Categories
BERITA UTAMA PBT PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Pernah disaman lebih RM1,000, penjaja lega dapat lesen MBSA

SHAH ALAM, 9 JAN: Pernah disaman lebih RM1,000 gara-gara tidak memiliki permit sah antara pengalaman penjaja Jalan Tengku Ampuan Zabedah, Seksyen 9 di sini.

Meskipun permohonan untuk mendapatkan permit berdepan laluan sukar kerana bilangan tapak perniagaan terhad, namun ia tidak mematahkan semangat penjaja berkenaan.

Penantian mereka nyata berbaloi selepas Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengeluarkan 808 permit sementara kepada penjaja sekitar pentadbirannya setakat 30 November lalu.

Salah seorang penerima lesen, Rustami Rustam menarik nafas lega selepas perniagan yang diusahakan selama tiga tahun tidak lagi berdepan risiko disaman.

Rustami Rustam

“Sekarang saya tidak perlu risau kerana sudah ada permit sah. Tumpuan saya sudah tentu untuk meraih keuntungan yang lebih baik,” kata penjaja snek popular Jepun takoyaki berusia 24 tahun itu.

Mohd Fuzi Isa yang mengusahakan perniagaan cakoi pula mengakui sukar untuk mendapatkan lesen meskipun berulang kali memohon sejak dua tahun lalu.

Bagaimanapun, penjaja berusia 48 tahun itu bernasib baik kerana usahanya mendapatkan permit dibantu oleh wakil rakyat Kota Anggerik Najwan Halimi.

“Tidak dinafikan sukar untuk mendapatkan lesen tetapi dipermudahkan atas ihsan wakil rakyat dan saya tidak lagi bimbang jika penguat kuasa MBSA membuat pemeriksaan,” luahnya.

Muhammad Fawwaz Bostanudin

Sementara itu, penjual nasi kukus di lokasi sama menganggap pemberian lesen sementara yang dinantikan lebih setahun lalu memberi sinar baharu buat dirinya.

Menerima permitnya dua hari lalu, Muhammad Fawwaz Bostanudin, 22, menceritakan pernah beberapa kali disaman dan terpaksa mengeluarkan belanja tinggi untuk membayarnya.

“Sebelum ini saya cukup susah hati jika penguat kuasa datang kerana pernah beberapa kali barangan perniagaan saya diangkut. Kini saya lega,” katannya berharap MBSA turut membantu peniaga lain.