Categories
NASIONAL SELANGOR

Sidang Khas DNS PR Selangor Bersama MB

PETALING JAYA, 5 OKT: Pakatan Rakyat Selangor menyokong penuh langkah Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengadakan sidang khas Dewan Negeri Selangor (DNS) bagi membincangkan tiga kertas putih.

Persidangan khas itu itu nanti akan membentangkan Kertas Putih Talam Corporation Bhd (Talam) yang menerangkan kaedah pengutipan dan transaksi yang digunapakai untuk mengutip hutang berjumlah RM392 juta dari Talam.

Demikian menurut Ketua Penerangan PAS Selangor, Saari Sungib dalam sidang media Pakatan Rakyat Selangor yang diadakan di Ibu Pejabat PKR Selangor di Pusat Perdagangan Dana 1, hari ini.

“Selain itu dua lagi pembentangan lain pula melibatkan isu penyusunan semula perkhidmatan industri air di negeri Selangor dan pendedahan Kerajaan Negeri berhubung sejumlah 110,000 nama pengundi yang diragui dan gagal dikesan sehingga kini,” ujar Saari.

Menurut Saari lagi, rakyat Selangor wajar mengetahui sikap berdolak-dalik Kerajaan Pusat dalam menangani isu air Selangor melalui sidang khas tersebut.

Dalam sidang media itu, PR Selangor turut mengalu-alukan reformasi DNS yang dikemukakan oleh Speaker DNS untuk mengadakan persidangan dewan selama dua hari setiap bulan.

Selain itu beberapa usul lain juga akan dibawa dalam sidang khas yang dijangka diadakan pada bulan November itu.

Antaranya usul mengecam Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan memasang billboard ‘Selamatkan Malaysia, Mansuhkan ISA’ bagi membuktikan perjuangan PR Selangor terus konsisten dan selaras dengan prinsip kebenaran, keadilan, demokrasi dan hak asasi manusia.

Selain Saari, turut hadir dalam sidang media tersebut, Ketua Penerangan PKR Selangor, Suhaimi Shafie dan Setiausaha Publisiti DAP Selangor, Janice Lee.

Categories
NASIONAL

Kes MB Membuktikan Hak Pengundi Sememangnya Tidak Terjamin

SHAH ALAM 16 MAC : Tindakan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) menukar kawasan mengundi tanpa pengetahuan pengundi berkenaan merupakan satu tindakan yang kotor dan bertentangan dengan nilai, etika dan prinsip demokrasi.

Pemimpin Pakatan Rakyat Selangor juga berkata tindakan badan itu yang menukar tempat mengundi Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tanpa pengetahuan beliau memberikan gambaran bahawa pilihanraya umum yang akan datang bakal menjadi pilihanraya yang kotor dan tidak adil.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr. Abdul Rani Osman berkata isu terbaru yang melibatkan Abdul Khalid ini membuktikan segala kritikan terhadap kredibiliti SPR ada benarnya.

?Seharusnya SPR berada di bawah Parlimen supaya kita boleh pantau apa saja tindakannya.

“Tetapi sayangnya di Malaysia, SPR berada di bawah Jabatan Perdana Menteri yang mana memaksa mereka untuk akur akan kehendak pimpinan-pimpinan Barisan Nasional,” ulas Dr. Rani yang juga Adun Meru, apabila dihubungi TVSelangor.

Abdul Rani berkata taktik ini pernah dilakukan di Kelantan dan Terengganu pada pilihanraya yang lalu bagi menumbang Kerajaan Negeri pimpinan Pas.

Manakala Setiausaha Publisiti DAP Selangor Janice Lee berkata jika seorang Menteri Besar sewenang-wenangnya diperlakukan begini dengan alamat yang tidak pernah wujud dalam hidupnya, maka tiada pengundi yang haknya terjamin.

“Jadi tidak mustahil perkara yang sama juga berlaku terhadap rakyat kebanyakan,” ujar Janice ketika dihubungi.

“Sekarang yang kita nampak dan dengar adalah salah satu kes sahaja yang terjadi kepada Menteri Besar. Tetapi kita tidak tahu di luar sana ada berapa banyak lagi kes sebegini yang pastinya mencabuli hak pengundi,” jelas Janice yang juga Adun Teratai.

Sehubungan itu, Janice menyeru semua pengundi untuk melakukan semakan dengan secepat mungkin untuk memastikan tiada pertukaran dibuat tanpa pengetahuan mereka.

“Mereka boleh menyemak melalui laman web Suruhanjaya Pilihanraya atau boleh juga menyemak melalui khidmat pesanan ringkas,” pesan Janice.

 

Categories
NASIONAL

DAP Minta Umno Hentikan Serangan Samseng

SHAH ALAM, 28 JAN : Setiausaha Publisiti DAP Selangor, Jenice Lee hari ini mendesak Umno agar mengambil tindakan segera bagi menghentikan perbuatan samseng ahli Umno yang sering menyerang pimpinan Pakatan Rakyat.

Desakan itu dibuat ekoran beberapa serangan ke atas beberapa pimpinan Pakatan baru-baru ini. Terbaru, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan dua orang wartawan diserang sekumpulan lelaki dipercayai ahli Umno Pulau Pinang apabila beliau menyertai Himpunan Hijau 2.0 di Pulau Pinang Ahad lalu.

Di dalam satu insiden yang berlainan, ceramah Timbalan Presiden Keadilan, Nurul Izzah Anwar di Felda Lepar Hilir 1, Pahang terpaksa dihentikan apabila ia diganggu oleh sekumpulan lelaki dipercayai dari Umno.

Janice yang kecewa dengan provokasi murahan seperti itu, meminta supaya Umno mengambil tindakan sewajarnya untuk mengawal dan mendisiplinkan ahli-ahli mereka.

“Kejadian ini bukan kali pertama tetapi sudah berulang kali terjadi. Itu juga bukan satu teladan yang baik buat masyarakat kita,” ulas Janice yang juga merupakan Adun Teratai.

Selain itu, mengambil contoh kejadian di Pulau Pinang, Janice melahirkan kekecewaannya terhadap sikap pihak polis yang gagal mengambil tindakan segera menghentikan serangan samseng Umno.

“Walaupun polis berada di tempat kejadian semasa Lim Guan Eng dan pemberita diserang oleh Umno tetapi polis berdiam sahaja.

“Ini jelas menunjukkan polis mengamalkan prinsip ‘double standard’, satu untuk ahli Umno, satu lagi untuk rakyat biasa dan pemimpin Pakatan Rakyat,” hujah Janice lagi.

Justeru, Janice meminta Ketua Polis Pulau Pinang untuk memohon maaf kepada rakyat Malaysia ekoran kegagalan pihak polis untuk melindungi keselamatan Lim Guan Eng dan juga rakyat.