Categories
AGENDA NASIONAL

Guru Kafa ambil cuti bersalin dapat elaun penuh mulai 1 Januari

KUALA LUMPUR, 12 FEB: Kemudahan cuti bersalin dengan elaun penuh selama 60 hari diberi kepada guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) berkuat kuasa 1 Januari lalu.

Ketua Unit Komunikasi Korporat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Zakaria Othman berkata kemudahan itu akan diberi sekali sahaja sepanjang tempoh kontrak lantikan semasa yang sedang berkuat kuasa.

Beliau berkata kemudahan itu diberi selaras dengan penambahbaikan Peraturan KAFA Tahun 2022 yang memasukkan perkara berkaitan cuti bersalin berelaun selama 60 hari.

“Sehubungan itu, Jakim telah memaklumkan perkara ini kepada semua agensi pelaksana KAFA di negeri-negeri melalui surat siaran bertarikh 9 Feb 2022,” menurutnya dalam kenyataan malam tadi.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pandangan industri penting tambah baik, perkemas SOP halal – menteri

PUTRAJAYA, 25 JAN: Kerajaan akan mendapatkan ulasan dan pandangan pihak berkepentingan termasuk pemain industri dan kedutaan asing untuk menambah baik prosedur pengiktirafan badan pensijilan halal luar negara, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Beliau berkata kerajaan mahu mendengar dan mengambil kira pandangan pihak berkepentingan sebelum menggariskan tatacara operasi piawai (SOP) yang bersesuaian untuk pengiktirafan pensijilan halal dari luar negara.

“Ini adalah usaha untuk memperkukuhkan pensijilan halal Malaysia, dengan memperkemas prosedur pengiktirafan badan pensijilan halal luar negara,” katanya dalam sidang media secara dalam talian hari ini selepas menyampaikan amanat sempena perhimpunan agensi di bawah jabatannya secara dalam talian.

Beliau difahamkan prosedur itu akan dimasukkan ke portal www.halal.gov.my untuk dibuka bagi ulasan awam pihak berkepentingan.

Dalam usaha mendalami isu berkaitan dengan pensijilan halal, Zulkifli berkata pihaknya juga sudah turun padang melawat beberapa kilang dan tempat penyimpanan daging di negara ini.

“Maklum balas yang kita terima sangat positif dan mereka menunjukkan komitmen dalam memastikan bekalan yang diperoleh adalah daripada sumber halal,” katanya.

Dalam pada itu, Zulkifli berkata Majlis Halal Malaysia (MHM) akan diaktifkan semula setelah beberapa perbincangan diadakan dengan pelbagai agensi berkaitan isu kartel daging import haram dan pertemuan bersama pengimport dan pengedar daging serta produk daging pada bulan ini.

Apabila diaktifkan semula, majlis itu akan turut dianggotai kementerian lain, badan profesional dan pakar dalam bidang halal, yang akan berfungsi untuk memantau dasar dan arahan yang dilaksanakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) perihal halal, katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Jakim: Vaksin Covid-19 selaras tuntutan cegah penyakit, mudarat

KUALA LUMPUR, 19 JAN: Vaksin Covid-19 selaras dengan tuntutan syarak dari aspek mencegah penyakit selain membantu memastikan seseorang individu yang mengambilnya tidak memudaratkan orang lain.

Pegawai penyelidik di pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Fahmi Rusli berkata, justeru pengambilan vaksin adalah perlu bagi golongan yang diwajibkan oleh pemerintah seperti petugas barisan hadapan dan mereka yang berisiko tinggi termasuk warga emas.

“Pengambilan vaksin Covid-19 bagi mencegah penyakit adalah sama konsepnya dengan pengambilan suntikan yang diberikan kepada bayi bagi mencegah jangkitan pelbagai penyakit seperti polio dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu dalam segmen Tanya Jakim bertajuk ‘Ada Apa Dengan Vaksin Covid-19 yang disiarkan secara langsung di akaun Facebook rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini.

Gambar menunjukkan botol vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech di Hospital Emile Muller, Mulhouse, Perancis pada 8 Januari 2021. Foto AFP

Fahmi berkata langkah untuk mencegah penyakit adalah perkara yang dituntut Islam dan berdasarkan hadis Nabi Muhammad SAW: ‘Barangsiapa yang makan tujuh biji kurma ajwa setiap pagi maka pada hari itu dia akan terpelihara daripada racun dan sihir’.

Beliau berkata Islam menggalakkan umatnya untuk mencegah penyakit atau mendapatkan rawatan lebih awal sebelum seseorang itu mendapat penyakit.

Oleh itu, Fahmi berkata tindakan tidak mengambil vaksin Covid-19 boleh menyebabkan seseorang itu membawa risiko kepada orang lain dan ini adalah bercanggah dengan ajaran Islam yang mengajar umatnya untuk tidak membawa kemudaratan.

Sebelum ini Bernama melaporkan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam bulan lepas mengambil ketetapan bahawa hukum penggunaan vaksin Covid-19 adalah harus dan ia wajib diambil oleh golongan yang ditetapkan kerajaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dipetik sebagai berkata ketetapan itu telah disembah maklum kepada Majlis Raja-Raja.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan pakej bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) Isnin lepas memaklumkan bekalan vaksin pertama dijangka diterima negara pada penghujung Februari ini dengan kumpulan pertama penerima vaksin pada awal Mac.

Program vaksinasi Covid-19 akan berjalan secara berperingkat sehinggalah tempoh keseluruhannya selama 12 bulan dan hampir 27 juta atau lebih 80 peratus penduduk Malaysia dijangka menerima vaksin Covid-19 menjelang suku pertama tahun depan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Jakim sedia pelan tindakan tangani isu daging seludup

PUTRAJAYA, 29 DIS: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah menyediakan pelan tindakan khusus untuk menangani isu daging seludup yang tidak berlogo dan diiktiraf, bagi memastikan kegiatan itu tidak berlaku di negara ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jakim Datuk Abdul Aziz Jusoh berkata pihaknya akan mengadakan satu perbincangan dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) pada 5 Januari ini bagi menjayakan pelan berkenaan.

Menurutnya fokus perbincangan bertujuan menyelaras tindakan berdasarkan bidang kuasa masing-masing, langkah-langkah yang perlu diambil bagi menangani isu ini, serta Pelan Tindakan Bersepadu berhubung pengimportan dan produk daging.

Beliau berkata pelan tindakan itu akan turut menyentuh isu-isu atau masalah yang dihadapi oleh pengimport dan pengedar, serta memberi penjelasan mengenai keperluan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) pengimportan dan pengedaran.

“Selain itu, perbincangan meja bulat juga akan diadakan antara pengimport dan pengedar daging serta produk daging, dengan KPDNHEP, Maqis dan JKDM pada 11 Januari,” menurutnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

“Jakim juga menggalakkan permohonan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) melalui skim Logistik (Pergudangan) dan mensyaratkan pemegang sijil mendapatkan bekalan daging dari pengimport atau pengedar yang telah dipersijilkan halal di bawah skim logistik (pergudangan),” menurutnya.

Menerusi pelan tindakan itu juga, Abdul Aziz berkata Jakim akan mempromosikan Badan Pensijilan dan Logo Halal Luar Negara yang diiktirafnya, dan menurutnya sehingga hari ini, 84 badan pensijilan halal luar negara di 46 buah negara telah diiktiraf.

“Dengan ini, pengguna boleh mengenal pasti logo-logo halal luar negara yang diiktiraf Jakim pada label bungkusan produk import yang dijual di pasaran; dan pengimport mudah mengenal pasti produk yang ingin diimport masuk ke Malaysia bagi mengelak kerugian dan keraguan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata lawatan ke rumah sembelihan dan pusat pengumpulan daging import akan terus dipergiatkan bagi memastikan isu daging haram tidak berterusan.

”SOP terbaru dengan penambahbaikan sedia ada akan dimuktamadkan pada Januari depan,” katanya dan menambah pihaknya berharap industri daging import dan tempatan sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Jakim akan keluarkan senarai pengimport daging berlesen

KUALA LUMPUR, 28 DIS: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan mengeluarkan senarai pengimport daging yang diberikan lesen untuk memasarkan daging di negara ini, bagi mengurangkan kebimbangan orang ramai berhubung isu halal.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata perbincangan lanjut bersama pihak Bahagian Pengurusan Halal Jakim turut diadakan bagi menyelesaikan isu itu.

“Saya juga difahamkan, lesen kebenaran menjual daging turut melibatkan kementerian lain, justeru kami akan mengadakan kerjasama lebih erat dengan kementerian yang terlibat.

“Saya akan cakna isu ini dan meninjau sebarang bentuk permasalahan yang ada kaitan dengan logo halal Jakim, sekiranya ada mana-mana kelemahan, kita akan kemas kini,” katanya kepada pemberita di Dewan Negara hari ini.

Sebelum ini media melaporkan taktik kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari luar negara sebelum membungkus semula daging berkenaan dengan menggunakan logo halal dan menjualnya di pasaran seluruh Malaysia.

Beliau berkata pihaknya akan terus berkolaborasi dengan pihak-pihak lain yang berkaitan bagi memastikan masyarakat mendapat produk daging import yang 100 peratus halal.

Sementara itu, beliau turut memuji tindakan pengeluar makanan proses Ramly Food Prosessing Sdn Bhd (RFPSB) yang mengesahkan tiada pembabitan orang tengah dalam urusan import daging dan bahan mentah daripada syarikat itu.

“Saya ucapkan syabas kepada Ramly Burger kerana kenyataan seperti itu akan hilangkan keraguan dan kerisauan orang ramai yang membeli produk syarikat berkenaan.

“Mana-mana penjual daging juga digalakkan menghebahkan kenyataan sama bagi memastikan setiap rakyat terutamanya umat Islam mendapat bekalan makanan yang halal dan bersih,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Isu seludup daging luar bidang kuasa Jakim

KUALA LUMPUR, 28 DIS: Isu penyeludupan daging yang hangat diperkatakan sekarang adalah di luar bidang kuasa dan tanggungjawab Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), kata Pengarah Kanan Bahagian Penyelidikan Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee.

Beliau berkata, peranan pasukan Jakim adalah memeriksa sama ada sesebuah rumah penyembelihan di luar negara, mematuhi hukum syarak dari aspek proses penyembelihan sehinggalah daging itu dibungkus dan dimasukkan ke dalam kotak dalam keadaan bebas cemar.

“Permit mengimport daging dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis). Apabila produk itu sampai ke pintu masuk negara, Jabatan Kastam Diraja Malaysia akan melihat dari segi cukai. Selepas produk daging itu berada di gudang di dalam negara ia adalah tertakluk di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP),” kata Sirajuddin.

Beliau berkata demikian dalam segmen khas ‘Tanya Jakim bertajuk SOP Sijil Halal: Di Mana Silapnya?’ yang disiarkan secara dalam talian di akaun laman sosial Facebook Jakim hari ini.

Sirajuddin berkata Jakim menyedari banyak pihak mempersoalkan jabatan itu, apabila tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung isu penyeludupan daging import, yang didedahkan media baru-baru ini dan tidak mendedahkan senarai nama syarikat atau jenama yang terlibat.

Menjawab persoalan itu, beliau berkata pihak berkuasa seperti KPDNHEP sedang menjalankan siasatan mengenai perkara tersebut dan akan mendedahkan hasilnya apabila siasatan kes berkenaan selesai.

“Biarlah siasatan dijalankan dengan cara terbaik tanpa gangguan. Berikan ruang agensi yang berkaitan untuk menyiasat. Maklum balas (Jakim) akan menimbulkan suasana tidak baik, kalau (Jakim) keluarkan kenyataan akan menjejaskan siasatan,” katanya.

Sejak isu tersebut timbul, banyak pihak mempersoalkan Jakim kerana mereka menganggap agensi itu bertanggungjawab sepenuhnya dalam proses membawa masuk daging dari luar negara.

Ditanya sama ada benar atau tidak aktiviti penyeludupan daging itu sudah 40 tahun berlaku, beliau berkata perkara itu tidak dapat disahkan atau dinafikannya, kerana ia merupakan dakwaan dari pihak industri dan bukannya agensi atau badan penguat kuasa.

Isu daging seludup menjadi hangat apabila media melaporkan mengenai kegiatan kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina, sebelum membungkus semula daging berkenaan menggunakan logo halal di sebuah gudang di Senai, Johor.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Ketua Pengarah Jakim meninggal dunia, kebumi di Kuang

SHAH ALAM, 8 OKT: Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Paimuzi Yahya meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh kira-kira jam 1 tengah hari tadi.

Unit Komunikasi Korporat Jakim dalam kenyataan berkata, Allahyarham Paimuzi, 59, meninggal dunia akibat komplikasi jantung dan paru-paru.

“Jenazah akan dibawa pulang ke rumah beliau di Kuang, Selangor untuk urusan pengebumian pada petang ini.

“Semoga roh al-marhum dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama golongan yang beriman. Al-fatihah,” kata kenyataan itu.

Dalam kenyataan dimaklumkan allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kuang.

“Tentatif solat Jenazah dijangka selepas asar di Masjid Kuang kerana menunggu keluarga dari Terengganu.

“Kepada rakan-rakan dan kenalan yang ingin ziarah dan solat jenazah boleh tunggu di Masjid Kuang dan patuhi tatacara operasi piawai (SOP),” katanya.

Semalam, Jakim dalam kenyataan media berkata Paimuzi bebas daripada Covid-19.

Menurut Jakim, Paimuzi menjalani pemeriksaan saringan Covid-19 pada 6 Oktober lalu di Hospital Sungai Buloh dan keputusannya negatif.

Categories
AGAMA AGENDA NASIONAL

Penyebaran ajaran sesat terkawal, bantu golongan tersasar – menteri

SEPANG, 22 SEPT: Penyebaran fahaman yang bercanggah dengan ajaran Islam di Malaysia masih terkawal, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Meskipun demikian, katanya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sentiasa peka dan prihatin kepada golongan yang didapati menyimpang daripada ajaran Islam dan berusaha membantu mereka kembali ke landasan yang betul.

“Saya lihat dalam isu ini (ajaran sesat) lebih kepada amat terkawal, kecuali sengaja seseorang itu tersilap langkah dan memilih cara yang tidak tepat dan perlu kita sedarkan mereka,” katanya mengulas laporan penahanan ‘Rasul Melayu’ yang dikatakan kembali aktif menyebarkan ajaran yang diharamkan pada 1991 bersama pengikutnya di tiga lokasi di Selangor pada Ahad lepas.

Lelaki yang mendakwa dirinya ‘Rasul Melayu’ itu pernah dihukum penjara 10 tahun, didenda RM16,500 dan enam sebatan bersabit kes penyebaran ajaran sesat oleh Mahkamah Tinggi Syariah Selangor pada Oktober 2009.

Dalam sidang media selepas perasmian Multaqa Jawatankuasa Fatwa Seluruh Malaysia di sini hari ini oleh Sultan Perak Sultan Nazrin Shah, Zulkifli berkata Jakim akan bekerjasama dengan pihak berkuasa agama negeri bagi membendung penularan dan perkembangan ajaran sesat seperti ‘Rasul Melayu’ secara komprehensif.

Menurut Zulkifli, beliau pernah bertemu dengan lelaki yang mendakwa ‘Rasul Melayu itu di Penjara Kajang dan lelaki berkenaan menyatakan sudah bertaubat.

“Bila orang menyatakan sudah bertaubat maka kita terima. Sementelah sampai di Selangor dia sendiri buat istitabah (pengakuan untuk bertaubat),” katanya.

Bagaimanapun katanya susulan perkembangan terbaharu itu, pihaknya akan memberi perhatian khusus terhadap perkara berkenaan dan mengambil langkah yang sewajarnya.

Zulkifli berkata pihaknya juga akan melihat keperluan untuk menyediakan makalah atau buku khusus mengenai ajaran sesat untuk diedarkan kepada imam dan guru takmir yang dilantik pihak berkuasa agama supaya mereka dapat menyampaikan tentang bahayanya ajaran sesat kepada masyarakat.

Mengenai Multaqa Jawatankuasa Fatwa Seluruh Malaysia selama tiga hari yang bermula semalam, Zulkifli berkata mesyuarat itu menjadi platform untuk para mufti bertukar-tukar pandangan bersama barisan ahli jawatankuasa fatwa dalam pelbagai isu, antaranya penerangan berkenaan tadbir urus kefatwaan semasa dan peranan jawatankuasa fatwa dalam menyelaras fatwa antara negeri.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Perintah kawalan: 35,000 guru Kafa terima elaun penuh

SHAH ALAM, 21 MAC: Seramai 35,000 guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) tetap menerima elaun RM1,000 bulan ini, walaupun tiada sesi pembelajaran sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Hakiman Mohd Yusoff berkata keputusan itu bagi membantu guru yang terjejas susulan perintah yang berkuat kuasa dari 18 hingga 31 Mac ini.

“Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri bersetuju melaksanakan pembayaran penuh selari hasrat kempen Musaadah Covid-19 bagi membantu mereka yang terjejas dengan isu berkenaan,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Semalam, Jakim turut mengumumkan 4,000 guru takmir masjid lantikan jabatan itu di seluruh negara menerima elaun penuh sepanjang perintah berkenaan.

Malaysia setakat ini melaporkan 1,030 kes positif Covid-19 dengan tiga kematian.

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Tilawah al-Quran peringkat antarabangsa tangguh

PUTRAJAYA, 15 MAC: Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran (MTHQA) Peringkat Antarabangsa Tahun 1441H dijadualkan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 6 hingga 11 April ini ditangguhkan ke tarikh dimaklumkan kelak.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Paimuzi Yahya dalam kenyataan berkata langkah itu diambil susulan keputusan kerajaan agar semua perhimpunan termasuk acara melibatkan penyertaan dalam dan luar negara ditangguhkan berikutan Covid-19.

Jakim adalah urus setia MTHQA yang merupakan acara tahunan negara sejak 61 tahun lepas, katanya.

Setiap tahun acara itu disertai oleh lebih 60 negara dari seluruh dunia bagi memperdengarkan bacaan dan hafazan ayat-ayat suci al-Quran al-Karim.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

JAKIM: Waktu subuh lewat lapan minit babit seluruh negara

KUALA LUMPUR, 29 NOV: Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) ke-116 memutuskan perubahan waktu solat subuh yang dilewatkan lapan minit membabitkan seluruh negara.

Mesyuarat yang bersidang pada 20 dan 21 November itu memutuskan permulaan waktu solat subuh di negara ini menggunakan parameter altitud matahari pada 18° di bawah ufuk yang menyebabkan perubahan waktu solat berkenaan.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Mohamad Nordin Ibrahim berkata keputusan itu berdasarkan penyelidikan komprehensif selama setahun jabatan berkenaan bersama beberapa pakar.

Katanya ia membabitkan Universiti Malaya, Universiti Sultan Zainal Abidin dan Universiti Teknologi Mara dalam menentukan hukum nilai altitud matahari di bawah ufuk bagi penentuan awal waktu solat subuh di negara ini.

“Hasil penyelidikan itu turut dibentangkan kepada Mesyuarat Jawatankuasa Penyelidikan dan Pengurusan Fatwa (JPPF) pada 17 September lalu dan Muzakarah Falak Peringkat Kebangsaan pada 17 hingga 19 September.

“Ia membabitkan panel pakar falak, pensyarah universiti, pegawai falak seluruh negara dan persatuan serta individu dalam bidang falak.

“Dari segi prosedur dan proses di peringkat Persekutuan, JAKIM sebagai urusetia MKI dan Jawatankuasa Muzakarah MKI akan mengangkat semua keputusan oleh Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah MKI untuk makluman Mesyuarat MKI yang dipengerusikan Perdana Menteri yang ahlinya adalah Menteri Besar dan Ketua Menteri,” katanya dalam kenyataan.

Mohamad Nordin berkata penyelidikan itu akan disembah maklum untuk perkenan Majlis Raja-Raja selaras peruntukan bahawa hal ehwal Islam adalah di bawah bidang kuasa negeri.

Katanya walaupun penyelarasan dalam pelaksanaan keputusan itu perlu dibuat di seluruh negara, namun kata putus adalah tertakluk kepada setiap negeri.

Categories
AGENDA NASIONAL

Audit dalaman isu rasuah pegawai JAKIM dijangka siap Disember

BANGI, 27 NOV: Laporan audit dalaman Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) berhubung dakwaan pegawainya meminta bayaran dalam urusan mendapatkan sijil halal, dijangka siap bulan hadapan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.

“Kita mahu laporan itu secepat mungkin untuk mengambil tindakan selanjutnya jika benar-benar terdapat pegawai Jakim terlibat,” katanya sambil menambah audit itu tidak sukar jika portal yang mendakwa kegiatan berkenaan menyertakan nama pegawai terlibat.

Sebuah portal pada 10 Oktober lalu dalam artikel bertajuk ‘Krisis Halal Malaysia’ mendakwa kakitangan JAKIM mempunyai isu seperti integriti dalam urusan mendapatkan Sijil Halal Malaysia. Antaranya ia mendakwa pegawai Jakim meminta bayaran RM50,000 bagi tujuan pendaftaran premis memproses daging halal.

Mujahid berkata Ketua Pengarah Jakim Datuk Mohamad Nordin Ibrahim juga menulis surat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi meminta suruhanjaya itu membuat siasatan terhadap jabatan berkenaan.

“Ini bagi memastikan audit ini dibuat satu penilaian yang lebih bebas dan saya telah minta SPRM masuk untuk buat siasatan. Setakat ini belum ada maklum balas daripada SPRM,” kata Mujahid kepada pemberita pada majlis prapelancaran Kampus Pusat Bertauliah Halal, di sini hari ini.

Mengenai Kampus Pusat Bertauliah Halal, menurut kenyataan JAKIM, ia adalah projek hasil kolaborasi berkonsepkan inisiatif dana swasta yang bertujuan melahirkan tenaga mahir dalam industri halal bermula dari peringkat lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hingga peringkat profesional.

Pusat itu yang dibina di atas tanah seluas 2.4 hektar di sini, dijangka siap sepenuhnya pada Julai tahun hadapan dan akan dilengkapi dengan peralatan berteknologi tinggi termasuk dari Eropah dan Jepun.

-BERNAMA