Categories
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

Perubahan iklim berisiko tinggi jejas jaminan bekalan beras

Oleh Kurniawati Kamarudin & Sakini Mohd Said

KUALA LUMPUR, 20 OKT: Tanaman padi yang merupakan tanaman makanan ruji masyarakat negara ini, adalah antara yang paling berpotensi terkesan oleh perubahan iklim, sekali gus mengancam sekuriti bekalan beras negara.

Ini berikutan fenomena itu meningkatkan risiko dan kejadian bencana seperti banjir, kemarau yang berpanjangan, anjakan musim hujan serta kenaikan aras air laut sehingga mempengaruhi ketersediaan air.

Kesan perubahan iklim terhadap tanaman itu semakin ketara kebelakangan ini apabila dalam tempoh lima tahun dari 2017 hingga 2021 sebanyak 40,828.28 hektar tanaman padi di Semenanjung Malaysia musnah akibat banjir, manakala 9,336.45 hektar pula terjejas oleh kemarau.

Dalam satu temu ramah bersama Bernama, Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata sekuriti makanan negara ini terjejas berikutan Malaysia mengalami pertambahan purata hujan tahunan setiap dekad, berdasarkan rekod hujan tahunan selama 40 tahun iaitu dari 1978 hingga 2017.

Malah, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) turut menyedari saiz kawasan yang mengalami taburan penurunan purata hujan tahunan juga bertambah, terutama di bahagian pantai barat, selatan serta tengah Semenanjung Malaysia seperti Lembangan Sungai Pahang dan Lembangan Sungai Kuantan.

“Menurut laporan Malaysia’s 3rd National Commmunication and 2nd Biennial Update Reports (TNC and BUR2), secara keseluruhannya kira-kira 18 peratus daripada 350,000 hektar kawasan tanaman padi terdedah kepada kekerapan berlakunya musim kering yang berpanjangan, melibatkan kawasan pantai timur Semenanjung Malaysia.

“Biarpun demikian, peratusan kerosakan akibat banjir adalah lebih tinggi, yang mana menurut laporan itu kawasan yang terdedah adalah 25 peratus daripada kawasan penanaman padi di bawah Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA),” kata Ronald.

Pesawah Fairuz Zaini melihat tanaman padinya yang rebah akibat ditiup angin kuat dan hujan lebat susulan berlakunya peralihan iklim ketika tinjauan di sekitar Tanjung Karang pada 3 Oktober 2021. Foto BERNAMA


Pelan transformasi padi

Berpandukan laporan Climate Change Scenarios For Malaysia 2001-2099 yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), kekerapan musim kering dan panas telah meningkat sejak 2005 di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Antara tahun-tahun yang direkodkan oleh negara ini sebagai mengalami musim panas dan kering yang panjang ialah 1982, 1983, 1997, 1998, 2014, 2015, 2016 dan 2020. Penyebab utama kejadian musim kering ini ialah fenomena El Nino yang kerap melanda seluruh rantau Asia Tenggara.

“Keadaan kemarau yang berpanjangan serta kesan peningkatan suhu dan kelembapan tinggi ini boleh meningkatkan serangan serta kehadiran serangga perosak dan penyakit tertentu terhadap tanaman,” kata Ronald.

Golongan pesawah di Semenanjung Malaysia paling terjejas oleh fenomena itu apabila merekodkan nilai kerosakan paling tinggi berbanding tanaman agromakanan yang lain.

Data permohonan Tabung Bencana sejak 2017 hingga 2021 merekodkan nilai kerosakan bagi tanaman padi akibat bencana kemarau sebanyak RM21.6 juta manakala nilai kerosakan akibat banjir pula dianggar berjumlah RM128.8 juta.

Bagi tanaman agromakanan lain seperti buah-buahan, sayur-sayuran, kontan dan komoditi bernilai tinggi pula, anggaran nilai kerosakan keseluruhannya ialah sebanyak RM21.4 juta, melibatkan kawasan seluas 1,944.57 hektar yang terjejas banjir.

Menyedari impak perubahan iklim kepada sekuriti makanan negara, MAFI merangka inisiatif untuk mentransformasikan industri padi dan beras secara menyeluruh melalui Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara (DSMN) 2021-2025 bagi meningkatkan pengeluaran padi dan pendapatan pesawah.

“DSMN 2021-2025 meliputi peluasan penyelidikan dan pembangunan untuk meningkatkan pengeluaran makanan dengan kaedah teknologi berasaskan iklim.

“Ini kerana tumpuan kerajaan dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) ialah untuk meningkatkan tahap sara diri (SSL) beras dalam negara hingga 75 peratus menjelang 2025,” jelas beliau.

(SSL adalah kayu ukur kebergantungan negara kepada makanan tempatan berbanding makanan yang diimport)

Antara inisiatif bagi merealisasikan objektif itu ialah melaksanakan penanaman padi menggunakan konsep Program SMART Sawah Berskala Besar (Smart SBB), mengaplikasikan formulasi baja secara spesifik mengikut tanah, menggunakan kaedah penanaman secara moden seperti penggunaan dron bagi tujuan meracun selain menggunakan jentera penanaman dan penuaian terkini dan sebagainya.

Amaran awal

Peruntukan tahunan secara berterusan turut dilaksanakan bagi menambah baik sistem pengairan sawah, antaranya membina telaga tiub dan takungan seperti empangan bagi penyimpanan air memandangkan aktiviti sawah di sebahagian besar kawasan masih bergantung pada curahan air hujan.

Langkah lain yang turut diambil dalam menangani polemik tersebut ialah pelaksanaan pengairan sawah secara Alternate Wetting and Drying (AWD) bagi menggantikan pengairan secara “banjir”.

Pembangunan dan penggunaan varieti benih padi tahan banjir atau tahan kemarau (padi anaerob dan padi aerob) turut dilakukan selain memperkenalkan insurans pertanian untuk mengurangkan risiko perubahan iklim, katanya.

MAFI juga menyokong Program National Water Balance Management System (NAWABS) oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) yang bertujuan mengimbangi pembangunan dan pengurusan sumber air negara sebagai rujukan pengurusan padi.

Pesawah menanam padi di Sungai Leman, Sekinchan. Foto ARKIB SELANGORKINI

“Melalui program ini, beberapa data ramalan hujan daripada MetMalaysia dan kajian Impak Perubahan Iklim oleh Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) disepadukan bagi memberikan maklumat ramalan kemarau dan ketersediaan sumber air seawal dua bulan ke hadapan dan amaran seawal 14 hari ke hadapan kepada pihak berkaitan dalam pengurusan air di negeri dan persekutuan.

“Dengan menggunakan sistem ini sepenuhnya, pengurusan air negeri dapat membuat keputusan terutamanya dalam penentuan pengurusan pengairan padi seperti mencadangkan pembenihan awan di sekitar kawasan tadahan empangan apabila tiada hujan dan baki simpanan air di empangan semakin berkurang,” katanya.

Sistem ini juga dapat membantu perancangan masa yang lebih sesuai untuk penanaman padi dengan merujuk kepada ketersediaan sumber air hujan dan kuantiti isi padu sungai dan empangan.

Dasar agromakanan negara

Tidak hanya memberi tumpuan kepada pengurusan padi, MAFI turut komited menangani sekuriti makanan dalam beberapa sektor agromakanan lain seperti buah dan sayur, ternakan, perikanan dan akuakultur khususnya melalui pelaksanaan Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0).

“Pelaksanaan DAN 2.0 ini dilihat wajar bagi menjamin sekuriti makanan kerana perubahan iklim turut menjejaskan sumber perikanan negara, yang mana fenomena itu akan menyebabkan peningkatan kandungan karbon dioksida dalam air, sekali gus menambahkan keasidan air laut dan menjadi punca kemusnahan terumbu karang yang menampung 25 peratus bekalan ikan laut negara.

“Justeru, bagi mengukuhkan rantaian sekuriti makanan negara, DAN 2.0 akan dipacu oleh lima teras dasar seperti meningkatkan pemodenan dan pertanian pintar, mengukuhkan pasaran domestik dan pengeluaran produk berorientasikan eksport,” katanya.

Selain itu, kerajaan juga telah menubuhkan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara (FSCC) yang merupakan usaha kerajaan untuk mencapai sekuriti makanan yang lebih holistik.

Prihatin dengan impak perubahan iklim yang dilihat sangat memberi kesan kepada petani, kerajaan, melalui Belanjawan 2021, telah meluluskan peruntukan berjumlah RM80 juta kepada MAFI bagi penubuhan Tabung Bencana Pertanian (TBP) yang kini dikenali sebagai Peruntukan Pembangunan Semula Projek Agromakanan (PPSPA).

PPSPA ini bertujuan membantu meringankan beban kumpulan sasaran iaitu petani, penternak, nelayan, pengusaha akuakultur, pengusaha agropelancongan dan Industri Asas Tani (IAT) yang terkesan oleh bencana yang merupakan antara impak langsung perubahan iklim.

Ronald berkata bantuan dan sokongan bukan berbentuk kewangan ini meliputi input pertanian, peralatan dan mesin serta bantuan bukan kewangan lain yang bersesuaian bagi membantu golongan sasaran membangunkan semula aktiviti agromakanan.

“Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) melalui obligasi sosialnya kepada kerajaan, turut menyumbangkan dana sebanyak RM10 juta setiap tahun sepanjang tempoh konsesi serta Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) menyumbang RM2 juta setiap tahun bagi membantu mengisi tabung berkenaan.

“Hingga 15 September 2021, sejumlah RM4,346,239.00 telah disalurkan oleh MAFI kepada jabatan-jabatan dan agensi di bawahnya untuk membantu meringankan beban gologan sasaran yang terjejas bencana,” katanya.

-BERNAMA