Categories
SELANGOR

Buku Kontroversi Irshad Manji, MB Serah Kepada Mahkamah

 

SHAH ALAM, 31 MEI : Kerajaan Negeri Selangor menyerahkan kepada mahkamah untuk tindakan selanjutnya ke atas syarikat penerbitan buku kontroversi Irshad Manji yang diserbu Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), semalam.

Ini kerana menurut Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, keadilan serta keputusan terhadap perkara itu selayaknya dinilai dan ditentukan oleh mahkamah.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa sidang media selepas Mesyuarat Exco di SUK, di sini.

“Saya berpendapat tindakan Jais adalah berasaskan kepada akta atau enakmen yang betul, maka dengan kuasa itu, Jais mengambil tindakan. Jais juga sudah tentu akan membawa perkara ini ke mahkamah untuk tindakan selanjutnya. Biar mahkamah sahaja yang tentukan,” katanya.

Sebelum ini, Jais menyerbu pejabat syarikat penerbitan buku kontroversi ‘Allah, Kebebasan dan Cinta’ karya pendukung lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), Irshad Manji.

Serbuan ke atas syarikat penerbitan ZI Publications milik Ezra Zaid di Jalan Tropicana 1, PJU 3 itu dilakukan empat pegawai dan 16 anggota penguat kuasa Jais.

Operasi itu dibuat mengikut Seksyen 16(1)(a) atau (b) Enakmen Jenayah Syariah Selangor berhubung “kesalahan penerbitan agama yang bertentangan dengan hukum syarak” mengikut waran geledah yang dikeluarkan Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam kelmarin.

Difahamkan, dalam serbuan itu, sebanyak 180 naskhah buku kontroversi itu dirampas dan kesemuanya siap dibungkus dipercayai untuk diedarkan.

Bagaimanapun destinasi pengedaran buku itu belum dipastikan.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Dr Rani: J/K Khas Sebagai Agen Kepada Jais

SHAH ALAM, 4 APR – Penubuhan jawatankuasa khas untuk mengkaji kekuatan dan kemampuan khas Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dalam menyelesaikan konflik umat Islam termasuk isu murtad disifatkan sebagai cara terbaik untuk menangani masalah itu secara efektif.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Meru, Dr Abdul Rani Osman berkata, jawatankuasa khas yang ditubuhkan oleh kerajaan negeri itu akan bertindak sebagai agen untuk memberi maklumat kepada Jais sebelum dipanjangkan kepada Majlis Agama Islam (Mais) sekiranya berlaku sebarang masalah akidah di kalangan umat Islam.

Beliau berkata, penubuhan jawatankuasa itu juga bukanlah kerana mempertikaikan kredibiliti Jais dalam menangani isu umat Islam di Selangor, sebaliknya ia bertujuan memberi penambahbaikan kepada jabatan itu untuk membela martabat Islam.

“Saya berpandangan bahawa jawatankuasa ini adalah sebagai satu jalinan kerjasama bersama Jais dan Mais memandangkan kes akidah di kalangan umat Islam sekarang bertambah serius.

Tidak hanya isu murtad, sebaliknya kes gejala sosial dan rasuah yang berlaku di kalangan masyarakat hari ini juga adalah disebabkan kurangnya pengetahuan atau pendedahan mengenai ajaran Islam.

Jawatankuasa ini dibentuk bukanlah kerana meragui Jais tidak boleh buat kerja, tetapi ia hanya sebagai agen untuk bersama-sama membantu menangani isu akidah Islam,” tegasnya.

Jawatankuasa ini akan dianggotai oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohamad Khusrin Munawi, Pengarah Jais, Datuk Marzuki Husin, Pengarah Penguatkuasa Jais, Mohd Rais Rashid, Adun Meru, Dr Abdul Rani Osman serta dibantu dua pegawai undang-undang dari Pejabat Penasihat Undang-undang Negeri Jais.

Menurut Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, anggota jawatankuasa yang dipilih ini bukan sahaja akan menilai kemampuan Jais, tetapi juga akan merangka mekanisma dan kaedah bagi memantapkan lagi peranan jabatan dalam mencari penyelesaian berkesan dan holistik.

Sementara itu, ketika ditanya tentang pendedahan video murtad oleh bekas Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali kelmarin, Dr Rani menegaskan, isu berkenaan seharusnya dipantau pihak berkuasa sejak dulu lagi memandangkan ia adalah perkara serius.

Jelasnya, isu murtad telah lama berlaku dan bukannya selepas Pakatan Rakyat mengambil alih pemertintahan di Selangor pada 2008 seperti yang didakwa.

“Isu ini sangat serius dan perlu diberi perhatian oleh semua pihak terutama umat Islam termasuk ahli PAS, Keadilan (PKR) dan Umno-Barisan Nasional (BN) sendiri.

Video yang ditunjukkan oleh Adun Gombak Setia (Hasan) itu dikatakan berlaku sekitar tahun 2002. Kenapa baru sekarang hendak didedahkan? Secara tak langsung, ia telah mempertikaikan tanggungjawab Hasan sebagai Exco Hal Ehwal Agama sebelum ini.

Saya berharap, mana-mana pihak yang mempunyai bukti mengenai isu murtad, tidak perlulah menunggu lama sebaliknya tampilkan bukti itu dengan segera kepada Mais, Jais atau pihak Kementerian. Jangan salahkan mana-mana pihak,” jelas beliau lagi.

 

 

 

 

 

 

Categories
SELANGOR

Banteras Pusat Hiburan Haram Secara Bersepadu

SHAH ALAM, 22 MAC : Operasi pemeriksaan pusat hiburan haram telah dilakukan beberapa kali mengikut keperluan dan juga merancang operasi secara berkala dengan kerjasama daripada agensi-agensi luar seperti Polis, JAIS dan Agensi Dadah Kebangsaaan.

“Operasi penguatkuasaan secara bersepadu merupakan salah satu kaedah terbaik dalam menangani masalah yang melibatkan pusat hiburan haram,”.

Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Adun Sementa, Abd Rahman Palil berkaitan kekerapan operasi membanteras pusat hiburan haram di Selangor.

Sehubungan itu, ahli Exco dan Adun digalakkan turun padang untuk menyertai operasi penguatkuasaan ke atas pusat hiburan haram yang terdapat di sekitar Selangor.

Akan tetapi, kuasa yang diberikan kepada PBT terhad untuk membanteras pusat hiburan haram kerana ianya perlu melibatkan kebenaran daripada TNB  untuk pemotongan elektrik dan sebagainya.

“Pemotongan air dan elektrik adalah tindakan yang berkesan tetapi pemotongan tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya kerana perlu melalui organisasi  tertentu seperti TNB dan lain-lain,” ujar Ronnie ketika menjawab soalan tambahan dari Abdul Rahman berkaitan pemotongan elektrik dan air di pusat hiburan haram.

Selain itu, Ronnie juga menyatakan ahli-ahli majlis PBT boleh menyertai operasi tetapi tidak diberikan kuasa kerana tidak mahu berlaku salah kuasa dikalangan ahli majlis.

Categories
SELANGOR

Amalan Minum Arak Dikalangan Umat Islam Berkurangan

SHAH ALAM, 22 MAC: Kesedaran umat Islam terhadap larangan sebarang urusan berkaitan minuman keras di Selangor telah meningkat sejak tahun 2008 selain daripada kerjasama pihak pengusaha yang menghormati kawasan perniagaan yang mojoritinya diduduki oleh orang Islam.

Menteri Besar yang juga Exco Agama Islam, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memaklumkan, pendekatan Self Regulatory (kawalan sendiri) oleh premis jualan  bagi kawalan penjualan arak terhadap orang Islam dilihat berkesan sehingga mampu mencetuskan beberapa program baru sebagai usaha dakwah terhadap masyarakat.

“Hasil daripada mekanisme ini, telah mencetuskan beberapa program yang telah disusun oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) bagi menyedarkan masyarakat Islam betapa bahayanya arak pada individu seperti Kempen Pencegahan Arak peringkat Negeri, Operasi Pusat hiburan dan lain-lain,” katanya.

Jelas Abdul Khalid, langkah ini diambil bukan untuk menyekat kuasa pihak Jais sebaliknya agensi berkenaan sentiasa memantau dan mengambil tindakan sekiranya terdapat dengan jelas penjualan arak yang melibatkan peniaga beragama Islam.

Sepanjang tahun 2011, bahagian Penguatkuasaan Jais telah mengambil tindakan terhadap 20 premis yang menjual arak  dan 28 kes yang telah ditahan di bawah kesalahan yang berkaitan dengan arak telah dibawa ke Bahagian Pendakwaan.

Sebelum ini, Pihak Berkuasa Tempatan juga mengetatkan undang-undang dari sudut perlesenan agar minuman keras tidak dijual di kawasan majoriti orang Islam terutamanya melibatkan premis serbaneka.

Categories
SELANGOR

SELCAT: Yayasan Perlu Hentikan Majlis Tidak Berkepentingan

SHAH ALAM 6 MAC: Jawatankuasa Keupayaan, Kebertanggungjawapan dan Ketelusan Selangor (SELCAT) menasihatkan Yayasan Selangor supaya mengamalkan perbelanjaan berhemah dan tidak menganjurkan program yang tidak mempunyai sebarang hubung kait dengan matlamat yayasan berkenaan.

Pengerusi SELCAT, Datuk Teng Chang Kim berkata, berdasarkan kesimpulan laporan perbelanjaan untuk empat majlis yang dilaksanakan Yayasan Selangor menelan belanja hampir RM1.4 juta.

Empat majlis yang dimaksudkan adalah Majlis Makan Perdana sempena Majlis Ulangtahun ke-40, Majlis Korban Perdana, Majlis Berbuka Puasa dan Majlis Sambutan Aidilfitri.

Katanya tindakan ini dianggap boros memandangkan terdapat banyak perbelanjaan tambahan dan melibatkan tander terhad.

“Program seperti majlis aidilfitri misalnya saya rasa boleh dibuat oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

“Kalau semata-mata untuk jabatan, kita mempunyai banyak jabatan dibawah kerajaan negeri. Ianya akan memakan belanja yang banyak,” katanya.

Perbelanjaan Majlis Makan Perdana sempena Majlis Ulangtahun ke-40 terdiri daripada empat perkara iaitu jamuan makan perdana (RM270,750), Pertandingan Memancing (RM179,000), Cenderamata (RM52,900) dan lain- lain perbelanjaan (RM396,370).

Untuk Majlis Berbuka Puasa, jumlah perbelanjaan bernilai RM167,400, Majlis Jamuan Aidilfitri sebanyak RM303,476 manakala Majlis Korban Perdana bernilai RM44,452.

Selain itu, penggunaan tander terhad juga seperti tidak relevan memandangkan syarikat yang dipanggil untuk memasuki tander dimaklumkan melalui panggilan telefon.

Dalam maklum balas oleh Pengurus Besar Yayasan Selangor, Ilham Marzuki berkata pihaknya telah melakukan perubahan yang besar berhubung segala perbelanjaan mulai 2011.

“Majlis Jamuan Hari Raya pada tahun lalu yayasan cuma memperuntukan RM1,000 sahaja.

Categories
NASIONAL

Murtad MAIS, JAIS Perlu Sahkan Dakwaan

SHAH ALAM, 22 FEB : Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) diminta mengesahkan dakwaan tentang wujudnya usaha-usaha memurtadkan umat Islam di negeri ini.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid berkata, gesaaan ini dibuat berikutan dakwaan daripada bekas Exco Selangor, Datuk Dr Hasan Ali dan kumpulan badan bukan kerajaan (NGO) yang cuba mewujudkan ketidakstabilan antara masyarakat Islam dan bukan Islam khusus di negeri ini.

Abdul Khalid yang juga Exco Agama Islam memaklumkan, kerajaan negeri juga akan berbincang dengan MAIS dan JAIS agar dakwaan tanpa bukti ini tidak dibiarkan berterusan.

Sebelum ini, Dr Hasan dalam menyatakan, kegiatan ini melibatkan tiga perkara iaitu
kitab injil berkuasa solar (solar-powered talking bible), mubaligh Kristian berpakaian jubah memasuki masjid dan minum serta mandi air suci.

“Apa yang jelas sekarang adalah dakwaan-dakwaan ini tidak disertakan dengan bukti yang kukuh tetapi telah mula mewujudkan rasa tidak selesa dalam kalangan masyarakat majmuk.

“Dakwaaan ini juga tidak konstruktif kerana ia semata-mata mahu melemahkan peranan MAIS dan JAIS dan akhirnya memberi kesan kepada apa yang telah dilakukan dengan baik dan bersungguh oleh DYMM Sultan Selangor selaku ketua agama Islam.

“Oleh yang demikian, adalah amat penting untuk JAIS dan MAIS menjalankan siasatan terperinci ke atas dakwaaan ini dan bertindak untuk keadilan bagi semua pihak,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, selama ini kerajaan negeri tidak menyekat mana-mana individu atau NGO dari bersuara tentang perkara ini walaupun ia tidak selari dengan pendirian kerajaan Pakatan Rakyat di mana mereka dibenarkan mengguna premis milik kerajaan negeri atau anak syarikat untuk kegiatan ceramah.

“Walaupun kerajaan negeri mengambil sikap terbuka, kita tidak akan menyokong penggunaan premis kita untuk sebarang aktiviti yang boleh memecah-belahkan masyarakat. Jika dakwaan yang dibuat boleh menimbulkan ketegangan, maka kita perlu fikirkan tindakan yang sesuai untuk menegakkan keadilan dan kebenaran untuk semua,” katanya.