Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Selangor rugi RM3.1 bilion, 60 peratus libatkan rumah dan kenderaan

SHAH ALAM, 28 JAN: Selangor mengalami kerugian RM3.1 bilion akibat banjir besar hujung tahun lalu, kira-kira 50 peratus daripada jumlah seluruh negara.

Kerugian terbesar melibatkan daerah Klang sebanyak RM1.2 bilion diikuti Petaling (RM1.1 bilion) dan Hulu Langat (RM0.4 bilion), tiga lokasi terjejas teruk dalam bah 18 Disember lalu.

“Kerugian akibat banjir keseluruhannya RM6.1 bilion yang bersamaan 0.4 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar nominal,” kata Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

“Sebanyak 60 daerah di 11 negeri terjejas akibat banjir.”

Dalam kenyataannya hari ini, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan pecahan kerugian di Selangor seperti berikut, kira-kira 60 peratus daripadanya melibatkan rumah dan kenderaan:

– kediaman RM1 bilion
– kenderaan RM855 juta
– industri pembuatan RM884.5 juta, dan
– premis perniagaan RM396.4 juta.

Daripada kerugian di seluruh negara, sebanyak RM2 bilion melibatkan aset awam dan prasarana. Kerugian lain seperti berikut:

– kediaman RM1.6 bilion
– kenderaan RM1 bilion
– sektor pembuatan RM0.9 bilion, dan
– premis perniagaan RM0.5 bilion.

Selain Selangor, negeri lain yang terjejas teruk adalah Pahang dengan nilai kerugian RM593.2 juta, Melaka (RM85.2 juta) dan Negeri Sembilan (RM77.1 juta).

Kerugian di tujuh negeri seperti berikut:

– Johor RM50.1 juta
– Kuala Lumpur RM32.4 juta
– Kelantan RM22 juta
– Sabah RM9.3 juta
– Perak RM3.4 juta
– Terengganu RM0.4 juta, dan
– Sarawak RM0.01 juta

Tinjauan DOSM dibuat antara 30 Disember hingga 27 Januari melibatkan negeri terjejas menerusi panggilan telefon, wawancara bersemuka dan pemerhatian.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Purata gaji dan upah bulanan pekerja turun sembilan peratus

SHAH ALAM, 5 OGOS: Purata gaji dan upah bulanan diterima pekerja di Malaysia pada tahun lalu menurun sebanyak sembilan peratus kepada RM2,933 berbanding RM3,224.

Ketua perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berkata penurunan itu adalah implikasi langkah kerajaan dalam membendung pandemik Covid-19.

Katanya berdasarkan Laporan Sosioekonomi Negeri 2020 DOSM, Johor mencatatkan penyusutan tertinggi sebanyak 13 peratus, diikuti Terengganu (-12.4 peratus), Kuala Lumpur (-12.3 peratus), Labuan (-11.5 peratus), Sarawak (-11 peratus) dan Selangor (-10.6 peratus).

“Walau bagaimanapun, dari perspektif nilai, purata gaji dan upah bulanan di Putrajaya merupakan yang tertinggi dengan RM4,497.

“Antara negeri yang melepasi paras purata gaji dan upah nasional iaitu RM2,933 adalah Kuala Lumpur (RM3,823), Selangor (RM3,480), Negeri Sembilan (RM3,013) dan Labuan (RM2,942),” kata Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata implikasi itu turut memberi kesan kepada purata gaji dan upah bulanan bagi siswazah bekerja, yang menyaksikan penurunan 10.6 peratus.

“Lima negeri merekodkan kejatuhan lebih ketara bagi konteks gaji dan upah bulanan siswazah iaitu Sabah (-19.1 peratus), Kuala Lumpur (-14.4 peratus), Sarawak (-13.1 peratus), Terengganu (-11.8 peratus) dan Selangor (-11.2 peratus).

“Walaupun Kuala Lumpur catat penurunan, tetapi masih menjadi negeri yang memberikan purata gaji dan upah siswazah bulanan tertinggi pada RM5,443 diikuti Putrajaya (RM5,365), Selangor (RM4,772) dan Negeri Sembilan (RM4,496).

“Manakala, purata lebih rendah direkodkan di Sabah (RM3,900) dan Kedah (RM3,729),” katanya.

 

Categories
SELANGOR

DOSM sokong pelaksanaan ‘Sustainable Development Goals’

OLEH SHAFIQQUL ALIFF

SHAH ALAM, 24 APR: Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) komited menyokong dan melaksanakan Sustainable Development Goals (SGDs) sehingga 2030 seperti diputuskan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Ketua Perangkawan Malaysia, Dato’ Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, DOSM mengorak langkah membangunkan National SDGs bagi memantau indikator lebih efektif dengan mewujudkan ‘National SDG Data Monitoring Dashboard Phase 1’.

Beliau berkata, ‘Dashboard’ itu adalah ‘One Stop Centre’ bagi komunikasi maklumat berkaitan indikator SDGs yang memaparkan secara interaktif dan fasiliti muat turun jadual.

“Peranan DOSM dalam SDGs di Malaysia adalah sebagai ‘focal point’ bagi penyelarasan pembangunan SDGs.

“Manakala di peringkat antarabangsa ia membabitkan pembangunan petunjuk SDGs ASEAN,” katanya dalam ucaptama Seminar Ekonomi Negeri Selangor Dan Majlis ‘Kick Off’ Banci Perdagangan Borong & Runcit 2019, di Pusat Konvensyen Shah Alam, di sini, hari ini.

Turut hadir, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dan Pegawai Kewangan Negeri Selangor, Dato’ Nor Azmie Diron

Pada masa sama, Mohd Uzir berkata, kemajuan itu dapat dilihat melalui aspek tadbir urus dan pelaksanaan pelan daripada segi data.

FOTO: HAFIZ OTHMAN (SELANGORKINI)