Categories
AGENDA NASIONAL

Situasi jangkitan makin pulih bukti sedia masuk fasa endemik

KUALA LUMPUR, 11 OKT: Situasi penularan Covid-19 yang semakin pulih dalam beberapa minggu kebelakangan ini membuktikan kesediaan negara serta masyarakat untuk memasuki fasa endemik, menurut Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata perkara itu dapat dilihat menerusi trend penurunan bagi purata kes harian, jumlah kluster dan kapasiti penggunaan hospital manakala peratusan kadar vaksinasi yang tinggi.

Menurut Dr Noor Hisham secara keseluruhan, indikator utama termasuk kes harian, kes aktif, kematian, kes yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) serta nilai kebolehjangkitan atau R-Naught (Rt) mencatatkan penurunan secara konsisten sejak Minggu Epidemiologi (ME) ke-34 (22 hingga 28 Ogos 2021).

“Terdapat sebanyak 63,722 kes Covid-19 yang telah dilaporkan pada ME ke-40 (3 hingga 9 Okt) berbanding 83,368 kes yang dilaporkan pada ME ke-39 iaitu penurunan sebanyak 23.6 peratus.

“Sebanyak 133,806 kes aktif dilaporkan pada ME ke-40 iaitu penurunan 21.0 peratus berbanding ME ke-39,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan Covid-19 hari ini.

Selain penurunan nilai Rt sebanyak 0.2 peratus setiap hari, beliau berkata kes kematian merekodkan 700 kes dengan purata 100 kes sehari pada ME ke-40, iaitu penurunan 50.2 peratus berbanding ME ke-39.

Beliau berkata sebanyak 778 kes yang memerlukan rawatan di ICU direkodkan pada ME ke-40 menyaksikan penurunan sembilan peratus berbanding ME ke-39 manakala 331 kes memerlukan bantuan pernafasan pada ME ke-40 juga menurun 11.2 peratus berbanding ME ke-39.

Dr Noor Hisham berkata sebanyak 79 kluster dilaporkan pada ME ke-40 dan daripada jumlah itu, terdapat penurunan 21 kluster berbanding ME ke-39, iaitu penurunan sebanyak 21 peratus.

Mengenai kapasiti penggunaan hospital, beliau memaklumkan KKM memperuntuk 16,199 katil wad biasa dan 1,514 katil wad ICU dan daripada jumlah itu, sebanyak 8,164 katil digunakan sepanjang ME ke-40 menurun lima peratus berbanding minggu sebelumnya.

“Selaras dengan perkembangan positif ini, masyarakat dinasihatkan agar tidak leka dan cepat berpuas hati dengan status semasa jangkitan Covid-19 di negara.

“Kita wajar mengambil pengajaran daripada peristiwa kenaikan kes Covid-19 yang mendadak sebelum ini sehingga melumpuhkan pelbagai sektor ekonomi dan sosial,” katanya.

Beliau berkata melalui inisiatif ‘Reopening Safely’, semua pihak perlu memainkan peranan penting dalam memutuskan rantaian Covid-19 dengan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dan meningkatkan penilaian kendiri TRIIS iaitu ‘Test, Report, Isolate, Inform and Seek’ atau ‘ujian, lapor, kuarantin atau pengasingan kendiri, memaklumkan dan dapatkan rawatan segera’ terutamanya apabila sempadan negeri dibuka semula hari ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

14,855 kes jangkitan Covid-19 tiada sejarah vaksin, tidak lengkap suntikan

SHAH ALAM, 2 SEPT: Sebanyak 14,855 kes atau 73.6 peratus daripada 20,988 kes baharu Covid-19 yang dilaporkan hari ini tiada atau tidak lengkap suntikan vaksin.

Data dikongsikan ketua pengarah kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menunjukkan 9,860 pesakit tiada vaksin, 4,995 orang telah menerima satu dos manakala 6,133 telah lengkap suntikan pelalian.

Pesakit kategori dua (bergejala ringan) merekodkan jangkitan tertinggi sebanyak 10,979 kes sementara kategori satu (tiada gejala) 9,668 kes.

Kategori tiga (radang paru-paru) pula mencatatkan 171 kes, kategori empat (perlu bantuan oksigen) sebanyak 63 kes dan kategori lima (kritikal) 107 kes.

“Dapatkan vaksin Covid-19 bagi mengurangkan risiko jangkitan serius dan kematian sekali gus membina imuniti kelompok,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Sementara itu, beliau berkata sebanyak 249 kes kematian direkodkan hari ini dengan 184 daripadanya mempunyai sejarah penyakit kronik manakala 80 maut di luar hospital.

Kematian tertinggi dicatatkan di Selangor membabitkan 61 kes diikuti Johor dengan 40.

Angka korban di negeri dan wilayah dan negeri lain seperti berikut:

Pulau Pinang – 39
Sabah – 33
Kedah – 16
Kuala Lumpur – 16
Melaka – 13
Perak – 9
Sarawak – 8
Kelantan – 6
Negeri Sembilan – 4
Terengganu – 3
Perlis – 1

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Galak ibu bapa di kawasan rendah risiko jangkitan hantar anak ke tadika

SHAH ALAM, 28 JULAI: Ibu bapa di kawasan berisiko rendah jangkitan Covid-19 digalak menghantar anak mereka ke Taman Didikan Kanak-Kanak (Tadika) supaya perkembangan pendidikan awal golongan itu tidak terganggu.

Setiausaha Persatuan Tadika Islam Malaysia berkata pihaknya percaya pengusaha dan guru tadika mengutamakan aspek tatacara operasi piawai (SOP) di pusat masing-masing bagi mengelak penularan wabak.

“Saya mencadangkan sekiranya kawasan kurang kes Covid-19, ibu bapa boleh benarkan anak ke tadika, mungkin dibuat secara berkala atau berganti-ganti kerana paling penting kanak-kanak dapat bertemu guru.

“Apatah lagi, kanak-kanak sebenarnya tidak boleh kekal lama belajar dalam talian kerana pembelajaran mereka perlu melalui tiga kaedah iaitu visual, auditori dan kinestetik (VAK),” kata Siti Ruzita Ramli.

Beliau berkata demikian pada bual bicara ‘dilema pendidikan prasekolah ketika pandemik’ yang disiarkan secara langsung di Facebook Media Selangor malam tadi.

Sementara itu, Siti Ruzita berkata ibu bapa perlu bekerjasama untuk memastikan kelangsungan pendidikan anak-anak khususnya dalam tempoh pandemik.

“Usia empat hingga enam tahun adalah waktu emas buat kanak-kanak dan pentingnya guru di samping mereka, justeru ibu bapa merupakan rakan kongsi kepada tadika di waktu pandemik.

“Ibu bapa tidak boleh sekadar memberikan peranti kepada anak mereka untuk belajar secara dalam talian, sebaliknya perlu membimbing dan mengawasi sepanjang masa,” katanya.

Categories
AGENDA GLOBAL

Vietnam kekal rekod kes sifar baharu Covid-19 sejak 16 April

HANOI, 29 JUN: Sejak 16 April, Vietnam masih berjaya mengekalkan rekod sifar jangkitan baharu Covid-19 dalam komuniti tempatan menurut Jawatankuasa Pemandu untuk Pencegahan dan Kawalan COVID-19 pada Ahad, lapor agensi berita Vietnam (VNA).

Daripada 355 kes yang disahkan di Vietnam setakat ini 215 terdiri kes import dan dikuarantin semasa tiba di negara ini tanpa risiko penularan dalam kalangan masyarakat.

Seramai 9,048 kontak pesakit atau yang tiba dari wilayah terjejas wabak kini dikuarantin di seluruh negara termasuk 107 di hospital, 8,051 di pusat khas dan 890 di rumah.

Seramai 330 daripada 355 pesakit atau 93 peratus sudah pulih sepenuhnya dan kekal tiada kematian dilaporkan.

Sepuluh pesakit masih menjalani rawatan.

-BERNAMA