Categories
NASIONAL SELANGOR

Penduduk Kampung Pandan Bakal Terima Dewan Baru

SHAH ALAM, 13 DIS : Penantian lebih 30 tahun penduduk Kampung Pandan, Ampang untuk mendapatkan dewan serbaguna baru bakal berakhir kelak setelah permohonan pembinaan semula dewan itu diluluskan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad dalam satu kenyataan media berkata, pembinaan semula dewan orang ramai di Jalan Pandan Medan itu akan menggunakan peruntukan Geran Selangorku.

Beliau berkata, Majlis Perbandaran Ampang Jaya ( MPAJ) bertanggungjawab menguruskan pembinaan dewan seluas 5,500 kaki persegi itu dengan kos sekitar RM500,000.

“Dewan baru itu bakal dilengkapi dengan dua gelanggang badminton dan akan mengambil masa lebih kurang lapan bulan untuk disiapkan sepenuhnya.

“Menurut laporan MPAJ, mereka sudah menyiapkan dokumen dan lukisan tender bagi pembinaan semula dewan itu dan hanya menunggu surat arahan daripada Jawatankuasa Geran untuk meneruskan tugas mereka,” katanya.

Tambahnya, pembinaan dewan serbaguna ini merupakan satu keperluan mendesak memandangkan ia digunakan penduduk setempat untuk program-program kemasyarakatan.

Kata Iskandar lagi, Kerajaan Umno-BN sering mendakwa mereka memperjuangkan nasib orang Melayu, namun gagal menyediakan kemudahan awam yang baik kepada penduduk di Kampung Pandan.

“Kampung Pandang merupakan sebuah kampung Melayu yang ketinggalan dari segi kemudahan awam berbanding dengan taman-taman berdekatan sejak sekian lama. Masalah-masalah  pemberi milikan tanah di kampung tersebut yang begitu lama tertangguh juga hanya dapat diselesaikan di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat,” katanya lagi.