Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

56 pendaki ditahan, masuk kawasan Air Terjun Setinggi tanpa permit

SHAH ALAM, 26 SEPT: Jabatan Perhutanan Selangor menahan 56 pendaki yang memasuki kawasan Air Terjun Setinggi, Serendah, dekat Hulu Selangor tanpa permit yang sah, semalam.

Pengarahnya Datuk Ahmad Fadzil Abdul Majid berkata kesemua individu berusia 19 hingga 33 tahun itu ditahan dalam operasi bermula jam 10 pagi hingga 4 petang, lapor Berita Harian.

Katanya operasi dijalankan sepasukan pegawai dan kakitangan Pejabat Hutan Daerah Hulu Selangor bersama polis, susulan aduan penduduk.

“Penduduk mendakwa ramai pendaki masuk ke kawasan Air Terjun Setinggi tanpa permit sah, melalui kawasan kediaman mereka.

“Penduduk juga mendakwa pengunjung meletak kenderaan di tepi jalan rumah sehingga merosakkan paip air dan tong sampah, selain meninggalkan sampah merata-rata,” katanya dalam  kenyataan, hari ini.

Ahmad Fadzil menegaskan negeri ini masih berada dalam fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN), justeru pihaknya tidak mengeluarkan permit masuk untuk aktiviti merentas hutan atau rekreasi.

Susulan itu, beliau berkata, tindakan memasuki hutan simpanan kekal tanpa permit sah, merupakan satu kesalahan mengikut Akta Perhutanan Negara 1984 (Pindaan).

“Kesemua individu ditahan dibawa ke Balai Polis Kuala Kubu Bharu untuk tindakan lanjut,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL SELANGOR

Semua aktiviti dalam hutan simpan kekal masih dilarang

SHAH ALAM, 14 SEPT: Taman Eko Rimba, Denai dan Jalur Pendakian dalam Hutan Simpanan Kekal (HSK) masih ditutup dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) fasa dua.

Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) memaklumkan semua operasi dan aktiviti di kawasan terbabit tidak dibenarkan buat masa ini.

Perkara itu dimaklumkan menerusi notis pemberitahuan yang dikeluarkan jabatan berkenaan pada 11 September.

Semalam, tular video dipercayai di kawasan Air Terjun Sungai Pisang di Ulu Gombak sesak dengan kehadiran orang ramai yang didakwa tidak mendapatkan kebenaran pihak berkuasa.

Sementara itu, memetik laporan Kosmo hari ini, JPNS menegaskan tiada sebarang kelulusan permit aktiviti diberikan di Taman Eko Rimba, Denai dan Jalur Pendakian dalam Hutan Simpanan Kekal (HSK) semasa fasa dua PPN.

Pengarahnya Datuk Ahmad Fadzil Abdul Majid berkata pihaknya telah menutup laluan masuk ke kawasan terbabit.

Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya beralih kepada fasa dua PPN berkuat kuasa 10 September lalu.

Peralihan itu memberi kelonggaran kepada penduduk lengkap vaksin termasuk kebenaran merentas daerah.

Categories
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

Pengarah: Pulihara HSKLU telan kos jutaan ringgit, mudah terbakar (SOAL JAWAB)

SHAH ALAM, 10 SEPT: Sebanyak 536.7 hektar daripada keseluruhan 991.90 Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) dinyahwarta susulan kemerosoton 40 peratus kawasan hutan itu.

Hutan simpan Sungai Panjang di Sabak Bernam, Ampang Pechah (Hulu Selangor) dan Bukit Broga (Hulu Langat), keseluruhannya seluas 581.48 hektar, menggantikan lokasi tersebut.

Wartawan Khairul Azran Hussin dan Amin Ridzuan Ishak mewawancara Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Selangor Dato’ Ahmad Fadzil Abdul Majid bagi mendapatkan perincian.

Temu bual itu dibuat dua hari sebelum Kerajaan Negeri menarik balik nyahwarta pada 8 September kecuali tanah Kampung Orang Asli Busut Baru dan rancangan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL). Tiga kawasan gantian kekal sebagai hutan simpan.

Boleh Dato’ ulas perkara berbangkit berkaitan Orang Asli susulan cadangan menyahwarta sebahagian Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU)?

Asalnya mereka dipindahkan apabila Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dibina di Sepang. Mereka dipindah ke kawasan berhampiran HSKLU. Sebenarnya bukan dalam hutan simpan sebaliknya diberi tanah kerajaan lain.

Sebahagian kawasan tanah gambut dalam Hutan Simpan Kuala Langat Utara dilihat dari menara tinjau Jabatan Perhutanan Negeri Selangor ketika lawatan pada 26 Februari 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Ketika itu, mereka dijanjikan Kerajaan Negeri (zaman Barisan Nasional) tanah seluas 1,000 ekar. Isu yang sering dibangkit adalah kawasan tidak cukup, hanya 870 ekar. Bermaksud kekurangan lebih 100 ekar. Melalui nyahwarta, kita cukupkan rizab itu. Salah satu komponen nyahwarta HSKLU adalah mencukupkan rizab tersebut. Jadi, Kerajaan Negeri (sekarang) cukupkan kepada 1,000 ekar kepada mereka yang berpindah supaya tiada lagi isu tuntutan.

Maksudnya, kerajaan melunaskan janji memberi penempatan kepada Orang Asli di sekitar Kuala Langat. Itu janji dan kerajaan tepati walaupun ambil masa lebih 20 tahun. Tetapi kita berjaya selesaikan isu Orang Asli.

Dalam isu HSKLU, ada beberapa kawasan diteroka sejak Orang Asli berpindah ke sana. Sebahagiannya dijadikan jadi rizab untuk mereka. Tetapi ada kawasan lain yang turut ditanam. Kita tengok macam mana sama ada pihak berkuasa negeri beri permit atau musnahkan. Perkara itu akan diputuskan kemudian.


Benarkan dakwaan ada tanah perkuburan Orang Asli di HSKLU?

Ada ditunjukkan satu kubur, satu sahaja. Dalam lawatan dengan EXCO alam sekitar (Hee Loy Sian), berkemungkinan penduduk berpindah dari Sepang mengebumikan mayat di hutan simpan.

Asalnya HSKLU dikategori hutan pengeluaran, aktif keluar kayu balak berdasarkan pengurusan hutan. Konsepnya keluar pokok kayu matang dan cukup had batasan tebangan. Ada ditinggal untuk pusingan seterusnya. Sebab itu, kita tidak jangka ada Orang Asli. Kalau ada daripada awal, mesti ada bantahan aktiviti pembalakan tetapi tiada.


Benarkah dakwaan sumber makanan penduduk Orang Asli terjejas jika nyahwarta diteruskan. Apakah pula spesies haiwan terdapat di HSKLU?

Dari segi pencarian makanan dan kebergantungan Orang Asli kepada hutan, ada hidupan liar untuk sumber daging. Spesies HKSLU banyak mamalia kecil, contohnya musang dan tupai. Tiada mamalia besar macam gajah, seladang, harimau dan badak. Mungkin ada tapir tetapi sepanjang pengetahuan saya tiada.

Saya tidak pasti kegunaan hidupan liar kecil kepada Orang Asli. Secara am, kita tidak nampak kebergantungan Orang Asli terhadap kawasan itu untuk mencari makanan. Mengapa? Sebab kawasan itu aktif pembalakan. Jadi, jika ada kebergantungaan itu, tentu sejak mula lagi mereka bantah proses pembalakan.


HSKLU diklasifikasi berisiko tinggi kerana mudah terbakar. Boleh Dato’ jelaskan usaha Jabatan Perhutanan negeri dan agensi lain untuk mencegahnya?

Secara purata sejak awal tahun 2000 kawasan itu terbakar. Jika memandu di lebuh raya berhampiran, boleh nampak asap. Kebakaran memusnahkan banyak pokok. Bila tumbuh semula, nampak dari atas memang hijau, tetapi pokok baru hendak naik kadang-kala terbakar semula.

Secara am, keseluruhan HSKLU kategori hutan paya gambut. Namun, kawasan itu tersisih dari kompleks hutan besar. Maksudnya, jadi ‘pulau’ dan dihimpit pembangunan pesat di sekeliling hingga menyebabkannya tersepit.

Ditambah lagi penerokaan haram, buat tanaman kontan dan sawit yang menambah tekanan kepada hutan. Ada program pulihara tetapi kita berdepan pencerobohan dan kebakaran. Kita tanam, tahun depan terbakar.

Kos menanam kawasan rosot termasuk penyelenggaraan dan rawatan mencecah RM30,000 satu hektar. Untuk cegah kebakaran, kita bina parit dan telaga tiub untuk mendapat bekalan air secukupnya apabila berlaku kebakaran.

Kita juga mendapat kerjasama Jabatan Alam Sekitar yang menggajikan anggota Rela. Bina menara untuk kesan penceroboh. Di Malaysia, banyak kebakaran akibat perbuatan manusia. Ada pemancing tangkap ikan. Buat unggun dan merokok. Ia menyebabkan hutan terbakar. Inilah konflik Jabatan Perhutanan negeri. Kos tinggi dan berdepan masalah sama setiap tahun.


Difahamkan proses ini mengambil masa lama untuk dilulus selain pelbagai prosedur termasuk sesi pendengaran awam. Boleh Dato’ jelaskan perjalanannnya?

Dalam kes HSKLU, cadangan diterima sejak 2014 lagi. Lama orang memohonnya. Pada 2019, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) meluluskan satu permohonan untuk dibangunkan. Dari situ, baru ada peranan Jabatan Perhutanan negeri. Namun, Selangor ada syarat supaya perlu adakan proses pendengaran awam untuk mendapat pandangan pelbagai pihak.

Pada 2020, pendengaran dibuat. Kita terima ulasan dan pandangan semua pihak termasuk dari luar negara. Selepas proses itu, kita iklankan, buat sesi pendengaran awam sebanyak tiga kali. Jawatankuasa pendengaran awam ditubuh dan dipengerusikan EXCO Alam Sekitar Hee Loy Sian yang turut dianggotai agensi teknikal.

Jawatankuasa ini akan putuskan sama ada hendak teruskan nyahwarta atau sebaliknya. Bukannya Jabatan Perhutanan seperti sangkaan ramai. Kita sebagai penjaga cuma hendak pastikan hutan itu kekal. Dasar di Selangor, sekurang-kurangnya 30 peratus keluasan kekal hutan simpan. Dasar itu masih kekal. Sekarang keluasan hutan 31.6 peratus daripada seluruh keluasan negeri.


Boleh Dato’ jelaskan jumlah aduan dalam sesi pendengaran dan proses selepasnya?

Memang apabila kita buat pendengaran awam, hampir semua bantah dengan pelbagai alasan berulang dan disokong beberapa individu atau badan bukan kerajaan (NGO). Laporan pendengaran awam kita sediakan, kategorikan dan bentangkan kepada jawatankuasa pendengaran awam. Tugasan kami hanya itu. Yang lain terserah jawatankuasa untuk tentukan. Ia dianggotai agensi negeri dan persekutuan. Bukan hanya wakil Selangor, ada dari kementerian dan wakil teknikal dari kerajaan pusat.

Hasil perbincangan selepas menilai bantahan, saya tidak pasti kerana tidak hadir. Tetapi ada wakil dari Jabatan Perhutanan. Semua beri ulasan, akhirnya bantahan didapati tidak begitu kukuh untuk kekalkan kawasan itu. Keputusan dipersetujui untuk nyahwarta.

Keputusan itu dibawa kepada EXCO untuk diputuskan, barulah dibawa keluar. Sebab itu, kita kata proses itu bukan mudah. Kalau kita tengok, bermula 2014 hingga 2021, hendak nyahwarta ambil masa tujuh tahun. Harus lalui pelbagai proses. Pihak berkuasa kerajaan negeri akhirnya putus atas faktor pembangunan sosioekonomi negeri, maka dinyahwarta dan diganti kawasan lain.


Bagaimana penilaian Jabatan Perhutanan terhadap tiga kawasan gantian itu?

Menariknya, Jabatan Perhutanan dapat kawasan ganti yang kualitinya lebih baik. Pertama, dari segi kedudukan hutan simpan. Kita dapat hutan simpan di Ampang Pechah, Hulu Selangor, Bukit Broga, Semenyih yang terkenal dengan kegiatan pendakian dan Sungai Panjang, Sabak Bernam yang juga hutan simpan paya gambut.

Sebahagian kawasan tanah gambut dalam Hutan Simpan Kuala Langat Utara dilihat dari menara tinjau Jabatan Perhutanan Negeri Selangor ketika lawatan pada 26 Februari 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Kenapa saya kata lebih baik? Hutan simpan di Sungai Panjang dan Ampang Pechah merupakan tambahan kepada kompleks hutan sedia ada. Bukannya tersisih. Kita boleh perbesarkan dan memudahkan kawalan. Memang Bukit Broga tersisih tetapi ia sebagai sebuah bukit lebih mudah dikawal.

Kita sebenarnya telah lama minta dijadikan hutan simpan. Tetapi agak sukar untuk tukar tanah kerajaan kepada hutan simpan. Banyak daerah perlukan tanah untuk pembangunan.

Oleh sebab kompleks ini belum terusik dan diceroboh, kita boleh kata Jabatan Perhutanan bertuah kerana dapat kawasan gantian itu.


Boleh Dato’ jelaskan lebih lanjut keistimewaan dua kawasan gantian terbabit?

Kawasan gantian di Sungai Panjang dan Ampang Pechah menyambung kompleks hutan lebih besar. Kalau tengok dalam konteks Selangor mungkin tidak besar sangat. Tetapi ia sebenarnya kompleks hutan Banjaran Titiwangsa mengunjur dari Utara bawa ke Selatan hingga ke Johor.

Maksudnya, Selangor menyumbang kepada kompleks lebih besar. Ia bersambung di sempadan dengan hutan simpan Pahang manakala di sebelah utara bersambung dengan hutan simpan di Perak. Di bahagian bawah pula mengunjur ke hujung banjaran iaitu di Hutan Simpan Panti, Johor. Ia bermula dari Hutan Simpan Bintang Hijau, Kedah.

Kompleks ini penting untuk tulang belakang hutan tengah (CFS). Kita bertuah kerana dapat menambah keluasan. Ini penting untuk menjadi kawasan perayauan spesies mamalia besar seperti harimau, gajah selain hidupan liar rusa serta beruang. Mereka memerlukan kawasan luas dan tidak terusik. Maksudnya konflik manusia dan haiwan dapat dikurangkan.

Keluasan HSKLU pula tidak boleh ditambah kerana dihimpit pembangunan. Sukar buat pemuliharaan atas sebab pencerobohan dan saban tahun terbakar. Mungkin ada yang membangkitkan kepentingan menjaga spesies endemik. Dalam zaman sains dan teknologi, ia boleh dibawa dan tanam semula. Hutan Simpan Kuala Langat Utara dan Selatan tidak selamat kerana terdedah kepada kebakaran. Baru hendak cambah sudah terbakar.

Jabatan Perhutanan negeri berbelanja hampir RM1 juta untuk lawan kebakaran tahun lalu. Tahun ini RM500,000 perbelanjaaan mengaktifkan pam, beli peralatan dan bayar elaun. Kos memadam kebakaran lebih tinggi berbanding penanaman pokok.

Apabila buat penanaman di kawasan terosot, dua tiga tahun selepas itu terbakar. Kira-kira 90 peratus punca kebakaran akibat manusia. Jarang petir jadi punca kerana hutan kita bukan terlalu kering hingga kena petir hutan boleh terbakar.


Apakah HSKLU mempunyai ciri-ciri hutan simpan baik?

Umumnya semua hutan ada peranannya. Tidak dinafikan ia mampu menjadi tebatan banjir, menyerap karbon dan mengeluarkan oksigen. Sesebuah kawasan seluas 0.5 hektar yang ada pokok boleh dikategori sebagai hutan.

Kompleks hutan kita ada kepelbagaian spesis dan banyak belum dikenal pasti. Cuma dahulu, sebut hutan orang kaitkan dengan pembalakan. Sekarang masyarakat tahu fungsinya yang lain. Hanya dengan kualiti baik, hutan dapat berfungsi. Contohnya Hutan Simpan Raja Musa yang komponen spesiesnya tidak terganggu dan kompleksnya lebih besar membolehkannya menjalankan fungsinya.

Tetapi hutan simpan kecil seperti HSKLU hanya tinggal 1,000 hektar. Sebahagian besarnya belukar akibat diteroka dan terbakar. Fungsinya ada tetapi kualitinya kurang. Sebab itu, kita bertuah mendapat gantian lebih baik.

Hanya 56 peratus HSKLU yang dinyahwarta. Masih ada baki kekal hutan termasuk kubur dan penempatan Orang Asli. Kawasan dinyahwarta hanya kawasan mudah terbakar dan diceroboh.

Jabatan juga akan cuba menentusahkan dakwaan segelintir pihak bahawa ada spesies tertentu di HSKLU. Kita akan minta mereka tunjukkan supaya pemuliharaan dapat dibuat. Kalau betul ada musang pandan seperti dakwaan, kita akan minta Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) tangkap, pelihara dan biakkan di kawasan lebih selamat.

Spesies endemik yang didakwa hanya ada di HSKLU juga akan ditentukan. Misalnya, Meranti Paya yang dikatakan ada di situ tetapi sebenarnya juga ada tempat lain. Pokok itu juga ada di Hutan Raja Musa dan Sungai Panjang. Dari segi kepentingan kurang kerana ada di hutan lain.


Apakah ulasan Jabatan Perhutanan Selangor terhadap cadangan nyahwarta sebahagian HSKLU?

Biasanya kita tidak sokong kerana membabitkan hutan simpan. Sebab itu, orang kata tengok Jabatan Perhutanan pun bantah. Memang betul tetapi kita beri syarat. Jika diluluskan mereka kena ganti. Dalam Akta Perhutanan pun bukan kata tidak boleh langsung (nyahwarta) tetapi harus diganti dengan keluasan dan kualiti sama. Apabila Kerajaan Negeri bermesyuarat, ada timbang tara dan kajian dari segi kepentingan sosioekonomi, kita terima. Syaratnya harus diganti.


Bahagian HSKLU yang dinyahwarta terletak berhampiran pembangunan. Berdasarkan pengalaman, apakah risiko terhadap kawasan hutan simpan yang tepu pembangunan di sekitarnya?

Apabila buka kawasan bersempadan, tentu terdedah kepada penerokaan dan pencerobohan. Contohnya ada orang menceroboh untuk tanam pisang di tanah seluas satu ekar. Kalau 20 orang, maka 20 ekar dibuka. Lama kelamaan jadi luas.

Kedua, timbul banyak isu penguatkuasaan kerana banyak aduan bakal diterima termasuk pencerobohan bagi aktiviti riadah. Contohnya, Bukit Lagong, Taman Templer, Selayang sering ada aduan orang mendaki dan masuk tanpa kebenaran. Setiap aduan harus ada tindakan. Ikhlasnya kami tidak mampu kesan semua pencerobohan kerana sempadan hutan luas.

Maksudnya NGO dan aktivis alam sekitar kena terima hakikat HSKLU tidak lagi selamat untuk spesies flora dan fauna?

Mereka kena terima hakikat. Kita tidak boleh kawal kebakaran saban tahun. Tahun ini hampir RM2 juta dibelanja. Bomba contohnya terpaksa guna pesawat amfibia dan kerah 100 anggota.

Saya faham NGO mempertahan hak Orang Asli. Tetapi adakah kita hendak melihat Orang Asli terus duduk di hutan? Adakah kita tidak mahu Orang Asli mengikut arus pembangunan?

Langkah kerajaan banyak bawa arus pembangunan kepada Orang Asli.

Kita bukan hendak hilangkan budaya mereka, boleh diteruskan di kampung baharu. Adakah kita hendak biarkan mereka kais pagi makan pagi dengan kutip herba dan berburu sedangkan tiada haiwan di HSKLU.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Pengarah: Hingga 40 peratus HSKLU rosak, kos RM1 juta pulih hutan tahun lalu

OLEH KHAIRUL AZRAN HUSSEIN

SHAH ALAM, 8 SEPT: Sebanyak RM1 juta diperuntuk Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) untuk membantu memadam kebakaran di Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) pada tahun lalu sahaja.

Pengarahnya Dato’ Ahmad Fadzil Abdul Majid berkata lebih RM500,000 pula dihabiskan setakat Ogos tahun ini bagi kos lain termasuk penyelenggaraan pam, pembelian peralatan dan elaun kakitangan.

Beliau juga menjelaskan angka tersebut belum termasuk perbelanjaan pemuliharaan RM30,000 bagi setiap hektar untuk merawat kawasan yang mengalami kebakaran termasuk menanam pokok.

Sebahagian kawasan tanah gambut dalam Hutan Simpan Kuala Langat Utara dilihat dari menara tinjau Jabatan Perhutanan Negeri Selangor ketika lawatan pada 26 Februari 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Kita juga mendapat kerjasama Jabatan Alam Sekitar yang menggajikan anggota Rela selain membina menara untuk mengesan pencerobohan,” katanya kepada Selangorkini.

Menurut angka JPNS, seluas kira-kira 359.6 hektar HSKLU terbakar sepanjang 2012 hingga 2017, termasuk 132.0 hektar hangus ketika kebakaran paling teruk pada 2014.

Daripada jumlah kawasan kebakaran tersebut, yang merosakkan 30 hingga 40 peratus flora HSKLU, seluas 95.6 hektar hangus pada 2017, 82.0 hektar (2013) dan 50.0 hektar lagi pada 2012.

Ahmad Fadzil juga kesal berikutan segelintir masyarakat sering menyalahkan JPNS seolah-olah ia tidak pernah menjalankan tugas untuk memulihkan HSKLU.

“Hakikatnya, kita sudah melakukan banyak usaha pemulihan tetapi baru dua atau tiga tahun tanam dan pokok baru hendak besar, kebakaran berlaku lagi.

“Lebih mengecewakan kebakaran berpunca sikap manusia, ada yang ceroboh hutan untuk aktiviti tanaman atau buang puntung rokok,” katanya.

Kerja-kerja mengawal kebakaran dilakukan anggota bomba di Hutan Simpan Kuala Langat Selatan, Kuala Langat pada 2 Mac 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

HSKLU yang sering terbakar mengalami kemerosotan nilai kepelbagaian flora dan fauna. Apabila 536.7 hektar dinyahwarta, Kerajaan Negeri mengganti kawasan lebih besar seluas 581.48 hektar dengan nilai kepelbagaian flora dan fauna yang lebih baik di daerah Sabak Bernam, Hulu Selangor dan Hulu Langat.

Kerajaan Negeri juga meluluskan nyahwarta lebih kurang separuh sahaja HSKLU daripada 991.9 hektar setelah mendapat maklum balas orang ramai dalam penyiasatan awam yang mengambil masa lebih setahun.

Kawasan penempatan Orang Asli di Kampung Busut Baru tidak terjejas dengan nyahwarta tersebut, malah Kerajaan Negeri mewartakan tambahan 42.1 hektar lagi bagi meningkat rizab tanah mereka.

Namun keputusan nyahwarta ini sedang disemak semula oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dalam masa terdekat.

Categories
AGENDA NASIONAL

Pakar sah nilai biodiversiti hutan gantian setaraf HSKLU

SHAH ALAM, 1 SEPT: Kajian pakar perunding UPM Consultancy & Services Sdn Bhd mengesahkan kawasan yang dipilih menggantikan sebahagian Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) mempunyai nilai biodiversiti hampir sama.

Pengarah Perhutanan Selangor berkata kawasan gantian seluas 581.48 hektar menggantikan 536.7 hektar yang dinyahwarta terletak di mukim Sungai Panjang, Sabak Bernam (308.62 hektar); Ampang Pechah, mukim Buloh Telor, Hulu Selangor (208.98 hektar) dan Bukit Broga, Mukim Semenyih, Hulu Langat (63.88 hektar).

Dato’ Ahmad Fadzil Abdul Majid memaklumkan hutan paya gambut di Mukim Sungai Panjang sama jenis hutan dengan HSKLU manakala di Ampang Pechah dan Bukit Broga terdiri jenis hutan bukit.

“Kawasan gantian Ampang Pechah mempunyai kepentingan koridor rangkaian ekologi hidupan liar dikenali sebagai tulang belakang hutan tengah (CFS) seperti ditetapkan dalam Rancangan Fizikal Negara ketiga.

“Selain itu kawasan Bukit Broga mempunyai nilai ekopelancongan yang tinggi dan merupakan antara tarikan kawasan pendakian utama di Selangor,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Pada 5 Februari tahun lalu, Kerajaan Selangor mengumumkan untuk membangunkan HSKLU kepada pembangunan bercampur seperti perumahan.

Satu sesi pendengaran awam dianjurkan pada 27 September tahun sama bagi mendapatkan pandangan individu, badan bukan kerajaan dan agensi kerajaan serta swasta.

HSKLU ingin dibangunkan susulan kemajuan pesat di kawasan sekitarnya, termasuk projek perumahan Saujana Putra, Lebuhraya Elite, ladang Boh Bukit Cheeding dan Gamuda Cove.

Proses penukaran status tanah dibuat mengikut Seksyen 11 (b) Enakmen Perhutanan Negara (Pemakaian) 1985 yang membenarkan negeri mengeluarkan kawasan hutan simpan jika mendapati ia ada kegunaan
ekonomi yang lebih tinggi.

Kerajaan Selangor bagaimanapun perlu menggantikan hutan simpan kekal di tanah lain yang lebih kurang sama saiznya seperti diperuntuk dalam Seksyen 12 Akta Perhutanan Negara 1984.

Categories
AGENDA NASIONAL

Hutan Simpan Kuala Langat Utara kawasan berisiko tinggi, kerap terbakar

SHAH ALAM, 1 SEPT: Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) dikelaskan sebagai kawasan berisiko tinggi dan kerap terbakar oleh Jabatan Perhutanan Selangor.

Pengarah Perhutanan Negeri Dato’ Ahmad Fadzil Abdul Majid berkata hutan itu mengalami kemerosotan kualiti akibat beberapa kali terbakar pada 2012, 2013, 2014, 2017 dan 2021.

“HSKLU merupakan hutan yang terpisah daripada kompleks hutan utama dan mengalami tekanan pembangunan tanah tepu bina di sekelilingnya seperti Lebuhraya ELITE, Bandar Saujana Putra dan Gamuda Cove.

“HSKLU juga diklasifikasikan sebagai kawasan berisiko tinggi untuk terbakar oleh jabatan perhutanan negeri pada 2016,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Pada 20 Februari tahun lepas, Dato’ Menteri Besar berkata kira-kira 40 peratus HSKLU rosak disebabkan kebakaran dan pencerobohan termasuk tiada elemen hutan dara.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata dua lokasi hutan ganti dicadangkan di Sungai Panjang, Sabak Bernam manakala dua lagi di Kuala Selangor dan Ampang Pecah, Kuala Kubu Bharu.

Hutan simpan yang dicadangkan bercantum dengan Hutan Simpan Raja Muda Musa iaitu kawasan hutan paya gambut terbesar di Semenanjung Malaysia.

Categories
SELANGOR

Kebakaran hutan paya gambut Selangor berkurangan

OLEH NADIAH ZAMLUS

KUALA SELANGOR, 13 JUL: Kejadian kebakaran hutan paya gambut semakin berkurangan sejak 2018, kata Pengarah Jabatan Perhutanan Selangor, Dato’ Dr Puat Dahalan.

Katanya, sehingga kini kes kebakaran di hutan berkenaan dilihat sebagai kes terpencil berikutan jumlahnya turun ke paras minima.

“Sejak tiga tahun lalu, kebakaran hutan paya gambut berlaku seluas kira-kira 200 hektar setahun, namun tahun lalu ia turun mendadak dan hanya berlaku seluas 100 hektar.

“Lebih membanggakan apabila pada tahun ini tiada lagi laporan kebakaran hutan paya gambut dilaporkan berlaku, ini adalah satu kejayaan bagi Selangor hasil kerjasama semua pihak yang membolehkan penurunan kes kebakaran,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Perasmian Pusat Kelestarian Gambut Global Enviroment Centre (GEC) – Komuniti dan Majlis Jamuan Aidilfitri GEC di Kampung Raja Musa, Kuala Selangor, pagi tadi.

Hadir sama, Pengarah GEC, Faizal Parish dan Pegawai Daerah Kuala Selangor, Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor serta penduduk setempat.

Sementara itu Faizal berkata, pihaknya mengingatkan orang ramai berjaga-jaga berikutan negara memasuki musim kemarau tidak lama lagi.

Katanya, keadaan itu akan berlanjutan selama dua bulan sebelum berlaku musim tengkujuh pada penghujung tahun.

“Bagi petani atau peladang di kawasan tanah gambut, berhati-hati sekiranya membuat kerja pembersihan hutan, sebaiknya jangan lakukan pembakaran secara terbuka kerana ia menyumbang kejadian lebih buruk.

“Kami turut berharap supaya agensi berkaitan membuat pemantauan dengan lebih kerap sepanjang musim panas tidak lama lagi,” katanya.

 

Categories
SELANGOR

Kerja teroka bukan dalam kawasan Hutan Simpan Bukit Cerakah

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 28 JUN : Tiada kerja penerokaan hutan dilakukan di kawasan Hutan Simpan Bukit Cerakah, kata Pengarah Jabatan Perhutanan Selangor, Datuk Dr Mohd Puat Dahalan.

Katanya, pihaknya sudahpun membuat siasatan bersama penduduk setempat baru-baru ini.

“Setelah melihat kawasan berkenaan sememangnya ia tidak melibatkan kawasan hutan simpan, bagaimanapun sebelum itu jabatan tidak menerima sebarang aduan, hanya Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang menerimanya,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Sebelum ini Persatuan Penduduk Bukit Bayu, Seksyen U10 menggesa pihak bertanggungjawab menyekat sebuah syarikat pemaju yang didakwa menjalankan kerja-kerja penerokaan tanah yang dikhuatiri mengganggu Hutan Simpan Bukit Cerakah, di sini.

Sementara itu Pengarah Eksekutif Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), I. S. Shanmugaraj berkata, pihaknya mendapati kawasan hutan tanah pamah yang diteroka itu bersambung dengan kawasan hutan simpan kekal Taman Botani Negara yang mana ia perlu dilindungi daripada sebarang aktiviti pembangunan.

“Kawasan hutan simpan kaya dengan sumber alam termasuk tumbuh-tumbuhan serta pelbagai spesis fauna termasuklah tapir yang antara haiwan liar berhadapan dengan ancaman kepupusan ketika ini.

“Sudah sampai masanya Kerajaan Negeri segera mewartakan hutan tanah pamah berhampiran sebagai hutan simpan kekal untuk generasi akan datang dan bebas daripada sebarang aktiviti penerokaan,” katanya.

Operasi padam api hutan simpan kekal Kuala Langat Selatan berakhir

Berjaya ditangani sepenuhnya : Operasi pemadaman api di hutan simpan kekal Kuala Langat Selatan, dihentikan.

Categories
KENYATAAN MEDIA

JPNS: MB & Exco tak terlibat proses anugerah tender balak

OLEH : DR. MOHD PUAT DAHALAN

Negeri Selangor sedang mengamalkan dasar moratorium ke atas aktiviti pembalakan sejak tahun 2010 lagi. Ini bermaksud segala aktiviti pembalakan tidak dibenarkan sama sekali kecuali penebangan kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) bagi maksud projek-projek yang mempunyai kepentingan umum/nasional yang tidak dapat dielakkan seperti projek jajaran talian TNB, lebuhraya/jalanraya, laluan paip air/gas, kolam takungan dan lain-lain.

Namun demikian, bagi setiap pelaksanaan projek-projek yang melibatkan HSK akan dikenakan syarat-syarat yang ketat serta penetapan nilai pampasan yang sangat tinggi.

Ini adalah bertujuan supaya pemilihan kawasan HSK untuk sebarang projek berkepentingan umum adalah merupakan langkah terakhir.

Sebagai contoh, penetapan laluan bagi jajaran TNB Tapah – Bentong yang melibatkan kawasan daerah Hulu Selangor turut dipinda beberapa kali untuk mengelakan penggunaan kawasan HSK yang berlebihan.

Projek Talian Penghantaran Elektrik 275kV (1,000 MVA) PMU Bukit Tarek ke PMU Chubadak terletak di Daerah Hulu Selangor sepatutnya dilaksanakan sejak tahun 2003 lagi.

Hutan Selangor1Laluan jajaran asal talian TNB ini sepatutnya melalui Kampung Sg. Terentang, Rawang sejauh lebih kurang 1.0 km namun, jajaran ini terpaksa dipindahkan ke jajaran baru yang melibatkan HSK sejauh lebih kurang 6.0 km dan tanah milik lebih kurang 5.0 km kerana desakan penduduk kampung tersebut yang tidak menyokong talian penghantaran elektrik ini melalui kampung mereka.

Ini dengan jelas menunjukan komitmen serta keprihatinan Kerajaan Negeri Selangor terhadap tuntutan serta aduan para penduduk.

Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) telah meneliti kesemua permohonan yang diterima untuk mengeluarkan hasil hutan dengan membuat beberapa pengesyoran berdasarkan kepada peruntukan peruntukan yang terkandung di bawah Enakmen (Pemakaian) APN 1985 serta peraturan peraturan sedia ada yang menjamin proses penilaian yang telus dan terbuka untuk pertimbangan Pihak Berkuasa Negeri.

Penilaian ke atas permohonan juga turut mengambilkira kriteria-kriteria yang diamalkan oleh Jabatan Perhutanan seperti perakuan pendaftaran syarikat yang masih sah, berdaftar dengan Jabatan Perhutanan sebagai Kontraktor Pembalakan dan tempohnya masih sah, serta sebagai kriteria tambahan iaitu jika mempunyai rekod pengalaman dalam kerja-kerja pembalakan atau pembersihan kawasan.

Di samping itu, syarat syarat tambahan seperti semua pokok yang bersaiz komersil perlu dibuat “timber tagging” dan “harvesting plan” bagi kawasan yang terlibat juga perlu disediakan sebelum pengeluaran hasil hutan dapat dilakukan.

Sebagai langkah penambahbaikan, Pihak Berkuasa Negeri Selangor juga telah meluluskan penubuhan Jawatankuasa Pengurusan Perhutanan Negeri Selangor (JKPPNS) bagi membuat penilaian secara telus ke atas sebarang permohonan lesen/permit ataupun melaksanakan saringan serta penelitian bagi apa apa jua projek berkaitan perhutanan selaras dengan dasar Kerajaan Negeri Selangor sekarang.

Keahlian Jawatankuasa ini juga turut melibatkan pelbagai agensi teknikal yang lain bagi tujuan mendapatkan input secara profesional serta berintegriti dalam urusan membantu Pihak Berkuasa Negeri Selangor supaya dapat merumuskan keputusan keputusan yang diambil secara adil, saksama serta tepat lagi telus.

Setelah memperolehi kelulusan Pihak Berkuasa Negeri melalui MMKN, satu lesen Mengusahasil (Borang 1) telah dikeluarkan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Selangor pada 23 Jun 2015 kepada kedua-dua pelesen di kawasan permohonan yang berkuatkuasa selama tempoh (6) enam bulan bagi mengeluarkan sebarang hasil hutan sebelum pihak TNB dapat melaksanakan projek jajaran talian TNB seperti yang dirancangkan.

Sehingga kini, status kemajuan kerja Pengeluaran Kayu Balak dan Jaras Di Dalam Hutan Simpanan Kekal Yang Melibatkan Projek Jajaran Talian Penghantaran Elektrik 275/132kv Dari Mahkota Cheras Hartamas Ke PMU Mahkota Cheras Seluas ±45.0 hektar ini adalah mencapai 100% kemajuan.

Keadaan mutu kerja juga sangat memuaskan serta mematuhi segala syarat yang ditetapkan tanpa sebarang pelanggaran terhadap mana mana syarat lesen yang dikeluarkan.

Manakala, status kemajuan kerja pengeluaran kayu balak dan jaras di dalam HSK yang melibatkan Projek Jajaran Talian Penghantaran Elektrik 275kv (1000 MVA) PMU Bukit Tarek ke PMU Chubadak (Ubahan Talian) Seluas ±34.0 hektar sehingga November 2015 adalah mencapai hampir 100% kemajuan.

Keadaan mutu kerja di sini juga sangat memuaskan serta mematuhi segala syarat yang ditetapkan tanpa sebarang pelanggaran terhadap mana mana syarat lesen yang dikeluarkan.

Dalam hal ini, syarikat syarikat yang dilantik telah berjaya membuktikan kesungguhan serta keupayaan masing masing dalam melaksanakan kerja kerja pembersihan kawasan serta mengeluarkan hasil hutan dalam tempoh yang ditetapkan.

Jabatan Perhutanan Negeri Selangor menegaskan bahawa Dato’ Menteri Besar dan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) tidak terlibat dalam proses membuat penilaian ke atas mana mana permohonan yang diterima oleh JPNS untuk tujuan ini.

JPNS juga ingin mengulangi komitmen Jabatan untuk menjamin proses yang terbuka dan telus dalam mengamalkan sistem pengurusan hutan secara berkekalan selaras dengan dasar Kerajaan Negeri yang berteraskan kebertanggungjawaban, ketelusan dan keterbukaan.

* DR. MOHD PUAT DAHALAN adalah Pengarah Perhutanan Negeri Selangor

Categories
SELANGOR

6,000 Pokok Bakau Bagi Memelihara Persisiran Pantai Selangor

PELABUHAN KLANG, 15 JULAI : Sebanyak 6,000 pokok bakau ditanam dalam tempoh tiga tahun dalam usaha menghijaukan bumi dan memelihara alam sekitar.

Usaha tersebut adalah sebahagian dari rancangan menanam 10,000 pokok bakau dalam masa lima tahun bermula dari 2010 di sekitar Selangor.

Ia dilakukan Persatuan Bulan Sabit Merah Selangor bersama Jabatan Alam Sekitar Selangor dan Jabatan Perhutanan Selangor.

Pengerusi Bulan Sabit Merah Selangor, Fatimah Sulaiman berkata, pihaknya berbangga kerana program tersebut berjaya dijalankan dalam masa tiga tahun dan berharap ia mencapai sasaran dalam dua tahun lagi.

“Program pertama pada 2010 kita jalankan di Kuala Selangor dan tahun lalu di kawasan timur Kampung Teluk Gong ini manakala tahun ini kita sambung di kawasan barat di kampung sama.

“Program ini melibatkan semua ahli masyarakat terutama ahli Bulan Sabit Merah Selangor dan pelajar demi memberi pendidikan dan pengetahuan mengenai penanaman pokok bakau dan penjagaan alam sekitar.

?Ia juga membawa banyak manfaat terutama kepada kawasan persisiran pantai sebagai langkah berjaga-jaga menghadapi bencana alam seperti tsunami,” katanya.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Pertubuhan Kebajikan Dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) di atas sokongan mereka.

Fatimah berkata demikian dalam sidang media selepas majlis perasmian Program Menanam Pokok Bakau di Kampung Teluk Gong di sini hari ini.

Program tersebut dirasmikan Yang Dipertua Pekawanis yang juga isteri Menteri Besar Selangor, Puan Sri Salbiah Tunut.

Salbiah berkata, usaha penanaman itu wajar dicontohi pertubuhan lain kerana program menghijaukan bumi dan menjaga alam sekitar perlu melibatkan semua pihak.

“Program ini juga membantu mendidik anak-anak dan pelajar supaya berdisiplin dan faham tentang peranan memelihara alam sekitar terutama di kawasan persisiran pantai. Malah bukan saja persisiran pantai tetapi juga kawasan lain.

“Selain bakau, kita juga perlu mengenal pasti pokok lain untuk ditanam kembali,” katanya.

Seorang guru, Nik Suhaimi Nik Jaafaar berkata, program seperti itu patut diperbanyakkan demi memberi kesedaran kepada masyarakat demi menjaga alam sekitar.

“Penanaman pokok bakau di kawasan persisiran pantai ini banyak manfaatnya kepada alam semulajadi dan penduduk tempatan,” katanya.

Categories
SELANGOR

Restoran Didakwa Jalankan Aktiviti ‘Dangdut Rimba’ Disita

GOMBAK 29 MAC : Jabatan Perhutanan Selangor hari ini mengambil tindakan menyita sebuah restoran di Batu 12 3/4 yang didakwa menjalankan aktiviti tarian ‘dangdut rimba’ sebagai salah satu ‘menu’ penarik pelanggan.

Menurut Penolong Pengarah Kanan Bahagian Penguatkuasaan Hutan, Mohd Yussainy Md Yusop, tindakan itu diambil bagi membolehkan pihaknya menjalankan siasatan lanjut berhubung dakwaan itu.

“Tindakan kita pada petang ini ialah untuk memberi respon serta merta ke atas satu aktiviti pendudukan tanpa kebenaran dalam Hutan Simpan Hulu Gombak yang disiarkan di sebuah akhbar nasional.

“Jadi, hari ini Jabatan Hutan seramai 30 anggota telah hadir ke kawasan ini untuk kita buat sitaan dan kita membuka semua struktur sementara yang dibangunkan,” ujar Hussainy.

Operasi petang tadi menyaksikan tiga buah khemah tidak kekal dan dua buah khemah besar disita bersama-sama dengan peralatan perniagaan.

Beliau menjelaskan, tindakan tersebut juga merupakan satu proses siasatan di bawah Seksyen 32 iaitu menduduki tanpa kebenaran dan  permit penggunaan menurut Akta Perhutanan Negara 1984.

“Jika disabit kesalahan, pesalah boleh didenda sehingga RM50, 000 atau penjara antara satu hingga lima tahun,” tambah Yussainy sambil memberitahu kebanyakan pusat rekreasi di kawasan berkenaan dijalankan tanpa kebenaran.

Satu laporan penuh akan dikemukakan kepada Kerajaan Negeri Selangoruntuk diputuskan oleh Majlis Mesyuarat Exco mengenai tindakan dan langkah untuk menangani masalah tersebut.

Sementara itu, pengusaha restoran terbabit, Mohamad Asri Md Nur,38, menyangkal dakwaan akhbar berkenaan yang disifatkan sebagai fitnah semata-mata.

“Apabila jadi perkara begini atas dasar satu fitnah yang tidak berlaku pun, tidak apalah, saya pasti ada hikmahnya,” ujar Asri sambil menafikan restorannya menjalankan aktiviti tarian sebaliknya sekadar perkhidmatan karaoke.

Asri juga memberitahu, restoran berkenaan baru beroperasi selama tiga bulan dan menjalankan operasi perniagaan selepas waktu Isyak dan menutup operasi sekitar 1 pagi.

Sebelum ini tapak rekreasi yang berkeluasan 10 ekar itu menjalankan operasi kem motivasi.