Categories
AGENDA NASIONAL

EXCO: Kontraktor perlu tingkat kecekapan senggara jalan, beri pengguna selesa

SHAH ALAM, 13 DIS: Kontraktor di negeri ini akan dibantu untuk melengkapkan pengetahuan teknologi terkini bagi meningkatkan kecekapan penyelenggaraan jalan raya, kata EXCO infrastruktur.

Ir Izham Hashim berkata perkembangan teknologi boleh dimanfaatkan untuk memastikan keadaan jalan raya di negeri ini pada tahap terbaik dan memberi keselesaan kepada pengguna.

“Seperti contoh dalam era Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) penggunaan robotik mungkin boleh dipertimbang bagi memantau keadaan jalan raya.

“Kerajaan Negeri akan bantu tingkatkan kecekapan mereka dengan mengadakan kursus,” katanya selepas merasmikan seminar pembangunan kontraktor jalan raya di sini, hari ini.

Izham berkata, selain aspek teknikal kursus kepada kontraktor turut membabitkan aspek pembangunan sahsiah dan integriti bagi memastikan kelancaran penyelenggaraan.

“Ini usaha Kerajaan Negeri untuk memberi tambah nilai dan kecekapan kepada kontraktor,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Hampir RM250 juta tingkat prasarana jalan raya

SHAH ALAM, 26 NOV: Jabatan Kerja Raya menerima peruntukan berjumlah RM138.13 juta bagi merapatkan jurang pembangunan antara daerah melalui peningkatan jaringan jalan raya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata jumlah diluluskan itu meliputi kos pelaksanaan semua projek jalan raya pada tahun depan.

Jelas beliau, Kerajaan Negeri turut membelanja RM44 juta bagi menampung kos pembinaan jalan baharu di Gombak, Sepang dan Kuala Langat yang menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi sekitar.

“Bagi memastikan jalan sedia ada dapat menampung aliran trafik serta dapat mengatasi kesesakan, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM65.4 juta bagi tujuan itu. Ia termasuk cadangan naik taraf jalan tertentu.

“Sejumlah RM2 juta turut diluluskan bagi kerja pewartaan jalan seluruh daerah negeri ini secara berperingkat,” katanya ketika membentangkan Belanjawan #Selangor 2022 pada sidang Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Beliau berkata Selangor bakal memperluaskan penggunaan sistem pintar aset jalan raya yang dilengkapi perisian sistem maklumat geografi (geographic information system) bagi mengatasi masalah jalan berlubang, garisan pudar atau kerosakan lain dengan lebih pantas.

Sistem dalam talian itu dikendalikan anak syarikat Kerajaan Negeri, Selgem Sdn Bhd dan kos pembiayaan ditanggung Kumpulan Semesta.

“Bagi meneruskan projek pembinaan dua jambatan iaitu di Kampung Sungai Kundang, Gombak dan Kampung Sungai Buah, Sepang sebanyak RM8.23 juta diperuntukkan.

“Untuk memastikan infrastruktur sedia ada dalam keadaan selamat, kos melibatkan RM4.98 juta akan dibelanja bagi kerja membina dan menaik taraf bangunan termasuk membaik pulih istana di negeri,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Skuter elektrik dilarang di jalan raya mulai 1 Jan 2021 – polis

KUALA LUMPUR, 12 DIS: Bermula 1 Januari depan, penggunaan skuter elektrik di atas jalan raya atau kawasan selain yang digazetkan di ibu negara adalah dilarang dan tindakan undang-undang di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 boleh dikenakan terhadap individu ingkar.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur ACP Zulkefly Yahya berkata penggunaan skuter elektrik hanya dibenarkan di tempat yang digazetkan seperti di taman-taman permainan, kawasan penjalan kaki dan kawasan sekitar pusat beli-belah di ibu negara.

“Penunggang skuter elektrik tidak dibenarkan untuk menggunakannya di atas jalan raya kerana ia menganggu pengguna jalan raya yang lain, boleh mendatangkan bahaya atau terlibat kemalangan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Katanya, pihaknya menerima banyak aduan daripada orang awam mengenai tindakan penunggang skuter elektrik yang menunggang di atas jalan raya di ibu negara.

“Setakat ini, polis telah mengenal pasti tiga kawasan aktif penggunaan skuter berkenaan di ibu negara, iaitu di sekitar Dataran Merdeka, KLCC dan Bukit Bintang.

“Pihak polis sedang memantau orang ramai yang bermain skuter itu di atas jalan raya dan setakat ini, kami tidak mengambil tindakan dan hanya menasihatkan dahulu sebelum tindakan mula dikenakan pada 1 Januari depan,” katanya.

Katanya, penunggang skuter elektrik perlu memohon lesen kebenaran khas daripada Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), jika mahu menggunakan skuter berkenaan di atas jalan raya.

Zulkefly berkata, setelah dikuatkuasakan, individu yang didapati bersalah boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 54 APJ 1987 dengan kesalahan pertama didenda sebanyak RM300 dan kesalahan kedua, boleh didenda sebanyak RM1,000 atau penjara tiga bulan.

Penggunaan skuter elektrik mula diperkenalkan pada Mei lepas dan kini menjadi semakin popular dalam kalangan masyarakat kerana ia memudahkan pergerakan khususnya mereka yang berjalan kaki dan menaiki pengangkutan awam.

Kenderaan skuter elektrik tergolong di bawah takrifan Kenderaan Mikromobiliti. Di bawah pindaan terbaharu APJ (Oktober 2020) Seksyen 2 (b) takrifan bagi kenderaan mikromobiliti bermaksud, ‘mana-mana kenderaan yang dipacu oleh sumber elektrik, enjin pembakaran dalam atau kuasa manusia atau gabungan sumber elektrik, enjin pembakaran dalam atau kuasa manusia dan mempunyai kelajuan maksimum 50km sejam.

Terdahulu, Zulkefly mengetuai operasi khas pasukan (JSPT) Kuala Lumpur memberi kempen advokasi dan mendidik penunggang skuter elektrik di tiga lokasi di ibu kota.

-BERNAMA

Categories
ADN SELANGOR

Lori, treler punca jalan Pelabuhan Klang rosak

SHAH ALAM, 24 JUN: Lambakan kenderaan berat yang berulang alik ke Pelabuhan Klang setiap hari menyebabkan jalan raya di kawasan sekitar rosak teruk.

Ahli Dewan Negerinya Azmizam Zaman Huri berkata terdapat 363 syarikat kontena beroperasi di kawasan industri dan membabitkan pengangkutan berat.

“Lori dan treler banyak digunakan serta melalui jalan utama menyebabkan lubang, tidak rata dan beralun. Lebih memburukkan keadaan apabila hujan, tar rosak hingga mengundang bahaya,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Jelas Azmizam tindakan syarikat utiliti yang mengganti dan membaiki paip serta kabel elektrik turut menyebabkan jalan raya rosak.

Beliau berkata meskipun RM50 juta diperuntukkan bagi membaiki jalan di situ, namun tidak mencukupi untuk menampung kerosakan.

“Setiap jalan diuruskan pihak berbeza, jadi peruntukan dikeluarkan juga berbeza. Kerajaan perlu fikir langkah jangka panjang antaranya buat jalan simen seperti di Lebuh Raya Utara Selatan untuk pastikan jalan tidak rosak,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Empat sekeluarga maut kemalangan di Sungai Siput

SUNGAI SIPUT, 14 FEB: Polis mengesahkan hanya empat yang maut termasuk seorang bayi lelaki dalam perlanggaran melibatkan kereta dan treler di Km37, Jalan Ipoh-Kuala Kangsar, dekat Kampung Salak Stesyen, di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput Supt Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata mangsa yang maut ialah anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Siput, Lans Koperal Mohamad Faiz Bakhri, 28, isterinya Nik Iedayu Nik Hassan, 30, dan bayi lelaki mereka Mohamad Faqih Irsyad berusia 16 bulan.

Turut maut adik Nik Iedayu iaitu Nik Ifieka, 28, manakala seorang lagi anak pasangan tersebut Mohamad Fariz Iskandar, 3, cedera parah dan dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, di Ipoh.

“Kesemua mangsa yang maut telah dibawa ke Hospital Sungai Siput untuk dibedah siasat,” katanya ketika ditemui di hospital berkenaan di sini, awal pagi ini. Terdahulu, bomba melaporkan lima maut dalam kemalangan itu.

Menurutnya, dalam kemalangan kira-kira 10.20 malam itu, sebuah treler muatan bahan binaan yang dalam perjalanan dari Ipoh ke Kuala Kangsar telah terbabas sebelum memasuki jalan bertentangan di lokasi kejadian.

“Kereta Proton Saga BLM yang dinaiki semua mangsa tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian tepi treler sebelum dihempap muatan kenderaan berat itu,” katanya.

Menurutnya, dipercayai semasa kejadian Mohamad Faiz dan keluarga dalam perjalanan pulang ke rumah selepas keluar makan di gerai yang terletak kira-kira 500 meter dari lokasi.

Mohd Khaizam berkata kesemua jenazah akan dibawa di Kota Bharu, Kelantan untuk dikebumikan, manakala pemandu treler yang berumur 26 tahun ditahan untuk siasatan.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Siput Jeffery Abdullah berkata 10 anggota bersama dua jentera termasuk Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan daripada orang awam pada kira-kira 10.25 malam.

“Setibanya di lokasi kejadian terdapat tiga mangsa tersepit dalam kenderaan tersebut, manakala dua lagi telah dibawa keluar oleh orang awam.

“Seorang daripada yang tersepit ialah kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun. Dia ditemukan dalam keadaan sedar dan terperosok di bawah papan pemuka (dashboard), ” katanya sambil menambah operasi masih diteruskan untuk mengalih treler yang melintang menutupi jalan menuju ke Ipoh.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Penunggang motosikal masih enggan manfaat laluan khas di lebuh raya

SHAH ALAM, 9 JAN: Walaupun pelbagai peringatan diuar-uarkan pasukan keselamatan termasuk tindakan saman supaya penunggang motosikal menggunakan laluan khas kenderaan itu di beberapa lebuh raya di Lembah Klang, namun ia dilihat umpama ‘mencurah air ke daun keladi’.

Tinjauan Bernama di Lebuhraya Persekutuan mendapati walaupun kebanyakan penunggang motosikal patuh dan memanfaatkan laluan khas disediakan kerajaan dan syarikat konsesi lebuh raya, namun masih banyak yang sanggup mempertaruhkan nyawa dengan menggunakan jalan utama.

Keadaan sama juga berlaku di Lebuhraya Shah Alam (Kesas) dan Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE) dengan penunggang motosikal dilihat selesa menggunakan jalan utama tanpa menghiraukan risiko tatkala bersaing dengan kenderaan berat.

Sudah masuk tahun baharu 2020, namun sikap penunggang motosikal yang masih degil itu tidak asing dalam kalangan pengguna lebuh raya malah menjadi rutin kepada golongan berkenaan yang bukan sahaja berani ‘mencelah’ di antara kereta tetapi juga lori.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Supt Azman Shari’at berkata pelbagai alasan sering diberikan oleh penunggang motosikal setiap kali penguatkuasaan dilakukan di lebuh raya terbabit.

“Ada penunggang sengaja tidak mahu menggunakan laluan khas motosikal dengan alasan seperti mahu cepat sampai, jalan motosikal melambatkan pergerakan dan permukaan jalan (motosikal) yang rosak.

“Penguatkuasaan memang ada dan mana-mana penunggang motosikal yang ditahan kerana menggunakan jalan utama, mereka akan disaman. Setakat ini, hanya saman saja boleh dikenakan terhadap golongan ‘degil’ itu,” katanya kepada Bernama.

Azman berkata walaupun polis perlu menguatkuasakan undang-undang, namun pihaknya perlu mengambil kira keselamatan anggota apabila terpaksa ‘mencelah’ di antara kenderaan bergerak yang dilihat sangat berbahaya.

Berikutan kemalangan maut membabitkan motosikal lebih tinggi berbanding kenderaan lain, Azman menasihatkan pengguna jenis kenderaan itu supaya sentiasa mematuhi undang-undang, berhemah ketika di jalan raya dan sentiasa menggunakan laluan khas.

Justeru itu, katanya, mana-mana pihak digalakkan mengemukakan cadangan yang lebih berkesan supaya undang-undang sedia ada dapat dipinda untuk memastikan penunggang motosikal sentiasa menggunakan laluan khas kenderaan tersebut.

“Jika ada cadangan (daripada mana-mana pihak) yang boleh menangani masalah penunggang motosikal (tidak mematuhi peraturan untuk menggunakan laluan khas), kami bersedia untuk menelitinya kerana buat masa ini polis hanya menguatkuasakan undang-undang sedia ada (saman),” katanya.

BERNAMA

Categories
NASIONAL

SPAD tingkat penguatkuasaan sempena Tahun Baharu Cina

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 16 FEB: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) mengeluarkan pekeliling memberi peringatan kepada pengusaha bas ekspres di seluruh negara supaya mengambil serius berhubung isu keselamatan penumpang dan pengguna jalan raya lain ketika sambutan Tahun Baharu Cina.

Memetik laporan BERNAMA, SPAD berkata, pihaknya mengambil serius isu berkenaan dan akan menguatkuasakan undang-undang secara maksimum kepada pengusaha bas yang didapati cuai dalam mengurus operasi masing-masing daripada aspek keselamatan, pengurusan pemandu dan penyelenggaraan kenderaan.

“Bergantung pada tahap serius kesalahan yang dilakukan, syarikat bas menghadapi risiko lesen mereka digantung atau dibatalkan,” kata SPAD dalam kenyataan.

Malah, SPAD turut meluluskan permohonan Lesen Perubahan Sementara (LPS) dari 108 syarikat bas dengan tambahan lagi 313 bas, maka ia untuk memastikan jumlah bas mencukupi sempena musim perayaan.

Menurut kenyataan itu, SPAD berganding bahu dengan polis, Jabatan Pengangkutan Jalan, Agensi Antidadah Kebangsaan dan agensi penguatkuasaan lebuh raya sebagai sebahagian daripada langkah penguatkuasaan bersepadu selama 17 hari, sehingga 25 Februari ini.

Categories
SELANGOR

LAPORAN KHAS: Sistem wang tahanan elak kontraktor culas

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 18 FEB: Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) disaran melaksanakan sistem wang tahanan bagi kontraktor yang menurap jalan.

Adun Semenyih, Datuk Johan Abdul Aziz berkata, langkah itu bagi memastikan kualiti jalan mengikut spesifikasi ditetapkan dan tahan dalam tempoh jaminan.

_MG_0171“Contohnya kita boleh tahan dalam lima peratus daripada jumlah keseluruhan kontrak dan selepas tempoh katakan setahun tamat maka lunaskan baki itu.

“Dengan pelaksanaan ini, kontraktor pasti akan mempamerkan hasil kerja berkualiti dan memenuhi spesifikasi ditetapkan,” katanya kepada Selangor Kini.

Beliau berkata, masalah jalan tidak berkualiti dan kembali rosak selepas kurang sebulan diturap banyak berlaku di kawasannya termasuk di Pekan Semenyih.

Adun Kuang, Abdul Shukor Idrus pula menyarankan Kerajaan Negeri menubuhkan pasukan teknikal khas menilai peruntukan setiap kontrak.

abdul-shukor-idrus“Ini penting memandangkan Kerajaan Negeri memilih konsep tender terendah jadi penilaian perlu dibuat.

“Tengok dulu sama ada peruntukan itu walaupun terendah, adakah bersesuaian dengan kerja yang hendak dilakukan.

“Kita tidak mahu harga rendah tapi tiada kualiti seterusnya membazirkan wang rakyat,” katanya.

Beliau berkata, keadaan turapan jalan kurang memuaskan turut berlaku di kawasannya termasuk jalan utama Kuang ke kawasan sekitar.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Pengguna jalan raya saran guna bahan berkualiti, tahan lama

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 15 OKT: Kerajaan Selangor disaran memastikan kontraktor yang dilantik bagi kerja membaiki jalan di seluruh negeri itu menggunakan bahan binaan yang berkualiti.

Walaupun penggunaan bahan berkualiti bakal menelan kos membaik pulih lebih tinggi tetapi mampu menjamin ketahanan jalan raya lebih lama berbanding penggunaan bahan binaan tidak berkualiti dan murah.

Ahli Perniagaan, Yusfadlisha Mohd Yusop, 34, berkata, Kerajaan Negeri juga perlu menjalankan pemeriksaan terhadap faktor penyebab kerosakan berulang walaupun selepas jalan di sesuatu lokasi dibaiki sebelum kerja menurap semula dijalankan.

pc2“Ada ‘spot-spot’ di Shah Alam ini apabila dibaiki atau ditampal semula akan rosak balik dan disebabkan itu Kerajaan Negeri harus ambil inisiatif periksa semula keadaan tanah, lokasi, bentuk muka bumi dan pengairan supaya sekali buat, selesai. Tak payah nak dua, tiga kali tampal.

“Jalan raya harus ditampal dengan kualiti yang bagus supaya walaupun peruntukannya tinggi tetapi boleh tahan lama dan berbaloi untuk jangka masa panjang,” kata Yusfadlisha dalam satu tinjauan pendapat yang dibuat Selangor Kini, di sini, hari ini.

Beliau turut mencadangkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor supaya bertindak segera menampal lopak besar yang wujud akibat hakisan berpunca daripada hujan lebat kerana membahayakan penunggang motosikal.

Yusfadlisha juga menyarankan Exco, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Majlis lebih kerap menggunakan jalan biasa berbanding lebuh raya bagi memudahkan mereka mengenal pasti lokasi jalan yang rosak.

Antara jalan yang perlu diberi perhatian termasuk berhampiran projek perumahan sekitar Seksyen 13, Shah Alam yang dipercayai menjadi laluan keluar masuk lori dan sekitar Alam Megah, Klang.

pc3Akaun Eksekutif, Halisa Harun, 43, berkata PBT di Selangor perlu memantau jalan berhampiran kawasan pembinaan kerana sering terdapat kerosakan yang disebabkan lori muatan berlebihan dan hakisan air lumpur dari kawasan terbabit.

“Keadaan jalan di Shah Alam, terutama kawasan keluar masuk lori di Seksyen 13 semakin teruk dengan jalan berlubang, longkang besar tak ada, air tanah mengalir atas jalan.

“Selain itu, kawasan perindustrian juga sama. Kerajaan Negeri juga kena mengecat semula garisan jalan yang sudah pudar kerana tidak jelas kelihatan boleh mengundang bahaya memandu pada waktu malam,” katanya.

pc1Graduan Universiti Sains Pengurusan (MSU), Muaz Roslan, 22, pula berpendapat walaupun keadaan jalan raya di Shah Alam secara umumnya dianggap memuaskan tetapi masih terdapat kerosakan yang harus diperbaiki.

“Di Shah Alam secara umumnya memuaskan. Ada banyak laluan yang sering saya guna sebelum ini berlopak tetapi kini sudah ditampal tetapi masih ada lagi masih berlopak.

“Adakah sebab tak buat kerja atau apa, saya tak tahu. Apapun ini menyusahkan pengguna jalan raya terutama pengguna motorsikal,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Golongan muda ramai maut di jalan raya rugikan negara

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 12 OKT: Program The Long Short Walk 2014 peringkat Selangor dianjurkan ke arah merealisasikan semangat kerjasama berasaskan penyertaan pelbagai golongan komuniti ke arah memupuk dan meningkatkan kesedaran berhubung keselamatan jalan raya.

Fokus utama kempen adalah terhadap golongan belia kerana berdasarkan statistik Polis, pengguna jalan raya di peringkat umur 16 hingga 20 tahun adalah kategori pengguna jalan raya paling banyak maut akibat kemalangan jalan raya diikuti peringkat umur 21 hingga 25 tahun.

pelajar“Kedua-dua kumpulan umur ini menyumbang kepada satu pertiga daripada jumlah kematian jalan raya. Hakikat kebanyakan kemalangan jalan raya membabitkan golongan muda menyedihkan.

“Sekiranya hal ini dibiarkan berlarutan, pastinya negara akan kekurangan tenaga kerja dan intelek dalam usaha menuju ke arah negara berpendapat tinggi menjelang 2020 kelak,” kata Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Amin Ahmad Ahya dalam ucapan perasmian program berkenaan di sini,semalam.

Beliau mewakili Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohamed Khusrin Munawi dalam majlis dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Keselmatan Jalan Raya, Datuk Dr Tam Weng Wah dan Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Jaafar Atan.

Majlis Penyerahan Lesen Motorsikal kepada 30 pelajar terpilih dari tiga daerah, Gombak, Kuala Langat dan Hulu Selangor juga diadakan di mana separuh dari kos memiliki lesen ditaja Majlis Keselamtan Jalan Raya (MKJR) Selangor.

Jumlah keseluruhan pelajar yang dibantu adalah seramai 150 orang iaitu 50 orang dari setiap tiga daerah berkenaan.

Berdasarkan statistik diterima dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, kematian akibat kemalangan jalan raya menunjukkan penurunan daripada 1,102 pada 2012 kepada 1,019 pada tahun lalu iaitu sebanyak 83 kematian atau 7.53 peratus.

Mengikut statistik bagi Ogos lalu sebanyak 87 kematian berbanding 99 kes bagi bulan sama tahun lalu di mana terdapat penurunan kes kematian sebanyak 12 kes atau penurunan sebanyak 12.1 peratus.

The Long Short Walk adalah program tahunan anjuran MKJR Selangor dan JKJR Selangor.

EZY

Categories
SELANGOR

JKRJ: Tingkat waspada di jalan raya pada musim perayaan

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 26 JAN : Seramai 100 peserta konvoi motorsikal berkuasa tinggi berganding bahu menyertai Kempen Keselamatan Jalan Raya bagi memberi khidmat nasihat kepada pengguna sempena sambutan Tahun Baru Cina yang bakal menjelang.

Kempen yang melibatkan ahli 1M4Road Safety ini tertumpu kepada pengguna jalan raya yang berhenti rehat di hentian terpilih antaranya Petronas Lebuh Raya Baru Lembah Klang (NKVE) Damansara, R&R Dengkil arah Selatan dan R&R Dengkil arah Utara.

IMG_1836aPengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Selangor, Nor Laily Zakaria, berkata kempen ini bertujuan menyeru para pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati dan mematuhi peraturan had laju untuk mengelakkan risiko kemalangan.

Ini kerana katanya bilangan kenderaan yang berada di jalan raya semasa musim perayaan selalunya meningkat dua kali ganda berbanding waktu biasa.

“Peningkatan kepadatan trafik sebegini sudah pasti akan mengundang pelbagai karenah dan sikap pemandu yang boleh meningkatkan risiko berlakunya kemalangan di jalan raya.

“Dengan cara ini mereka akan rasa lebih didekati dan diharapkan nasihat serta perkongsian tips mengenai keselamatan jalan raya sesama mereka mampu memberi kesan yang positif,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata tindakan mematuhi undang-undang trafik dan bertolak ansur setiap masa ketika berada di jalan raya akan menyenangkan pengguna serta mengelakkan kecuaian.

Katanya program intervensi keselamatan jalan raya berkenaan akan dilaksanakan secara berkala pada setiap musim perayaan sepanjang tahun ini.

“Pengguna perlu mengubah minda, sikap dan berfikiran positif bahawa peraturan dibuat adalah untuk kebaikan mereka dan bukan untuk menyusahkan,” katanya lagi.

Kempen yang turut mendapat kerjasama daripada Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Selangor itu dirasmikan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di tempat letak kereta PN1, Stadium Shah Alam, di sini.

EZY

Categories
SELANGOR

MB jamin proses baiki jalan tidak lambat, amal tender terbuka

Oleh Afeeqa Afeera

SHAH ALAM 9 DIS: Amalan tender terbuka antara punca kelewatan proses pembaikan jalan raya pada 2011 tetapi Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memberi jaminan ia tidak akan berulang lagi.

Malah, beliau berkata kerajaan negeri sudah menggunakan hampir 80 peratus jumlah peruntukan dalam Sistem Maklumat Rekod Jalanraya Malaysia (Marris) sejak tahun 2012.

“Pada 2011, kita atur langkah supaya proses pembaikian jalan raya dilakukan secara tertib. Sebab itu ada kelewatan sedikit.

“Tetapi untuk tahun seterusnya sejak 2012, kita pastikan perkara itu tidak berlaku lagi.

“Malah setiap tahun kita guna peruntukan Marris sebanyak 80 peratus,” katanya ketika mengulas pendedahan Laporan Ketua Audit Negara baru-baru ini berhubung isu jalan raya di Selangor.

IMG_7897Laporan Audit minggu lalu mendedahkan kerajaan negeri menggunakan RM640.24 juta daripada RM1.14 bilion yang diperuntuk kerajaan Pusat untuk membaiki jalan raya.

Sebelum ini, Kerajaan Selangor memperkenal dan mengguna pakai garis panduan baru dalam penggunaan peruntukan Marris bermula 2012 selepas mendapati garis panduan lama terdedah kepada salah guna kuasa dan ketirisan.

Kerajaan negeri kemudian membuat garis panduan ketat bagi memastikan penggunaan peruntukan Marris digunakan dengan betul, berkesan dan menepati keperluan rakyat Selangor.

Abdul Khalid berkata, garis panduan baru ini melibatkan banyak agensi dan peringkat selain melibatkan proses tender terbuka hingga menyebabkan kelewatan membelanjakan wang Marris.

-EZY FZL