Categories
AGENDA NASIONAL

Ibu didakwa abai anak lima tahun hingga maut jatuh kondominium

KUALA LUMPUR, 15 DIS: Seorang ibu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Selayang hari ini atas pertuduhan mengabaikan anak lelakinya berusia lima tahun tujuh bulan yang maut terjatuh dari tingkat 16 sebuah kondominium dekat sini, bulan lepas.

Wanita berusia 24 tahun yang hadir ke mahkamah memakai tudung biru dan berjubah hitam itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Nor Rajiah Mat Zin.

Tertuduh didakwa sebagai orang yang mempunyai hak pemeliharaan terhadap kanak-kanak itu mengabaikan dengan menyebabkan kecederaan fizikal pada tubuh badan mangsa di sebuah unit kondominium di Jalan Lebuhraya Selayang-Kepong, Gombak antara 9.45 pagi hingga 10.48 pagi, pada 17 Nov lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Shasha Hidayah Nor Azahar menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin namun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan dikurangkan dengan alasan dia tidak bekerja dan mempunyai seorang lagi anak lelaki berusia empat tahun.

“Saya seorang suri rumah dan tidak mampu membayar apa-apa (jamin), tambahan pula suami saya bekerja sebagai ‘rider’ (penghantar) dengan pendapatan sebulan tidak lebih RM2,000. Kesihatan saya juga tidak begitu stabil selepas kehilangan arwah (mangsa) anak saya,” kata tertuduh dalam nada sebak.

Mahkamah membenarkan wanita itu diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berdekatan sebulan sekali selain dilarang mengganggu saksi-saksi pendakwaan dan keluarga mangsa serta memerintahkan ikat jamin dibatalkan sekiranya tertuduh melanggar syarat jaminan.

Mahkamah menetapkan 13 Jan 2022 untuk sebutan kes bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.

Media sebelum ini melaporkan seorang kanak-kanak lelaki dipercayai terjatuh dari tingkat 16 di sebuah kondominium di Batu Caves, Gombak dan siasatan awal polis mendapati mangsa dipercayai bermain dan memanjat sebuah katil yang berada di tepi tingkap yang tidak dipasang jeriji.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

Polis tahan ibu saudara kanak-kanak maut jatuh tingkat 16 kondominium

KUALA LUMPUR, 18 NOV: Polis menahan ibu saudara kepada seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang maut terjatuh dari tingkat 16 di sebuah kondominium di Selayang di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata wanita berumur 36 tahun itu ditahan untuk membantu siasatan.

Beliau berkata suspek mempunyai lima rekod jenayah lampau berkaitan dengan dadah.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 31 (1) (5b) Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu dengan cuai menyebabkan kematian kepada kanak-kanak.

“Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Selayang hari ini bagi tujuan permohonan reman,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zainal Mohamed berkata orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat Insp Mohd Nizar Adnan di talian 03-61262222/013-9961892.

Semalam, kejadian tragis itu berlaku pada kira-kira 10.30 pagi, apabila ibu saudaranya sedar mengenai kehilangan anak saudaranya itu, selepas didapati tiada di dalam biliknya.

– BERNAMA