Categories
AGENDA NASIONAL

Wajibkan penjawat awam ambil vaksin, kecuali faktor kesihatan

PUTRAJAYA, 21 SEPT: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan mengemukakan cadangan berhubung tindakan yang boleh diambil terhadap penjawat awam yang enggan mengambil suntikan vaksin COVID-19 kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

JPA dalam kenyataan hari ini memaklumkan beberapa pilihan tindakan dan pendekatan telah dibawa kepada MKN untuk diputuskan termasuk cadangan arahan mewajibkan semua penjawat awam mengambil vaksin kecuali mereka yang mempunyai alasan kukuh untuk pengecualian atas faktor kesihatan.

Kenyataan itu menyebut sehingga kini, jumlah peratusan penjawat awam yang mengambil vaksin COVID-19 telah mencapai hampir 98 peratus berbanding kelompok kecil yang belum berbuat demikian.

“Perkara ini perlu diberikan keutamaan bagi memberi keyakinan dan jaminan untuk orang ramai datang berurusan dengan penjawat awam di premis kerajaan,” menurut kenyataan itu.

Menurut JPA, usaha vaksinasi perlu diberi keutamaan untuk mengembalikan perkhidmatan kerajaan pada tahap pengoperasian penuh berdasarkan fasa Pelan Pemulihan Negara.

Pada 4 Sept lepas, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepas) Adnan Mat mencadangkan kerajaan mengeluarkan pekeliling khusus mengenai penjawat awam yang masih tidak mengambil vaksin COVID-19 dengan menjelaskan tindakan dan pendekatan yang perlu dilakukan kepada golongan itu dalam isu pengambilan vaksin.

Menurut JPA, ia berpandangan beberapa langkah boleh diambil oleh kementerian atau jabatan masing-masing berdasarkan peraturan sedia ada bagi memastikan penjawat awam secara keseluruhannya mengambil vaksin.

Katanya secara dasar, penjawat awam adalah tertakluk kepada Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U.(A) 395/1993] dan mereka perlu mematuhi peraturan sedia ada termasuk dalam urusan kehadiran bertugas di pejabat apabila diarahkan oleh ketua jabatan.

“Kita hendaklah melindungi diri kita sebelum kita mahu melindungi orang lain. #lindungdiri,lindungsemua!” kata JPA.

— BERNAMA

Categories
EXCO SELANGOR

Negeri tubuh unit rapatkan jurang jabatan, agensi dengan pusat

SHAH ALAM, 27 OGOS: Kerajaan Negeri menubuhkan Unit Pemberdayaan Pekerja Selangor (UPPS) bagi merapatkan jurang di antara jabatan serta agensi dengan kerajaan persekutuan.

EXCO Pembangunan Sosio Ekonomi V Ganabatirau berkata Program Rekalibrasi Tenaga Kerja anjuran kerajaan persekutuan menyebabkan peranan Kerajaan Negeri kurang relevan.

“Oleh demikian Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 18 Ogos lalu memutuskan unit ini ditubuhkan dalam membantu menyelesaikan isu melibatkan antara majikan dan pekerja.

“Walaupun portfolio ini baharu ditubuhkan tahun lalu ia memerlukan hala tuju dan penyusunan program selain lebih banyak peluang untuk Kerajaan Negeri untuk terlibat dalam perancangan program-program persekutuan dengan melibatkan pihak berkuasa tempatan, jabatan dan agensi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ucapan penggulungan pada Sidang Dewan Negeri Selangor semalam.

Beliau turut meminta kerjasama semua Ahli Dewan Negeri (ADN) untuk hadir bertemunya dalam memperkasakan program kerjaya yang dianjur menerusi UPPS.

Pada 13 Ogos, Ganabatirau memaklumkan pihaknya akan memperkasa portfolio pemberdayaan pekerja bagi membantu golongan yang hilang pendapatan akibat pandemik Covid-19.

Menurutnya, antara langkah yang perlu diambil adalah menambah peruntukan untuk membantu golongan terkesan yang semakin meningkat sejak kebelakangan ini.