Categories
AGENSI SELANGOR

Banjir: Jais buka enam lokasi kumpul al-Quran, buku agama rosak

SHAH ALAM, 28 DIS: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menetapkan enam pusat pengumpulan al-Quran dan buku agama yang rosak akibat banjir.

Pengarahnya Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad berkata lokasi terbabit di Tanah Perkuburan Islam Sungai Serai (Hulu Langat), Tanah Perkuburan Islam Johan Setia (Klang) dan Masjid Al-Madaniah USJ 18, Subang Jaya (Petaling).

Turut menjadi pusat pengumpulan adalah Masjid As-Solihin Kancong Darat (Kuala Langat), Kompleks Islam Daerah Kuala Selangor (Kuala Selangor) dan Masjid Raja Haji Fi Sabilillah, Cyberjaya (Sepang).

Katanya, al-Quran dan buku agama yang rosak itu boleh dihantar ke masjid kariah berdekatan sehingga Khamis ini sebelum dibawa ke pusat pengumpulan terbabit.

“Naskah berkenaan perlu ditempatkan di ruang sesuai, selamat, bersih dan jauh daripada laluan manusia serta haiwan untuk mengelakkannya dilangkah atau dipijak.

“Bagi tempat penyimpanan tidak berbumbung pula, pihak masjid hendaklah menutup bahan-bahan tersebut menggunakan plastik atau kanvas bagi mengelakkannya basah akibat terkena hujan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mohd Shahzihan berkata Jais akan bekerjasama dengan Majlis Agama Islam Selangor dan Lembaga Zakat Selangor untuk membawa naskah terbabit ke pusat pengumpulan dengan segera sebelum proses pelupusan.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Guru Kafa perinci kerosakan termasuk ratusan al-Quran wakaf kepada Jais

KUALA LANGAT, 26 DIS: Pengurusan Sekolah Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) dan Integrasi Rancangan Tanah Belia Bukit Changgang akan memperincikan kerosakan dialami akibat banjir kepada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Ketua gurunya berkata perkara tersebut diminta Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan akan diajukan kepada agensi Kerajaan Negeri itu selepas ini.

“Kita akan memperincikan kerosakan yang berlaku kepada Jais seperti diminta Dato’ Menteri Besar,” kata Abdul Rahim Mat Noh selepas menerima kunjungan Amirudin yang melakukan tinjauan pascabanjir di daerah itu hari ini.

Ketua Guru Sekolah Kafa dan Intergrasi Kampung Rancangan Tanah Belia Bukit Changgang, Abdul Rahim Mat Noh. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Mengulas mengenai perkara itu, beliau berkata bencana banjir dialami sekolah itu minggu lalu memusnahkan hampir 500 naskah al-Quran termasuk 200 yang diwakafkan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) tahun ini.

“Semalam baru boleh masuk lepas air surut. Semua al-Quran rosak, basah dah tak boleh diguna.

“Bukan itu sahaja tetapi 90 peratus keperluan belajar musnah. Kerusi, meja, komputer semua rosak. Namun bernasib baik sebab bukan berlaku ketika sesi persekolahan,” katanya.

Menceritakan kejadian bah itu, Abdul Rahim berkata air mula naik sehingga mencecah ke paras bumbung pada Sabtu malam akibat limpahan Sungai Langat 2.

Lebih malang semua guru serta lebih 1,000 pelajar hanya dapat masuk ke kawasan sekolah selepas seminggu kerana air tidak surut.

“Dalam tempoh itu saya memang gelisah. Tiap saat nak tahu macam mana keadaan sekolah. Jalan pun tutup sebab air naik.

“Bagaimanapun kami terima ujian ini. Hari ini baru dapat bersihkan sekolah dengan bantuan beberapa pihak lain,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Jais minta laksana solat hajat, munajat mohon dijauhi wabak dan banjir

SHAH ALAM, 24 DIS: Semua pentadbir masjid dan surau kebenaran solat Jumaat di Selangor dipohon melaksanakan solat hajat serta munajat selepas mendirikan solat tersebut hari ini.

Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) memaklumkan pelaksanaan solat sunat itu supaya umat Islam dilindungi Allah daripada wabak Covid-19 yang belum berakhir dan musibah banjir.

“Usaha rohani ini untuk memohon pertolongan Allah agar negeri dan negara ini terus dijauhkan daripada ancaman wabak dan musibah selain dipohon agar semua mangsa banjir diberi ketabahan serta kekuatan dalam menghadapi bencana,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, beberapa negeri termasuk Selangor diuji dengan musibah banjir yang mengakibatkan kemusnahan harta benda, kemudahan awam dan meninggalkan trauma kepada mangsa.

Categories
AGENDA AGENSI NASIONAL SELANGOR

30 masjid, 60 surau terjejas akibat banjir – Jais

SHAH ALAM, 20 DIS: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mengenal pasti 30 masjid, 60 surau dan 30 sekolah agama yang terjejas teruk akibat banjir dan mengalami kerosakan, serta memerlukan penyelenggaraan dan baik pulih segera, setakat 10 pagi tadi.

Pengarah Jais Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata hampir keseluruhan karpet masjid dan surau rosak, selain kelengkapan elektrik, sistem pembesar suara, sejadah, mashaf al-Quran, kitab dan bahan bacaan, perabut, alatan masjid, siling dan bumbung masjid perlu kepada kerja pembaikan agar dapat kembali berfungsi dengan segera.

“Institusi sekolah agama di bawah seliaan jabatan ini juga menghadapi situasi sama. Jabatan ini menjangkakan angka masjid, surau dan sekolah terlibat akan menjadi lebih besar ekoran paras air di beberapa daerah seperti Kuala Langat dan Kuala Selangor mula naik sejak pertengahan malam tadi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru, beliau berkata jawatankuasa khas JAIS peringkat negeri dan daerah ditubuhkan serta merta bagi menyelaras jenis dan bentuk bantuan kepada mangsa banjir melibatkan Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Lembaga Zakat Selangor (LZS), Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) dan Teraju Ekonomi Asnaf (Teras).

“Jawatankuasa bermesyuarat pagi tadi bersetuju untuk mengambil langkah segera menyalurkan pelbagai bentuk sumbangan mengikut skop dan jenis bantuan kepada mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS) dan seterusnya di peringkat pasca bencana,” katanya.

Mohd Shahzihan berkata jawatankuasa khas turut membuat keputusan menyalurkan bantuan kelengkapan 210 unit water jet bagi kemudahan masjid, surau dan sekolah, serta bantuan keperluan makanan basah di semua PPS di 36 masjid dan surau dari Tabung Infak Jariah Umat Islam Selangor (TIJARI) berjumlah RM250,000.

“TIJARI, LZS dan TERAS akan terus menyalurkan sumbangan makanan kering dan keperluan harian di PPS yang lain. Turut diputuskan ialah penyaluran bantuan kelengkapan pembersihan oleh Mais dan penggantian karpet masjid dan surau yang terjejas oleh LZS,” katanya.

Beliau berkata bagi memastikan usaha penyelarasan bantuan dapat dilaksanakan dengan baik dan berkesan, Bilik Gerakan Khas diwujudkan serta-merta dan akan beroperasi dari 8 pagi hingga 6 petang dan boleh dihubungi di talian 03-5514 3439 atau 03-5514 3761.

Bilik Gerakan itu akan memberi informasi terkini masjid, surau dan sekolah yang terjejas serta maklumat lain yang diperlukan oleh mana-mana pihak dari dalam dan luar Selangor, berhubung hasrat menyalurkan bantuan dan sumbangan kepada mangsa dan institusi terjejas banjir.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Rakyat diseru ambil dos penggalak, henti penularan Covid-19

SHAH ALAM, 11 DIS: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor menyeru rakyat negeri ini mengambil dos penggalak bagi menghentikan penularan wabak Covid-19.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah baginda bimbang dengan laporan mengatakan ada individu ragu-ragu untuk mengambil suntikan tersebut, lapor The Star.

“Terlalu banyak maklumat salah dan berita palsu di media sosial. Masyarakat mudah terpengaruh.

“Maka ada pihak yang berpendapat semuanya dalam keadaan baik kerana mereka telah diberi vaksin sepenuhnya,” titahnya.

Baginda juga memberi amaran kepada kakitangan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) yang belum mendapatkan suntikan vaksin melibatkan 207 ahli jawatankuasa masjid, 100 guru Kelas Agama dan Fardu Ain (Kafa) dan empat jurunikah.

Tuanku berkata golongan itu berisiko tidak dapat meneruskan tugas jika kekal menolak vaksin kerana mereka berinteraksi secara langsung dengan masyarakat, sekali gus meletakkan semua orang dalam risiko.

“Jadi beta memberi mereka masa kira-kira tiga bulan untuk memikirkannya.

“Kini keadaan sudah pulih secara drastik, hanya segelintir yang berdegil. Walaupun vaksin itu mungkin tidak menawarkan perlindungan 100%, ia membantu mengurangkan tahap keterukan penyakit,” titahnya.

Pada 24 November, Sultan Sharafuddin menzahirkan kekecewaan apabila hanya 203 individu menyertai program vaksinasi khas Covid-19 untuk petugas Jais sedangkan seramai 873 orang diarahkan hadir.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Subsidi Kafa-i RM5 juta sokong pendidikan rakyat

SHAH ALAM, 3 DIS: Pemberian subsidi yuran Kelas al-Quran dan Fardu Ain Integrasi (Kafa-i) sebanyak RM30 sebulan tahun depan mampu menyokong sektor pendidikan rakyat.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berkata bantuan melibatkan peruntukan RM5 juta itu turut meringankan beban ibu bapa serta penjaga yang berdepan masalah ekonomi susulan Covid-19.

“Dalam keadaan biasa (sebelum penularan Covid-19) ada kes pelajar gagal buat bayaran penuh apatah lagi ketika pandemik ini.

“Saya lihat peruntukan ini sangat membantu rakyat yang susah dalam meneruskan pembelajaran agama anak-anak. Terima kasih Kerajaan Selangor yang memberi peruntukan tinggi ini,” kata Dato’ Shahzihan Ahmad.

Jumaat lalu ketika membentangkan Belanjawan #Selangor 2022 Dato’ Menteri Besar mengumumkan pemberian subsidi RM30 sebulan kepada 14,000 murid daripada keluarga kurang berkemampuan (B40)

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pemberian sekali bayar itu julung kali dilaksanakan dan inisiatif juga sebagai galakan kepada masyarakat menyediakan pendidikan Agama Islam untuk kanak-kanak berusia tujuh hingga 12 tahun.

Categories
AGENSI SELANGOR

Jais: Tiada kompromi individu tolak vaksin tanpa alasan kukuh

SHAH ALAM, 24 NOV: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang menolak vaksin Covid-19 tanpa alasan kukuh.

Pengarahnya Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad berkata pihaknya kini dalam tempoh meneliti faktor kakitangan seliaanya yang belum menerima dos pelalian.

“Kita masih meneliti perkara ini kerana mungkin ada segelintirnya enggan divaksin sebab faktor kesihatan dan mereka ada bukti lampiran daripada pihak perubatan.

“Namun, Jais tidak berkompromi dengan mana-mana individu yang tidak mahu divaksin dengan sengaja… tindakan tegas akan dikenakan kepada mereka termasuk larangan bertugas,” katanya.

Berdasarkan data yang dikongsi, seramai 311 kakitangan Jais belum mendapat suntikan tersebut iaitu 207 ahli jawatankuasa masjid, 100 guru Kelas Agama dan Fardu Ain (Kafa) dan empat jurunikah.

Pada 22 September, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menzahirkan kekecewaan apabila dimaklum seramai 96 individu daripada golongan terbabit menolak untuk divaksin.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj juga kecewa apabila hanya 203 individu sertai program vaksinasi khas Covid-19 untuk petugas Jais sedangkan seramai 873 orang diarahkan hadir.

Baginda bertitah akan meneliti nama individu yang memutuskan untuk tidak divaksin dan satu ketetapan berhubung tindakan yang akan diambil terhadap mereka bakal ditentukan kelak.

Categories
AGENSI SELANGOR

Jais: Hanya enam slot majlis akad nikah di masjid, surau sehari

SHAH ALAM, 8 NOV: Majlis akad nikah di semua masjid dan surau negeri ini dibenarkan hanya enam slot sehari, menurut Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Perkongsian info grafik di Facebook menyatakan seramai 20 orang ditetapkan boleh hadir iaitu 10 daripada pihak lelaki dan 10 lagi pihak perempuan.

Individu yang hadir ke majlis yang diadakan pada sesi pagi dan petang itu juga perlu lengkap menerima dos vaksin.

Sementara itu, pelaksanaan majlis akad nikah di Jais dan Pejabat Agama Islam Daerah hanya dibenarkan tiga orang iaitu wali, pengantin lelaki serta pengantin perempuan.

Berkuat kuasa 1 November lalu, Jais membenarkan semua masjid dan surau di Selangor mengadakan majlis akad nikah dengan mematuhi beberapa syarat.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Kanak-kanak, remaja lengkap divaksin boleh berjemaah di masjid

SHAH ALAM, 5 NOV: Kanak-kanak atau remaja yang lengkap divaksin dan ibu bapa mereka juga lengkap menerima pelalian dibenarkan berjemaah di masjid serta surau di negeri ini.

Selangor juga membenarkan kurang 100 individu yang terdiri dari waris, ahli keluarga dan kariah hadir untuk menguruskan jenazah bukan Covid-19 di masjid dan surau.

Operasi kiosk, koperasi lot gerai dan semua aktiviti penjanaan ekonomi dibenarkan dengan tertakluk kepada pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) yang dibenarkan.

Ketetapan baharu bagi aktiviti di masjid, surau dan mussola dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) fasa empat itu dimaklumkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Facebook, hari ini.

Antara ketetapan baharu untuk mereka yang lengkap menerima vaksin dan melepasi tempoh inkubasi yang ditetapkan itu adalah seperti berikut:

Syarat-syarat solat fardhu Jumaat
– Dibenarkan untuk ahli kariah yang bermastautin
– Pentadbir boleh memperuntukkan sebahagian ketetapan bilangan jemaah bagi ahli kariah bermukim sekiranya ada kekosongan
– Jemaah bukan warganegara yang dikenali boleh dipertimbang
– Laksana kaedah penggiliran
– Daftar dengan pihak masjid, surau kebenaran penggiliran
– Jemaah musafir dibenar masuk selepas ahli kariah selesai menunaikan solat Jumaat

Syarat-syarat solat fardhu lima waktu
– Ahli kariah termasuk muslimat yang tinggal dalam kawasan kariah
– Musafir, pemandu e-hailing dan penghantar makanan boleh menyertai jemaah dengan berada di ruang musafir

Panduan pelaksanaan solat secara jemaah
– Kanak-kanak atau remaja yang lengkap divaksin dan ibu bapa mereka juga lengkap menerima pelalian dibenarkan hadir
– Melaksana program disenfeksi berkala dengan dana sedia ada
– Segera maklum kepada Pejabat Agama Islam Daerah (Paid) jika berlaku penularan
– Pegawai,jawatankuasa masjid, surau dan musolla yang belum divaksin dilarang terbabit dalam apa jua aktiviti
– Pentadbir memastikan bilangan jemaah tidak melebihi ketetapan dibenarkan

Categories
SELANGOR

Kerinduan solat jemaah lebih ramai di masjid, surau terubat

SHAH ALAM, 4 NOV: Kerinduan umat Islam menunaikan solat fardu dan solat Jumaat di masjid serta surau terubat apabila ibadah itu dibenarkan dengan kapasiti lebih ramai.

Tinjauan Selangorkini di Masjid Al-Ikhlas Seksyen 13 di sini mendapati rata-rata jemaah gembira dengan ketetapan baharu dikeluarkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Bagi Abdul Hafiz Jaafar Sidek, 39, suasana masjid tidak lagi suram seperti dahulu susulan pertambahan jemaah selain diserikan dengan program pengimarahan seperti kuliah dan tadarus al-Quran.

“Saya bersyukur sebab selepas ini ramai lagi orang boleh datang solat berjemaah. Solat beramai-ramai memang seronok, lagipun banyak kelebihan berbanding solat sendirian.

Abdul Hafiz Jaafar Sidek, 39. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Saya juga berpeluang berjumpa ahli kariah lain dan sama-sama dengar kuliah untuk mendapatkan ilmu. Sebab itu kalau sehari tak ke masjid jiwa saya rasa kosong,” katanya ketika ditemui hari ini.

Ahmad Habibul Hakim, 25, pula berkata meskipun masih bimbang dengan situasi semasa Covid-19, namun dia tetap ke masjid mendirikan solat fardu berjemaah kerana terlalu rindu suasana rumah ibadat.

“Sebelum ini memang saya solat Zuhur dan Jumaat di masjid ini memandangkan dekat dengan tempat kerja, tetapi tidak berpeluang berbuat demikian selepas pihak berwajib mengehadkan kapasiti.

“Ahamdulillah kali ini mereka (Jais) buka ruang lebih besar walaupun solat Jumaat masih perlu mendaftar. Namun, saya percaya tatacara operasi piawai (SOP) ini adalah untuk keselamatan jemaah,” kata jurutera pembinaan yang tinggal di Klang.

Sementara itu, Nur Asilah Safina Mohd Zamari, 20, mengakui tidak perlu lagi menggantikan solat di rumah susulan kelonggaran tersebut.

Jurutera binaan Ahmad Habibul Hakim, 25. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Sebelum ini saya solat di tempat kerja tetapi ruang terlalu sempit menyebabkan kurang selesa sehingga adakalanya kena ganti balik solat di rumah. Jadi, kelonggaran ini memudahkan saya…paling penting dapat merasai ketenangan solat di masjid,” katanya.

Selangor membenarkan 400 hingga 2,000 orang dibenarkan menunaikan solat Jumaat mulai 1 November kecuali 3,500 orang di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini.

Sementara untuk solat fardu, antara 200 hingga 500 orang bergantung pada kategori masjid dan surau.

Pengarah Jais Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad memaklumkan ketetapan itu mengikut titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj sehingga satu tempoh ditetapkan.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pengimarahan masjid kembali rancak, aktiviti berlangsung setiap hari

SHAH ALAM, 4 NOV: Aktiviti pengimarahan di masjid dan surau negeri ini kembali rancak susulan kelonggaran diberikan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Bilal Masjid Al-Ikhlas Seksyen 13 di sini berkata kuliah Subuh dan Maghrib di masjid berkenaan dilaksana setiap hujung minggu manakala hari biasa (kuliah Maghrib) secara hibrid.

Bilal Masjid Al-Ikhsan Seksyen 13, Shah Alam Ahmad Kamil Mohd Mokhtar. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Ahmad Kamil Mohd Mokhtar, 35, menjelaskan program tadarus al-Quran dan terjemahan juga diadakan setiap hari selepas Subuh selain bacaan Yasin pada malam Jumaat.

“Sebenarnya aktiviti imarah tidak pernah terhenti sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0, namun hanya dijalankan dalam talian sebagai mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan pihak berwajib.

“Malah, apabila aktiviti ini dibenarkan secara fizikal, program dalam talian tetap diteruskan sampai sekarang. Jika penceramah jemputan tidak dapat hadir, ceramah dibuat secara langsung dan ditayangkan di televisyen masjid,” katanya ketika ditemui Selangorkini.

Selangor membenarkan 400 hingga 2,000 orang menunaikan solat Jumaat mulai Isnin lalu kecuali 3,500 orang di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Sementara untuk solat fardu, antara 200 hingga 500 orang bergantung pada kategori masjid dan surau, maklum Pengarah Jais Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad.

Mengulas lanjut, Ahmad Kamil berkata Masjid Al-Ikhlas turut melaksanakan majlis akad nikah sejak 1 November dengan mematuhi syarat ditetapkan.

Beliau menjelaskan bilangan orang ramai yang hadir ditetapkan seramai 20 orang dengan 10 daripadanya pihak lelaki dan baki perempuan.

“Setakat ini, kita menerima tempahan antara lima hingga 10 pasangan untuk melangsungkan akad nikah di masjid ini mengikut tarikh masing-masing. Semua permohonan ini dibuat sejak awal bulan lalu,” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

Pengurusan masjid sambut baik ketetapan baharu solat Jumaat, fardu

SHAH ALAM, 3 NOV: Ketetapan baharu solat Jumaat dan fardu dikeluarkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) disambut baik pengurusan masjid negeri ini.

Tinjauan Selangorkini di Masjid Al-Ikhlas Seksyen 13 di sini hari ini mendapati ramai jemaah mengambil kesempatan menunaikan solat fardu Zuhur dan Asar di masjid pengurusan itu susulan kelonggaran diberikan.

Bilal, Ahmad Kamil Mohd Mokhtar, 35, berkata seramai 300 jemaah dibenarkan solat fardu di masjid berkenaan manakala 700 jemaah bagi solat Jumaat berkuat kuasa kelmarin.

“Kita sangat berbesar hati apabila Jais membuka lebih banyak ruang untuk jemaah solat dan kita nampak kehadiran mereka di masjid kian bertambah. Bukan sahaja jemaah tetap tetapi juga yang bekerja di kawasan berhampiran termasuk musafir,” katanya ketika ditemui.

Bilal Masjid Al-Ikhsan Seksyen 13, Shah Alam Ahmad Kamil Mohd Mokhtar. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Sementara itu, beliau memaklumkan jemaah yang mahu mendirikan solat Jumaat perlu mendaftar melalui aplikasi Masjid Pro yang dibuka pada hari berkenaan jam 7 pagi.

Menurutnya, jemaah yang hadir secara terus (walk-in) juga dibenarkan menunaikan kewajipan itu namun bergantung kepada kekosongan.

“Kita terima mana-mana jemaah yang datang pada saat akhir untuk penuhkan kuota sekiranya ada jemaah berdaftar tidak dapat hadir tetapi mereka perlu berada di bahagian luar,” katanya.

Ahmad Kamil turut mengingatkan jemaah supaya membawa sejadah sendiri dari rumah meskipun masjid menyediakan kemudahan itu.

“Jemaah perlu mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) bagi mengelak penularan Covid-19 antaranya mengimbas kod bar MySejahtera, menyukat suhu badan selain mengelak berkumpul selepas solat,” katanya.

Selangor membenarkan 400 hingga 2,000 orang menunaikan solat Jumaat mulai 1 November kecuali 3,500 orang di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini.

Sementara untuk solat fardu, antara 200 hingga 500 orang bergantung pada kategori masjid dan surau.

Pengarah Jais Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad memaklumkan ketetapan itu mengikut titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj sehingga satu tempoh ditetapkan.