Categories
SELANGOR

Datuk Bandar yakin jalan sehala siap lebih awal

Oleh: AFEEQA AFEERA

PETALING JAYA, 23 JUN: Projek jalan sehala di kawasan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) kini bergerak dua peratus lebih awal daripada tempoh dijadualkan.

Datuk Bandar MBPJ, Mohd Azizi Mohd Zain, berkata ia berikutan kontraktor dilantik melaksanakan kerja lebih masa pada waktu siang dan malam.

Mohd azizi mbpjKatanya, projek itu dijangka siap sepenuhnya pada Ogos 2016 sebelum dilaksanakan kepada orang ramai.

“Kita maklumkan kepada kontraktor untuk laksanakan siang tetapi bukan waktu puncak supaya projek ini dapat disiapkan dalam tempoh singkat.

“Kita juga sedang menyediakan peta di kawasan tertentu seperti ibu pejabat MBPJ dan Amcorp Mall sebagai rujukan kerana penduduk masih tidak nampak produk (jalan sehala) itu,” katanya dalam satu temuramah bersama media di ibu pejabat MBPJ, baru-baru ini.

Mohd Azizi berkata, MBPJ meminta perunding memantau pelaksanaan jalan sehala dan mengenalpasti jika timbul sebarang masalah.

Katanya, aduan penduduk turut diambil kira bagi memastikan projek itu berjalan lancar dan memberi manfaat dalam jangka masa panjang.

“Bila siap sepenuhnya, kita ada tempoh tertentu untuk pantau pelaksanaan projek itu.

mbpj“Kita perlu dinamik kerana ia akan memberi kesan di kemudian hari jika pemantauan tidak dilakukan,” katanya.

Fasa kedua projek jalan sehala membabitkan Jalan Barat, bahagian tertentu Persiaran Barat, separuh timur Jalan Utara dan baki Jalan Sultan, bermula Julai hingga November ini.

Jalan lain seperti Yong Shook Lin dan baki Persiaran Barat dibangunkan dalam fasa ketiga yang dijadualkan, pada Disember hingga April 2015.

Fasa terakhir pula menyaksikan lanskap dan pembinaan perhentian bas serta pagar keselamatan dijangka siap, pada 31 Ogos 2016.

-NFN-

Categories
SELANGOR

MBPJ perlu singkatkan percubaan laluan sehala ke 12 bulan

Oleh: HAFIZAN TAIB

PETALING JAYA, 12 MAC: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) disaran memendekkan tempoh percubaan sistem laluan trafik sehala yang dijalankan ketika ini demi kebaikan umum.

Adun Bukit Gasing, R Rajiv berkata, tempoh 18 bulan yang dijalankan kini agak panjang dan ia mungkin boleh dipendekkan kepada 12 bulan.

“Saya mencadangkan MBPJ supaya menyegerakan projek ini kerana tempoh 18 bulan agak lama. Penduduk Petaling Jaya juga mengadu mereka mengalami masalah dengan situasi ini.

jalan sultan mbpj“Pihak kontraktor menyambut baik pandangan ini dan perbincangan dibuat adalah berkenaan tempoh masa bagaimana mereka menguruskannya,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

Rajiv berkata, tempoh percubaan itu membabitkan dua fasa iaitu fasa pertama sudah dijalankan, manakala fasa kedua bermula 1 Mac hingga 31 Ogos 2016 yang diberikan kepada pihak kontraktor.

Katanya, tempoh 18 bulan itu membabitkan kerja pembaikan jalan raya dan pembinaan landskap bagi keselesaan pengguna menggunakan laluan apabila disiapkan nanti.

rajiv bukit gasing 01“MBPJ juga bersetuju untuk meminta Merdeka Centre menjalankan tinjauan awam berkenaan rungutan peniaga yang mendakwa perniagaan mereka terjejas akibat sistem trafik baharu ini,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, sistem trafik sehala diputuskan MBPJ itu mendatangkan kebaikan apabila masalah kesesakan lalu lintas dapat dikurangkan berbanding sebelumnya.

Sistem laluan trfik sehala itu membabitkan lima jalan utama iaitu Jalan Utara, Jalan Barat, Jalan Timur, Jalan Sultan dan Jalan Yong Shock Lin.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Projek jalan sehala PJ diteruskan

Oleh: AFEEQA AFEERA

PETALING JAYA, 29 JAN  Fasa kedua projek jalan sehala sekitar bandar raya Petaling Jaya melibatkan beberapa jalan utama kawasan itu akan diteruskan sejajar dengan keperluan pada masa kini.

Pemangku Datuk Bandar Petaling Jaya, Puasa Md Taib berkata, ia adalah kesinambungan daripada projek percubaan fasa pertama jalan sehala yang mula dilaksanakan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), kira-kira tiga bulan lalu.

Katanya, kajian mengenai jalan sehala sudah dibuat MBPJ bermula tahun 1992 dan beberapa siri mesyuarat sudah diadakan sepanjang tahun bagi membincangkan perkara berkenaan.

jalan sultan mbpj“Kita juga sudah mengadakan perjumpaan bersama penduduk setempat bagi mendapatkan pandangan dan keperluan mereka berhubung perkara ini, manakala hasilnya sudah dimaklumkan tempoh hari dalam mesyuarat MBPJ,” katanya.

Pada masa sama, Puasa berkata, MBPJ akan melantik pasukan audit keselamatan jalan raya untuk membuat semakan di peringkat pelaksanaan sehingga projek berkenaan siap sepenuhnya.

Katanya, ia bagi memastikan laluan sehala itu selamat digunakan pengguna untuk jangka masa panjang.

“Audit akan dibuat di peringkat pelaksanan, ketika projek sedang berjalan sehingga ia siap sepenuhnya kerana kita amat menitikberatkan keselamatan pengguna.

Puasa“Selain itu, kita juga akan menjalankan bancian penduduk melalui Merdeka Center selain mengadakan mesyuarat bagi membincangkan aspek keselamatan dan jalan sehala ini boleh digunakan secara maksimum oleh penduduk,” katanya.

Antara arah aliran lalu lintas ke destinasi utama yang terlibat dengan pelaksanaan jalan sehala adalah Jalan Sultan, Jalan Barat, Jalan Timur, Jalan Utara dan Jalan Yong Shook Lin.

Ia membabitkan lapan kawasan sekitar iaitu Amcorp Mall, Hotel Hilton, Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Kimia, Mahkamah Seksyen Petaling Jaya, Dewan Sivik MBPJ, Balai Polis Petaling Jaya, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Hospital Mata Tun Hussein Onn dan Menara MBPJ.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Respon positif pengguna, MBPJ pendek tempoh percubaan jalan sehala

Oleh: LIZAWATI MADFA

PETALING JAYA, 30 OKT: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) akan memendekkan tempoh percubaan sistem jalan sehala di pusat bandar itu jika maklum balas positif terus diterima daripada penduduk setempat dan pengguna jalan raya.

Datuk Bandar, Datin Paduka Alinah Ahmad berkata, tinjauan MBPJ bersama perunding mendapati aliran trafik semakin lancar khususnya di waktu puncak.

Katanya, segala aduan yang diterima juga berjaya ditangani dengan baik pihaknya yang pantas mengambil tindakan penambahbaikan.

mbpj“Kalau baik, daripada tempoh percubaan tiga bulan, maka kita akan pendekkan kepada dua bulan.

“Kalau sudah bagus, kita akan laksanakan terus sistem ini dan tidak perlu tunggu lagi,” katanya dalam mesyuarat penuh MBPJ di ibu pejabatnya, di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau menyaksikan dua ahli majlis baru daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengangkat sumpah iaitu Ahmad Akhir Pawan Chik dan Shatiri Mansor.

Sistem jalan sehala mula dikuatkuasakan pada 12 Oktober lalu membabitkan Jalan Sultan, Jalan Barat, Jalan Utara, Jalan Timur dan Jalan Yong Shook Lin.

_MG_3864Alinah berkata, pelaksanaan jalan sehala dibuat berdasarkan kajian trafik yang mula dijalankan seawal tahun 2001 diikuti kajian semula dan dilengkapkan pada tahun 2012 oleh Jabatan Kejuruteraan.

“Kos yang digunakan adalah daripada tabung caruman pembangunan yang dikenakan kepada pemaju berjumlah RM23 juta.

“Caruman ini khusus dikenakan kepada pemaju untuk membantu pihak majlis menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas di Petaling Jaya,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

MBPJ laksana jalan sehala sekitar Petaling Jaya

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 14 OKT: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) kini melaksanakan pertukaran arah aliran lalulintas kepada Jalan Sehala di Pusat Bandar Seksyen 52, Petaling Jaya.

Dalam kenyataan medianya, MBPJ memaklumkan, antara arah aliran lalulintas ke destinasi utama yang terbabit dengan pelaksanaan jalan sehala di Jalan Sultan, Jalan Barat, Jalan Timur, Jalan Utara dan Jalan Yong Shook Lin.

Lapan kawasan sekitar iaitu Amcorp Mall, Hotel Hilton, Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Kimia, Mahkamah Seksyen Petaling Jaya, Dewan Sivik MBPJ, Balai Polis Petaling Jaya, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Hospital Mata Tun Hussein Onn dan Menara MBPJ.

mbpj1. AMCORP MALL/STESEN LRT TAMAN JAYA
Dari Shah Alam
Susur keluar ke Jejambat Timur ke Jalan Timur – Persiaran Barat masuk kanan ke Amcorp Mall atau terus dan belok kiri ke stesen LRT Taman Jaya.
Dari Kuala Lumpur
Susur keluar ke Jalan Timur, Persiaran Barat masuk kanan ke Amcorp Mall atau terus dan belok kiri ke Stesen LRT Taman Jaya.

2. HOTEL HILTON
Dari Shah Alam
Susur keluar ke Jejambat Timur ke Jalan Timur – Persiaran Barat – Jalan Barat dan masuk ke kanan ke Hotel atau dari Jalan Timur – Jalan Sultan ke Jalan Barat dan belok kanan ke Hotel.
Dari Kuala Lumpur
Susur keluar ke Jalan Timur – Persiaran Barat – Jalan Barat dan masuk ke kanan ke Hotel.

3. PERBADANAN PRODUKTIVITI MALAYSIA (MPC)/ ABATAN PENGANGKUTAN JALAN (JPJ)/JABATAN KIMIA/MAHKAMAH SESYEN PETALING JAYA
Dari Shah Alam
Susur keluar ke Jejambat Timur – Jalan Timur susur kanan ke Jalan Sultan dan masuk kanan ke Lorong Produktiviti.
Dari Kuala Lumpur
Susur keluar ke Jalan Timur, susur kanan ke Jalan Sultan dan belok kanan ke Lorong Produktiviti.

4. DEWAN SIVIK/IBU PEJABAT MAJLIS BANDARAYA PETALING JAYA (MBPJ)
Dari Shah Alam
Susur keluar ke Jejambat Timur, Jalan Timur – Jalan Selangor – Jalan Yong Shook Lin dan masuk kiri ke Ibu Pejabat MBPJ atau susur ke Jalan Templer – Bulatan Penchala ke Jalan Templer terus ke Bulatan Assunta belok kanan ke Jalan Selangor susur kiri keluar ke Jalan Yong Shook Lin dan belok kanan ke Dewan Sivik.
Dari Kuala Lumpur
Susur keluar ke Jejambat Timur – Jalan Timur terus ke Jalan Selangor – Jalan Yong Shook Lin dan masuk ke kiri ke Dewan Sivik / Ibu Pejabat MBPJ
atau
Susur keluar ke Jalan Gasing – Jalan Changgai – bulatan Jalan Sultan keluar kiri ke Jalan Selangor – Jalan Yong Shook Lin dan belok kiri masuk ke Dewan Sivik/Ibu Pejabat MBPJ.

5. BALAI POLIS IPD PETALING JAYA
Dari Shah Alam
Lebuhraya Persekutuan – melalui susur keluar ke Jalan Templer – belok kiri ke Jalan Sg. Air Jernih 8/1 – persimpangan lampu isyarat – belok kanan ke IPD Petaling Jaya.
Dari Kuala Lumpur
Lebuhraya Persekutuan – melalui susur keluar ke Jalan Templer – (seperti di atas).
Susur keluar ke Jejambat Timur – melalui Jalan Timur ke Jalan Sultan – ke Jalan Penchala – ke IPD Petaling Jaya.

6. PUSAT PERUBATAN UNIVERSITI MALAYA (PPUM)
Dari Shah Alam
Susur keluar ke Jejambat Utara – melalui Jalan Utara belok kiri ke Jalan Semangat – belok kanan ke Jalan Kemajuan – belok kanan ke Jalan Universiti terus ke PPUM.
Dari Kuala Lumpur
Susur keluar ke Jejambat Jalan Universiti – belok kanan ke Jalan Universiti ke PPUM.

7. HOSPITAL MATA TUN HUSSSEIN ONN
Dari Shah Alam
Susur keluar ke Jejambat Utara – melalui Jalan Utara (mengambil laluan bahagian keluar) – terus untuk belok kanan ke Lorong Utara Kecil melalui depan Padang Astaka ke Lorong Utara 52/B ke Hospital Mata.
Dari Kuala Lumpur
Susur keluar ke Jejambat Utara – melalui Jalan Utara (seperti laluan dari Shah Alam).

8. MENARA MBPJ
Dari Shah Alam
Susur keluar Jejambat Timur belok kanan – melalui Jalan Timur ke Jalan Sultan ke kiri Jalan Tengah dan ke Menara MBPJ.
Dari Kuala Lumpur
Susur keluar ke Jejambat Timur – belok kiri melalui Jalan Timur (seperti laluan dari Shah Alam).

MBPJMBPJ turut memaklumkan bagi aliran lalulintas sedia ada di Jalan Persiaran Barat ditukar kepada laluan sehala.
Manakala aliran lalulintas di Jalan Yong Shook Lin kekal seperti laluan sedia ada.

Para pemandu dinasihatkan supaya mematuhi semua pandu arah dan arahan pengawal lalulintas demi keselamatan orang ramai dan kelancaran lalulintas di kawasan berkenaan.

Untuk pertanyaan dan maklumat lanjut orang ramai boleh menghubungi talian Hotline 24 jam 03-79542020, Jabatan Kejuruteraan MBPJ, 03-79584221 atau emel; jalan [email protected]

Maklumat terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa dan boleh diperoleh di laman web rasmi Majlis www.mbpj.gov.my atau facebook : petaling jaya city council / twitter:pjcitycouncil.

-NFN-

Categories
SELANGOR

MBPJ : Projek jalan sehala pemangkin Bandaraya Dinamik

Oleh Naeem Raffi

SHAH ALAM, 10 SEPT: Sejajar wawasan menjadikan Petaling Jaya bandaraya dinamik, Datuk Bandar Datin Paduka Alinah Ahmad dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) membentangkan pelan strategik menjadikan lalulintas lebih mudah digunakan, selamat dan lancar.

Slide2 -Menurut Sekretariat Media Unit Perhubungan Awam MPBJ, beberapa kajian yang dijalankan telah mengenalpasti punca kesesakan lalulintas di lokasi tumpuan penting seperti Seksyen 52, Mutiara Damansara dan Dataran Sunway, serta langkah yang perlu diambil seperti Projek Jalan Sehala melibatkan Jalan Utara, Jalan Timur, Jalan Barat, Jalan Sultan dan Jalan Yong Shook Lin.

“Projek tersebut melibatkan dua fasa yang mana fasa 1 telah bermula pada Julai hingga September 2014.

“Sistem jalan sehala ini akan dilaksanakan secara percubaan selama 3 bulan bermula 12 Oktober 2014 sehingga 12 Januari 2015,” jelasnya.

Fasa 1 melibatkan kerja pembukaan pembahagi jalan di 8 lokasi, penebangan dan pengalihan pokok, pemasangan papan tanda isyarat sementara serta kerja mengecat jalan.

Slide7 - Fasa 2 melibatkan kerja penurapan jalan, penyediaan laluan pejalan kaki dan laluan basikal, pemasangan lampu jalan, pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) dan bumbung pejalan kaki, pemasangan papan tunjuk isyarat dan tanda arah serta lagi kerja mengecat jalan.

“Pelaksanaan jalan sehala ini juga akan melibatkan penanaman pokok baru sebanyak 4970 batang pokok dari spesis pokok Bungor langkawi sebanyak 380 batang, pokok kelat paya sebanyak 3690 batang dan pokok menjalar sebanyak 900 batang, Majlis berharap supaya sistem ini juga dapat menjadikan masa perjalanan lalulintas lebih lancar di sepanjang lingkaran tersebut,” katanya.

Kos projek yang terlibat berjumlah RM23.8 juta dan akan dibiayai menggunakan peruntukan Akaun Tabung Amanah.

MBPJ menjangkakan perkhidmatan pengangkutan awam di sepanjang jalan lingkaran ini akan dapat menambahbaik waktu perjalanan serta tahap kecekapan perkhidmatannya.

Untuk sebarang maklumat dan keterangan lanjut orang ramai boleh melayari laman web rasmi Majlis www.mbpj.gov.my atau menghubungi Jabatan Kejuruteraan Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Tingkat 13, Menara MBPJ, Jalan Tengah, 46200 Petaling Jaya di talian 03-7958 4221 atau emel ; [email protected]

HM