Categories
AGENDA NASIONAL

Kerja baiki paip pecah selesai, bekalan air 13 kawasan di KL mula disalur

KUALA LUMPUR, 10 NOV: Kerja-kerja kecemasan bagi pembaikan paip pecah di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) telah siap dilaksanakan pada 12.30 tengah malam tadi.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam kenyataan memaklumkan bekalan air mula disalurkan secara berperingkat pada 4.30 pagi ini kepada pengguna di 13 kawasan terjejas di sini setelah paras kolam air agihan distabilkan dan kualiti air mematuhi piawaian Kementerian Kesihatan (KKM).

“Bekalan air dijangka pulih sepenuhnya pada 12.30 tengah malam esok (11 Nov),” katanya dalam kenyataan itu.

13 kawasan yang sebelum ini mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual ialah Taman Muda, Taman Bukit Permai, Taman Bukit Pandan, Kampung Cheras Baru, Taman Mawar, Taman Seraya, Taman Mega, Taman Bukit Teratai, Taman Melur, Taman Saga, Taman Putra, Pandan Mewah dan Taman Mestika.

Air Selangor berkata tempoh pemulihan bekalan air di kawasan terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air.

“Air Selangor terus menggerakkan bantuan bekalan air melalui lori-lori tangki ke kawasan terjejas dengan keutamaan diberikan kepada premis kritikal seperti hospital, pusat dialisis dan upacara pengebumian.

“Pengguna diharap dapat mematuhi penjarakan fizikal dan sentiasa memakai pelitup muka semasa mengambil bekalan air daripada lori-lori tangki ini,” menurut kenyataan itu.

Pengguna boleh merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Air Selangor di talian 15300 untuk mendapatkan maklumat berhubung insiden itu dari semasa ke semasa.

Sebarang pertanyaan dan aduan boleh diajukan di Help Centre di laman web www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kesesakan teruk di MRR2 akibat paip pecah

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 30 MAC: Kesesakan teruk hampir lima kilometer di laluan Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dari arah Ulu Klang ke Ampang akibat kejadian paip pecah berhampiran Dataran Ukay, pagi ini.

Memetik laporan Kosmo Online, Jurucakap Pusat Pengurusan Pengangkutan Bersepadu (ITIS), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur berkata, paip pecah itu menjadi punca tiga lorong laluan MRR2 berhampiran Dataran Ukay ditenggelami air.

Paip berkenaan dipercayai pecah di tapak pembinaan Lebuh Raya Sungai Besi-Ulu Klang (SUKE), kira-kira jam 5 pagi tadi.

Ia turut menyebabkan lorong kiri laluan berkenaan terpaksa ditutup kepada lalu lintas.

Sehingga 9.30 pagi tadi, laluan berkenaan masih dipenuhi air dan kebanyakan pengguna terpaksa meredah air yang bertakung.