Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

EXCO hargai jasa JKR, ATM pulihkan jambatan runtuh akibat banjir Hulu Langat

SHAH ALAM, 3 JAN: EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam menghargai jasa pasukan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kerana menyiapkan jambatan mudah alih di Jalan Sungai Lui, Hulu Langat semalam.

“Alhamdulillah, pemasangan semua komponen Jambatan Bailey (mudah alih) di Jalan Sungai Lui, Hulu Langat telah disiapkan oleh JKR Petaling dalam tempoh 24 jam dengan dibantu pihak ATM.

“Terima kasih kepada semua yang terlibat dalam kerja pemasangan ini. Insya-Allah, saya akan maklum perkembangan kerja pembaikan infrastruktur dari semasa ke semasa,” kata Ir Izham Hashim di Facebook.

Pembinaan jambatan sementara sepanjang 18.24 meter dengan kelebaran 7.35 meter itu bagi membantu 12 keluarga yang terputus hubungan dengan laluan utama selepas jambatan ke kawasan kediaman mereka yang merentasi Sungai Langat runtuh akibat banjir.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180mm, mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.