Categories
AGENDA NASIONAL

Malaysia bukan negara sihat, kesedaran aspek kesihatan masih rendah

KUALA LUMPUR, 11 NOV: Malaysia dianggap sebagai negara bukan sihat memandangkan jumlah rakyatnya yang menghidapi penyakit jantung dan obesiti adalah tinggi, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata kesedaran tentang aspek kesihatan dalam kalangan rakyat juga masih berada di tahap rendah.

“Kalau tanya saya sebagai menteri, adakah Malaysia negara sihat sekarang? Tidak. Kita antara negara kadar tertinggi dari segi obesiti, sakit jantung dan antara penyebab punca kematian Covid-19 di negara ini adalah sebab sebahagian besar daripada pesakit mengalami komobiditi atau kronik.

“Bayangkan di Malaysia seorang daripada dua rakyat terlebih berat badan atau obesiti termasuk diri saya, manakala seorang daripada empat rakyat Malaysia tidak amalkan kecergasan. Selain itu, hanya seorang daripada 20 rakyat mengamalkan pemakanan mengikut nutrisi yang betul.

“Mengikut statistik rasmi juga, setengah juta orang dewasa mengalami kemurungan. Saya percaya angka ini sebenarnya masih rendah daripada realitinya,” katanya semasa menjadi tetamu dalam program Selamat Pagi Malaysia di saluran TV1 hari ini.

Oleh itu, dalam merealisasikan Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS), Khairy berkata rakyat Malaysia perlu mengubah sendiri tingkah laku mereka serta meningkatkan kesedaran bagi melahirkan negara dan rakyat yang sihat secara sukarela tanpa mengharapkan kementeriannya atau kerajaan semata-mata.

Beliau berkata aspek perubahan tingkah laku penting serta kesedaran untuk menjalani pemeriksaan kesihatan kendiri menjadi initi pati ANMS.

“Kalau kita nak harapkan Kementerian Kesihatan sahaja untuk pantau tatacara operasi piawai (SOP) dan keluarkan kompaun, memang tak cukup tangan. Kita nak negara berjaya dari segi pengurusan pandemik ini,” katanya sambil memberi contoh Jepun berjaya menguruskan pandemik menerusi tingkah laku tanpa perlu mengeluarkan kompaun.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini melancarkan ANMS yang merupakan persediaan dan tindakan yang diambil bagi mempersiapkan Keluarga Malaysia dalam mendepani dan mengharungi fasa endemik Covid-19.

Agenda ANMS dilaksanakan untuk tempoh 10 tahun, iaitu mulai 2021 hingga 2030 dengan pelaksanaan dibahagikan kepada dua penggal iaitu penggal pertama bermula pada 2021 hingga 2025 dan penggal kedua bermula pada 2026 dan berakhir pada 2030.

Sementara itu, Khairy berkata satu jawatankuasa ditubuhkan yang menghimpunkan semua kementerian terlibat bagi melaporkan langkah-langkah yang akan dilaksanakan untuk menzahirkan ANMS di peringkat kementerian.

Beliau berkata selain mengambil kira faktor kesihatan diri rakyat, agenda itu juga meliputi kesihatan kualiti pengudaraan melibatkan bangunan baharu sebagai usaha mencegah Covid-19 yang boleh dijangkiti melalui udara.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Penerbangan ihsan TUDM bawa dua pesakit jantung

KUALA LUMPUR, 6 JUN: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melakukan penerbangan ihsan membawa dua bayi, masing-masing berusia 11 hari dan dua bulan dari Kuching, Sarawak ke Institut Jantung Negara (IJN) di sini, hari ini.

Dalam kenyataannya, TUDM memaklumkan kedua-dua bayi bersama ibu masing-masing diterbangkan dari Pangkalan Udara Kuching dengan pesawat pengangkut A400M daripada No 22 Skuadron.

“Kedua-dua bayi itu yang masing-masing mempunyai masalah jantung Partially Obstructed Total Anomalous Pulmonary Vein Drainage dan Congenital Heart Disease of Transposition of Great Arteries sebelum ini mendapat rawatan di Hospital Umum Sarawak (HUS).

“Pesawat yang berlepas dari Pangkalan Udara Kuching tiba kira-kira 6.50 pagi tadi di Pangkalan Udara Subang dan dibawa ke IJN dengan diiringi pegawai dan petugas perubatan daripada HUS,” demikian menurut kenyataan itu.

TUDM mendoakan agar kedua-dua bayi berkenaan dapat menjalani rawatan dengan segera serta diberikan kesembuhan dan kembali sihat.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

Sasar 500 pesakit jantung terima rawatan SRJNS

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 27 MAC: Sembilan pesakit jantung menjalani rawatan jantung di bawah Program Skim Rawatan Jantung Negeri Selangor (SRJNS) dengan pembiayaan sebanyak RM44,132.20 sehingga 18 Mac selepas tiga minggu dilancarkan pada 26 Februari lalu.

Exco Kesihatan, Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi berkata, menerusi SRJNS itu, Kerajaan Negeri menyasarkan 500 pesakit jantung akan menerima manfaat di bawah program itu.

Katanya, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM10 juta setahun bagi menjayakan program itu yang dibiayai oleh Kerajaan Negeri dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

“Skim ini terbuka kepada warganegara Malaysia yang lahir di Selangor atau menetap di negeri ini melebihi 10 tahun dan mempunyai pendapatan isi rumah tidak lebih melebihi RM8,000 sebulan.

“Pesakit jantung yang menepati kriteria boleh membuat permohonan kepada pihak Selcare Management Sdn Bhd (SELCARE) yang akan bertindak selaku Third Party Administrator (TPA) untuk mendapatkan ‘Guarantee Letter’ sebelum mendapatkan rawatan di Insitusi Jantung Negara (IJN),” katanya.

Beliau berkata demikian di Sidang Dewan Negeri bagi menjawab pertanyaan Ng Suee Lim-Sekinchan.

Terdahulu, Selangor terus proaktif dalam memberikan kesihatan bersepadu kepada rakyatnya menerusi skim terbaru, Skim Rawatan Jantung Negeri Selangor.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, langkah itu bagi membantu pesakit jantung menerima rawatan terbaik memandangkan kos rawatan semakin meningkat ketika ini.

Katanya, sebagai sebuah kerajaan yang peduli rakyat, maka pihaknya mengambil inisiatif untuk membantu pesakit Selangor khususnya dalam kalangan B40 dan M40 untuk mendapatkan perkhidmatan serta rawatan jantung berkualiti dibiayai Kerajaan Negeri.

“Skim itu adalah sebahagian daripada langkah proaktif Kerajaan Negeri melaksanakan Skim Penjagaan Kesihatan Bersepadu (integrated healthcare scheme) bagi memperluaskan skop perkhidmatan kesihatan berkualiti untuk rakyat Selangor,” katanya.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Skim rawatan jantung tepat pada masanya

OLEH NORHAYATI UMOR

KUALA LUMPUR, 27 FEB: Inisiatif Skim Rawatan Jantung Negeri Selangor yang baru diperkenalkan adalah tepat pada masanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Jantung Negara (IJN), Datuk Seri Dr Mohd Azhari Yakub berkata, bantuan yang disalurkan menerusi skim itu akan dapat membantu meringankan beban kewangan pesakit jantung.

“Kita berbangga dengan adanya inisiatif ini. Terima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana memberi rawatan percuma kepada rakyat Selangor.

“Bantuan ini datang tepat pada masanya. Ia sebagai tambahan kepada sumbangan institusi lain seperti Lembaga Zakat dan juga Kementerian,” katanya di Majlis Pelancaran Skim terbabit di IJN, di sini.

Azhari berkata sejak 25 tahun penubuhan IJN, pihaknya sudah merawat lebih 3 juta pesakit.

Manakala, katanya, jumlah pesakit berasal atau bermastautin di Selangor adalah seramai 17,900 orang, tahun lalu.

“Sebagai institusi yang mempunyai kemudahan dan kemahiran dalam bidang ini, IJN akan terus memikul tanggungjawab dan kekal memberikan rawatan secara konsisten.

“Sehubungan itu, IJN akan terus bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Selangor menerusi skim itu,” katanya.

Terdahulu, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali merasmikan pelaksanaan skim itu bagi membantu rakyat negeri merawat penyakit terbabit yang kini merupakan pembunuh nombor satu negara.

Kerajaan Negeri dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) akan menyediakan peruntukan RM10 juta untuk membiayai 500 pesakit.

Ia akan dijayakan menerusi bentuk kerjasama strategik antara IJN dan Selgate Corporation untuk membina ‘medical city’ di Seksyen 13, Shah Alam yang antara lain menyediakan khidmat pakar rawatan jantung yang dimeterai, pada 31 Oktober lalu.

=EZY=

 

Categories
SELANGOR

#Selangor18: RM10 juta biayai pesakit jantung

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 3 NOV: Kerajaan Negeri memulakan langkah proaktif bekerjasama dengan Institut Jantung Negara (IJN) bagi memberikan khidmat rawatan jantung secara percuma kepada golongan berpendapatan rendah, mulai tahun 2018.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pelaksanaan itu ekoran cardiovascular disease (CVD) adalah pembunuh nombor satu negara,

“Kerajaan Negeri dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) akan menyediakan peruntukan RM10 juta untuk membiayai 500 pesakit jantung dalam kalangan rakyat Selangor menerusi bentuk kerjasama strategik antara IJN dan Selgate Corporation untuk membina ‘medical city’ di Seksyen 13, Shah Alam yang antara lain menyediakan khidmat pakar rawatan jantung yang dimeterai, pada 31 Oktober lalu.

Sementara itu, Kerajaan Negeri akan memberikan bantuan kewangan kepada pusat yang menyediakan perkhidmatan penjagaan paliatif sebagai rasa simpati untuk pesakit kanser dan keluarga.

Katanya, penjagaan paliatif adalah satu perkhidmatan yang menumpukan peningkatan kualiti hidup dalam kalangan pesakit dan RM3 juta akan disediakan untuk permulaan, bagi tahun 2018.

Categories
SELANGOR

Yayasan IJN alu kerjasama pelbagai pihak bantu pesakit jantung

OLEH HAFIZAN TAIB

KAPAR, 7 OKT: Yayasan Institut Jantung Negara (IJN) mengalu-alukan kerjasama pihak korporat dan organisasi lain dalam membantu membiayai kos rawatan atau pembedahan pesakit jantung di IJN.

Pengerusinya, Toh Puan Dr Aishah Ong, berkata Yayasan IJN memerlukan lebih kurang RM4.5 juta setahun bagi tujuan itu dan sumbangan dihulurkan begitu bermakna dalam menjayakan misi yayasan bagi membantu golongan memerlukan.

“Kita berbesar hati dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang menyumbang bagi membantu Yayasan IJN pada tahun ini.

“Pada tahun lalu, PKNS juga memberi sumbangan sama di mana ia menampung sebahagian kos keseluruhan bagi membantu rawatan atau pembedahan sejumlah 157 pesakit kurang berkemampuan,” katanya kepada media.

JantungBeliau berkata demkian selepas Majlis Penyerahan Sumbangan PKNS kepada Yayasan IJN dan Program Kesedaran Jantung “100% Sayangi Jantungku” sempena ulang tahun ke 22 Yayasan IJN di Kampung Sungai Serdang, di sini, hari ini.

Dalam majlis itu, Ketua Pegawai Korporat PKNS, Siti Zubaidah Abdul Jabar menyerahkan sumbangan RM100,000 kepada Dr Aishah Ong dan disertai Exco Kerajaan Negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Sementa, Dr Daroyah Alwi.

Dr Aishah Ong berkata, selain daripada membantu membiayai kos rawatan dan pembedahan di IJN, pihaknya juga memberi bantuan terhadap usaha pakar perubatan di IJN bagi membuat penyelidikan sehingga institut itu berkembang juga mencapai kemajuan membanggakan dalam tempoh 25 tahun.

Katanya, kira-kira 30 peratus daripada pesakit jantung yang mendapatkan rawatan atau pembedahan di IJN adalah golongan mereka yang kurang berkemampuan.

“Mereka ini yang kita bantu iaitu terdiri daripada bukan penjawat awam, bekerja sendiri, ibu tunggal dan sebagainya serta kebanyakannya tidak dilndungi insurans,” katanya.

Dengan kerjasama pihak korporat, katanya, pihak juga dapat menyediakan kemudahan penginapan di IJN untuk kaum keluarga pesakit, yang perlu ditemani selain baucar makanan bagi mereka memerlukan.

Selain PKNS, beliau berkata, Lembaga Zakat Selangor (LZS) turut membantu RM150,000 dan dengan persetujuan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, wang itu boleh diagihkan kepada asnaf di negeri lain, yang perlu dibantu.

=EZY=