Categories
SELANGOR

MPSJ Bina Kunci Air Halang Banjir

PUCHONG, 24 APR : Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) mengambil insiatif membina kunci air di Kampung Kenangan di sini bagi mengekang limpahan air Sungai Klang daripada memasuki kampung itu bagi mengelak kejadian banjir yang sering melanda kampung tersebut.

Timbalan Yang Dipertua MPSJ, Abdullah Marjunid berkata, pembinaan kunci air bernilai RM15,000 mengambil kira kebimbangan penduduk yang sering berhadapan dengan masalah banjir apabila berlaku hujan lebat secara berterusan.

“Menyedari kerisauan penduduk berhubung perkara ini maka MPSJ telah mengambil langkah membina kunci air ini yang akan mengekang banjir dan limpahan air yang banyak dari Sungai Klang.

“Selain itu beberapa insiatif lain turut diambil MPSJ yang mana antaranya adalah seperti menjalankan kerja pembaikan longkang, mengemukakan permohonan Geran Selangorku bagi kerja penaiktarafan longkang di Kampung Kenangan selain memberi bantuan sumbangan kepada mangsa banjir yang terlibat bagi meringankan beban mereka,” katanya.

Abdullah berkata demikian selepas majlis Perasmian Penyerahan Kunci Pintu Kawalan Air Kampung Kenangan di sini hari ini.

Turut hadir, Pegawai Daerah Petaling Jaya, Datuk Zulkifli Rahmat; Ahli Majlis MPSJ, Azizan Jamaluddin dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKKK) Kampung Kenangan, Ruslan Mohd Shah.

Sementara itu, Ruslan berkata, banjir kali terakhir berlaku di kampung itu pada Mac lalu dan senario itu adalah biasa apabila setiap kali berlaku hujan lebat.

Beliau berkata, pembinaan kunci air di kampung itu diharap akan mampu mengatasi masalah banjir di situ.

“Bila hujan memang kebiasaannya akan terjadi banjir di kampung ini tetapi dengan adanya kunci air kita harap masalah banjir sedikit sebanyak mampu ditangani secara beransur-ansur.

“Sebelum ini memang air mudah naik ke paras yang tinggi dengan cepat. Penduduk di kampung ini memang berasa risau dengan keadaan ini,” ujarnya.

Kira-kira 1,000 orang penduduk mendiami Kampung Kenangan. Kunci air yang kini dipegang Ruslan akan diserahkan kepada Jawatankuasa Penduduk (JKP) Zon 8 untuk kerja penyelengaraan selepas ini.

Categories
NASIONAL SELANGOR

MB Sampaikan Bantuan RM2J Untuk Mangsa Banjir Di Klang

KLANG, 8 APRIL : Mangsa banjir yang berlaku di Klang melahirkan rasa syukur diatas keperihatinan kerajaan negeri yang sudi menghulurkan bantuan berjumlah RM500 kepada setiap keluarga bagi meringankan beban.

Kerajaan negeri memperuntukkan RM2 juta ringgit untuk sumbangan banjir ini dan disampaikan sendiri oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam Majlis Penyerahan Bantuan Bencana Banjir Kilat Fasa I Daerah Klang sebentar tadi.

Menceritakan detik kejadian Mohd Khalid Asmari dari Kampung Delik Kiri berkata, beliau menyedari rumahnya mula dinaiki air pada jam 5.00 pagi ketika ingin bersiap untuk menunaikan solat Subuh.

“Mula-mula bangun saya tidak sedar bagaimana rumah dinaiki air kerana berpunca daripada bilik air. Saya sedar air masuk sedikit demi sedikit sehingga ke dalam rumah. Air masuk secara mendadak jadi saya tidak berjaya menyelamatkan beberapa barangan seperti almari memnadang saya

“Kerugian yang dialami tidak banyak tapi hampir RM500 juga. Saya berterima kasih dan bersyukur diatas sumbangan yang diberikan oleh kerajan negeri,” katanya.

Sementara itu, Saraswathy Subramaniam berkata, beliau menyedari air masuk ke dalam rumah pada jam 3.00 pagi sehingga paras betis.

Dianggarkan kerugian yang dialami berjumlah RM6,000 termasuk kerosakkan perabot dan barangan keperluan lain.

Mohd Firdaus Harun bersyukur ketika kejadian beliau mendapat bantuan daripada keluarga memandangkan mengalami kesukaran untuk bergerak akibat kecederaan kemalangan yang dialami.

“Saya sedang tidur lena, kemudian dikejutkan oleh isteri saya. Saya sedar jam 4.00 pagi tilam saya dinaiki air. Masa itu nak bergerak agak susah memandangkan besi di kaki saya ketika itu masih belum dibuka. Adik-beradik saya tolong angkatkan barang,” katanya.

Kejadian banjir yang berlaku pada 30 Mac lalu mengakibatkan hampir 10 buah sekolah ditutup selain kemusnahan harta benda.

Seramai 1,381 mangsa banjir menerima sumbangan untuk fasa pertama yang melibatkan Kampung Delik, Kampung Raja Uda, Kampung Sungai Udang dan sebahagian Taman Sentosa.

Semua mangsa yang belum mendaftar untuk menerima bantuan banjir diberikan tempoh sehingga 13 April untuk berbuat demikian melalui pejabat pusat khidmat dun dan Jawatankuasa Kemajuan Kampung.

Mereka perlu membawa bersama laporan polis dan dokumen pengesahan daripada JKKK bagi mengelakkan sebarang penipuan sekaligus menafikan hak mangsa lain yang layak.

Dalam pada itu Tan Sri Abdul Khalid menjelaskan peruntukkan untuk Jabatan Pengaliran Saliran adalah daripada kerajaan persekutuan dan bukannya daripada kerajaan negeri.

“Saya diberikan penerangan oleh pihak JPS yang mengemukakan permintaan peruntukkan ysng melebihi RM1 billion untuk Klang kerana kawasan ini memrlukan program mengatasi banjir.

“Dalam empat tahun di bawah Pakatan Rakyat, peruntukkan untuk Klang bukan menjadi keutamaan. Saya diberitahu mereka meletakkan keutamaan kita di tahap ketiga,” katanya.

Katanya, beliau akan bekerjasama dengan JPS untuk menulis surat kepada Unit Perancangan Ekonomi Negara bagi memaklumkan menyatakan kerugian dan kesan sekiranya kerap berlakunya banjir.

Beliau turut meminta pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan Majlis Daerah berbincang untuk mengatasi masalah banjir ini dengan meletakkan taraf jika berlaku banjir sekalipun hanya sekali dalam tempoh 50 tahun.

Kerajaan negeri juga memperuntukkan RM5 juta bagi membina kolam tadahan air bagi menampung lebihan air hujan selain kerja-kerja pembersihan longkang-longkang di kawasan Klang.

Categories
SELANGOR

Kg Baru Bukit Angkat Dapat Kemudahan Sukan

KAJANG, 21 MAC : Penduduk di Kampung Baru Bukit Angkat dan sekitarnya terus menikmati kemudahan secara berterusan dengan Kerajaan Negeri diterajui Pakatan Rakyat (PR) menyalurkan pelbagai bantuan demi kesejahteraan penduduk berkenaan.

Terbaru, gelanggang bolakeranjang di kampung itu yang dibina tanpa bumbung pada 2009 mengalami perubahan dalam tempoh singkat apabila pada awal tahun ini dinaiktarafkan dan kini siap berbumbung bagi memberi lebih keselesaan kepada penduduk khususnya golongan muda untuk bersukan dan beriadah.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKKK) Kampung Baru Bukit Angkat, Fong Tiam Fah berkata, dengan terbinanya gelanggang bolakeranjang itu dengan dilitupi bumbung akan meningkatkan lagi minat anak muda di kampung itu untuk mengerakkan pelbagai aktiviti sukan.

Menurutnya, tindakan menaiktaraf gelanggang itu adalah jelas Kerajaan Negeri amt prihatin dengan keperluan penduduk yang memerlukan satu tempat beriadah yangsempurna dan lengkap.

“Sebelum ini walaupun gelanggang ini ada tetapi ia tidak berbumbung dan keadaan ini menimbulkan masalah kepada penduduk akibat cuaca panas

atau ketika hujan.

“Dengan kemudahan berbumbung kini penduduk khasnya anak muda akan rasa lebih selesa untuk menggunakannya. Saya selaku ketua kampung merakamkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri,” katanya ketika ditemui SelangorKini.

Sementara itu, Pembantu Khas Adun Kajang, Ong Seng Peng menjelaskan gelanggang bolakeranjang itu dinaiktarafkan dengan pemasangan  bumbung melibatkan kos sebanyak RM170,000.

Beliau berkata, gelanggang yang dibina pada 2009 itu mengalami proses pembinaan secara berperingkat menerusi peruntukan disediakan Kerajaan Negeri.

“Gelanggang bolakeranjang ini dibina Kerajaan Negeri pada 2009 kerana menyedari betapa perlunya penduduk tempatan diberi kemudahan untuk bersukan dan beriadah.

“Selaku Adun di kawasan ini, Lee Khim Sin sentiasa mendampingi penduduk tempatan dan menerusi usaha dilakukan maka kemudahan itu tersedia melalui peruntukan Pembangunan Kampung Baru dan Penyelesaian Kilang Haram diketuai Exconya, Ean Yong Hian Wah,” katanya.

Ong berkata, kemudahan gelanggang itu diharap digunakan sebaik mungkin oleh penduduk di kawasan itu.

Menurutnya, Kerajaan Negeri tentunya akan menyalurkan bantuan dan menyediakan lebih banyak kemudahan kepada rakyat di kampung itu khasnya dan Selangor amnya.