Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Mula dapat permohonan sekat akaun bank suami gagal bayar nafkah

SHAH ALAM, 15 DIS: Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (Jakess) mula menerima permohonan bagi menyekat akaun bank suami dan bekas suami yang culas memberi nafkah.

Ketua Hakim Syarie Dato’ Mohammad Adib Husain berkata kurang daripada 10 permohonan diterima sejak arahan itu dikuat kuasa Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) bulan lalu.

Beliau berkata golongan isteri yang menghadapi masalah hadir ke mahkamah dan merujuk kepada Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) untuk urusan dokumen termasuk akaun bank suami.

“Kita berharap ini menyedarkan bapa atau waris supaya bertanggungjawab memberi nafkah walaupun selepas penceraian,” katanya pada Majlis Pelancaran Komuniti Sulh dan BSK di sini semalam.

Sementara itu, Mohammad Adib berkata lebih 2,000 permohonan bantuan diterima pihaknya berikutan kegagalan suami membayar nafkah, namun sekitar 300 sahaja diluluskan.

Sebelum ini, JKSM menegaskan suami atau bekas suami yang culas membayar nafkah bakal berdepan tindakan sekatan akaun bank.

Tindakan itu selaras pindaan Jadual 11 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013, Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 dan Akta Institusi Kewangan Pembangunan 2002 diluluskan dan diwartakan pada 10 Februari.

Pindaan pada perenggan lima jadual itu memasukkan pematuhan dan penzahiran maklumat bawah hiwalah, iaitu pemindahan hutang daripada penghakiman kepada institusi kewangan kepada pemiutang.

Selain itu, perenggan enam jadual sama berhubung penzahiran maklumat pemilik akaun di institusi kewangan melalui perintah mahkamah, tidak kurang daripada Mahkamah Sesyen turut diperluaskan kepada perintah dikeluarkan Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rayuan Syariah.

Berikutan pindaan itu, perintah hiwalah dikeluarkan mana-mana peringkat Mahkamah Syariah boleh dilaksanakan institusi kewangan berdasarkan kepada peruntukan undang-undang berkuat kuasa.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

PKP: Jakess jadual semula prosiding kes di mahkamah syariah

SHAH ALAM, 13 JAN: Prosiding semua kes yang ditetapkan di mahkamah syariah negeri pada 13 hingga 26 Januari dijadualkan semula susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa hari ini.

Unit Komunikasi Korporat Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (Jakess) berkata kes rayuan yang ditetap pendengarannya di hadapan panel hakim diteruskan seperti dijadual secara dalam talian.

“Urusan wakalah, afidavit, majlis sulh, perbicaraan, sebutan bagi kes mendesak atau kes yang mempunyai tempoh had masa boleh dibuat melalui sidang video dengan permohonan dan persetujuan bersama plaintif atau defendan.

“Manakala, perkhidmatan runding cara dilaksana secara dalam telefon,” katanya menerusi kenyataan semalam.

Jakess berkata perkhidmatan pendaftaran kes baharu tanpa janji temu di kaunter mahkamah terhad kepada pendaftaran kes mendesak sahaja.

Jelasnya, kes mendesak membabitkan keganasan rumah tangga, penderaan, pengesahan lafaz cerai di luar mahkamah, permohonan wali raja atau merekodkan persetujuan.

“Kes mendesak mempunyai tempoh had masa seperti pemfailan notis rayuan dan semakan. Manakala, perkhidmatan kaunter bagi urusan lain ditangguh kecuali pemfailan dokumen melibatkan tempoh masa iaitu Alasan Rayuan dan Rekod Rayuan.

“Semua janji temu yang dibuat melalui aplikasi Temujanji Perkhidmatan Jakess sepanjang tempoh PKP juga dibatalkan dan mereka perlu membuat janji temu baharu selepas tamat tempoh itu,” katanya.

Orang ramai boleh merujuk garis panduan operasi Jakess melalui laman sesawang http://www.jakess.gov.my.

Categories
AGENSI SELANGOR

Covid-19: Jakess seru pendengaran kes dalam talian

SHAH ALAM, 3 NOV: Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (Jakess) menyeru pihak yang mempunyai prosiding kes meneruskan pendengaran secara dalam talian susulan pandemik Covid-19.

Unit Komunikasi Korporat berkata langkah itu membolehkan lebih banyak kes dapat didengar setiap hari kerana mahkamah syariah tidak boleh menampung kehadiran fizikal terlalu ramai bagi mematuhi tatacara operasi piawai (SOP).

“Perkhidmatan dalam talian ditawarkan ialah wakalah, afidavit, majlis sulh, perbicaraan dan sebutan kes yang boleh dibuat melalui sidang video.

“Perkhidmatan ini boleh digunakan dengan mengemukakan permohonan kepada pendaftar dan mendapat persetujuan pihak terlibat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jakess menambah pihaknya mewujudkan beberapa perkhidmatan termasuk pendengaran kes secara dalam talian di Mahkamah Syariah Selangor sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa pada 18 Mac.

Bagaimanapun menurutnya, usaha itu kurang mendapat sambutan memandangkan pihak berkaitan lebih cenderung untuk hadir secara fizikal di mahkamah.

“Dalam situasi semasa Covid-19 di Selangor khususnya dalam tempoh PKPB, mahkamah tidak dapat beroperasi penuh berikutan keperluan mewujudkan penggiliran jadual bekerja selaras arahan kerajaan untuk mengurangkan kehadiran pegawai dan kakitangan di pejabat,” katanya.

Susulan itu, jabatan itu terpaksa membuat penjadualan semula kes yang sudah ditetapkan pendengarannya sepanjang tempoh PKPB.

Categories
AGENSI SELANGOR

Ibu pejabat Jabatan Kehakiman Syariah Selangor ditutup untuk nyahkuman

SHAH ALAM, 11 OKT: Bangunan ibu pejabat Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (Jakess) yang menempatkan mahkamah rendah, mahkamah tinggi dan mahkamah rayuan akan ditutup esok bagi kerja
nyahkuman.

Unit Komunikasi Korporatnya berkata proses sanitasi oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat sebagai langkah berjaga-jaga dalam menghadapi pandemik Covid-19.

“Langkah ini juga bagi menjaga keselamatan orang awam yang datang berurusan dan kakitangan yang bertugas di bangunan tersebut.

“Bangunan akan dibuka semula dan beroperasi sepenuhnya kepada orang awam dan peguam mulai 13 Oktober,” katanya dalam kenyataan.

Susulan penutupan itu, Jakess memaklumkan semua operasi dan perkhidmatan termasuk prosiding perbicaraan, sebutan kes, majlis sulh dan pendaftaran kes ditangguhkan.

Operasi lain turut ditangguhkan ialan wakalah peguam Syarie, pentadbiran afidavit dan janji temu pengambilan perintah bertulis.

“Mereka yang terlibat dengan penangguhan akan dihubungi mahkamah bagi penetapan tarikh baharu. Segala kesulitan yang timbul akibat penutupan ini amatlah dikesali,” kata jabatan itu.

Categories
AGENSI SELANGOR

Bicara dalam talian, tempoh singkat selesai kes

SHAH ALAM, 10 JUN: Mahkamah Rendah Syariah Petaling Selangor semalam berjaya menjalankan perbicaraan bagi kes tuntutan cerai dengan talak melalui sidang video.

Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (Jakess) memaklumkan prosiding membabitkan kehadiran plaintif dan peguam syarie secara fizikal di mahkamah manakala defendan yang berada di Amerika Syarikat secara dalam talian.

“Perbicaraan yang dikendalikan dalam dwi bahasa berjaya memudahkan penyelesaian kes di Mahkamah Syariah Selangor dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan.

“Ia juga berjaya memendekkan tempoh penyelesaian kes tersebut dan menjimatkan kos pihak terlibat,” kata Unit Komunikasi Korporatnya dalam kenyataan.

Jakess memaklumkan prosiding dibuat atas permohonan plaintif dan defendan dengan kebenaran hakim.

Kemudahan sidang video dibangunkan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia salah satu daripada normal baharu yang diperkenalkan Jakess bagi membantu kerajaan membendung wabak Covid-19.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Khidmat pemfailan, pendengaran kes dibuka sepenuhnya hari ini

SHAH ALAM, 10 JUN: Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (Jakess) membuka semula khidmat pemfailan dan pendengaran kes bermula hari ini dengan tatacara operasi piawai (SOP) ketat.

Agensi itu memaklumkan penjadualan semula prosiding akan dibuat bagi kes yang sudah didaftarkan sebelum ini bagi memastikan penjarakan sosial dikekalkan di mahkamah.

“Pelanggan boleh menyemak status melalui https://bit.ly/3aSJjj7 atau portal E-Syariah http://www.esyariah.gov.my.

“Bagi kes tiada dalam senarai semakan, pelanggan akan dimaklumkan tarikh tangguhan baharu melalui notis tangguhan secara bertulis atau khidmat pesanan ringkas,” katanya dalam kenyataan.

Jakess turut memaklumkan perkhidmatan membaca wakalah bagi lantikan peguam Syarie dan ikrar afidavit untuk kes diwakili peguam boleh dibuat melalui sidang video.

“Prosiding perbicaraan dan Majlis Sulh boleh dibuat tetapi atas permohonan dan persetujuan bertulis daripada plaintif atau pemohon serta defendan atau responden bagi kes tersebut.

“Perkhidmatan runding cara boleh dibuat secara dalam talian melalui panggilan telefon tanpa perlu hadir ke mahkamah,” katanya.

Perincian SOP dan garis panduan operasi Jakess sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan boleh dirujuk di laman sesawang www.jakess.gov.my

Operasi perkhidmatan kaunter Jakess seperti berikut:

A) Isnin hingga Khamis

Waktu operasi kaunter

Sesi 1 : (8 pagi – 1 petang)
Sesi 2 : (2 petang – 4.30 petang)
Waktu Rehat : (1 petang- 2 petang)
Waktu Pendaftaran & Pembayaran
Sesi 1 : (8 pagi –1 petang)
Sesi 2 : (2 petang – 3 petang)
Waktu Rehat : (1 petang- 2 petang)

B) Jumaat

Waktu operasi kaunter

Sesi 1 : (8 pagi –12.15 tengah hari)
Sesi 2 : (2.45 petang – 4.30 petang)
Waktu Rehat : (12.15 tengah hari – 2.45 petang)
Waktu Pendaftaran & Pembayaran
Sesi 1 : (8 pagi –11.30 pagi)
Sesi 2 : (2.45 petang – 3 petang)
Waktu Rehat : (12.15 tengah hari – 2.45 petang)

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Lebih 1,600 ibu tunggal mohon bantuan khas

SHAH ALAM, 14 APRIL: Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (Jakess) menerima 1,618 permohonan Dana Bantuan Nafkah Sokongan Keluarga Selangor daripada ibu tunggal yang terjejas susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) setakat ini.

Unit komunikasi korporat agensi itu memaklumkan, pihaknya menguruskan bantuan nafkah khas sebanyak RM100,000 melalui peruntukan Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga Selangor.

“Bantuan ini diberi kepada golongan berkaitan bagi meringankan beban kewangan mereka yang memfailkan kes tuntutan nafkah di Mahkamah Syariah sebelum PKP.

“Usaha mereka mendapatkan hak di mahkmah tergendala kerana kes tidak dapat diselesaikan oleh Mahkamah Syariah sehingga terpaksa menanggung beban ekonomi untuk menyara anak di bawah jagaan,” katanya kepada SelangorKini.

Pada 9 April lalu, Kerajaan Selangor mengumumkan bantuan nafkah khas kepada golongan ibu tunggal yang terkesan berikutan PKP.

Permohonan secara dalam talian boleh dibuat melalui https://bit.ly/34tA2f9 dan tarikh tutup pada esok.

Bantuan kendalian Jakess itu dimohon mengikut syarat berikut:

1. Ibu tunggal warganegara Malaysia beragama Islam
2. Pendapatan kurang RM2,500 atau tidak tetap dan terjejas akibat PKP
3. Tinggal di Selangor tidak kurang tiga tahun
4. Bercerai dan memiliki sijil cerai
5. Mempunyai anak berusia 18 tahun ke bawah atau tidak lebih 21 tahun
6. Sudah memfailkan tuntutan nafkah
7. Bukan penerima pendahuluan nafkah Seksyen Bahagian Sokongan Keluarga Jabatan Kehakiman Syariah negeri

Categories
AGENSI SELANGOR

CSR AKRAB-JAKESS erat hubungan bersama masyarakat

OLEH ALIFF HAIKAL

SHAH ALAM, 4 NOV: Seramai 60 orang pegawai dan kakitangan Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB) serta Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) menyertai Program Kembara & Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) AKRAB ke Port Dickson, hari ini.

Pengerusi AKRAB, Nenney Shuhaidah Shamsuddin berkata program itu bertujuan mendekatkan diri dengan masyarakat, sekali gus mempamerkan imej baik institusi awam.

“Pada edisi kedua ini, peserta terlibat terdiri daripada pegawai dan kakitangan dari peringkat tinggi hingga rendah.

“Selain daripada melakukan aktiviti amal kepada masyarakat, AKRAB juga berharap program ini dapat mengukuhkan hubungan sesama kakitangan,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian dan Pelepasan Konvoi Kembara & CSR AKRAB ke Port Dickson di perkarangan Bangunan Mahkamah Syariah Sultan Idris Shah, di sini.

Pada masa sama, Nenney berkata, program di Pusat Edu Ecotourism itu turut membabitkan 38 pelajar dan guru Pendidikan Khas Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Haji Abdul Samad, Port Dickson.

“Antara pengisian program ialah ‘treasure hunt’ dan sukaneka sebelum peserta dibawa melawat Muzium Tentera Port Dickson bagi mempelajari sejarah ketenteraan negara.

“Kita berharap program seperti ini dapat mengeratkan lagi hubungan sesama kakitangan dan institusi awam dengan masyarakat,” katanya.

Categories
SELANGOR

Kes PU Abu dan isteri dua prosedur berbeza

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 17 MEI: Konflik perceraian Pencetus Ummah (PU) Mohamad Abu Sufyan Mohd Mokhtar Rozaidi dan isterinya, Ain ‘Afini Latif adalah dua prosedur berbeza serta bukan sambungan perbicaraan bagi kes pada sesi pagi, kelmarin.

Unit Komunikasi Korporat Jabatan Kehakiman Syariah Selangor dalam kenyataan berkata, hal itu kerana terdapat beberapa kandungan laporan media tempatan tidak tepat dan bercanggah dengan fakta sebenar bagi pengendalian kes berkenaan.

“Adalah dimaklumkan bahawa perbicaraan kes pada sesi petang (Saman No.10003-054-0249-2019) bukanlah sambungan perbicaraan bagi kes pada sesi pagi (Kes Saman No. 10022-054-0310-2019).

“Ini kerana, Kes Saman No.10022-054-0310-2019 sudah selesai dibicarakan dan hakim yang membicarakan kes terbabit sudah “functusofficio” iaitu; hakim telah menyelesaikan fungsi atau melaksanakan tugas kehakimannya untuk mendengar kes tersebut melalui keputusan yang sudah dikeluarkan dan tidak boleh mendengar semula kes itu.

“Sebaliknya, perbicaraan kes pada sesi petang adalah satu perbicaraan kes baharu yang difailkan oleh pasangan suami isteri terbabit pada hari yang sama,” katanya.

Jabatan Kehakiman Syariah Selangor juga menegaskan pengendalian semua kes yang didaftarkan di Mahkamah Syariah Selangor sentiasa dilaksanakan selaras prosedur ditetapkan undang-undang dan hukum Syarak.

Terdahulu, Ain memfailkan kes sama di bawah seksyen 57 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Selangor) (EUKIS) 2003 membabitkan kes “Pendaftaran Perceraian di Luar Tanpa Kebenaran Mahkamah” terhadap PU Abu.

Manakala, pada tarikh sama, Ain turut memfailkan kes sama di bawah seksyen 61 EUKIS membabitkan “Pengesahan Rujuk” antara beliau dengan PU Abu yang pernah bercerai di Mahkamah Rendah Syariah Klang, pada 28 Januari lalu.

Kedua-dua kes itu dibicarakan serentak pada 15 Mei sekitar 10.57 pagi di hadapan Hakim 2 Mahkamah Rendah Syariah Klang, Mohd Nurulazhar Mohd Tohar.

Prosiding yang membabitkan kes itu sudah selesai sekitar 11.45 pagi, kelmarin dan pasangan suami isteri terus beredar meninggalkan premis mahkamah.

Namun, sekitar 12.30 tengah hari, Mahkamah Rendah Syariah Klang dihubungi Ain yang memaklumkan bahawa PU Abu terlupa untuk menyatakan kepada mahkamah berhubung kewujudan lafaz pada sekitar hujung Mac lalu yang berbunyi “Saya dan dia, isteri saya sudah bercerai”.

Oleh itu, mahkamah menasihatkan supaya Ain dan PU Abu hadir ke mahkamah serta menfailkan satu kes baharu bagi menentukan status lafaz talak terbabit.

Categories
SELANGOR

Seminar Undang-Undang Syariah beri pencerahan kepada masyarakat

OLEH SHEEDA FATHIL

BANGI, 10 NOV: Inisiatif Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) melaksanakan seminar Kefahaman Undang-Undang Syariah: Ketahui Hak Anda membantu masyarakat memahami perkara itu dengan lebih mendalam.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, langkah itu harus dipuji memandangkan undang-undang terbabit dikuat kuasa serta digunapakai Mahkamah Syariah Selangor.

“Saya percaya inisiatif ini satu transformasi baik sekali gus mengubah persepsi masyarakat berkenaan fungsi mahkamah yang selama ini dilihat hanya tertumpu pada pengendalian perbicaraan kes.

“Dengan cara ini, masyarakat berpeluang mengetahui dan memahami lebih tepat berkenaan hak, tanggungjawab serta perlindungan diberi undang-undang syariah kepada mereka terutama perkara membabitkan hal ehwal kekeluargaan Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program terbabit di Dewan Utama Demesne, Bangi, di sini.

Beliau juga optimis seminar itu mampu meningkatkan kesedaran dan kefahaman masyarakat Islam terhadap undang-undang syariah serta fungsi sebenar Mahkamah Syariah Selangor.

Pada masa sama, beliau juga menasihati segelintir masyarakat yang suka memberi aduan atau komen berbaur negatif terhadap Mahkamah Syariah untuk menghentikannya.

“Sebenarnya komen negatif itu disebabkan salah faham atau kurang pengetahuan dalam kalangan masyarakat berkenaan hak serta perlindungan diperuntukkan undang-undang.

“Justeru, saya percaya melalui seminar ini masyarakat diberi peluang dan mempunyai forum betul untuk mereka berinteraksi, malahan inisiatif itu dapat meningkatkan imej Mahkamah Syariah Selangor,” katanya.

Terdahulu, seramai 500 peserta menghadiri seminar berkenaan terdiri daripada peguam, penjawat awam, orang awam, guru, imam dan nazir masjid daerah Hulu Langat.

Antara pengisian seminar diadakan ialah tiga slot ceramah daripada Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Selangor, Noor Huda Roslan; Hakim Mahkamah Rendah Syariah Selangor, Shukran Yusof dan Pendakwa Syarie, Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan, Muhammad Hisyam Zakaria.

Manakala, antara slot dibincangkan adalah Pembubaran Perkahwinan Menurut Undang-Undang Keluarga Islam; Merungkai Konflik Gantung Tak Bertali dan Hak Selepas Perceraian.

Categories
SELANGOR

Kembara sambil beramal pupuk semangat bekerjasama

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 22 MAC: Seramai 34 pegawai dan kakitangan Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB), Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) serta Kelab Pembangunan Kecemerlangan Jabatan (KPKJ) menyertai program Kembara Amal ke Sungai Klah, Sungkai Perak, hari ini.

Pengerusi AKRAB, Nenney Shuhaidah Shamsuddin berkata, program julung kali diadakan itu adalah inisiatif bersama pihak berkenaan bagi memupuk semangat kerjasama dalam menjaga keselamatan ahli kembara selain memperkukuhkan ukhwah pengurusan di pelbagai peringkat lapisan kerja.

Katanya, ia dilihat sebagai satu inisiatif yang amat baik bagi menyuntik semangat baru kepada peserta memandangkan kembara amal dijalankan kali ini melibatkan program di luar jabatan, dan sekali gus memberi ruang menimba pengalaman baru.

“Pengisian program selama sehari ini akan melibatkan kegiatan tanggungjawab sosial korporat yang mana mereka akan bersama-sama turun bergotong-royong membantu melaksanakan program khidmat kemasyarakatan.

“Disamping itu, mereka turut jalankan kerja-kerja pembersihan di sekitar Masjid Jamek Felda Sungkai dan mengenali lebih rapat dengan komuniti di sana,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas Majlis Pelepasan Program Kembara Amal ke Sungai Klah, di Perkarangan Jabatan Kehakiman Syariah Selangor Bangunan Mahkamah Syariah Sultan Idris Shah, di sini, pagi ini.

Pada masa sama, Nenney berkata, pelaksanaan program juga memberi peluang kepada peserta untuk memperbaiki ibadat solat supaya lebih teratur dan sempurna menerusi program solat tahsin.

“Kesempatan ini harus direbut peserta yang tidak berkesempatan menyertai program solat tahsin yang dianjurkan sebelum ini.

“Justeru, kita optimis dalam memastikan penganjuran sulung ini berhasil selari dengan hasrat untuk mempromosikan jabatan sebagai sebuah Institusi Kehakiman Syariah yang berdiri teguh di Selangor.

“Kita berharap dengan aktiviti sedemikian membolehkan imej dan reputasi jabatan kehakiman terus dipertingkatkan serta menguar-uarkan kepada masyarakat luar tentang kepelbagaian fungsi yang kita jalankan,” katanya.

=EZY=

Categories
AGAMA SELANGOR

KPJ serah 20 kerusi roda kepada JAKESS mudahkan OKU berurusan

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 25 NOV: Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) menerima sumbangan 20 kerusi roda daripada empat pusat perubatan Kumpulan Perubatan Johor (KPJ).

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Jawatankuasa Adat Melayu dan Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi, berkata, empat KPJ terbabit adalah KPJ Shah Alam, KPJ Damansara, KPJ Klang dan KPJ Ampang.

“Ini adalah satu usaha tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang wajar dicontohi badan korporat lain dalam menyantuni golongan kelainan upaya (OKU)dan juga warga emas yang memerlukan kemudahan tersebut dalam melakukan urusan mereka termasuk di Mahkamah Syariah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran MCK Dan Penyerahan Sumbangan Kerusi Roda Bagi Kegunaan Orang kelainan Upaya di Mahkamah Syariah Selangor di sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Hakim Syarie Selangor, Yang Amat Arif Mohd Adib Hussain, berkata kerusi roda itu akan diagihkan kepada ibu pejabat dan semua Mahkamah Rendah Syariah.

“Diharap semua penerima sumbangan ini menjaga kemudahan diberikan dengan baik bagi memastikan objektif meningkatkan lagi kualiti penyampaian dan perkhidmatan kepada seluruh masyarakat Selangor tercapai,” katanya.

Sebelum itu, pada majlis sama Yang Amat Arif Mohd Adib menerima sumbangan kerusi roda daripada wakil-wakil KPJ Klang, KPJ Shah Alam, KPJ Ampang Puteri dan KPJ Damansara sambil disaksikan Ahmad Yunus.

=EZY=