Categories
AGENDA NASIONAL

Orang ramai hadir sambut Hari Kemerdekaan di Putrajaya, SOP ketat

PUTRAJAYA, 31 OGOS: Disambut dalam persekitaran norma baharu ekoran pandemik Covid-19 buat tahun kedua, sambutan Hari Kebangsaan 2021 di Dataran Pahlawan Negara, Putrajaya tetap menyerlahkan jiwa patriotisme yang jitu dalam semangat Keluarga Malaysia.

Atur cara dan persembahan yang sarat dengan elemen patriotisme disusun rapi agar bersesuaian dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) serta boleh ditonton secara fizikal oleh hadirin yang terhad atau diikuti secara langsung melalui kaca televisyen atau secara maya.

Dengan ketibaan tetamu di Dataran Pahlawan Negara termasuk menteri-menteri Kabinet berlatar belakangkan pelbagai lagu patrotik,  klip video Keluarga Malaysia yang menampilkan lirik ciptaan Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa turut ditayangkan.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyertai sambutan tersebut yang bertemakan ‘Malaysia Prihatin’ secara maya kerana menjalani kuarantin kendiri bermula semalam (30 Ogos) setelah disahkan kontak rapat pesakit Covid-19.

Atur cara bermula pukul 8 pagi dalam cuaca baik dengan matahari yang menyinar setelah hujan dinihari berhenti di Putrajaya kira-kira 7 pagi, dengan tiga anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menaikkan Jalur Gemilang diiringi lagu Negaraku.

Ismail Sabri dan isteri Datin Seri Muhaini Zainal Abidin dalam siaran secara maya turut dilihat berdiri ketika lagu Negaraku berkumandang.

Usai acara tersebut, ikrar Rukun Negara dibacakan dengan diakhiri laungan ‘Merdeka’ sebanyak tujuh kali yang disempurnakan oleh tujuh petugas barisan hadapan.

Ia diketuai wakil dari Kementerian Pendidikan iaitu Luqman AlHakim Mohd Tamyes selain anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Kementerian Kesihatan (KKM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Agenda sambutan diteruskan dengan persembahan pancaragam gabungan drum line ATM yang disertai 60 anggota daripada TLDM, Tentera Udara Diraja Malaysia dan Tentera Darat Malaysia.

Selain memainkan beberapa lagu patriotik dan menampilkan seni taekwando tempur tanpa senjata, kumpulan pancaragam yang diketuai Staf Sarjan Mad Zain Medol itu turut menampilkan aksi faktor ‘wow’ iaitu persembahan semburan api dengan menyembur minyak tanah dari mulut ke arah nyalaan api kecil bagi menghasilkan bulatan api besar.

Sejurus tamat aksi mendebarkan itu, persembahan kawad senyap oleh 60 anggota TLDM dipimpin Laskar Kanan PAP Mohd Helmi Masuhudi dan disusuli dengan persembahan pancaragam gabungan badan beruniform yang dipimpin Mejar Mohd Rizal Mohd Nor.

Pancaragam gabungan badan beruniform itu yang disertai 80 anggota ATM, PDRM, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, APM, JBPM dan RELA bergabung tenaga dalam menyampaikan persembahan pelbagai irama lagu patriotik.

Kemuncak tarikan persembahan sempena Hari Kebangsaan 2021 ialah pertunjukan udara oleh aset-aset TUDM dengan deruman enjin pesawat pejuang menggegarkan ruang udara Putrajaya dan para tetamu yang hadir kelihatan mendongak untuk merakamkan pertunjukan formasi pesawat di ruang angkasa.

Formasi penerbangan pesawat pejuang membabitkan Sukhoi Su-30MKM, F/A 18D Hornet dan BAE Hawk 108 diketuai oleh Lt Kol Mohd Norazan Othman, yang sempat bersiaran secara langsung dari dalam pesawat sebelum melakukan aksi udara itu.

Pertunjukan udara itu menarik minat penduduk Putrajaya untuk ke kawasan lapang seperti Dataran Putra dengan tahap kepatuhan SOP serta tidak melakukan perkumpulan untuk menyaksikan formasi pesawat tersebut.

Acara diakhiri dengan tayangan lagu Menang Bersama yang dinyanyikan artis Faizal Tahir hasil ciptaan Pengarah Muzik Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) Datuk Mokhzani Ismail, dan sebelum meninggalkan majlis para tetamu mengibarkan bendera Malaysia dengan diiringi lagu Jalur Gemilang.

Antara kenamaan yang hadir secara fizikal di Dataran Pahlawan ialah menteri-menteri kanan iaitu  Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Datuk Seri Fadillah Yusof, Datuk Dr Radzi Jidin, Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Tayangan secara langsung sambutan yang disiarkan di semua stesen televisyen tempatan, Facebook Live Merdeka360 dan Facebook Live Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) mengaplikasikan teknologi ‘Mix Reality’ iaitu gabungan penerbitan secara fizikal, teknologi AR (Augmented Reality) serta XR (Extended Reality), yang berbentuk interaktif dan berteknologi tinggi.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Jalur Gemilang teguh berkibar biarpun rumah masih berlumpur

YAN, 28 OGOS: Di sebuah rumah papan dua tingkat di Jalan Masjid, Pekan Yan, kelihatan seorang lelaki begitu tekun memerhati sebuah jentera berat yang sedang menyodok lapisan lumpur hampir kering di halaman rumahnya yang turut “dihiasi” beberapa lembaran Jalur Gemilang.

Biarpun masih terkesima dengan bencana banjir yang berlaku ekoran fenomena kepala air di Gunung Jerai pada 18 Ogos lepas sehingga dianggap sebagai “tsunami kecil” dalam kalangan penduduk, pesara tentera Rosli Mohamad, 51, masih lagi mampu mengukir senyuman.

Manakan tidak, “harta paling berharga” buat seluruh rakyat Malaysia iaitu Jalur Gemilang sedikit pun tidak mengalami sebarang kerosakan akibat bencana itu, walhal air banjir ketika itu sangat deras sehingga mampu merosakkan bumbung zink rumahnya serta beberapa perkakas elektrik lain.

Tambah istimewa lagi, warnanya juga tidak luntur dan tidak disaluti lumpur mahupun kotoran sebagaimana yang boleh dilihat kesan lumpur pada setiap rumah di Jalan Masjid.

“Memang tiap-tiap tahun, saya pasang bendera sempena Hari Kebangsaan dan untuk tahun ini, saya dah pasang sebelum banjir lagi. Bila berlaku banjir, Alhamdulillah bendera saya tak rosak walaupun air banjir masuk ke dalam rumah.

“Tetapi, barang elektrik, perabot semuanya rosak. Rumah juga penuh dengan lumpur, tapi saya bersyukur kerana saya dan keluarga selamat serta keadaan rumah pun tak banyak rosak,” katanya kepada Bernama.

Beliau yang kini bekerja sebagai tukang kebun di sebuah sekolah berkata banjir yang berlaku sangat pantas sehingga dia dan keluarganya tidak sempat untuk menyelamatkan barang di dalam rumahnya namun bersyukur apabila bantuan yang diterima daripada pelbagai pihak tiba tidak putus-putus sejak minggu lepas.

Baginya, pelbagai bantuan yang dihulurkan kepada keluarganya dan penduduk di situ sama ada berbentuk makanan mahupun membersihkan rumah adalah harga keharmonian yang dinikmati hasil kemerdekaan negara selama ini apabila masyarakat pelbagai bangsa sanggup datang dari jauh untuk bersama-sama membantu biarpun dalam situasi pandemik.

“Kami sekeluarga dan penduduk di sini sangat menghargai bantuan diterima. Inilah nikmat perpaduan yang dirasai. Kerana itu, bagi saya pengibaran Jalur Gemilang dan menghiaskan rumah dengannya merupakan sedikit inisiatif yang saya lakukan bagi menyahut seruan kerajaan untuk menyemarakkan lagi semangat patriotisme.

“Kita seharusnya bersyukur dengan apa yang kita ada sekarang dan walau apa jua keadaan sama ada ditimpa musibah seperti apa yang berlaku kepada kami iaitu banjir, ia tidak seharusnya mematahkan semangat untuk mengibarkan bendera negara terutamanya sepanjang tempoh sambutan Hari Kebangsaan,” katanya.

Mengulas mengenai semangat patriotisme Rosli, Felo Utama Institut Kajian Etnik (Kita), Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Datuk Dr Teo Kok Seong berkata ia wajar dicontohi memandangkan ketika ini didapati tidak ramai yang mengambil inisiatif mengibarkan Jalur Gemilang di rumah mahupun kenderaan mereka.

Beliau berkata semangat patriotisme Rosli yang tidak luntur menyambut Hari Kebangsaan biarpun ditimpa musibah besar adalah jelas memaparkan rasa bersyukurnya kepada keamanan dan apa yang dinikmati hasil daripada kemerdekaan negara.

“Musibah ini mengajar mereka untuk lebih menghargai dengan apa yang mereka ada. Ini merupakan satu tanda kesyukuran dan semangat mengibarkan bendera di kala musim pandemik dan ditimpa musibah wajar dicontohi ramai pihak.

“Biarpun ada menyatakan rasa cinta kepada negara tidak semestinya mengibarkan bendera, namun apabila kita bercakap mengenai rasa cinta, ia mesti dizahirkan dan mengibarkan bendera merupakan antara satu cara menzahirkan patriotisme kita kepada negara,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Semarak Hari Kebangsaan, Mais edar 156 Jalur Gemilang

SHAH ALAM, 25 OGOS: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) mengedarkan 156 Jalur Gemilang kepada jabatan dan anak syarikatnya bagi menyemarak semangat patriotik menjelang Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini.

Pengerusinya berkata sebanyak 11 bendera dan 145 bendera pelekat kenderaan diedarkan kepada Jabatan Agama Islam Selangor, Jabatan Mufti Selangor, Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (Jakess) serta Jabatan Pendakwaan Syariah Selangor.

Tan Sri Dato’ Seri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata Jalur Gemilang turut diagih kepada Lembaga Zakat Selangor, Perbadanan Wakaf Selangor, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor, Yayasan Islam Darul Ehsan, Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd dan Suci Holdings Sdn Bhd.

“Edaran ini dibuat supaya warga Mais dapat bersama meraikan sambutan Hari Kebangsaan walaupun dalam suasana pandemik Covid-19 dan mudah-mudahan kita semua mengenang perjuangan pemimpin dahulu untuk mencapai kemerdekaan.

“Diharap dalam keadaan mencabar ini, warga Mais dapat mengisi kemerdekaan sebaiknya bagi membuktikan rasa cinta dan bangga sebagai rakyat Malaysia,” katanya kepada SelangorKini.

Terdahulu, beliau menyempurnakan simbolik penyerahan Jalur Gemilang dan melekatkan bendera pelekat kenderaan secara pandu lalu di lobi Bangunan Sultan Idris Shah di sini hari ini.

Hadir sama Setiausaha Mais Dr Ahmad Shahir Makhtar, Mufti Selangor Dato’ Dr Anhar Opir dan Ketua Hakim Syarie Jakess Dato’ Mohammad Adib Husain.

Categories
AGENDA NASIONAL

Pesara berhabis ratusan ringgit jahit baju `berwajah’ Jalur Gemilang

SHAH ALAM, 25 OGOS: Seorang pesara sanggup berhabis ratusan ringgit untuk menghias serta menyelimuti motosikal kesayangannya dengan bendera Jalur Gemilang.

Hassan Yang Ashaari, 63, turut menjahit sendiri sepasang pakaian ‘berwajah’ Jalur Gemilang sebagai simbol patriotisme menjelang sambutan Hari Kebangsaan ke-64.

“Saya menggunakan duit poket lebih RM300 beli bendera, manik dan benang. Saya habiskan masa tiga hari untuk untuk jahit sendiri baju dengan seluar bercorak Jalur Gemilang

“Manakala untuk untuk menukar wajah motosikal jenis Kawasaki KXR110 dengan keindahan Jalur Gemilang, saya ambil masa dua hari lagi,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata bagi menyemarakkan lagi sambutan kemerdekaan, Jalur Gemilang turut dipasang dan digantung di sekeliling rumah serta kereta.

“Lain orang, lain caranya menterjemahkan rasa cinta kepada negara menjelang Hari Kebangsaan, tetapi bagi saya ini cerminan sayang serta cinta saya kepada negara.

Hassan Yang Ashaari, 63, menghias motosikal kesayangannya dengan Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-64. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

 

Berkongsi lebih lanjut mengenai usahanya, Hassan Yang berkata sepasang pakaian Jalur Gemilang akan dijahit sendiri mengikut tema sambutan Hari Kebangsaan pada setiap tahun.

“Saya tanpa gagal menterjemah rasa cinta kepada negara melalui kreativiti walaupun berdepan beberapa masalah untuk mendapatkan bahan bagi menyiapkan hiasan sejak penularan Covid-19.

“Ia bagi membangkitkan semangat kecintaan kepada negara selain menzahirkan tekad untuk merdekakan diri daripada masalah pandemik di negara ini,” katanya.

Menurutnya, suasana negara yang sedang berperang dengan Covid-19 tidak sedikitpun mematahkan semangatnya untuk menyemarakkan semangat menyambut Hari Kebangsaan tidak lama lagi.

“Sudah pasti kibaran Jalur Gemilang akan menyemarak rasa cinta kepada negara tetapi yang lebih penting, kita perlu kekal berganding dalam semangat perpaduan untuk menghapuskan Covid-19, memandangkan kita belum menang dalam perang,” katanya.

Tema sambutan kemerdekaan tahun ini adalah Malaysia Prihatin sebagai tanda bersama-sama memerangi wabak Covid-19 yang melanda negara.

Categories
AGENDA NASIONAL

Pertubuhan kebajikan kampung berhabis RM700 pasang 100 Jalur Gemilang

KOTA BHARU, 23 OGOS: Bagi menyemarakkan semangat sambutan Hari Kebangsaan 2021 yang bakal disambut hujung bulan ini, Pertubuhan Kebajikan Mukim Parit Pasir Tumboh, di sini mengambil inisiatif memasang 100 Jalur Gemilang di lima lokaliti sekitar mukim tersebut.

Pengerusi pertubuhan itu Wan Azizi Wan Ab Ghani berkata mereka memasang Jalur Gemilang pada tiang elektrik sepanjang 50 meter di lorong-lorong terpilih.

“Antara lima kawasan laluan utama taman melibatkan lorong-lorong iaitu Taman Paduka, Desa Wangi, Kubang Siput, Taman Putera dan Kampung Likong.

“Ini merupakan usaha kali pertama pertubuhan memasang Jalur Gemilang di lima lokaliti sekitar Mukim Parit bagi menaikkan semangat patriotik dalam kalangan lebih 350 ahli,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lorong Taman Paduka, Pasir Tumboh hari ini.

Menurutnya sebanyak RM700 dana pertubuhan diperuntukkan untuk membeli Jalur Gemilang dan kain rentang serta upah pasang di setiap lorong berkenaan.

Wan Azizi berkata pertubuhan yang diwujudkan sejak 2016 itu juga mengagihkan bantuan kepada ahli dan keluarga ahli yang terjejas akibat Covid-19 serta menghantar bekalan makanan kepada pesakit yang dikuarantin di rumah di kawasan Pasir Tumboh.

Sementara itu penduduk, Tuan Mohd Nor Tuan Yahya, 56, berkata Jalur Gemilang yang dipasang di setiap lorong taman kawasan perumahan, menjadikan orang ramai teruja untuk meraikan sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos dan Hari Malaysia pada 16 September ini dengan tema “Malaysia Prihatin”.

“Sebanyak 20 Jalur Gemilang dipasang di lorong tempat saya tinggal iaitu Taman Paduka yang menaikkan semangat kami untuk menyambut Hari Kebangsaan.

“Secara individu, saya sudah memasang Jalur Gemilang di dua kereta dan selepas ini akan memacak Jalur Gemilang di luar rumah dengan kuantiti yang banyak bagi menyemarakkan semangat cintakan negara,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Warga emas tetap semangat kibarkan Jalur Gemilang

PASIR MAS, 22 OGOS: Meskipun dalam suasana pandemik Covid-19 namun ia tidak mematahkan semangat sekumpulan 15 warga emas dari Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Pasir Mas, di sini untuk terus menyemarakkan semangat menyambut Hari Kebangsaan Ke-64.

Pengerusi PAWE Pasir Mas Datuk Dr Wan Mansor Hamzah berkata pihaknya mengambil inisiatif memasang Jalur Gemilang di sekitar PAWE Pasir Mas bagi membangkitkan semangat kecintaan kepada negara.

“Kita lihat ramai dalam kalangan anak muda, remaja yang bersemangat untuk menyemarakkan hari merdeka. Jadi kita sebagai warga emas juga tidak mahu ketinggalan memainkan peranan untuk sama-sama meraikan bulan yang bersejarah ini.

“Malah, dengan adanya inisiatif ini sekurang-kurangnya ia dapat memberi teladan kepada orang ramai betapa pentingnya untuk kita memperingati sejarah kemerdekaan sekali gus sebagai menghargai keamanan yang telah dikecapi negara sehingga ke hari ini,” katanya ketika ditemui pemberita di PAWE Pasir Mas, di sini hari ini.

Dr Wan Mansor berkata, beliau mengakui sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini agak suram di sebabkan Perintah Kawalan Pergerakan selain negara juga sedang dilanda pandemik Covid-19, namun baginya ia tidak sepatutnya menjadi penghalang.

“Sambutan tahun ini agak suram, jadi kita sebagai warga emas berasa tanggungjawab untuk terus menaikkan semangat ini. Kita mungkin sudah tidak berupaya untuk bergerak ke hadapan, namun sekurang-kurangnya dengan memasang Jalur Gemilang ini ia dapat menonjolkan semangat patriotisme yang ada.

“Saya juga yakin sekiranya setiap rumah memasang satu bendera, suasana akan lebih meriah dan ia membuktikan kita sama-sama bangga menjadi warga negara Malaysia,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Wan Mansor berkata bagi menyemarakkan lagi sambutan Bulan Kebangsaan pihaknya juga akan melaksanakan program deklamasi sajak bersempena kemerdekaan secara Google Meet pada malam 31 Ogos nanti.

“Kita akan kumpulkan semua ahli PAWE Pasir Mas iaitu kira-kira 150 orang untuk bersama-sama meraikan malam kemerdekaan nanti secara dalam talian. Diharap melalui beberapa aktiviti yang dirangka ini, ia dapat menyuntik semangat serta memupuk rasa cinta terhadap negara walaupun dalam kehidupan norma baharu,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

‘Ultraman’ bantu edar Jalur Gemilang dalam sekatan jalan raya

GEORGE TOWN, 19 OGOS: Pengguna jalan raya yang melalui sekatan jalan raya (SJR) di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu di sini teruja kerana menerima bendera Jalur Gemilang daripada seorang lelaki yang mengenakan kostum karakter adiwira ‘Ultraman’.

Selain Ultraman, penyerahan bendera kepada pengguna jalan raya itu turut disertai Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong dan Pengarah Jabatan Penerangan Pulau Pinang Dr Haniff Hassan.

Mohamad Syukur Mohd Patthi, 27, yang memakai kostum Ultraman itu berkata beliau bertindak sedemikian hanya kerana mahu menghiburkan orang ramai termasuk petugas barisan hadapan yang bekerja di SJR di situ.

“Saya ‘jadi’ Ultraman hari ini untuk bersama-sama mengedarkan bendera kepada orang ramai di SJR ini supaya mereka dapat mengibarkan Jalur Gemilang di bulan kemerdekaan ini, “ “katanya ketika ditemui selepas mengedarkan Jalur Gemilang, hari ini.

Sementara itu, Soffian berkata beliau terkejut dengan kehadiran Ultraman dan langsung tidak menyangka adiwira tersebut akan menyertai mereka untuk menyerahkan bendera kepada orang ramai yang melalui jalan tersebut.

Beliau berkata walaupun polis menjalankan tugas pemeriksaan di SJR itu, pihaknya turut mengedarkan sebanyak 200 bendera kepada orang ramai.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Dua gadis kecil hias gerai makan ibu guna Jalur Gemilang

TUMPAT, 19 OGOS: Meskipun negara masih dilanda pandemik Covid-19, ia tidak mematah semangat dua anak kecil, Syazwani Amran, 10, dan Nor Maizira Wan Aman, 9, untuk memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan ke-64, tahun ini.

Menggunakan waktu terluang, Syazwani berkata mereka mula memasang Jalur Gemilang di sekitar gerai makan milik ibunya di Pantai Geting dekat Pengkalan Kubor di sini, sejak awal bulan lepas.

Katanya, gerai makan itu terletak di kawasan pantai dan angin yang bertiup membuatkan bendera berkibar dan “mewarnai” kedai makan ibunya supaya kelihatan menarik.

“Sehingga kini saya bersama sepupu sudah memasang lebih 100 jalur gemilang bersaiz kecil.

“Mungkin selepas ini dengan sokongan ibu, saya akan memasang Jalur Gemilang yang bersaiz agak besar supaya kelihatan lebih menarik apabila berkibar,” kata murid Tahun Empat di Sekolah Kebangsaan (SK) Geting di sini.

Sungguhpun masih kecil, Syazwani yang berpendirian dan berfikiran matang berkata hanya 12 hari lagi negara akan menyambut hari bersejarah itu dan berharap dalam tempoh pandemik Covid-19, ia tidak akan melunturkan semangat rakyat untuk bersatu menangani wabak itu.

Sepatutnya dalam keadaan seperti ini, rakyat dapat teguh bersatu dan semangat itu perlu ditunjukkan dengan mengibarkan Jalur Gemilang sepanjang masa, luahnya.

“Sebagai murid sekolah kami telah diajar oleh guru tentang Hari Kebangsaan dan bagaimana cara untuk menunjukkan rasa cinta kepada negara.

“Bagi kami berdua, mengibarkan Jalur Gemilang dan mereka bentuk dengan corak sebegini adalah cara kami melahirkan rasa bersyukur dengan keamanan negara yang dinikmati sekarang,” kata anak sulung daripada tiga beradik itu.

Malaysia akan menyambut Hari Kebangsaan yang ke-64 pada 31 Ogos ini bertemakan ‘Malaysia Prihatin’.

-BERNAMA

Categories
PBT SELANGOR

MBSA: Kibar Jalur Gemilang dengan betul, pelihara identiti negara

SHAH ALAM, 18 OGOS: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menasihatkan orang ramai mengibarkan Jalur Gemilang sempena Hari Kebangsaan tahun ini dengan betul dengan tidak menggunakan bendera koyak atau lusuh.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya berkata ia sebagai tanda menghormati bendera yang merupakan lambang identiti negara yang perlu sentiasa dipelihara setiap masa.

“Sempena sambutan Hari Kebangsaan yang ke-64, semua pemilik kediaman, sekolah, kilang, premis perniagaan, rumah kedai dan sebagainya dimohon untuk bersama-sama mengibarkan Jalur Gemilang.

“Orang ramai diseru melakukannya sebagai salah satu cara kita memupuk dan menzahirkan semangat cintakan negara,” katanya dalam kenyataan,” kata Shahrin Ahmad menerusi kenyataan.

Beliau berkata pemasangan Jalur Gemilang itu juga diharap dapat menyemarakkan lagi semangat patriotisme dalam kalangan komuniti setempat di kawasan terbabit.

Categories
AGENDA NASIONAL

Pesara hiasi halaman rumah dengan ratusan Jalur Gemilang

KUALA PILAH, 15 OGOS: Menjadi kelaziman sejak 12 tahun lalu, Mohamad Latif Atan akan mengekspresi semangat cintakan negara dengan menghiasi ratusan bendera Jalur Gemilang di halaman rumahnya di Kampung Tanjung Ipoh dekat sini, setiap kali menjelang bulan Kemerdekaan.

Pesara kerajaan berusia 64 tahun itu dan isteri, Rahimah Abu Bakar, 60, mula mengumpul bendera ketika masih berkerja dan kini mempunyai kira-kira 200 helai bendera pelbagai saiz dengan perbelanjaan RM500.

“Setiap kali menerima gaji, saya beli bendera sedikit demi sedikit, mengumpul bendera ini adalah hobi, dengan cara ini saya dapat zahirkan penghargaan kepada perjuangan masyarakat terdahulu yang mempertahankan kedaulatan negara,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Beliau berkata menjadi kepuasan serta kebanggaan pada dirinya apabila melihat Jalur Gemilang berkibar megah di halaman rumahnya yang dipasang bermula 1 Ogos sehingga 16 Sept setiap tahun.

Selain memasang bendera di halaman rumah, bapa kepada tiga orang anak itu mempunyai kreativiti tersendiri, boleh membuat pakaian, payung dan topi menggunakan Jalur Gemilang untuk menyemarakkan lagi sambutan Hari Kemerdekaan.

“Semasa pandemik ini kita tidak boleh menyambut secara besar-besaran dengan berhimpun tetapi kita boleh sambut secara sendiri di rumah masing-masing seperti memasang bendera dan memakai pakaian tradisional,” katanya.

Sementara itu pesara tentera, Nasharudin Zakaria, 55, dari Johol dekat sini, menghiasi warung ‘Mak Dara’ milik keluarganya, dengan memasang lebih 30 Jalur Gemilang serta 14 bendera setiap negeri.

Nasharudin berkata amalan itu telah dilakukan sejak 10 tahun lalu untuk menyerlahkan semangat patriotik.

“Tahun ini saya sudah membelanjakan kira-kira RM200 untuk membeli bendera dan tiada masalah untuk mengeluarkan modal sendiri sempena Hari Kemerdekaan. Bendera akan dipasang sehingga sambutan Hari Malaysia 16 Sept nanti,” katanya.

Katanya pemasangan bendera itu juga dapat menarik perhatian pelanggan datang membeli juadah makanan di warung berkenaan.

Nasharudin berkata meskipun tiada perarakan atau program kemerdekaan secara bersemuka seperti tahun sebelumnya namun semangat kemerdekaan masih boleh dipupuk menerusi aktiviti pemasangan bendera di kenderaan dan bangunan.

Sikap terpuji Nasharudin itu turut dicontohi anak saudaranya, Nor Izzah Syazana Abdul Talib, 24, yang turut mempunyai minat sama mengumpul bendera untuk dipasang di warung berkenaan.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA RENCANA

Kibar Jalur Gemilang, semai cinta kepada negara

Oleh Balkish Awang

KUALA LUMPUR, 5 OGOS: Berbicara soal merdeka, pastinya yang terlintas di minda umum ialah kebebasan yang diperoleh negara pada 31 Ogos 1957 selepas mengharungi pelbagai liku, dan kisah suka duka itu “diturunkan” oleh satu generasi kepada generasi seterusnya.

Namun seiring peredaran masa, pengalaman perit generasi terdahulu dalam memperjuang kemerdekaan negara sukar dihayati sepenuhnya oleh generasi semasa. Justeru, pelbagai usaha dilakukan agar semangat cintakan negara terus tersemat dalam kalangan masyarakat, dan ini termasuk kempen mengibarkan Jalur Gemilang, panji yang melambangkan kedaulatan negara dan identiti bangsa.

“Menjiwai dan mempunyai rasa kesedaran mengibarkan Jalur Gemilang perlu ada dalam hati rakyat tanpa mengira masa, malah seharusnya (pengibaran Jalur Gemilang) lebih meriah pada Hari Kebangsaan,” kata Yang Dipertua Persatuan Sejarah dan Peradaban Melayu Pulau Pinang Datuk Abdul Kader Md Ali.

Bercakap kepada Bernama, sejarawan itu berkata menerusi pengibaran Jalur Gemilang, masyarakat meluahkan semangat patriotik dan rasa bangga menjadi rakyat negara ini.

“Kita telah mengecapi nikmat kebahagiaan dan kebebasan hasil perjuangan dan pengorbanan mereka (generasi terdahulu). Sebagai tanda kasih sayang kita kepada mereka dan cintanya kita kepada negara yang tidak berbelah bagi, malah berbangga dengan bendera lambang kemegahan negara, ayuh kita kibarkan Jalur Gemilang, menandakan terima kasih yang begitu tinggi kita hadiahkan kepada mereka yang berjasa kepada bangsa dan negara sehingga kita hidup dengan aman dan harmoni,” katanya.

Beliau juga menegaskan semangat tersebut harus dipupuk sejak awal usia agar generasi berkenaan dapat terus memelihara kedaulatan negara pada masa akan datang.

Lebih baik lagi, katanya, Jalur Gemilang dikibarkan pada sepanjang masa, manakala generasi muda pula memanfaatkan media sosial untuk “mencantikkan” lagi suasana kegembiraan meraikan ulang tahun hari kemerdekan negara.

Sejarah Jalur Gemilang

Menyingkap kisah Jalur Gemilang, Abdul Kader berkata pada 1949, Raja-raja Melayu memberi perkenan agar satu jawatankuasa ditubuhkan bagi menimbang dan memutuskan reka bentuk bendera Persekutuan Tanah Melayu, dan untuk itu satu pertandingan diadakan.

“Pertandingan ini dianjurkan oleh Majlis Perundangan Persekutuan Tanah Melayu. Pada pertandingan akhir reka cipta dan reka bentuk bendera Tanah Melayu ini, terdapat tiga reka cipta bendera dipilih untuk penilaian terakhir bagi mendapatkan perkenan Raja-raja Melayu.

“Akhirnya reka bentuk milik Mohamed Hamzah, seorang arkitek di Jabatan Kerja Raya dipilih sebagai pemenang pertandingan tersebut dan kemudiannya diperakui oleh Majlis Raja-Raja pada tanggal 23 Feb 1950. Selepas itu, beberapa pindaan dibuat antaranya lambang bulan sabit dan bintang pada asalnya warna putih, ditukar kepada warna kuning sebagai lambang warna diraja,” katanya.

Beliau berkata bendera Persekutuan Tanah Melayu dikibarkan buat pertama kali pada 26 Mei 1950 di perkarangan Istana Sultan Selangor di Kuala Lumpur.

Dikenali sebagai Bendera Malaysia sejak 1950, pada ulang tahun Hari Kemerdekaan ke-40 pada 1997, namanya ditukar kepada Jalur Gemilang.

“Nama itu diilhamkan dan diusulkan oleh Datuk Hashim Mat Dris. Cadangan ini dikemukakan kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad – sekarang Tun Dr Mahathir) pada tanggal 11 Julai 1997. Pengisytiharan oleh Dr Mahathir (perdana menteri ketika itu) berlangsung pada 11.58 malam di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur bersempena Hari Kemerdekaan Negara yang ke-40, malam 31 0gos 1997,” katanya.

Terjemah cinta menerusi bendara di laman rumah

Menghias rumah menggunakan bendera antara terjemahan cinta kepada negara yang boleh dilihat di halaman rumah seorang pendidik, Normala Md Desa, 58, di Kampung Perlis, Balik Pulau, Pulau Pinang.

“Saya rasa cukup tenang dan amat gembira bila melihat bendera ditiup angin dan amat cantik pemandangan tatkala bendera berkibar ditiup angin. Rasa puas menyelubungi diri melihat satu mercu kebanggaan negara terus berkibar megah dan di situ lahirnya rasa semangat jati diri kepada negara Malaysia tercinta,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Guru Tadika Perpaduan Pantai Jerejak itu berkata menjadi kelazimannya dan anak perempuan beliau, Nurul Nadiah Tajuddin, 25, untuk menatarias rumah mereka menjelang ulang tahun hari kemerdekaan.

Pada tahun ini, ibu kepada lima cahaya mata itu bercadang menggunakan tema flora dan fauna.

“Saya akan ambil ranting pokok dan lekatkan bendera. Di halaman rumah banyak pokok bunga, jadi saya akan hias di situ,” katanya yang turut menggunakan bahan terbuang.

Mengulas sumbangannya bagi menyemai semangat patriotik dalam kalangan generasi muda, Normala berkata beliau menugaskan anak muridnya menyiapkan projek berkisarkan kemerdekaan.

“Sekarang adalah masa terbaik untuk memupuk semangat cintakan negara kerana ibu bapa dan anak-anak banyak menghabiskan masa bersama di rumah. Didik mereka untuk kenal jati diri. Untuk anak murid saya sebagai satu projek PdPR, saya telah meminta mereka buat satu projek reka cipta mercu tanda Malaysia daripada bahan terbuang mengikut kreativiti masing-masing,” katanya yang turut meminta anak murid membuat buku skrap tentang sejarah kemerdekaan bersama ibu bapa.

Normala berkata beliau kini dalam proses mendapatkan bendera dan akan menyiapkan hiasan pada pertengahan Ogos ini berikutan cuaca di Balik Pulau kini sangat panas, selain keadaan angin kuat yang sedikit-sebanyak menyukarkan pemasangan bendera.

Pada tahun lepas, Normala dan anak perempuannya menjadikan Covid-19 sebagai tema hiasan rumah, yang mana beliau mereka cipta replika Covid-19 menggunakan 14 batang aloi dan kemudian membentuknya menjadi simbol rakyat Malaysia berjuang melawan Covid-19.

Kreativiti Normala menarik perhatian orang ramai yang lalu di hadapan rumahnya sehingga ada yang mengambil kesempatan merakam momen mereka di situ.

Menurut wanita itu, beliau juga pernah membina replika kereta api Bukit Bendera, Jambatan Pulau Pinang serta Menara Berkembar Petronas yang diletakkan di halaman rumahnya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Zii Jia ganti Khairul Anuar bawa jalur gemilang di Olimpik Tokyo

KUALA LUMPUR, 6 JULAI: Pemain badminton perseorangan lelaki nombor satu negara Lee Zii Jia akan menggantikan jaguh memanah Khairul Anuar Mohamad sebagai pembawa bendera pada upacara pembukaan Sukan Olimpik Tokyo 23 Julai ini.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria yang mengesahkan penggantian itu berkata Khairul Anuar meminta untuk diberi pelepasan daripada menjadi pembawa bendera dalam upacara pembukaan Sukan Olimpik Tokyo kerana akan menyertai saingan pada 24 Julai.

Mohamad Norza berkata Khairul Anuar dijangka beraksi pada pusingan kelayakan acara recurve berpasukan campuran bersama Syaqiera Mashayikh di Yumenoshima Park Archery Field.

Penarikan diri Khairul Anuar itu menyaksikan Zii Jia kini akan bergandingan bersama seorang lagi pemain badminton beregu campuran Goh Liu Ying bagi membawa bendera Malaysia.

“Keputusan mesyuarat MOM pagi tadi memutuskan untuk memilih kombinasi muka lama dan muka baharu.

“Oleh sebab itu, Zii Jia dipilih kerana beliau merupakan antara atlet yang pertama kali ke Olimpik selain merupakan generasi masa depan Sukan Olimpik dan prospek pingat negara kali ini manakala Liu Ying pula pernah beraksi pada temasya sukan berkenaan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Mohamad Norza pada 3 Mei lepas mengumumkan MOM memberikan penghormatan kepada Liu Ying dan Khairul Anuar bagi menggalas tugas sebagai pembawa bendera.

Liu Ying, 32, dan pasangannya Chan Peng Soon, 33, yang berkedudukan ketujuh terbaik dunia merupakan pemenang pingat perak ketika Sukan Olimpik di Rio pada 2016 selepas tewas 14-21, 12-21 kepada pasangan Indonesia Tontowi Ahmad dan Liliyana pada aksi final.

Zii Jia, 23, pula dijangka bakal memberi cabaran pingat di Tokyo berikutan kejayaan merangkul gelaran All England setelah mengalahkan pemain nombor dua dunia, Viktor Axelsen dari Denmark 30-29, 20-22, 21-9 di final di Birmingham pada Mac lepas.

Kontinjen negara di Sukan Olimpik Tokyo bakal mencipta sejarah apabila buat pertama kalinya Malaysia akan menampilkan dua pembawa bendera pada upacara pembukaan.

Sementara itu, MOM dalam satu kenyataan memaklumkan mesyuarat turut menekankan persiapan atlet dan pegawai ke Sukan Olimpik Tokyo selain kepentingan mengamalkan langkah mengelakkan penularan Covid-19 dalam kalangan kontinjen Malaysia iaitu sebelum, semasa dalam penerbangan dan setibanya di Tokyo.

Seramai 30 orang atlet akan mewakili negara dan bertanding dalam 10 acara di Sukan Olimpik Tokyo, pada 23 Julai hingga 8 Ogos ini.

-BERNAMA