Categories
EXCO SELANGOR

EXCO: Orang ramai diizin melawat taman eko rimba, lokasi mendaki

PETALING JAYA, 4 DIS: Pengunjung dibenarkan melawat taman eko rimba dan beberapa kawasan pendakian di negeri ini susulan kelonggaran diberikan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS).

EXCO pelancongan berkata sebelum ini timbul kekeliruan susulan arahan penutupan semua kawasan hutan simpan bagi aktiviti pendakian mulai 1 Disember lalu berikutan musim tengkujuh dan monsun timur laut.

“Selepas berbincang dengan pengarah perhutanan (Dato’ Ahmad Fadzil Abd Majid), mereka setuju beri kelonggaran dan benarkan beberapa kawasan dibuka seperti taman eko rimba dan kawasan sungai serta air terjun.

“Begitu juga kawasan mendaki seperti Bukit Wawasan di Puchong, saya akan bincang juga supaya Bukit Broga dibuka, bukan semua tempat dilarang,” kata Hee Loy Sian selepas merasmikan pameran pelancongan Pusing Selangor Dulu di sini hari ini.

Sebelum ini, JPNS memaklumkan semua aktiviti pendakian di hutan simpan kekal di negeri ini dilarang berkuat kuasa 1 Disember hingga 31 Januari tahun depan berikutan musim tengkujuh.

Penutupan itu bagi mengelakkan kecederaan atau kemalangan dan mereka yang melanggar arahan itu boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Perhutanan Negara 1985.

Sebarang pertanyaan, hubungi talian 03 5547 7000 dan 03 5544 7507 atau e-mel [email protected] .

Categories
AGENDA NASIONAL

50 pendaki HSK Semangko tanpa permit ditahan

SHAH ALAM, 14 NOV: Seramai 50 individu ditahan kerana melakukan aktiviti pendakian tanpa permit sah di Hutan Simpanan Kekal (HSK) Semangko, Hulu Selangor semalam.

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) Dato Ahmad Fadzil Abdul Majid berkata kesemua pendaki berusia 21 hingga 50 tahun, lapor Sinar Harian.

Jelas beliau, semua mereka ditahan dalam operasi khas pada jam 8 pagi susulan maklumat awam mengenai aktiviti pendakian besar-besaran yang dianjurkan individu persendirian.

“Hasil pemeriksaan mendapati semua pendaki melakukan kesalahan memasuki hutan simpan tanpa permit sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Fadzil berkata, operasi itu disertai sepasukan 19 pegawai Pejabat Hutan Daerah Hulu Selangor (PHDHS) dan dua anggota polis dari Balai Polis Kuala Kubu Bharu.

Operasi ini berakhir pada jam 6 petang. Semua ditahan kemudian dibebaskan dengan jaminan polis.

Memasuki HSK tanpa permit sah boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Perhutanan Negara 1984 (Pindaan).

Categories
AGENDA NASIONAL

24 individu ditahan ceroboh Hutan Simpan Batang Kali

SHAH ALAM, 11 SEPT: Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) menahan 24 individu yang memasuki Hutan Simpan Batang Kali tanpa kebenaran hari ini.

Pengarahnya Dato’ Ahmad Fadzil Abdul Majid berkata individu terbabit juga didapati masuk ke hutan simpanan kekal itu tanpa permit.

“Berdasarkan maklumat, mereka berkumpul di kem di Hulu Tamu, Batang Kali sejak petang semalam dan mahu menjalankan aktiviti Survival Gua Prong,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya semua individu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kubu Bharu dan disiasat mengikut subseksyen 47(1), Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara 1985.

“JPNS tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menceroboh kawasan hutan simpan kekal.

“Tindakan ini membuktikan JPNS memandang serius isu pencerobohan hutan simpan kekal tanpa kebenaran di negeri ini,” katanya.