Categories
NASIONAL

PAS gesa kerajaan pusat tarik kenyataan berhubung isu kalimah Allah

Oleh : Afeeqa Afeera

KUALA LUMPUR 11 NOV : Kerajaan pusat digesa supaya menarik semula kenyataan mereka yang memburuk-burukkan PAS berhubung penggunaan kalimah Allah dalam kitab Bible kerana mereka sendiri membenarkan penggunaannya untuk rakyat di Sabah dan Sarawak.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar, berkata kerajaan juga perlu meminta maaf secara terbuka kepada seluruh masyarakat Islam kerana mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan.

“Saya gesa Barisan Nasional (BN) yang mengeluarkan pelbagai kenyataan sehingga menimbulkan persepsi tidak baik kepada PAS dan menimbulkan ketegangan antara umat Islam dan bukan Islam perlu tarik balik kenyataan itu,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, di sini, hari ini.

Mahfuz berkata, pendirian kerajaan kononnya akan mempertahankan kalimah Allah iaitu hak eksklusif masyarat Islam di negara ini ketika pilihan raya lalu juga jelas berasaskan sentimen politik.

Katanya, tindakan BN yang berdolak-dalih berkenaan isu itu hanya sekadar untuk meraih kepentingan politik hingga menjadikan hubungan antara masyarakat Islam dan bukan Islam di negara ini tidak harmoni.

“Saya ingin tegaskan supaya masyarakat tahu ini pendirian kerajaan yang dihebohkan dan bukan berasaskan agama tetapi sentimen politik untuk menghangatkan suasana politik.mahfuz omar

“Saya juga minta masyarakat faham bagaimana mereka terperangkap dalam agenda sangat busuk yang dilakukan kerajaan BN,” katanya.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom mengelak untuk mengaku kerajaan membenarkan kalimah Allah digunakan di Sabah dan Sarawak sewaktu menggulung perbahasan Belanjawan 2014, di Dewan Rakyat, petang tadi.

Beliau diasak berulang kali oleh Mahfuz, Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr Mujahid Yusof dan Ahli Parlimen Batu, Tian Chua yang menggesa Jamil mengaku secara terus terang bahawa kabinet membenarkan perkara itu.

Jamil sebaliknya berulang kali sekadar menyebut ketetapan itu mempunyai kaitan dengan Penyelesaian 10 Perkara yang dipersetujui kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Sabah dan Sarawak.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Murtad Berlaku Di Era Umno-BN, Mereka Perlu Salahkan Diri Sendiri, Kata Tuan Ibrahim

SHAH ALAM, 12 NOV : Kerajaan Umno-BN seharusnya menyalahkan diri sendiri berhubung isu umat Islam murtad kerana sejarah membuktikan ia berlaku di zaman pentadbirannya apabila permohonan sebahagian umat Islam diluluskan bagi tujuan berkenaan.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kes murtad di sisi Islam adalah satu kesalahan besar yang tidak sewajarnya dibenarkan.

Menurutnya, kenyataan dibuat Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom pada tahun lepas terdapat sejumlah 168 permohonan murtad diluluskan, perlu direnung secara serius oleh kerajaan Umno-BN sebelum menyalahkan pihak lain dengan isu yaang belum pasti kesahihannya.

“Kita pun rasa pelik macam mana majlis agama boleh meluluskan untuk orang murtad kerana kalau dilihat dalam peraturan Islam, murtad ini satu kesalahan besar dan tidak sepatutnya jabatan agama atau menteri yang bertanggungjawab membuat kelulusan.

“Sepatutnya mereka yang nak murtad itu dibimbing dan dipertahankan akidah melalui majlis bimbingan atau dihantar ke program pemantapan akidah. Kita rasa dukacita dengan kenyataan tersebut apabila permohonan mereka diluluskan, maka apa sebenarnya kita perlu mendapat penjelasan lanjut daripada beliau (Jamil Khir),” katanya kepada TVSelangor ketika dihubungi di sini hari ini.

Tuan Ibrahim berkata, bagi pimpinan PAS isu berkaitan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Ibrahim secara tiba-tiba diperbesarkan oleh pemimpin Umno-BN dengan laporan di media arus perdana kawalannya.

Beliau berkata, isu tersebut tidak seharusnya dipolitikkan dan maklumbalas daripada Nurul Izzah sendiri perlu bagi penjelasan sebenarnya terhadap apa dinyatakan.

“Apa sebenarnya yang diucap? Bila kita mengulas laporan Utusan Malaysia sebab Utusan Malaysia memang memfitnah dan memutarpelitkan kenyataan sebenar.

“Saya fikir isu ini bukan untuk mencegah dan menyelamatkan soal akidah kerana sebelum ini Datuk Seri Chua Soi Lek yang menghina Islam, langsung tidak dikritik oelh pemimpin Umno-BN pun dan juga kenyataan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) yang menolak hukum hudud,” katanya.

Dalam forum bertajuk “Islamic State: Which version? Whose responsibility?”yang berlangsung baru-baru ini, Nurul Izzah selaku penalis didakwa mengeluarkan kenyataan bahawa kebebasan beragama seharusnya terpakai kepada semua termasuk orang Melayu.

Nurul Izzah bagaimanapun menafikan perkara itu dan hadir membuat penjelasan kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Sabtu lepas.

Jamil Khir Diminta Perjelaskan Agihan Zakat MAIWP

SHAH ALAM 13 FEB : Pemuda PAS hari ini meminta penjelasan daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama Islam), Datuk Seri Jamil Khir Baharom berhubung kelulusan permohonan peruntukkan Yayasan Taqwa berjumlah RM1 juta daripada Jawatankuasa Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Ketua Pemuda Pas, Nasruddin Hassan Tantawi berkata, situasi ini menimbulkan tanda tanya memandangkan kedua-dua agensi tersebut dipengerusikan sendiri oleh Datuk Seri Jamil Khir.

“Pada 17 September 2011, Yayasan Taqwa telah memohon sebanyak RM1 juta daripada Jawatankuasa Baitulmal MAIWP tetapi pada 12 November 2011, mereka (MAIWP) telah meluluskan RM4 juta,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, situasi ini menimbulkan tanda tanya kerana permohonan ini daripada Jamil Khir kepada Jamil Khir dan diluluskan sendiri oleh Jamil Khir.

Selain itu, pihaknya turut menuntut penjelasan terperinci berhubung penggunaan wang tersebut memandangkan ianya melibatkan jumlah yang besar.

Katanya, perkara ini perlu diberikan perhatian serius kerana membabitkan penggunaan jumlah wang zakat yang besar. Sedangkan masih ramai yang belum dapat menikmati agihan zakat sepenuhnya meskipun jumlah pungutan MAIWP meningkat setiap tahun.

“Rasional apa Yayasan Taqwa itu diwujudkan dalam keadaan MAIWP memang diwujudkan untuk memungut dan mengagihkan zakat. Timbul tanda tanya yang besar. Kenapa perlu diwujudkan satu lagi badan untuk dialirkan wang itu kepada perkara-perkara lain yang selain asnaf untuk diberikan secara terus kepada mereka (asnaf),” soal beliau.

Yayasan Taqwa adalah agensi yang berada di bawah MAIWP yang ditubuhkan pada tahun 1990 dan ditubuhkan dibawah akta syarikat.

Dalam pada itu, Pemuda Pas turut menuntut penjelasan dan pendedahan audit secara terperinci daripada Jamil Khir berhubung perbelanjaan pengurusan Yayasan Taqwa berjumlah RM2 juta.

“Kalau sekiranya MAIWP mengagihkan wang zakat secara terus kepada asnaf tanpa perlu kepada Yayasan Taqwa dengan kos pengurusan berjumlah RM2 juta, saya kira cukup ramai asnaf yang boleh menikmati wang zakat tersebut.

“Kalau saya kira RM2 juta, RM5,000 seorang sudah tentu 400 orang asnaf boleh menikmatinya,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan jumlah besar pengagihan kepada asnaf amil yang berjumlah RM23.6 juta daripada jumlah keseluruhan sedangkan asnaf lain mendapat jumlah agihan yang lebih redah.

Merujuk kepada laporan tahunan 2010 MAIWP, jumlah keseluruhan agihan kepada asnaf berjumlah RM186.5 juta