Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor sambut baik peruntukan untuk dua projek pembangunan negeri

HULU LANGAT, 7 NOV: Kerajaan Negeri mengalu-alukan peruntukan bagi pembangunan infrastruktur dua projek di Selangor menerusi Belanjawan 2021.

Dato’ Menteri Besar berkata peruntukan tersebut bagi melaksanakan Jambatan Ketiga Klang fasa dua dan tiga projek lingkaran Pulau Indah yang sudah lama dipohon.

“Perkara ini dibincangkan sejak dua tahun lepas dengan kerajaan Persekutuan. Saya berterima kasih kerana memasukkan (peruntukan) dengan nilai agak besar,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari kepada media selepas program lawatan pasca banjir di Taman Sri Nanding di sini hari ini.

Semalam, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan hampir RM3.8 bilion disalurkan bagi pembangunan insfrastruktur termasuk dua projek di Selangor.

Katanya, kerajaan juga akan memperkasa Orang Asli di Hulu Selangor dan melaksana inisiatif keusahawanan orang kelainan upaya (OKU) dikendalikan Komuniti Belia Selangor (SAY) bagi membiayai golongan terjejas Covid-19.

Categories
SELANGOR

Kerajaan Negeri tunggu bayaran balik kos bina Jambatan Ketiga Klang

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 19 MAC : Kerajaan Negeri sedang mengemukakan permohonan tuntutan pembayaran semula kos pembinaan Jambatan Ketiga Klang, yang juga dikenali sebagai Jambatan Raja Muda Nala.

EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata, permohonan itu dikemukakan kepada Kementerian Hal Ehwal Ekonomi sebelum ini.

“Penyaluran peruntukan pembangunan jambatan terbabit secara dasarnya telah dipersetujui Kerajaan Persekutuan,” katanya ketika Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Sze Han berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin berkenaan perbincangan terkini dan kerjasama antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan bagi isu infrastruktur dan kemudahan awam.

Pembinaan Jambatan Ketiga Klang bernilai kira-kira RM199 juta itu dibina sepanjang 2.5 kilometer merentasi Sungai Klang dari persimpangan Sungai Udang dan berakhir di Tanjung Syawal.

Jambatan yang dibina pada Julai 2014 itu bertujuan bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas dan menyuraikan trafik sekitar Klang.

Untuk rekod, Raja Muda Nala, adalah putera kepada Sultan Selangor yang pertama, Sultan Sallehuddin Shah.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

DYMM Sultan Selangor berkenan merasmikan Jambatan Raja Muda Nala

OLEH AFIX REDZUAN

KLANG, 19 NOV: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenanan menyempurnakan perasmian Jambatan Ketiga Klang yang dinamakan Jambatan Raja Muda Nala.

Baginda berangkat tiba sekitar jam 10 pagi bersama Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin sambil diiringi Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan isteri, Datin Seri Shamshida Taharin.

Jambatan sepanjang 2.5 kilometer yang merentasi Sungai Klang sejauh 1.2 kilometer tanpa tol dengan kos pembinaan RM199 juta mula dibina pada 17 Julai 2014 dan siap sepenuhnya 15 Jun 2017.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali ketika menyampaikan sembah ucapan Majlis Perasmian Jambatan Ketiga Klang berkata jambatan ini dibina dengan pembiayaan sepenuhnya Kerajaan Negeri tanpa pinjaman daripada institusi perbankan tempatan atau luar negara.

“Pembangunan yang diberikan keutamaan Kerajaan Negeri adalah pembangunan berkualiti demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat serta menjamin alam sekitar, pemuliharaan hutan dan kawasan hijau serta membudayakan teknologi hijau,” katanya.

Beliau berkata pembangunan berkualiti mampu merancakkan pertumbuhan ekonomi yang mampan selain penyediaan infrastruktur terbaik untuk menarik kehadiran pelabur berlabuh di Selangor.

Menurutnya, dengan adanya Jambatan Raja Muda Nala ini bakal menyelesaikan masalah aliran trafik yang menghubungkan Teluk Pulai dan Sungai Bertek di bahagian selatan dan Tanjung Syawal di sebelah utara.

Jambatan jenis ‘segmental box girder’ yang terletak di tengah-tengah Sungai Klang adalah antara terpanjang di Malaysia.

Proses tender terbuka dilakukan bermula 24 Mac 2014 hingga 22 April 2014 dengan penyertaan 23 kontraktor.

Syarikat Cergas Murni Sdn Bhd dipilih menerusi Lembaga Tender peringkat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor pada mesyuarat 21 Mei 2014 untuk menyiapkan jambatan ini selepas melepasi penilaian teknikal dan menawarkan harga terbaik dengan tempoh pembinaan selama tiga tahun.

=EZY=

Categories
SELANGOR

LKSA bertol, Jambatan Ketiga Klang percuma

OLEH LIZAWATI MADFA

KLANG, 25 MEI: Jambatan Ketiga Klang tidak mengenakan sebarang bayaran, walaupun kos RM225 juta itu boleh dicaj semula kepada pengguna.

Ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam (PAC), Rodziah Ismail berkata, jika 1,000 pengguna dicaj RM1 pergi dan balik setiap hari, Kerajaan Negeri mampu mendapatkan semula seluruh peruntukan dikeluarkan selepas tempoh 14 tahun.

Katanya, Kerajaan Negeri bagaimanapun tidak berminat menggunapakai kaedah yang menekan rakyat itu.

“Bila berada di atas jambatan ini (Jambatan Ketiga Klang), saya teringat kepada Lebuhraya Kemuning Shah Alam (LKSA) yang mengenakan tol kepada pengguna walaupun jaraknya lebih kurang sama sekitar 1.2 kilometer.

“Inilah yang mahu kita buktikan kepada rakyat, bahawa kerajaan sebenarnya boleh tawarkan perkara sebegini menerusi kos mudah dan tidak membebankan,” katanya kepada pemberita.

Terdahulu, beliau menyertai lawatan turun padang PAC ke Jambatan Ketiga Klang, di sini, hari ini.

Semalam, Exco Infrastruktur & Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib menyempurnakan Majlis Pra-Pembukaan Laluan Jambatan Ketiga Klang.

Pembukaan berkenaan bagi memenuhi keperluan Road Safety Audit (RSA) Peringkat 4 untuk menilai keberkesanan ciri keselamatan diterapkan pada reka bentuk jambatan.

Categories
SELANGOR

PAC puas hati status Jambatan Ketiga Klang

OLEH LIZAWATI MADFA

KLANG, 25 MEI: Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam (PAC) secara keseluruhan berpuas hati dengan perkembangan terkini pembinaan Jambatan Ketiga Klang yang sudah dibuka kepada orang ramai.

Pengerusinya, Ng Suee Lim berkata, pihaknya sudah mendengar taklimat Jabatan Kerja Raya (JKR) berhubung pembinaan jambatan dengan kos RM200 juta itu yang ditimbulkan Laporan Ketua Audit Negeri, sebelum ini.

“Kita ambil maklum teguran berkenaan dan kita turun serta siasat sendiri apa sebenarnya berlaku dan selepas mendengar taklimat kita berpuas hati walau terdapat sedikit kelewatan pembinaan jambatan ini.

“Yang penting ia sudah siap dan kita dapati hari ini ramai pengguna kerana ia menjimatkan masa serta mengurangkan gangguan trafik di Klang,” katanya dalam sidang media.

Terdahulu, beliau dan Ahli Jawatankuasa PAC lain termasuk Rodziah Ismail, Ng Tien Cheen dan Dr Abdul Rani Othman mengadakan lawatan turun padang ke Jambatan Ketiga Klang, di sini, yang turut disertai wakil Jabatan Audit.

Semalam, Exco Infrastruktur & Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib menyempurnakan Majlis Pra-Pembukaan Laluan Jambatan Ketiga Klang.

Zaidy berkata, skop kerja utama projek itu meliputi kerja struktur seperti cerucuk, tiang jambatan dan ‘segmental box girder’ serta kerja pelebaran jalan dan menaik taraf sistem perparitan.

“Kos keseluruhan pembinaan jambatan berjumlah RM199,156,069.39 dibiayai sepenuhnya Kerajaan Negeri menggunakan rezab hasil penjimatan dan perbelanjaan berhemah diamalkan sejak 2008,” katanya.

Categories
SELANGOR

Persekutuan perlu tanggung kos Jambatan ketiga Klang

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 23 NOV: Kerajaan Negeri mengambilalih projek pembinaan jambatan ketiga di Klang daripada Kerajaan Persekutuan selepas ia tertangguh berikutan kekalahan Barisan Nasional (BN) di Selangor pada 2008.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata Kerajaan Negeri mengambil tanggungjawab itu kerana menyedari ia amat penting bagi keperluan penduduk dan orang ramai di bandar DiRaja berkenaan.

“Kita terpaksa menggunakan kedudukan kewangan negeri yang kukuh bagi menyiapkan projek ini demi kepentingan awam.

“Ia kerana kesesakan lalu lintas pada waktu puncak di bandar itu amat serius dan mereka memerlukan sebuah jambatan baru,” katanya kepada media di sini, hari ini.

pc-11-of-19Mengulas lanjut, beliau berkata, biarpun projek itu diambilalih Kerajaan Negeri, perbincangan mengenai kos pembinaannya pernah dibincangkan bersama Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak, ketika peringkat awal dirinya dilantik sebagai Dato’ Menteri Besar.

“Saya meminta untuk dipertimbangkan apa jua kos ditanggung Kerajaan Negeri perlu dibayar semula Kerajaan Persekutuan.

“Namun, saya belum mendapat apa-apa maklum balas,” katanya.

Dilaporkan, pembinaan jambatan ketiga itu akan dilaksanakan Kerajaan Persekutuan dengan majlis pelancaran projek turut dijalankan ketika Dato’ Seri S Samy Vellu mengetuai Kementerian Kerja Raya.

Bagaimanapun, projek terbabit tertangguh apabila pentadbiran Kerajaan Negeri bertukar tangan.

-nR-

Categories
SELANGOR

MB rasmi pecah tanah jambatan ketiga Klang hari ini

Oleh: AFIX REDZUAN

KLANG, 6 OGOS: Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Jambatan Ketiga Sungai Klang akan disempurnakan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di tapak cadangan pembinaan berhampiran Jalan Sungai Bertih, di sini, hari ini.

Majlis pecah tanah itu menandakan pembinaan jambatan ketiga bakal dimulakan, sekali gus memenuhi tanggungjawab menyiapkan projek yang gagal dilaksanakan Barisan Nasional selepas tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-12 bagi memenuhi keperluan rakyat Selangor.

Melalui proses tender terbuka, syarikat Cergas Murni Sdn Bhd memenangi tender projek berkenaan selepas melepasi syarat penilaian teknikal dengan tawaran harga berjumlah RM199,156,069.36.

pemenang rekabentuk jambatan klang 01Sebelum ini, Cergas Murni sudah melaksanakan proses awal seperti kerja ukur, penyediaan insurans dan bon pelaksanaan.

Proses tender terbuka dibuka kepada umum pada 19 Mac hingga 22 April lalu dan 23 syarikat kontraktor mengambil bahagian.

Surat setuju membina projek jambatan ketiga Klang diserahkan secara rasmi kepada Cergas Murni, pada 26 Jun lalu.

Kerja pembinaan jambatan ketiga Klang itu akan mengambil masa selama 104 minggu dan dijangka siap pada Julai 2016.

jambatan ketigaReka bentuk jambatan terbabit bercirikan kapal layar dan keris yang dihasilkan syarikat Vast Consultants Sdn Bhd selepas memenangi pertandingan yang dianjurkan Jabatan Kerja Raya Negeri Selangor, tahun lalu.

Jambatan ketiga Klang sepanjang 2.5 kilometer akan bermula selepas persimpangan Sungai Udang/Teluk Pulai dan berakhir di persimpangan Jalan Goh Hock Huat.

-NFN-

Categories
KENYATAAN MEDIA

MB: Pelancaran pelaksanaan Projek Jambatan Ke-3 Klang pada 6 Ogos

Kerajaan Negeri akan menganjurkan Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Jambatan Ketiga Sungai Klang bertempat di tapak cadangan pembinaan projek berhampiran Jalan Sungai Bertih di Klang pada 6 Ogos 2014.

Syarikat kontraktor yang telah dipilih menerusi proses tender terbuka, Cergas Murni Sdn Bhd pada ketika ini sedang melaksanakan kerja-kerja awalan seperti kerja ukur, penyediaan insurans dan bon pelaksanaan.

jambatan ketigaSyarikat Cergas Murni Sdn Bhd telah terpilih memenangi tender projek ini selepas melepasi syarat penilaian teknikal dengan tawaran harga berjumlah RM199,156,069.36.

Proses tender terbuka telah dibuka kepada umum pada 19 Mac hingga 22 April 2014 dan sebanyak 23 syarikat kontraktor telah mengambil bahagian.

Surat Setuju Membina Projek Jambatan Ketiga Klang diserahkan secara rasmi kepada syarikat Cergas Murni Sdn Bhd pada 26 Jun lalu.

Kerja-kerja pembinaan Jambatan Ketiga Klang ini akan mengambil masa selama 104 minggu dan dijangka siap pada Julai 2016.

Rekabentuk jambatan ini bercirikan kapal layar dan keris yang dihasilkan syarikat Vast Consultants Sdn Bhd yang memenangi pertandingan rekabentuk yang dianjurkan Jabatan Kerja Raya Negeri Selangor pada tahun lalu.

Jambatan Ketiga Klang sepanjang 2.5km akan bermula selepas persimpangan Sg.Udang/ Teluk Pulai dan berakhir di persimpangan Jalan Goh Hock Huat.

Selain pembinaan struktur utama jambatan, projek ini termasuk jalan-jalan baharu menghubungkan jambatan, menaiktaraf sistem perparitan sepanjang jalan dan mengalihkan kemudahan awam yang termasuk dalam laluan projek ini.

Projek Jambatan Ketiga Klang ini merupakan cadangan asal Kerajaan Negeri Barisan Nasional yang mana majlis pecah tanah diadakan pada 4 Mac 2008 iaitu empat hari sebelum Pilihan Raya Umum ke 12 tetapi gagal dilaksanakan.

Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat mengambil tanggungjawab untuk menyiapkan projek ini menggunakan peruntukan dari rizab negeri bagi memenuhi keperluan orang ramai khususnya rakyat Selangor.

Kita menjangkakan pembinaan jambatan ini berupaya mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas di bandar Klang yang merupakan bandar ketiga paling sesak di Negeri Selangor.

Kerajaan Negeri berharap rakyat Selangor khususnya penduduk di daerah Klang bersabar menantikan projek ini disiapkan kerana ia akan memudahkan perjalanan ke Shah Alam dan Kuala Lumpur tanpa perlu melalui bandar Klang.
YAB TAN SRI DATO’ SERI ABDUL KHALID IBRAHIM
DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR

Jambatan Ketiga Klang kurangkan 20% kesesakan, siap Julai 2016

Jambatan Ketiga Klang dijangka siap pada 13 Julai 2016 mampu menyuraikan kesesakkan lalulintas di sekitar Bandar Klang, Jambatan Tengku Kelana dan Jambatan Kota hingga kira-kira 20 peratus berbanding aliran trafik pada masa ini.

Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Dr Ahmad Yunus Hairi berkata keputusan itu diperolehi daripada kajian impak dijalankan Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor sebelum projek Jambatan Ketiga Klang dimulakan pada pertengahan bulan hadapan.

Categories
SELANGOR

Jambatan Ketiga Klang kurangkan 20% kesesakan, siap Julai 2016

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 26 JUN: Jambatan Ketiga Klang dijangka siap pada 13 Julai 2016 mampu menyuraikan kesesakkan lalulintas di sekitar Bandar Klang, Jambatan Tengku Kelana dan Jambatan Kota hingga kira-kira 20 peratus berbanding aliran trafik pada masa ini.

Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Dr Ahmad Yunus Hairi berkata keputusan itu diperolehi daripada kajian impak dijalankan Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor sebelum projek Jambatan Ketiga Klang dimulakan pada pertengahan bulan hadapan.

g2 (1)“Mengikut kajian JKR Selangor, secara purata sebanyak 43,000 kenderaan menggunakan Jambatan Tengku Kelana dan 147,087 bagi Jambatan Kota bagi setiap 16 jam tetapi dengan adanya Jambatan ketiga Klang ini dijangka mampu menyuraikan kira-kira 60 ribu kenderaan.

“Ini menjadikan kita mampu menampung jumlah kenderaan sehingga tahun 2032,” Kata Dr Ahmad Yunus dalam sidang media Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima Bagi Projek Membina Jambatan Ke-3 Klang di Foyer Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini, hari ini.

Kata Dr Ahmad Yunus lagi, syarikat pembinaan, Cergas Murni Sdn Bhd dilantik sebagai kontraktor pembinaan itu selepas berjaya melepasi penilaian teknikal dan menawarkan harga terendah dalam tender terbuka projek yang menggunakan wang rezab Kerajaan Negeri itu.

“Proses tender terbuka untuk projek ini dibuka pada 19 Mac 2014 dan ditutup pada 22 April 2014 dengan seramai 23 kontraktor mengambil bahagian dalam proses tender ini dan proses pembukaan tender di hadapan umum diadakan pada sebelah petang hari penutupan tender,” kata beliau lagi.

jambatan ketigaSebelum itu Pengarah JKR Selangor, Datuk Hamizan Mohd Inzan ketika taklimat dalam majlis sama menjelaskan pembinaan jambatan itu tidak melibatkan struktur di dalam sungai yang boleh menyebabkan longgokkan mendapan sampah dan menghalang lalulintas pengangkutan air di Sungai Klang nanti.

Jambatan ketiga Klang yang menghubungkan Jalan Tanjung Shawal dan Jalan Sungai Bertih akan dibina dalam dua fasa iaitu fasa pertama, pembinaan jambatan dan fasa kedua untuk kerja pelebaran jalan.

EZY

Categories
NASIONAL SELANGOR

Jambatan ke-3 Klang dalam proses akhir rekabentuk

MB pc tie belang 01

KLANG 27 OGOS : Projek pembinaan Jambatan Ketiga Klang yang merentasi Sungai Klang kini dalam proses terakhir membuat reka bentuk.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata pembentangan pelan reka bentuk akan dibentangkan Khamis ini selepas pihaknya mengadakan perbincangan dengan pihak teknikal dan Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Jangkaan kita tender akan dibuat selepas bulan Oktober atau November dan selepas itu kita akan mulakan proses pembinaan,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Anugerah Prihatin Majlis Perbandaran Klang (MPK) di Hotel Premiere.

Abdul Khalid ketika ditanya kos pembinaan beliau berkata pihaknya sudah meneliti urusan itu dan akan membuat beberapa perubahan supaya sesuai dengan kawasan dan keadaan bentuk sungai.

“Kita juga akan mengambil kira tentang struktur jalan yang akan disambungkan dengan jambatan itu,” katanya.

Dalam persidangan Dewan Negeri Selangor yang lalu, Abdul Khalid mengumumkan bahawa Kerajaan Negeri bercadang menggunakan RM300 juta daripada rizab negeri bagi melaksanakan projek itu.

Jambatan sepanjang dua kilometer termasuk jalan penghubung dengan enam korong itu bertujuan untuk mengatasi masalah kesesakan lalu lintas lebih 200,000 kenderaan yang menggunakan jambatan sedia ada.

Sementara itu, Khalid berkata pembangunan prasarana di Pelabuhan Klang dijangka menelan kos sebanyak RM1.5 bilion.

“Majlis Perbandaran Klang sedang membuat beberapa perancangan supaya Pelabuhan Klang dapat dimajukan sesuai dengan tahapnya sebagai pelanbuhan yang ke-13 terbesar di dunia,” jelas Khalid.

Antara perancangan yang dipertimbangkan adalah pembinaan jalanraya yang baru bagi melicinkan aliran pengangkutan.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Tender Terbuka Jambatan Klang Ketiga Dijangka Pada Oktober Ini

pemenang rekabentuk jambatan klang 01

SHAH ALAM 8 JULAI : Tender terbuka untuk pembinaan Jambatan Ketiga Klang dijangka akan dikeluarkan pada Oktober tahun ini.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, kini proses pembinaan jambatan itu berada di peringkat ketiga dengan pelaksanaan ‘bill of quantities’.

‘Bill of Quantities’ adalah dokumen butiran terperinci berkenaan sesuatu projek pembinaan bagi membolehkan kontraktor mengemukakan tawaran bidaan projek itu.

Ujar beliau, sebelum ini Kerajaan Negeri mengadakan pertandingan rekabentuk yang akan digunakan untuk projek itu.

“Peringkat pertama memperkenalkan tempat dan disusuli satu pertandingan untuk rekabentuk tersebut.

“FARS Consultant menang untuk rekabentuk itu untuk mendapat pemerhatian masyarakat,” kata beliau di dalam ucapannya di dalam sidang Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Kerajaan Negeri memperuntukkan RM 300 juta daripada rizab negeri untuk membina jambatan sepanjang 500 meter itu.

Kerajaan Umno-BN berjanji untuk membina jambatan ketiga ini pada tahun 2008 tetapi tidak menunaikannya walaupun majlis pecah tanah pembinaan jambatan itu telah dilakukan.

Pada sidang DNS tahun lepas, Abdul Khalid berkata kerajaan negeri akan melaksanakan projek itu dan menuntut kos pembinaannya daripada kerajaan persekutuan.

Pembinaan jambatan merentasi Sungai Klang ini penting kepada pengguna jalan raya khususnya penduduk di Klang kerana tidak perlu meredah kesesakan di tengah bandar Klang untuk ke Kuala Lumpur atau ke Pelabuhan Klang.