Categories
NASIONAL

Dr Mahathir sifatkan pertukaran idea dengan Jack Ma beri banyak manfaat

KUALA LUMPUR, 18 JUN: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau telah bertukar-tukar idea tentang pelbagai perkara yang sungguh bermanfaat dengan pengasas dan pengerusi eksekutif Alibaba Group Jack Ma semasa pertemuan mereka di Putrajaya hari ini.

Dr Mahathir memaklumkan perkara itu dalam catatan melalui akaun Twitter rasmi beliau dengan berkata, “kami telah bertukar-tukar idea yang cukup bermanfaat tentang pelbagai subjek”.

Pertemuan selama kira-kira sejam mulai pukul 9 pagi itu berlangsung di pejabat Dr Mahathir di Putrajaya.

Ma dijadual merasmikan sebuah pejabat Alibaba di Bangsar South, di sini lewat hari ini.

Beliau juga dilaporkan mengadakan perjumpaan dengan Menteri Kewangan Lim Guan Eng pada satu majlis jamuan tidak rasmi malam tadi.

SUMBER: BERNAMA