Categories
AGENDA NASIONAL

SPRM belum kenal pasti pemilik nombor telefon tawar ‘durian RM30’

SHAH ALAM, 9 OGOS: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan setakat ini belum dapat mengenal pasti identiti sebenar pemilik nombor telefon yang menghantar mesej tawaran rasuah kepada ahli parlimen DAP.

Menerusi kenyataan, SPRM berkata pihaknya memandang serius dakwaan tiga ahli parlimen DAP yang ditawarkan rasuah seperti wang dan jawatan supaya menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Sehingga kini SPRM sudah menemui tiga ahli parlimen DAP berkenaan bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai tohmahan tersebut.

“Setakat ini SPRM tidak dapat mengenal pasti identiti sebenar pemilik nombor telefon yang menghantar mesej menerusi aplikasi WhatsApp kepada ahli-ahli parlimen berkenaan,” katanya.

SPRM juga memberi jaminan akan terus menjalankan siasatan dan berharap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung isu berkenaan.

Pada 7 Ogos, Ahli Parlimen Ipoh Barat M Kulasegaran; Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong dan Ahli Parlimen Kuching Dr Kelvin Yii mendakwa menerima mesej daripada nombor telefon yang tidak dikenali dan menawarkan dua kekosongan jawatan menteri.

Poay Tiong berkata nombor berkenaan menawarkan jawatan menteri tenaga dan sumber asli dan menteri pengajian tinggi selepas Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah dan Datuk Seri Dr Noraini Ahmad meletakkan jawatan pada 3 dan 6 Ogos lalu.

Katanya, individu tersebut menawarkan “durian RM30” secara tunai dan jawatan menteri. Bagaimanapun beliau tidak jelas apa yang dimaksudkan dengan “durian RM30”.