Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Had 150 pengunjung bolehkan jarak sosial di bazar Ramadan

SHAH ALAM, 16 APRIL: Hanya 150 pengunjung bazar Ramadan dibenarkan berada dalam kawasan terbabit dalam satu-satu masa, kata EXCO kesihatan awam.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata langkah itu bagi membolehkan penjarakan sosial susulan dakwaan ada bazar gagal mengawal tatacara operasi piawai (SOP).

“Semoga kita sentiasa menjaga SOP agar peniaga dapat menjalankan jualan seperti biasa.

“Di samping merancakkan ekonomi setempat kita juga dapat menjalani aktiviti membeli belah seperti biasa,” katanya.

Ahli Dewan Negeri Seri Serdang turut meluangkan masa melawat bazar Ramadan di kawasannya bersama penguat kuasa Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dan penyelia Pusat Wanita Berdaya.

Siti Mariah memuji tindakan MBSJ melaksanakan sistem kad yang menghadkan 150 pengunjung masuk ke bazar tersebut.

“Insya-Allah jika sistem ini dikekalkan operasi bazar Ramadan boleh diteruskan dan pada masa sama orang ramai kekal mematuhi SOP,” katanya.

Categories
AGENDA GLOBAL

OIC minta jemaah haji patuhi jarak sosial

JEDDAH, 30 JULAI: Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) meminta jemaah haji tahun ini memberi komitmen untuk mengamalkan penjarakan sosial demi menjaga kesihatan semua pihak, lapor Agensi Berita Arab Saudi (SPA).

Setiausaha Agung OIC, Dr Yousef Al-Othaimeen, meminta jemaah haji mematuhi prosedur kesihatan yang dilaksanakan pihak berkuasa di Arab Saudi untuk melindungi mereka, anggota keluarga dan jemaah lain.

Beliau turut menasihatkan semua jemaah agar memanfaatkan perkhidmatan kesihatan dan peraturan yang disediakan kerajaan Arab Saudi.

Dr Al-Othaimeen menzahirkan ucapan terima kasih kepada kerajaan Arab Saudi, yang dipimpin Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud dan Putera Mahkota, atas kesungguhan untuk melaksanakan ibadah haji tahun ini meskipun pandemik Covid-19 sedang melanda.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Jarak sosial jemaah solat Jumaat kekal – Menteri

KUALA LUMPUR, 22 JULAI: Penjarakan sosial di antara jemaah dalam solat Jumaat akan dikekalkan buat masa ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Beliau berkata perkara itu dilaksanakan dengan mengambil kira pandangan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) berikutan penularan wabak Covid-19.

“Untuk menjustifikasikan hal ini kami merujuk ulama-ulama sedunia temasuk Syaikhul Al-Azhar dan Mufti Mesir serta ulama-ulama di Arab Saudi,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Khalid Abd Samad (PH-Shah Alam) yang membangkitkan mengenai tatacara operasi piawai (SOP) had jumlah jemaah solat Jumaat.

Zulkifli berkata sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Jawatankuasa Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) bermesyuarat tujuh kali bagi membincangkan isu berkaitan pelaksanaan ibadah agama Islam.

Beliau berkata ia sesuatu yang tidak pernah berlaku dalam sejarah negara apabila jawatankuasa berkenaan duduk bermesyuarat dengan sebegitu banyak dalam tempoh yang singkat.

Zulkifli berkata hasil mesyuarat itu, antaranya SOP yang dikeluarkan pihaknya dengan kerjasama MKN dan KKM.

Perkara itu antara lain meliputi mengenai kaedah pelaksanaan ibadah dalam bulan Ramadan; kedudukan saf solat; pelaksanaan ibadah korban; solat sunat Aidilfitri; solat musafir; perkahwinan orang Islam secara dalam talian; selain panduan hukum ujian saringan dan prosedur rawatan pesakit Covid-19 dalam bulan Ramadan.

“Mengambil kira keperluan umat Islam untuk memahami wabak Covid-19 dengan lebih mendalam dari sudut agama, saya sendiri mengambil inisiatif mengarang dua buah buku iaitu ‘Inilah Doaku’ dan ‘Soal Jawab Fiqh Covid-19’.

Kedua-dua buku ini boleh didapatkan secara percuma di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan juga dilaporkan lebih 50,000 pengunjung laman sesawang memuat turun buku ini tidak termasuk yang disebarkan melalui medium lain seperti WhatsApp dan Telegram Messenger,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Wan Hassan Mohd Ramli (PAS-Dungun) yang mahu tahu usaha yang dibuat Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dalam menyelesaikan isu agama berkaitan pelaksanaan ibadah yang timbul sepanjang penularan wabak Covid-19.

– BERNAMA

Categories
PENDAPAT RENCANA

Covid-19: Peluk cium dari jauh untuk ayah, ibu tercinta

KUALA LUMPUR, 12 MEI: Sudah hampir dua bulan rakyat Malaysia ‘berkurung’ di rumah bersama ahli keluarga masing-masing, namun tidak semua berpeluang merasai nikmat itu apabila ada di antara mereka yang terpisah daripada pasangan, anak, cucu, serta saudara mara sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ramai yang sedang menanggung rindu apabila sekian lama terpisah dengan insan tersayang dan tidak dapat bersua muka hanya sekadar bertanya khabar menerusi panggilan telefon dan aplikasi WhatsApp.

Bak kata pepatah ‘air dicincang tidak akan putus’, begitulah diibaratkan eratnya hubungan kekeluargaan walau pada saat-saat sukar melawan penularan Covid-19 ketika ini.

Namun masyarakat perlu mematuhi saranan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah bukan sahaja mematuhi jarak sosial tetapi juga tidak ada peluk cium, bersalaman seperti amalan yang selalu ketika menyambut Aidilfitri.

“Jika tidak dapat amalkan jarak sosial lebih baik kita kurangkan melawat,” kata beliau pada sidang media harian di Putrajaya petang semalam.

Memandangkan Aidilfitri akan disambut umat Islam pada 24 Mei ini dalam suasana normal baharu, beliau mahu perayaan itu disambut berlandaskan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) semasa berhari raya termasuk mengehadkan jumlah pelawat pada satu-satu masa.

Kerajaan juga memberi peringatan tidak digalakkan membawa kanak-kanak ke tempat tumpuan ramai seperti pusat membeli-belah, seperti kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media harian perkembangan PKPB.

Menurut Ismail Sabri, kerajaan mempertimbang untuk memasukkan tindakan membawa kanak-kanak ke premis berkenaan ke dalam Akta 342 sebagai perkara yang dilarang jika masih ramai ibu bapa berbuat demikian sepanjang PKPB dilaksanakan.

Setakat ini, di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), masih tiada sebarang sekatan untuk membawa anak kecil ke premis tumpuan ramai seperti pusat membeli-belah.

Hari ini hari ke-56 pelaksanaan PKP dan hari ke-sembilan PKPB. Situasi Covid-19 di Malaysia kekal dua digit dengan penambahan 70 kes baharu menjadikan jumlah kes positif 6,726 kes setakat semalam.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Ahad mengumumkan tempoh PKPB dilanjutkan selama empat minggu lagi sehingga 9 Jun, sekali gus menyaksikan pergerakan rentas negeri untuk pulang ke kampung menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak dibenarkan.

-BERNAMA