Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Cuaca kering hingga tengah Mac, elak pembakaran terbuka

KUALA LUMPUR, 9 FEB: Orang ramai diingatkan supaya tidak melakukan pembakaran terbuka ketika cuaca panas dan kering ketika ini berikutan negara sedang mengalami fasa kedua Monsun Timur Laut sehingga pertengahan Mac ini.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam kenyataan berkata dalam tempoh itu, taburan hujan di seluruh negara akan mengalami pengurangan dan menyebabkan keadaan cuaca yang panas dan kering di Semenanjung Malaysia.

“Sewaktu tempoh cuaca panas dan kering ini, dikhuatiri peningkatan kejadian pembakaran terbuka terutamanya di kawasan yang mudah dan sering terbakar seperti di kawasan tanah gambut dan tapak pelupusan sampah.

Ini termasuk juga peningkatan kes dan aduan pembakaran terbuka di tapak-tapak pembuangan sampah haram, kawasan perumahan atau kejiranan,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, JAS menggesa supaya kewujudan tapak-tapak pembuangan sampah haram dapat dibanteras dan tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas diambil untuk menangani isu pembakaran terbuka serta pencemaran udara.

Mereka yang disabit kesalahan melakukan pembakaran terbuka boleh didenda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali di bawah Seksyen 29 (A), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, selain kompaun sehingga RM2,000 juga boleh dikenakan atas setiap kesalahan.

Orang ramai diminta melaporkan kes pembakaran terbuka atau kebakaran kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di talian 999 dan JAS di talian bebas tol 1-800-88-2727 atau melalui e Aduan JAS di laman sesawang https://eaduan.doe.gov.my.

-BERNAMA

 

Categories
AGENSI SELANGOR

Kilang minuman lepaskan sisa industri melebihi had didenda RM76,000

SHAH ALAM, 25 JAN: Sebuah kilang minuman yang beroperasi di bandar raya ini didenda RM76,000 kerana didapati bersalah melepaskan enfluen perindustrian melebih had ke longkang awam.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri berkata keputusan dibuat Hakim Mahkamah Sesyen Shah Alam Rasyihah Ghazali selepas pengarahnya mengaku bersalah.

“Kilang itu dituduh melakukan kesalahan pada 31 Disember 2020 mengikut Seksyen 16(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Peraturan 10(3) Peraturan Kualiti Alam Sekeliling 2009 akta yang sama.

“Berdasarkan fakta kes, kilang itu melepaskan parameter keperluan oksigen kimia (BOD), keperluan oksigen kimia (COD) dan pepejal terampai pekat melebihi had dibenarkan,” kata Nor Aziah Jaafar menerusi kenyataan.

Jelasnya, kilang itu turut dituduh menjalankan operasi sistem rawatan efluen perindustrian tanpa orang yang berwibawa.

“JAS tidak akn berkompromi dengan penjenayah alam sekitar dan sentiasa mengambil tindakan tegas,” katanya.

Categories
AGENDA AGENSI NASIONAL SELANGOR

Syarikat kitar sisa pepejal plastik tanpa kebenaran JAS didenda RM60,000

SHAH ALAM, 21 JAN: Sebuah syarikat didenda RM60,000 oleh Mahkamah Sesyen Klang hari ini, selepas didapati menjalankan aktiviti membina serta mengitar sisa pepejal plastik terpakai tanpa kelulusan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor.

Pengarah JAS Selangor Nor Aziah Jaafar berkata syarikat itu didakwa menjalankan aktiviti tanpa mengemukakan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) yang diluluskan.

“Syarikat itu juga gagal mengemukakan pemberitahuan bertulis kepada JAS mengenai pemasangan peralatan yang menjadi punca pengeluaran pencemar udara.

“Hakim Razali Ariffin menjatuhkan hukuman itu selepas pengarah syarikat berkenaan mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dikenakan kepadanya,” katanya menerusi kenyataan.

Nor Aziah berkata syarikat itu dituduh melakukan dua kesalahan pada 11 Ogos 2020 di sebuah premis di Taman Perindustrian Pulau Indah, Pelabuhan Klang.

“Syarikat itu dituduh mengikut Seksyen 34A(2) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Peraturan 5(1)(b), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014 akta yang sama,” katanya.

Katanya, membina dan menjalankan aktiviti mengitar sisa pepejal plastik termasuk dalam Jadual Pertama Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Aktiviti yang ditetapkan) (Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling) 2015 di mana laporan EIA perlu dikemukakan dan diluluskan terlebih dulu oleh JAS.

“Terima kasih kepada orang awam yang membantu memberi maklumat mengenai aktiviti yang mencemarkan alam sekitar.

“Laporan mengenai aktiviti pencemaran alam sekitar boleh terus dibuat di talian bebas tol 1-800-88-2727 yang beroperasi 24 jam sehari atau emel ke [email protected] dan melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my ,” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

JAS siasat gudang simpan sisa industri, ambil sampel untuk analisis

SHAH ALAM, 6 OKT: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor mengambil lima sampel sisa industri sebuah gudang di Batang Kali yang diserbu pada 30 September lalu.

Pengarahnya Nor Aziah Jaafar berkata sampel itu dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk menentukan secara terperinci jenis bahan yang dibuang.

“Kita hantar sampel untuk dianalisis untuk mengesahkan sama ada sisa industri itu adalah sisa berjadual yang dikawal oleh JAS atau sebaliknya.

“Keputusan akan diperoleh dalam tempoh dua ke tiga minggu dari tarikh dihantar pada 1 Oktober,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau menjelaskan sekiranya disahkan sisa berjadual yang ditetapkan mengikut Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005, tindakan penguatkuasaan dikenakan mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974.

Baru-baru ini, sebuah gudang yang menjalankan aktiviti pembuangan sisa industri tanpa kebenaran dekat Batang Kali diserbu Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS).

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han berkata pemeriksaan bersama Pejabat Tanah Selangor turut mendapati sisa berjadual juga tidak diurus mengikut piawaian yang ditetapkan.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Belanja jutaan ringgit bersih sungai tercemar, JAS sokong denda RM10 juta

SHAH ALAM, 30 MAC: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor menyokong penuh hasrat kerajaan menaikkan jumlah denda terhadap pesalah alam sekitar dan sumber air daripada RM100,000 kepada RM10 juta.

Pengarahnya, Nor Aziah Jaafar berkata jumlah itu dianggap munasabah seiring dengan kos pembersihan pencemaran yang terpaksa dibelanjakan Kerajaan Negeri.

“Pada 2016, Kerajaan Selangor terpaksa membelanjakan RM8 juta bagi membersihkan Sungai Semenyih yang tercemar ketika itu, sementara Kerajaan Johor pula membelanjakan kira-kira RM6 juta untuk bersihkan Sungai Kim Kim.

“Berdasarkan beberapa senario ini, wajar angka bagi penalti maksimum itu dinaikkan kepada RM10 juta disamping hukuman penjara mandatori bagi memberi pengajaran kepada pesalah pencemar air.

“Kesan perbuatan pihak tidak bertanggungjawab ini menyebabkan kesukaran kepada jutaan akaun pengguna dan menjadi antara isu yang sering meresahkan rakyat Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Forum Air Selangor sempena Sambutan Hari Air Sedunia peringkat negeri menerusi siaran langsung di Facebook Lembaga Urus Air Selangor (LUAS).

Pengarah JAS Selangor, Nor Aziah Jaafar (bawah, kanan) dan Pengarah LUAS, Hasrolnizam Shaari (kiri) ketika Forum Air Selangor sempena Sambutan Hari Air Sedunia peringkat negeri menerusi siaran langsung di Facebook LUAS pada 30 Mac 2021. FotoNADIAH ZAMLUS

Sebelum ini, Kementerian Alam Sekitar dan Air (Kasa) bercadang untuk meningkatkan jumlah hukuman denda sehingga RM10 juta berbanding RM100,000 ketika ini kepada pihak yang disabitkan dengan kesalahan mencemarkan alam sekitar dan sumber air.

Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata jumlah itu antara perkara yang sedang dikaji kementeriannya dalam usaha untuk mencegah sebarang unsur pencemaran sungai.

Mengulas lanjut, Nor Aziah berkata sebanyak RM278,000 kompaun dikutip tahun lalu atas kesalahan jenayah alam sekitar melibatkan pencemaran air.

Jelas beliau kes tertinggi yang berjaya didakwa di mahkamah dan dikenakan denda bagi kesalahan yang sama pada 2019 ialah 100 kes dengan denda sebanyak RM1.37 juta.

“Namun pada tahun lalu hanya 38 pertuduhan dikemukakan dengan jumlah denda sebanyak RM325,000,” katanya.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

JPJ: Hobi ubai suai kenderaan undang padah jalan raya

KUALA LUMPUR, 27 MAC: Hanya kerana hobi dan minat, segelintir pemilik kenderaan sanggup tidak mengendahkan undang-undang dan melakukan pengubahsuaian kenderaan secara haram sehingga mengundang bahaya dan kemalangan jalan raya.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur Mohd Zaki Ismail berkata setiap peraturan jalan raya ditetapkan bukan semata-mata untuk mengutip kompaun, malah demi menjaga keselamatan pengguna jalan raya.

“Sebagai contoh penggunaan lampu High Intensity Discharged (HID) yang dipasang dengan kuasa melebihi standard ditetapkan, boleh mengganggu penglihatan pengguna jalan raya lain dan menyebabkan kemalangan,” katanya pada selepas mengetuai operasi bersepadu di Jalan Cheras berhampiran Stesen Transit Aliran Massa (MRT) Taman Mutiara, Cheras, di sini malam tadi.

Operasi selama empat jam berakhir 12 tengah malam itu melibatkan seramai 133 pegawai dan anggota daripada pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM).

Mohd Zaki berkata tindakan penguatkuasaan yang diambil adalah langkah terakhir dalam memastikan semua pengguna jalan raya berada dalam keadaan selamat dengan mematuhi peraturan ditetapkan.

Dalam operasi itu, sebanyak 1,750 kenderaan diperiksa dengan 197 dikenakan tindakan atas pelbagai kesalahan.

Menurutnya, sebanyak 365 notis dikeluarkan dengan kesalahan tertinggi iaitu 170 notis kerana tiada lesen memandu, menggunakan nombor pendaftaran ‘fancy’ (76 notis) dan tiada lesen kenderaan motor (67 notis) dan 52 lain-lain kesalahan.

Sementara itu, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur memeriksa 245 kenderaan dengan 47 notis dikeluarkan, manakala JAS memeriksa 53 kenderaan dengan 11 daripadanya dikenakan tindakan.

Seramai 28 individu juga diarah menjalani ujian saringan air kencing dengan 10 daripadanya didapati positif dadah jenis methaphetamine dan ganja.

Dua lelaki warga Myanmar ditahan kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

JAS giat kesan suspek kebakaran hutan simpan Kuala Langat

SHAH ALAM, 9 MAC: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor dengan kerjasama polis giat mengesan pihak disyaki mempunyai kaitan kes kebakaran Hutan Simpan Kekal Kuala Langat Selatan.

Pengarahnya berkata semua suspek melibatkan pemilik dan penyewa tanah, pekerja syarikat serta warga asing yang diupah melakukan pembakaran.

“Siasatan JAS mendapati syarikat ini menyewa tanah seluas 15.78 hektar untuk pertanian, kita yakin suspek ditangkap dalam tempoh terdekat.

“Selain itu tiga sampel bahan bukti di lokasi kebakaran dihantar ke Jabatan Kimia untuk tindakan selanjutnya,” kata Nor Aziah Jaafar kepada SelangorKini hari ini.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 29A(1), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak lebih daripada lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sementara Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata operasi memadam kebakaran tamat sepenuhnya hari ini.

Kebakaran Hutan Simpan Kuala Langat Selatan yang dikesan pada 28 Februari merebak sehingga lebih 40 hektar berikutan cuaca panas, kering dan berangin.

Pada Sabtu, Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata seorang lelaki warga Indonesia direman empat hari kerana melakukan pembakaran terbuka dii Hutan Simpan Kekal Kuala Langat Selatan.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

JAS arah tahan kapal asing buang minyak di perairan Selangor

SHAH ALAM, 8 MAC: Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengeluarkan perintah penahanan terhadap sebuah kapal asing, semalam yang disyaki melepaskan minyak berhampiran Pulau Jarak, Selangor.

Ketua Pengarah Norlin Jaafar berkata penahanan dibuat di bawah Seksyen 48, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan siasatan di bawah Seksyen 27 akta yang sama.

“Pasukan penyiasat JAS Selangor telah mengambil rakaman percakapan dan memeriksa dokumen kapal bagi melengkapkan kertas siasatan.

“Persampelan juga dilakukan ke atas beberapa bahagian kapal dan tiga sampel diambil dan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk dianalisis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jumaat lalu, sebuah kapal kargo ditahan oleh Maritim Malaysia selepas disyaki membuang sisa minyak di perairan Selangor kira-kira 21.7 batu nautika timur laut Pulau Jarak pada jam 12 tengah hari.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Selangor diisytihar kawasan larangan pembakaran terbuka

KUALA LUMPUR, 4 MAC: Seluruh Selangor, Pahang dan Johor kini diisytiharkan sebagai kawasan larangan pembakaran terbuka oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) berkuat kuasa semalam sehingga satu tarikh yang akan ditentukan kemudian.

Ketua Pengarah Alam Sekitar Norlin Jaafar berkata penguatkuasaan itu adalah seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 29AA(2) Akta Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2001.

Norlin berkata dengan pengisytiharan itu, semua pihak dilarang melakukan pembakaran terbuka atau membiarkan tanah atau premis kepunyaan mereka dimasuki atau dicerobohi oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan pembakaran terbuka bagi tujuan tertentu atau dengan tidak sengaja.

“Mereka yang sabit kesalahan melakukan pembakaran terbuka boleh dikenakan denda maksimum RM500,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Kompaun maksimum sebanyak RM2,000 juga boleh dikenakan atas setiap kesalahan,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Beliau berkata orang ramai juga diminta untuk bekerjasama memadamkan kebakaran-kebakaran kecil dan melaporkan kes-kes pembakaran terbuka atau kebakaran kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di talian 999 dan JAS di talian bebas tol 1-800-88-2727 atau melalui eAduan di laman sesawang https://eaduan.doe.gov.my.

Kelmarin, Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan berkata punca kualiti udara tidak sihat di beberapa kawasan dalam negara adalah disebabkan oleh peningkatan kes pembakaran terbuka susulan keadaan cuaca panas dan kering sejak pertengahan Februari lepas.

Tuan Ibrahim juga dilaporkan berkata keadaan berjerebu semalam adalah berpunca daripada kejadian kebakaran hutan dan tanah gambut seluas 34 hektar di Hutan Simpan Kuala Langat Selatan, pembakaran terbuka daripada aktiviti pertanian di Johan Setia, Klang dan kebakaran belukar di Rompin, Pahang.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Kilang kitar semula plastik didenda RM120,000

SHAH ALAM, 25 FEB: Sebuah kilang di Banting didenda RM120,000 selepas didapati menjalankan aktiviti kitar semula plastik tanpa kelulusan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekeliling (EIA).

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor berkata hukuman itu juga membabitkan kesalahan tidak mengemukakan punca pencemaran sisa buangan dan udara kepada ketua pengarah JAS selain gagal memasang alat kawalan pencemaran udara.

“Keseluruhannya kilang berkenaan bersama pengarah syarikat berdepan lapan pertuduhan melibatkan Seksyen 34A(2), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 ; Peraturan 4(1)(a), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009 dan Peraturan 5(1)(b), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014.

“Hukuman berkenaan dibuat Hakim Mahkamah Sesyen, Tuan Tengku Shahnizam Tuan Lah selepas pengarahnya mengaku bersalah. Kesalahan ini dikesan pada 2018,” kata Nor Aziah Jaafar menerusi kenyataan hari ini.

Menurutnya, JAS Selangor tidak akan berkompromi dengan penjenayah alam sekitar di samping akan mengenakan tindakan tegas.

“Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung aktiviti pencemaran boleh laporkan melalui talian bebas tol 1-800-88-2727 atau emel ke [email protected] dan melalui portal e-aduan JAS di  https:/eaduan.doe.gov.my,” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

JAS Selangor patahkan cubaan seludup lapan kontena e-sisa

SHAH ALAM, 18 FEB: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor berjaya mematahkan cubaan menyeludup masuk lapan kontena berisi barangan buangan elektrik dan elektronik terpakai (e-sisa) di Pelabuhan Barat dekat sini hari ini.

Pengarah JAS Selangor Nor Aziah Jaafar berkata serbuan hasil kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia berjaya menemukan barangan elektrik dan elektronik terpakai seberat kira-kira 145.1 tan yang dibawa masuk bagi tujuan kitar semula.

“Dalam serbuan kira-kira 12 tengah hari tadi kami telah menemukan papan litar tercetak dan mesin pencetak terpakai yang dikategorikan sebagai buangan elektrik dan elektronik terpakai seberat 147,147 kilogram dan dipercayai dibawa masuk bagi tujuan kitar semula.

“Siasatan awal mendapati barangan buangan ini diimport dari Amerika Syarikat dan Hong Kong tanpa kelulusan JAS,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nor Aziah berkata kesemua barangan buangan itu dipercayai akan dibawa ke beberapa premis di Lembah Klang untuk dilebur bagi mendapatkan logam berharga seperti timah dan tembaga bagi pasaran tempatan.

“Kita telah mengeluarkan notis arahan kepada syarikat pengimport untuk memulangkan kontena itu ke negara asal di bawah prosedur Konvesyen Basel berkaitan Kawalan Pergerakan Bahan Berbahaya Dan Pelupusan,” katanya.

Beliau berkata JAS Selangor terus komited membanteras jenayah alam sekitar rentas sempadan dan mengelakkan negeri ini dijadikan tempat pelupusan buangan daripada negara asing.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Suspek kes buang sisa kimia di Kajang ditahan

KUALA LUMPUR, 8 FEB: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor dengan kerjasama polis memberkas suspek yang disyaki terlibat dalam kes pembuangan haram sisa kimia di rezab Sungai Langat, Taman Seri Reko, Kajang, Selangor pada 3 Feb lepas.

Ketua Pengarah Alam Sekitar Norlin Jaafar yang memaklumkan perkara itu dalam satu kenyataan malam tadi bagaimanapun tidak menyatakan jumlah suspek yang diberkas pihak berkuasa itu semalam.

Menurutnya, berdasarkan maklumat risikan, JAS Selangor menemukan sebuah lori tiga tan yang disyaki digunakan dalam aktiviti itu yang nyaris menyebabkan Sungai Langat tercemar dan lori terbabit disita jabatan berkenaan untuk siasatan lanjut.

Katanya, kertas siasatan sedang dilengkapkan untuk membawa suspek terbabit ke muka pengadilan di bawah Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang membawa hukuman berat iaitu penjara mandatori dan boleh didenda tidak melebihi RM500,000.

“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada orang awam yang melaporkan mengenai kejadian ini dan sebarang aduan pencemaran hendaklah dilaporkan terus ke talian bebas tol JAS di 1-800-88-2727 atau e-mel ke [email protected] dan melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my.

“Saya juga ingin menegaskan JAS sentiasa mengambil tindakan tegas dan tiada kompromi terhadap penjenayah alam sekitar,” katanya.

Pada 3 Feb, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dalam kenyataan turut memaklumkan pihaknya akan melakukan siasatan lanjut berikutan penemuan tong berisi bahan buangan berjadual yang berpotensi menjadi punca pencemaran sungai.

– BERNAMA