Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih RM180 juta diperuntuk baiki jalan, cerun rosak akibat banjir

DENGKIL, 17 JAN: Kementerian Kerja Raya (KKR) menyediakan peruntukan segera berjumlah RM187.87 juta bagi kerja pembaikan kritikal di 303 lokasi jalan raya dan cerun yang terjejas akibat banjir, kata Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM133 juta diperuntukkan untuk pembaikan cerun di 181 lokasi dikenal pasti, manakala bakinya bagi membaik pulih jalan raya.

“Kerja-kerja pembaikan kritikal telah dimulakan. Kita mahu sekurang-kurangnya jalan terjejas boleh dibuka untuk satu lorong dan mestilah boleh dilalui.

“Itu sasaran peringkat awal hingga kita dapat peruntukan sepenuhnya dan bakinya boleh disiapkan,” katanya ketika ditemui media selepas meninjau pembukaan Jambatan Dengkil di FT31 (Jalan Banting-Semenyih) Seksyen 20.80 hari ini.

Dalam pada itu, Fadillah berkata kira-kira 80 peratus atau 943 daripada 994 lokasi jalan raya terkesan banjir di seluruh negara dibersihkan, dan bakinya kini dalam tindakan Jabatan Kerja Raya negeri masing-masing.

“Kerja baik pulih akan terus digiatkan dalam usaha pemulihan infra pasca banjir KKR,” katanya.

Mengenai proses pembaikan Jambatan Dengkil, Fadillah berkata sebanyak RM800,000 diperuntukkan untuk membaiki jambatan yang ditutup sejak 17 Dis, ekoran hakisan dan runtuh akibat banjir.

Menurutnya, proses pembaikan jambatan itu berjaya disiapkan lebih awal oleh Roadcare (M) Sdn Bhd berbanding sasaran asal iaitu siap pada akhir bulan ini.

“Alhamdulilah, pembaikan jambatan telah dapat disiapkan awal dan ia kini dibuka untuk laluan orang ramai,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

EXCO: Guna dron, alat pengesan pantau jalan rosak

SHAH ALAM, 13 DIS: Penggunaan dron dan sensor antara kaedah untuk mengesan kerosakan jalan di bawah Sistem Pengurusan Aset Jalan Raya Selangor (SRAMS) bagi memastikan penyelenggaraan mencapai piawaian.

EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim berkata sistem digunakan anak syarikat Kerajaan Negeri, Kumpulan Semesta Sdn Bhd itu membolehkan maklumat kerosakan seperti lubang, tarikh pembaikan dan tempoh luput dikenal pasti untuk tindakan susulan.

Menurutnya, kos penyelenggaraan mencecah sehingga RM1 bilion setahun memerlukan Kerajaan Negeri mempunyai data tepat untuk memastikan setiap kerja dilaksana menepati piawaian dan jalan lebih tahan lama.

“Jadi kita guna teknologi terkini seperti dron dan sensor untuk memantau manakala kontraktor pula wajib masukkan data di perisian setiap kali buat penyelenggaraan.

“Kita beri tumpuan ini supaya orang ramai dapat menggunakan jalan raya yang baik apabila kerja semakin cekap,” katanya selepas merasmikan seminar pembangunan kontraktor jalan raya di sini, hari ini.

Izham berkata, setakat ini sistem berkenaan hanya digunakan untuk memantau jalan negeri diselia Jabatan Kerja Raya (JKR) dan akan diperluaskan ke laluan lain pada masa depan.

“Apabila audit jalan negeri siap dan sistemnya lebih mantap, kita akan laksana pula di jalan-jalan lain contohnya yang diselia oleh pihak berkuasa tempatan,” katanya.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Jalan rosak, laluan Hulu Yam Lama-Hulu Yam Bharu ditutup sementara

SHAH ALAM, 20 SEPT: Laluan B57 yang menghubungkan Hulu Yam Lama dan Hulu Yam Bharu ditutup sementara susulan kerosakan jalan akibat tanah runtuh pada Sabtu.

Penyelaras DUN Batang Kali Saifuddin Shafii berkata ketika ini hanya motosikal dan basikal dibenar menggunakan laluan itu namun dalam jumlah terhad.

“Sabtu lalu hujan lebat. Air Sungai Hulu Kelang deras menyebabkan tebing jalan runtuh hingga memaksa Jabatan Kerja Raya menutup jalan bagi mengelakkan kejadian buruk.

“Jadi orang ramai boleh menggunakan laluan Antara Gapi atau pekan Batang Kali.

Penutupan jalan ini dijangka satu hingga dua bulan namun bergantung kepada situasi semasa” katanya kepada SelangorKini.

Saifuddin berkata ketika ini separuh daripada laluan terbabit mengalami kerosakan teruk dan membahayakan pengguna jalan.

“Ramai ikut jalan ini untuk ke air terjun. Sekarang laluan tidak lagi boleh menampung dan kita tidak mahu keseluruhan rosak hingga terputus hubungan kerana menyukarkan kerja pembaikan,” katanya.

Terdahulu beliau memuat naik video kerosakan jalan terbabit di Twitter selain meminta orang awam menggunakan laluan alternatif.

Categories
AGENDA NASIONAL

JKR terima 267 aduan jalan rosak akibat banjir

GUA MUSANG, 9 JAN: Jabatan Kerja Raya (JKR) menerima sebanyak 267 laporan berhubung kerosakan jalan raya, jambatan, cerun runtuh dan jalan mendap membabitkan enam negeri yang dilanda banjir.

Ketua Pengarah JKR Datuk Mohamad Zulkefly Sulaiman berkata negeri terbabit ialah Kelantan, Johor, Pahang, Perak, Terengganu dan Selangor.

Beliau berkata antara kerosakan dilaporkan membabitkan 141 jalan, 58 cerun runtuh, lapan jalan mendap dan tiga jambatan rosak.

“Kita sudah mengarahkan semua JKR negeri terbabit supaya memantau keadaan itu supaya tidak membahayakan pengguna,” katanya kepada pemberita selepas meninjau kerosakan jalan di Lojing, di sini hari ini.

Terdahulu, beliau mendengar taklimat disampaikan pemangku Pengarah JKR Kelantan Mohd Suhaili Ismail berhubung kejadian tanah runtuh pada Ahad lepas yang menyebabkan Jalan Gua Musang-Lojing di KM92 rosak, dipenuhi bongkah batu, kayu dan lumpur.

Kerosakan sepanjang hampir dua kilometer menyebabkan jalan berkenaan ditutup kepada semua kenderaan dan hanya dibuka satu lorong sejak petang semalam, selepas kerja pembersihan dijalankan.

Mohamad Zulkefly berkata kajian akan dijalankan bagi mengetahui jumlah sebenar untuk kerja membaik pulih kerosakan jalan terbabit.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Putrajaya diseru proaktif baiki jalan rosak seluruh negara

SHAH ALAM, 30 DIS: Kerajaan Persekutuan diseru lebih proaktif membaik pulih dan menyelenggara jalan rosak di seluruh negara, kata Ahli Dewan Negeri Banting.

Lau Weng San berkata lebih memburukkan keadaan apabila Selangor mempunyai jaringan jalan raya terbanyak dan merekodkan kadar kegunaan dan kerosakan tertinggi dalam negara.

“Saya dan rakan-rakan sudah banyak kali membangkitkan isu kerosakan jalan, baik di dalam sidang Dewan Negeri Selangor mahupun mesyuarat Jawatankuasa Infrastruktur Majlis Perbandaran Kuala Langat.

“Justeru itu saya tidak bercadang mengkritik Jabatan Kerja Raya Kuala Langat kerana ‘tangan’ mereka terikat dengan kesuntukan peruntukan. Kementerian Kewangan sebenarnya harus memikul sebahagian besar tanggungjawab kerana mereka yang membuat keputusan akhir,” katanya dalam kenyataan.

Weng San turut terkejut dengan insiden kemalangan yang menimpa Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin pada 27 Disember lalu.

“Jalan yang digunakan menteri itu merupakan antara jalan negeri yang tersibuk kerana menghubungkan Sri Cheeding dengan Banting. Malah ia turut menjadi jalan pintas Banting dengan Bandar Rimbayu serta Kota Kemuning.

“Jalan ini juga merupakan laluan kesukaan ramai pengayuh basikal pada hujung minggu dan cuti awam kerana kedudukannya yang strategik dan berdekatan dengan Lembah Klang dan Shah Alam,” katanya.

Categories
EXCO SELANGOR

EXCO cadang jalan persekutuan diwarta bawah Kerajaan Negeri

SHAH ALAM, 14 JULAI: EXCO infrastruktur dan kemudahan awam mencadangkan supaya jalan persekutuan di negeri ini diwartakan di bawah Kerajaan Negeri bagi memudahkan kerja penyelenggaraan.

Ir Izham Hashim berkata cadangan itu dikemukakan apabila Selangor terpaksa berdepan rungutan rakyat mengenai jalan persekutuan yang kerap rosak.

“Kita tidak ada hak atau peruntukan untuk membaik pulih jalan persekutuan ini.

“Tetapi, jika ia diwartakan pada Kerajaan Negeri, kerja baik pulih akan mendapat peruntukan di bawah Sistem Maklumat Rekod Jalanraya Malaysia (MARRIS) sekali gus jalan baharu dapat memberi keselesaan kepada rakyat di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Negeri (ADN) Banting Lau Weng San pada Sidang Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.

Izham sebelum itu turut berharap supaya rakyat dan ADN bersabar sekiranya terdapat jalan raya yang masih belum dibaik pulih.

“Ini kerana kita baharu memasuki tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan dan kerja-kerja naik taraf jalan dan sebagainya baharu sahaja bermula.

“Saya harap rakyat dan ADN bersangka baik, sekiranya memang kontraktor bermasalah, kita akan tangani sebaiknya, ini kerana kerja-kerja baik pulih ini tiada niat lain melainkan dilakukan terbaik untuk rakyat sahaja,” katanya.

Categories
ADN SELANGOR

Projek naik taraf jalan berlarutan, penduduk diminta bersabar

SHAH ALAM, 27 DIS: Isu kerja menaiktaraf Jalan Lombong, Seksyen 29 yang berlarutan sejak tiga tahun lalu akan dipanjangkan kepada Kerajaan Negeri dengan segera kata Ahli Dewan Negeri Sungai Kandis hari ini.

Ahmad Zawawi Mohd Mughni berkata, kelewatan kerja naik taraf itu mengakibatkan pelbagai masalah berbangkit termasuk keselamatan penduduk yang perlu diberi perhatian serius.

“Pemantauan kami mendapati kawasan itu bukan sahaja berdepan dengan kelewatan projek tetapi isu saliran yang dibina tidak mengikuti standard perparitan, masalah pengalihan utiliti dan pembinaan jejambat.

“Banyak isu yang menyebabkan projek menaiktaraf ini memakan masa lebih tiga tahun. Kerja pembinaan jalan ini juga ‘substandard’. Banyak lori pasir serta treler turut menggunakan laluan sama menyebabkan jalan rosak serta berlubang teruk sepanjang jalan.

“Saya akan bertemu dengan pihak berwajib untuk melihat semula keraguan terhadap masalah kerja menaiktaraf ini yang begitu membimbangkan banyak pihak,” katanya kepada SelangorKini.

Malah, Zawawi berkata, pembukaan jalan sementara untuk memudahkan pengguna juga dalam keadaan tidak selamat.

“Pemasangan palang bagi menghalang kemasukan lori juga tidak strategik, jadi kita perlu mencadangkan ia dipasang di tempat yang betul. Kita akan memanggil semua agensi yang terbabit untuk menyelesaikan masalah ini,” katanya.

Pada masa sama, beliau mahu penduduk supaya bersabar dan memberi ruang kepada semua pihak menyelesaikan masalah itu dengan segera.

Kerosakan jalan yang teruk di kawasan itu meresahkan penduduk. Hal itu kerana kerosakan jalan dengan lubang sebesar ‘kawah’ di sepanjang jalan membahayakan pengguna. Lebih buruk, penduduk terpaksa ‘beralah’ dengan lori hantu yang turut menggunakan laluan sama dipercayai ke kawasan pembinaan.

Difahamkan, beberapa kali penunggang motosikal dan kereta terhumban ke permukaan jalan pada waktu malam kerana tidak perasan kewujudan lubang di tengah laluan.

Terdahulu, penduduk Kampung Lombong menggesa satu perjumpaan diaturkan dengan pihak kontraktor serta Jabatan Kerja Raya bagi mendapatkan penjelasan berhubung status terkini projek pelebaran jalan di kawasan terbabit.

Categories
ADN SELANGOR

Jalan rosak selepas hujan lebat

SHAH ALAM, 18 DIS: Cuaca hujan serta ribut petir yang berterusan sejak akhir-akhir ini menyebabkan beberapa jalan raya di sekitar Pelabuhan Klang mengalami kerosakan teruk.

Ahli Dewan Negerinya, Azmizam Zaman Huri berkata masalah itu di jalan Persiaran Raja Muda Musa itu menyebabkan air bertakung, selain jalan mendap akibat kenderaan berat di sekitar Kampung Tradisi Pulau Indah Pelabuhan Klang.

“Kebanyakan isu dan masalah berkenaan menyebabkan banyak kemalangan jalan raya sehingga meragut nyawa orang awam,” katanya ketika meninjau masalah jalan raya di sekitar DUN Pelabuhan Klang bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pegawai Roadcare, baru-baru ini.

Turut sama Ahli Majlis Perbandaran Klang, Hashim Mat Piah dan Norazah Said serta Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Sungai Kembong, Ahmad Faiz Mustapa Kamal.

Azmizam berkata beliau turut mengemukakan masalah jalan tidak diturap dengan sempurna selepas kerosakan dibaiki oleh syarikat utiliti seperti Syarikat Air Selangor, Tenaga Nasional Berhad dan lain-lain.

“(Justeru) saya berharap JKR akan lebih proaktif pada 2020 dan menasihatkan semua pemandu kenderaan serta penunggang motosikal supaya mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya serta berhati-hati terutama ketika musim hujan,” katanya.

MB : Guna Apps Waze untuk aduan jalan rosak

Aduan kerosakan jalan raya : Selangor jalin kerjasama dengan pengendali aplikasi Waze.

Categories
SELANGOR

Sepantas 10 minit ADN Rawang respon masalah jalan rosak

OLEH : ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 23 FEB : Kurang daripada sepuluh minit aduan dibangkitkan pengguna Facebook, Spark Nauza berhubung kerosakan di Jalan Bandar Rawang 2, Ahli Dewan Negeri (ADN) kawasan itu, Gan Pei Nei segera memberi respon terhadap perkara tersebut.

Kata Pei Nei, masalah itu dibawa kepada Jabatan Kerja Raya Gombak dan pihak terbabit untuk tujuan tindakan lanjut dan penambahbaikan.

FB_IMG_1456210424296“Aduan ini dikemukakan untuk tindakan JKR Gombak,” tulisnya pada ruangan komen pengguna laman sosial berkenaan.

Gan mengulas kebimbangan dibangkitkan pengguna laman sosial terbabit berhubung masalah jalan berlubang yang boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya, khususnya penunggang motorsikal.

Tindakan pantas Pei Nei itu turut mendapat pujian beberapa pengguna laman sosial itu.

Dalam pada itu, kerosakan jalan itu dipercayai berpunca daripada tindakan kontraktor yang melakukan kerja penambahbaikan saluran pendawaian di kawasan terbabit.

Screenshot_2016-02-23-14-52-30-254“Ini kerja kontraktor TNB. Mereka korek lubang dan masukkan wayar pada waktu malam.

“Oleh kerana belum siap, mereka tutup dengan papan besi. Tapi mereka tutup lubang itu agak cincai (tidak sempurna),” tulis pengguna Facebook, Rawang Ku.

Kawasan itu juga dikatakan berdekatan dengan Mcd Donalds, Rawang.

Sehingga berita ini ditulis, status berkenaan dikongsikan lebih 60 perkongsian di Facebook.

EZY

Categories
SELANGOR

MB selesai kes jalan rosak tak sampai 24 jam

SHAH ALAM 28 JAN: Aduan berkenaan jalan rosak di Seksyen 15, di sini, diselesaikan Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali dalam tempoh tidak lebih 24 jam.

Isu jalan rosak itu diajukan terus kepada Mohamed Azmin melalui khidmat pesanan ringkas semalam dan dimaklumkan perkara itu sudah diajukan kepada Datuk Bandar Shah Alam untuk tindakan lanjut.

Komen“Terima kasih kepada MB Selangor, baru semalam BBM dengan dia (Mohamed Azmin) maklumkan jalan di Seksyen 15 rosak teruk, tak sampai lima minit beliau balas sudah menghubungi Datuk Bandar minta jalan itu diperbaiki.

“Dan hari ini, jam 1 tengah hari, jalan berlubang siap diturap. Bila kira, tempoh masa itu maknanya tak sampai 24 jam, masalah jalan berlubang dan rosak di hadapan kilang UMW dan sekitar bulatan menuju ke Seksyen 16 juga selesai,” tulis Editor Sinar Harian, Lailatun Khalilah Nasir di laman Facebooknya.

Lailatun berkata, kawan pejabatnya turut memberitahu mengambil gambar jalan yang sudah selesai diturap.

“Jadi selamat tayar kereta dengan ‘sport rim’. Tahniah YB Azmin Ali, terima kasih,” tulisnya.

faceEntri komen Lailatun berkenaan perkara itu mendapat respon wartawan Utusan Malaysia, Norliza Abd Rahman untuk mendapat khidmatnya jika ada masalah jalan berlaku.

“Nanti kalau jalan depan rumah aku berlubang lagi saya minta khidmat kau ya,” tulisnya.

Mohd Sufian Said berkata, beliau mahu jalan di Batu 3, di sini, diperbaiki kerana rosak teruk.

“Sudah tiga kali saya hampir tergelongsor dan tayar kereta bengkak akibat hentakan kuat apabila memasuki lubang,” tulisnya.

-NFN-