah apabila seorang banduan yang baharu diterima dari Lahad Datu disahkan positif Covid-19 pada 2 Oktober lepas.

“Kluster seterusnya pula dikesan di Penjara Alor Setar pada 29 September lepas dan Jabatan Penjara mengambil serius jumlah peningkatan kes positif Covid-19 di penjara itu, yang kini melibatkan jumlah terbesar dalam kalangan banduan di sebuah penjara.

“Berikutan itu, Jabatan Penjara mengambil segala langkah mengikut tatacara operasi piawai (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk merawat, kuarantin dan mencegah penularan wabak itu dalam segala aspek penugasan kakitangan serta penjagaan banduan di seluruh negara,” menurutnya dalam kenyataan semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, dalam sidang medianya petang semalam, berkata daripada 688 kes penularan dalam negara semalam sebanyak 394 kes dikesan daripada Kluster Tembok iaitu di Penjara Alor Setar. Negara semalam mencatatkan 691 kes baharu Covid-19.

Zulkifli berkata bagi memperketat SOP di penjara, beberapa langkah turut dilaksanakan melalui Perintah Tetap Komisioner Jeneral Penjara.

“Bagi mengurangkan tahap kebolehjangkitan Covid-19 dalam kalangan banduan serta mengurangkan kesesakan, Jabatan Penjara mengambil langkah tambahan dan drastik seperti pesalah kes dadah Seksen 15(1) Akta Dadah Berbahaya dikeluarkan dari penjara dan ditempatkan di beberapa kem Program Latihan Khidmat Negara yang diwartakan sebagai penjara sementara.

”Jumlah keseluruhan yang dapat ditampung kem-kem PLKN adalah disasarkan seramai 2,300 hingga 2,800 banduan,” katanya.

Beliau berkata pihaknya menyeru orang awam di luar penjara agar bertenang kerana penularan Covid-19 dalam kalangan banduan adalah dalam kawasan larangan yang tertutup dan dikawal ketat.

“Orang awam diminta memberikan keyakinan penuh terhadap langkah segera yang diambil pihak Jabatan Penjara di bawah kawal selia ketat daripada pihak KKM dan agensi-agensi penguatkuasaan yang lain,” katanya.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Covid-19: Jabatan Penjara ikut SOP, waspada terima kunjungan pelawat

KAJANG, 9 OGOS: Jabatan Penjara Malaysia sentiasa mengamalkan penjarakan fizikal dan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan kerajaan, khususnya terhadap kemasukan penghuni baharu bagi memutuskan rantaian wabak Covid-19 dalam kalangan penghuni penjara.

Timbalan Ketua Pengarah Penjara Malaysia (Keselamatan dan Koreksional) Datuk Alzafry Mohamed berkata pihak penjara juga berhati-hati ketika menerima kehadiran orang awam dan pelawat ke institusi penjara di seluruh negara.

“Bagi kemasukan penghuni baharu, mereka akan dikuarantin di blok khas yang ditetapkan dan pihak penjara akan menjalankan pemeriksaan terlebih dahulu sebelum mereka boleh ditempatkan bersama-sama penghuni lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama sempena majlis penyampaian sumbangan Program Sinar Aidiladha Bank Rakyat di Auditorium Ibu Pejabat Penjara Kajang, di sini hari semalam.

Pada awal Jun lalu, Bernama melaporkan seorang penghuni penjara bukan warganegara iaitu pendatang tanpa izin di penjara Sungai Buloh, Selangor disahkan positif Covid-19.

“Sekiranya penghuni baharu itu didapati tidak sihat, Jabatan Penjara akan segera menghubungi Kementerian Kesihatan atau hospital terdekat untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Alzafry berkata ketika ini, terdapat 68,603 penghuni penjara yang ditempatkan di 42 institusi penjara di seluruh negara.

“Jumlah tersebut terdiri daripada 54,508 warga tempatan dan 14,095 warga asing,” katanya.

Katanya, walaupun jumlah penghuni penjara kini melebihi kapasiti yang ditetapkan iaitu seramai 52,000 orang, namun penjara yang ada masih mampu menampung jumlah penghuni yang ada.

Terdahulu, Bank Rakyat menyumbang sebanyak 34 ekor lembu bernilai RM166,600 kepada 1,830 petugas barisan hadapan dan golongan asnaf sempena sambutan Aidiladha.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Jabatan Penjara: Tiada banduan dijangkiti Covid-19

KUALA LUMPUR, 5 APRIL: Jabatan Penjara Malaysia mengesahkan tiada kes jangkitan Covid-19 dalam kalangan penghuni dan banduan sejak pandemik itu menular di seluruh negara.

Bagaimanapun, langkah sewajarnya sentiasa dilaksanakan bagi mencegah penularan wabak itu di penjara termasuk menjalankan pemeriksaan kesihatan kakitangan bertugas.

“Selain itu, setiap banduan yang (baru) diterima akan dikuarantin untuk tujuan pemeriksaan kesihatan bagi mengelakkan penyakit berjangkit dibawa masuk ke dalam penjara.

“Sekiranya terdapat banduan yang mempunyai simptom seperti yang boleh diklasifikasi sebagai pembawa wabak Covid-19, pihak penjara menyediakan blok pengasingan dan pusat kuarantin bagi mengasingkan serta mencegah wabak itu tersebar dalam kalangan banduan lain,” menurut kenyataan Jabatan Penjara Malaysia hari ini.

Kenyataan itu turut memaklumkan beberapa inisiatif dilaksanakan termasuk melakukan sanitasi di seluruh kawasan penjara bagi mengelak penularan wabak Covid-19.

Jelas kenyataan itu, keluarga dan pihak terlibat perlu memberikan sepenuh kerjasama serta kepercayaan kepada Jabatan Penjara untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai peneraju perkhidmatan korektif.

“Diharap dengan berkat usaha dan doa yang berterusan, negara kita akan bebas daripada pandemik Covid-19 ini dengan segera,” tambah kenyataan itu.

Hari ini, tular di media sosial yang mendakwa terdapat kakitangan dan dua banduan di Penjara Kajang dijangkiti Covid-19 serta banduan lain tidak dibenarkan menghubungi keluarga mereka.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Felcra-Jabatan Penjara beri bekas banduan peluang kerja

MELAKA, 11 NOV: Kolaborasi antara Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra Berhad) dan Jabatan Penjara Malaysia, menerusi program Latihan Pintar Korporat (CSI) telah memberi peluang kepada bekas banduan mendapatkan pekerjaan dan kembali ke pangkuan masyarakat.

Felcra Berhad menerusi kenyataan memberitahu, sehingga kini lebih 900 banduan telah menerima latihan dalam sektor perladangan di 38 ladang miliknya di seluruh negara, sejak program CSI itu dilaksanakan bermula November 2016.

Katanya, program itu melibatkan Orang Di Parol (ODP) dan Orang Di Selia (ODS) sebagai pekerja selain turut menawarkan peluang pekerjaan, kepada banduan selepas tamat tempoh latihan ditetapkan.

“Menerusi CSI ini, ia dijangka dapat menampung kekurangan sebanyak 4,000 tenaga kerja, kerana kami sememangnya amat memerlukan pekerja tempatan selain mempunyai sekitar 250,000 hektar ladang kelapa sawit dan getah seluruh Malaysia.

“Ini juga secara tidak langsung dapat mengurangkan kebergantungan pekerja asing, iaitu kira-kira 85 peratus pekerja ladang adalah mereka yang berasal daripada negara luar,” menurut kenyataan itu.

Semalam, Felcra Berhad dan Jabatan Penjara Malaysia telah Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) CSI itu dalam sebuah program di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) Ayer Keroh, di sini.

Felcra Berhad diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Felcra, Mohd Nazrul Izam Mansor manakala Jabatan Penjara Malaysia diwakili Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Zulkifli Omar dan turut disaksikan Ketua Setiausaha KDN, Tan Sri Alwi Ibrahim dan Pengerusi Felcra Berhad, Datuk Nageeb Wahab.

Menerusi program latihan itu mereka akan mengikuti latihan bagi tempoh tiga hingga 12 bulan selain turut diberi imbuhan elaun bulanan mengikut kadar gaji minimum di Malaysia.

– BERNAMA