Categories
ADN SELANGOR

Kerajaan persekutuan didesak beri peruntukan baiki jalan Pelabuhan Klang

SHAH ALAM, 6 DIS: Wakil rakyat Pelabuhan Klang mendesak kerajaan persekutuan memberi peruntukan membaiki jalan di kawasan itu atau pihaknya mengadakan mogok sekiranya permintaan itu tidak diendahkan.

Azmizam Zaman Huri berkata ketika Pakatan Harapan (HARAPAN) menerajui negara sebanyak RM50 juta diperuntuk, namun selepas bertukar pentadbiran peruntukan menyelenggara tidak lagi diberikan.

“Selepas itu pada 2020, 2021 dan tahun depan tiada lagi pengumuman peruntukan untuk jalan-jalan ini oleh kerajaan persekutuan.

“Mohon dewan yang mulia ini desak kerajaan persekutuan kerana rakyat tidak tahu jalan-jalan persekutuan memerlukan peruntukan kerajaan persekutuan sebaliknya Kerajaan Selangor dipersalahkan,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika perbahasan Rang Undang-undang Enakmen Perbekalan 2022 pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

Azmizam berkata beliau difahamkan sebanyak RM88 juta diperlukan Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor untuk menyelenggara jalan terbabit.

“Sekiranya menteri kerja raya, menteri pengangkutan tidak mahu memberi peruntukan kepada negeri melalui JKR Selangor,  kita akan melancarkan mogok besar-besaran,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

MPKj pasang penghadang plastik di Jalan Saujana Impian, elak kemalangan

SHAH ALAM, 18 MAC: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) memasang penghadang plastik di atas pembahagi Jalan Saujana Impian, Kajang sementara menunggu status pemilikan laluan tersebut.

Pegawai perhubungan awamnya berkata pemasangan sepanjang 160 meter sebagai langkah jangka pendek susulan aduan pengguna berhubung keadaan keselamatan di jalan terbabit.

“Garisan palang melintang di tapak juga dicat menggunakan ‘hot applied thermoplastic’ bagi memperlahankan kelajuan kenderaan.

Kerja meningkatkan tahap keselamatan di Jalan Saujana Impian, Kajang bagi mengelakkan kemalangan pada 12 Mac 2021. Foto Facebook MPKj

“Justeru, orang ramai dinasihatkan berhati-hati semasa menggunakan laluan tersebut,” kata Kamarul Izlan Sulaiman kepada SelangorKini.

Status pemilikan jalan yang menjadi antara lokasi panas nahas jalan raya belum diputuskan dan sedang dibincangkan bersama Jabatan Kerja Raya serta Lembaga Lebuhraya Malaysia.

Sebelum ini, penduduk mendakwa jalan itu mempunyai selekoh berbahaya yang boleh mengakibatkan kemalangan namun pihak berkuasa tempatan terbabit tiada kuasa untuk mengubah jajaran laluan tersebut.

Dalam kejadian 8 Mac lalu, sepasang suami isteri meninggal dunia selepas kereta dinaiki mereka bertembung dengan van di lokasi terbabit.

Remyzan Baharuddin, 42, dan isterinya, Suzyla Ahmad Dahlan, 40, disahkan maut di lokasi kejadian apabila kereta berlanggar dengan van dari arah bertentangan yang hilang kawalan sebelum merempuh penghadang jalan dan memasuki laluan mereka.

Dua anak mangsa, Raiha Syuhaida Remyzan, 13, dan Ra’if Adam Lutfan Remyzan, 7, cedera di kepala dan menerima rawatan di Hospital Kajang.

Categories
ADN SELANGOR

ADN: Laluan alternatif Jalan Batu Arang B27 dibuka sementara, baiki paip bocor

SHAH ALAM, 3 JAN: Laluan alternatif dibuka sementara kepada pengguna bagi mengelak kesesakan berikutan penutupan Jalan Batu Arang B27, Rawang bermula kelmarin, kata ahli dewan negerinya.

Chua Wei Kiat berkata Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) giat menjalankan kerja pembaikan paip bocor yang berlaku di bawah tanah jalan berhadapan stesen minyak Petronas kira-kira dua minggu lalu.

“Pihak Air Selangor dan JKR (Jabatan Kerja Raya) sudah beberapa kali masuk ke bawah tanah sepanjang tempoh itu untuk memutuskan sumber air serta menurap jalan tetapi punca (air) tidak dapat dihentikan.

Kontraktor Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) giat menjalankan kerja pembaikan paip bocor di Jalan Batu Arang B27 pada 3 Januari 2021. Foto ADN Rawang Chua Wei Kiat

“Susulan itu, saya bersama Ahli Parlimen Selayang William Leong Jee Keen turun padang dan mengambil keputusan supaya kerja pengorekan jalan dan membaiki paip segera dibuat,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Beliau berkata JKR diarah membuka laluan alternatif dan jalan sedia ada hanya dibuka kepada pengguna sebaik kerja baik pulih paip dan penurapan semula selesai.

“Kerja pembaikan dijadual selesai sepenuhnya semalam namun mengalami sedikit kelewatan berikutan beberapa masalah teknikal tidak dapat dielakkan,” katanya.

Bagaimanapun, Chua menjangka kerja berkaitan mampu disiapkan hari ini atau selewat-lewatnya esok.

“Justeru, pengguna dinasihatkan berhati-hati ketika melalui jalan tersebut. Pekerja JKR dan Air Selangor ditempatkan di kawasan itu untuk mengawal laluan trafik,” katanya menambah tiada gangguan bekalan air sepanjang pembaikan dibuat.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Projek ‘sakit’ Jalan Rawang-Batang Berjuntai dijangka siap Mac 2022 – ADN

SHAH ALAM, 5 DIS: Kerja menaik taraf Jalan B27, Jalan Rawang-Batang Berjuntai (Fasa 2) yang tergendala sejak Ogos tahun lalu ekoran kelemahan kontraktor lama dijangka siap pada Mac 2022.

Ahli Dewan Negeri Rawang berkata projek ‘sakit’ menghubungkan persimpangan Bandar Country Homes ke sempadan daerah Kuala Selangor giat dijalankan kontraktor baharu dilantik sejak akhir Oktober lalu.

“Jabatan Kerja Raya (JKR) melantik kontraktor ini untuk menyiapkan baki kerja di kawasan tersebut dalam tempoh 18 bulan dengan perbelanjaan bernilai RM35 juta.

“Perbezaan kali ini kontraktor menambah baik jajaran sungai dan menyelesaikan isu penyempitan jalan (bottle neck) berhadapan Kampung Sungai Bakau serta Jalan Saujana Rawang,” katanya Chua Wei Kiat kepada SelangorKini.

Beliau menambah untuk peringkat awal pelaksanaan semula projek terbabit, pihak kontraktor diminta menumpukan kerja penurapan di lokasi terlibat bagi mengatasi isu banjir.

“Sebaik selesai (kerja penurapan), mereka boleh teruskan untuk pelaksanaan kerja yang lebih berat dan komprehensif bagi memastikan ia siap dalam jangka masa ditetapkan,” katanya.

Pada Oktober 2018, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melawat tapak projek bagi memahami dan mencari penyelesaian terhadap masalah projek berkenaan.

Dalam mesyuarat itu Kerajaan Negeri mengambil keputusan melantik kontraktor penyelamat dan sekiranya tidak dapat menyempurnakan kerja tersebut maka kontrak perlu ditamatkan.

Bagaimanapun, pada Februari tahun lalu, JKR mendapati perkembangan projek tersebut lambat sebelum bertindak menamatkan kontrak kontraktor lama sebelum menjalankan kerja penilaian semula untuk melantik kontraktor baharu.

Categories
AGENDA NASIONAL

Enam mangsa kemalangan Simpang Pulai dikebumi satu liang lahad

KULIM, 12 OGOS: Jenazah enam sekeluarga mangsa nahas jalan raya di Jalan Keramat Pulai, Simpang Pulai, Perak, petang semalam selamat dikebumi di dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Badlishah, Serdang, di sini, lewat petang tadi.

Mereka ialah Fatimah Mat Isa, 68, anak lelakinya Mohd Zairul Mat Isa, 34, isteri Mohd Zairul, Nur Atiqah Abdul Hamid, 30, seorang anak mereka Nur Qaseh Damia Mohd Zairul, 4, anak saudara Fatimah iaitu Hasliza Mahmud, 40, serta anak Hasliza, Mohd Alif Firdaus, 3.

Kesemua jenazah tiba di tanah perkuburan itu kira-kira jam 6.10 petang dan dibawa menggunakan lima van jenazah dari Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh, terus ke tanah perkuburan untuk disembahyangkan di luar perkarangan tanah perkuburan sebelum dikebumikan.

Enam jenazah selamat dikebumikan kira-kira jam 7.30 petang tadi manakala difahamkan, satu lagi jenazah iaitu suami kepada Hasliza, Zulkifli Shuib, 41, dibawa ke Hospital Kulim untuk dituntut ahli keluarganya.

Dalam kejadian kira-kira 5.30 petang semalam, tujuh daripada 10 sekeluarga yang menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) maut selepas kenderaan mereka terbabit kemalangan dengan sebuah treler di Kilometer 5, Jalan Keramat Pulai, Simpang Pulai menghala ke Cameron Highlands.

Siasatan awal polis mendapati MPV yang dipandu Mohd Zairul dipercayai terbabas dan memasuki laluan bertentangan.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Jalan persekutuan dan negeri sentiasa dipantau

OLEH SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 7 NOV: Kerajaan Negeri terus komited dalam memastikan kerja pembukaan jalan persekutuan dan negeri diselenggara dengan baik serta selamat digunakan orang ramai.

Exco Insfrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, pelaksanaan kerja penyelenggaraan jalan negeri dan persekutuan adalah secara kontrak jangka panjang yang merangkumi kerja senggara rutin, berkala pavemen dan berkala bukan pavemen.

“Pelaksanaan program kajian pavemen adalah satu kaedah saintifik iaitu kekuatan, ketahanan dan kerosakan jalan dinilai secara sistematik.

img_5542-800x533“Kerja penyelengaraan jalan negeri akan dibuat berdasarkan senarai keutamaan melalui kajian itu.

“Kos keseluruhan penyelenggaraan rutin, berkala pavemen dan bukan pavemen bagi 2015 di jalan Klang Banting Port Dickson lebih RM3.9 juta,” katanya ketika menjawab soalan berkaitan perancangan Kerajaan Negeri bagi memastikan permukaan jalan persekutan dan negeri diselenggara dengan baik dari ADN, Telok Datok, Loh Chee Heng.

Zaidy berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor telah menerbitkan Garis Panduan Amalan Baik Dalam Kerja Turapan dan Senggara Jalan dan sudah diedarkan kepada semua pegawai JKR sebagai rujukan semasa kerja pengawasan di tapak.

“Spesifikasi pembinaan dan membaiki jalan raya akan sentiasa ditingkatkan.

“Ibu pejabat JKR Malaysia juga sentiasa mengemaskini spesifikasi pembinaan dan selenggara jalan yang dilaksanakan kumpulan pakar mereka,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Produk carboncor atasi jalan berlubang

Oleh: HAFIZAN TAIB

SELAYANG, 8 DIS: Kerajaan Negeri mempraktikkan penggunaan produk carboncor bagi penyelenggaraan jalan raya di Selangor bagi mengatasi masalah jalan berlubang yang kerap berlaku.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam, dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib, berkata bahan terbabit adalah alternatif kepada penggunaan bahan sebelumnya apabila ia lebih mesra alam dan berkualiti.

carboncor1
Gambar Hiasan

“Keselamatan jalan raya adalah isu penting memerlukan perhatian dan kerjasama semua pihak terutama agensi berkaitan bagi menanganinya apabila statistik kemalangan semakin meningkat antara punca utama ialah jalan berlubang.

“Atas kesedaran itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri menjalankan kajian penyelenggaraan jalan menggunakan produk carboncor dan dibentangkan kepada Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) seterusnya diluluskan,” katanya berucap dalam majlis pelancaran Program Membasmi Jalan Berlubang (Potholes) di JKD Daerah Gombak di sini, hari ini.

Beliau berkata, kaedah penggunaannya memberi kebaikan dengan penyelenggaraan murah, tahan terhadap cuaca sedia dilalui kenderaan selepas dipasang.

Katanya, peningkatan peruntukan kepada JKR negeri sebanyak RM337 juta bagi membiayai pembangunan projek infrastruktur dan kemudahan awam bagi memenuhi keperluan pembangunan sosial dan ekonomi negeri.

“Kerajaan Negeri menyasarkan sifar jalan berlubang pada tahun hadapan,” katanya.

EZY

Categories
KENYATAAN MEDIA

Pengguna jalan raya “The Biggest Loser” dalam Bajet 2016

Oleh: Sim Tze Tzin

KEADILAN amat kesal dengan Bajet Kementerian Kerja Raya untuk 2016. Pengguna Jalan Raya dijangka adalah “biggest loser” dalam bajet ini dan “the only winner” adalah syarikat-syarikat konsesi tol.

Dalam perbahasan peringkat jawatankuasa bajet KKM semalam, Menteri Kerja Raya telah mengumumkan kadar tol untuk 8 lebuhraya akan meningkat pada tahun 2016. Kadar tol untuk 17 lebuhraya baru sahaja naik pada bulan Oktober tahun ini.

Berdekatan Jalan Utas Seksyen 15Mengapakah rakyat dikatakan adalah “the biggest loser”? Ia mempunyai 3 sebab. Sebab pertama, kerajaan telah menyediakan RM593.3 juta ringgit dalam Bajet2016 untuk pampasan tol.

Tetapi peruntukan ini hanya akan bertahan beberapa bulan sahaja untuk melambatkan kenaikan tol.

Maka, selepas duit tersebut habis, maka kadar tol tetap akan dibenarkan naik. Sebab kedua, rakyat tetap akan dikenakan dengan kadar tol yang lebih tinggi pada tahun 2016 dan selanjutnya.

Tapi, sebab yang paling teruk adalah, peruntukan kerajaan sebanyak RM 593.3 juta (untuk pampasan tol) tersebut adalah hasil daripada pemotongan bajet dari tempat lain.

Yang paling besar pemotongan adalah pemotongan bajet untuk penyelenggaraan jalan persekutuan Sabah, Sarawak dan Labuan. Dan kedua adalah penyelenggaraan jalan persekutuan Semenanjung Malaysia.

Untuk butiran 060700 Penyelenggaraan Jalan Persekutuan Sabah, Sarawak dan Labuan, peruntukan telah berkurang dari RM429 juta (2014) ke RM160 juta (2015) dan berkurang lagi ke hanya RM100 juta (2016).

Ini merupakan pengurangan mendadak dua tahun berturut-turut. Jika dibandingkan dengan tahun 2014, bajet2016 mengalami pengurangan RM329 juta (-76.7%).

Untuk butiran 060800 Penyelenggaraan Jalan Persekutuan Semenanjung Malaysia, peruntukan telah berkurang dari RM640 juta (2014) ke RM450 juta (2015) dan berkurang lagi ke hanya RM440 juta (2016).

sim-tze-tzimJika dibandingkan dengan tahun 2014, bajet 2016 mengalami pengurangan RM200 juta.

Maka, boleh disimpulkan bahawa, peruntukan yang sepatutnya digunakan untuk menyelenggarakan jalan persekutuan telah dipindah ke peruntukan pampasan tol.

KEADILAN tidak bersetuju dengan pendekatan Kerajaan yang memotong peruntukan penyelenggaraan jalan persekutuan demi membayar syarikat-syarikat tol.

Peruntukan tersebut penting untuk memastikan jalan persekutuan sentiasa keadaan baik dan selamat untuk pengguna jalanraya.

Memotong peruntukan penyelenggaraan jalan persekutuan untuk membayar pampasan tol adalah dasar yang songsang dan meletakkan pengguna jalan raya dalam keadaan bahaya.

KEADILAN menyeru kerajaan mengembalikan peruntukan penyelenggaraan jalan persekutuan pada tahap bajet tahun 2014.

Maka boleh disimpulkan pengguna jalan raya adalah “the biggest loser” dan “the only winner” adalah syarikat konsesi yang mendapat duit dari semua pihak.

* Sim Tze Tzin adalah Ahli Parlimen Bayan Baru

Categories
SELANGOR

Adun: Pantau kerja pembinaan laluan pejalan kaki Jalan Utara PJ

Oleh: SYASYA SUFIAN

PETALING JAYA, 24 JUN: Adun Bukit Gasing, R Rajiv mendesak Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mengambil tindakan segera membuat pantauan dalam proses menyiapkan laluan pejalan kaki sepanjang Jalan Utara, Petaling Jaya.

Rajiv berkata, laluan itu sangat penting kepada orang ramai untuk ke tempat kerja atau kolej kerana berhampiran LRT Asia Jaya dan perhentian bas.

Rajiv a“Kontraktor yang dilantik MBPJ untuk projek sistem jalan sehala bertanggungjawab mengorek laluan pejalan kaki itu hampir sebulan lalu tetapi sehingga kini tiada sebarang penambahbaikan.

“Seharusnya, kontraktor mengatur kaedah kerja yang lebih efisyen sebelum membuat keputusan mengoreknya dan segera membuat jalan yang baru,” katanya, di sini.

Beliau juga menggesa kontraktor mempercepatkan kerja penambahbaikan laluan itu kerana melibatkan keselamatan orang awam.

“Terutama bagi pengguna Orang Kelainan Upaya (OKU) dan warga emas. Saya juga menerima lebih 10 aduan pengguna yang menyatakan kebimbangan keselamatan mereka menggunakan laluan itu,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Selangor guna 3 kaedah tingkat kualiti turapan jalan

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 9 APR: Sistem pengurusan Highway Development & Management Model 4 (HDM-4), teknologi produk coldmix dan kursus penurapan jalan kepada kakitangan akan diguna pakai dalam usaha menambahbaik kualiti turapan jalan.

Exco Infrastruktur & Kemudahan Awam Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, ia adalah langkah pengurusan aset jalan yang efektif untuk meningkatkan taraf keselesaan dan keselamatan pengguna dengan kos optimum.

Katanya, sistem pengurusan HDM-4 adalah sebuah perisian komputer ‘Decision Making Tool’ yang dibangunkan World Bank untuk menganalisis penambahbaikan jalan raya bagi jangka panjang dan unjuran kewangan kos pembaikan.

Berdekatan Jalan Utas Seksyen 15“Selain itu, output untuk jenis rawatan atau penambahbaikan yang diperlukan atas sesebuah jalan dalam tempoh masa ditetapkan dan unjuran kos pembaikan dapat dihasilkan,” katanya dalam kenyataan media.

Katanya, produk coldmix pula adalah teknologi kombinasi karbon, bitumen dan additives yang berkebolehan menampung beban trafik yang berat.

“Ia direka sesuai dalam semua keadaan cuaca iaitu panas, lembab dan basah. Selain itu, sesuai digunakan untuk penyelenggaraan jalan seperti membaiki semua jenis potholes dan kerja penurapan jalan.

Zaidy“Produk ini diiktiraf dan diluluskan IKRAM dan SIRIM,” katanya.

Zaidy berkata, kursus penurapan jalan menekankan kepentingkan kualiti jalan dengan mempelajari proses penurapan jalan raya dalam mengurangkan kadar kemalangan terutama melibatkan kemalangan maut atau cedera parah.

“Tahun ini, 500 pegawai teknikal Kerajaan Selangor akan dilatih dengan kos RM400,000. Kursus ini dicadang akan dilaksanakan bagi kontraktor yang berdaftar dengan UPEN dan syarikat kuari yang menjalankan kerja penurapan jalan,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Kampung Seri Indah A perlukan jalan alternatif, Kerajaan Negeri sedia bantu

Oleh: AFIX REDZUAN

SUNGAI BULOH, 28 FEB: Kampung Sri Indah A memerlukan jalan keluar baru memandangkan satu jalan keluar-masuk melalui terowong sedia ada menyukarkan laluan penduduk terutama ketika bencana dan kecemasan.

Adun Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman ketika ditemui berkata, jalan sedia ada di bawah terowong lebuh raya menampung pengguna setempat hampir 2,000 orang.

khairuddin othman“Kita sudah bangkitkan dalam Dewan (Negeri Selangor) baru-baru ini.

“Kalau berlaku banjir atau ada lori yang sangkut di bawah (terowong) jalan sudah tidak boleh digunakan.

“Sebab itu kita minta Kerajaan Negeri pertimbangkan untuk jalan baru,” katanya kepada Selangor Kini.

Menurut beliau, jalan keluar baru yang dicadangkan adalah dari Kampung Sri Indah A melalui lampu isyarat Hospital Sungai Buloh dengan jarak hampir satu kilometer.

Katanya, tanah berkenaan dimiliki oleh Jabatan Kesihatan Malaysia (JKM) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) akan menilai kos yang diperlukan sekiranya projek membuat jalan baru akan dibina.

terowongTinjauan Selangor Kini juga mendapati jalan berkenaan sempit selain menakung air ekoran sistem perparitan yang kurang sempurna di kawasan berkenaan.

Tambahan pula, jalan berkenaan turut digunakan kenderaan berat.

Sementara itu, Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin sedia maklum mengenai perkara berkenaan dan akan cuba berbincang mengenai cadangan berkenaan.

Katanya, jalan keluar lain penting untuk keselamatan penduduk setempat terutama dalam keadaan kecemasan dan bencana.

EZY

Categories
SELANGOR

Exco pastikan lampu, kerosakan Jalan Batu Arang diperbaiki

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 22 FEB: Mutu infrastruktur jalan Batu Arang ke Kota Puteri dan ke Tasik Puteri akan dipastikan berkeadaan baik bagi memastikan keselamatan pengguna jalan terbabit.

Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor, Zaidy Abdul Talib berkata, keputusan tinjauan itu akan disalurkan kepada pihak terlibat untuk tindakan selanjutnya.

11058_856503771073547_18964344116253991_n“Saya akan menghantar pegawai saya ke jalan-jalan ini untuk memastikan kawasan ini dalam bidang tanggungjawab siapa.

“Sekiranya dalam kawasan pembangunan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), saya akan salurkan kepada PKNS untuk tindakan lanjut.

“Sekiranya luar kawasan PKNS, saya akan maklumkan kepada Majlis Perbandaran Selayang (MPS) untuk ambil tindakan membaiki jalan atau memasang lampu jalan,” kata Zaidy ketika dihubungi Selangorkini.

Zaidy turut berharap agar penduduk di Selangor peka dengan masalah infrastruktur di kawasan masing-masing dan sentiasa mengalu-alukan sebarang aduan daripada penduduk.

Jelas beliau, isu infrastruktur ini tidak akan dapat diatasi tanpa maklumat orang ramai.

“Agak mustahil untuk saya masuk ke semua ceruk jalan seluruh Selangor dan sebab itulah saya perlukan maklumat orang ramai. Ini sangat kita hargai,” kata Zaidy lagi.

EZY