Categories
EXCO SELANGOR

EXCO: Jawatankuasa khas mudahkan bantuan pascabanjir diagih saksama

HULU LANGAT, 23 DIS: Jawatankuasa khas pascabanjir di Hulu Langat menjadi medan komunikasi semua pihak termasuk sukarelawan bagi menyelaras dan melancarkan proses pembersihan.

EXCO Pembangunan Generasi Muda Mohd Khairuddin Othman menjelaskan usaha terbabit juga membantu proses agihan makanan dan keperluan secara saksama kepada mangsa terkesan.

“Kita faham ramai hendak bantu, jadi kita agihkan semua mengikut keperluan mangsa supaya proses lancar. Yang hendak bantu, datang jumpa kita supaya tidak berkeliaran tidak tentu arah.

“Kita mahukan komunikasi, mudah agihkan tugasan selain pastikan semua mangsa dapat bantuan,” katanya ditemui di pusat pemindahan sementara di Sekolah Kebangsaan Sungai Serai hari ini.

Mohd Khairuddin, yang mengetuai organisasi itu berkata penubuhan jawatankuasa dapat mengelak kesesakan di kawasan banjir hingga menjejaskan proses pembersihan.

“Bila terlalu ramai, tong RORO (Roll On Roll Off) susah hendak masuk, justeru kita minta mereka yang mahu bantu supaya sokong tindakan ini untuk mudahkan semua,” katanya.

Siang tadi, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan penubuhan jawatankuasa berkenaan bagi menyelaras pemulihan banjir di Hulu Langat.

Beliau turut mengumumkan perbelanjaan RM2 juta daripada peruntukan Selangor Bangkit untuk membangunkan semula daerah itu yang terjejas teruk akibat banjir.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Jawatankuasa ditubuh selaras pemulihan banjir di Hulu Langat

HULU LANGAT, 23 DIS: Kerajaan Negeri menubuhkan jawatankuasa bagi menyelaras proses pemulihan banjir termasuk pembersihan dan agihan bantuan di Hulu Langat.

Dato’ Menteri Besar berkata stesen koordinasi turut dibina sementara bagi mengawal kesesakan susulan kehadiran sukarelawan dan badan bukan kerajaan (NGO) di kawasan terjejas.

“Keadaan Hulu Langat agak parah dan perlu ada koordinasi tambahan, jadi kita akan susun dan kawal kembali keadaan sekeliling supaya proses pemulihan dapat dibuat.

“Stesen dijangka beroperasi satu ke dua minggu. Kita akan panggil dan susun semua sukarelawan dan NGO supaya tiada kesesakan serta pertindihan tugas,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau yang ditemui di pusat pemindahan sementara di Sekolah Kebangsaan Sungai Serai di sini hari ini menambah stesen tersebut diketuai EXCO Generasi Muda Mohd Khairuddin Othman.

Amirudin menjelaskan pihaknya tidak menghalang sesiapa untuk menghulur bantuan tetapi mahu ia diselaras supaya proses pemulihan di kawasan tersebut lancar.

Terdahulu, beliau mengumumkan sejumlah RM2 juta daripada peruntukan Selangor Bangkit disalur ke Hulu Langat bagi memulihkan semula sebahagian besar daerah itu yang terkesan banjir.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180mm, mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.