Categories
SELANGOR

Penjualan rumah berkembar Bukit Botak dapat sambutan

bukit botak rumah asri 01

SHAH ALAM 19 OKT : Penjualan unit rumah berkembar satu tingkat di Bukit Botak, Selayang, yang dimajukan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai sejak mula dibuka untuk jualan.

Pengurus Perhubungan Awam PKNS, Ishak Hashim, berkata pihaknya menerima lebih 1,000 borang permohonan sejak diedarkan awal bulan ini iaitu 10 kali ganda berbanding 100 unit rumah yang ditawarkan.

Katanya, proses penapisan untuk menentukan kelayakan pemohon hanya akan diputuskan melalui persidangan Jawatankuasa Khas Pemilihan yang dianggotai Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS), PKNS serta Pejabat Tanah dan Daerah Gombak yang dijadualkan tidak lama lagi.

“Kita belum buat panggilan temuduga kerana hanya akan dilakukan selepas proses penapisan selesai. Permohonan untuk memiliki kediaman itu sudah ditutup, pada minggu lalu,” katanya ketika dihubungi di sini, baru-baru ini.

Ishak berkata, segala keputusan yang melayakkan seseorang untuk memiliki kediaman itu adalah bergantung kepada garis panduan yang ditetapkan Kerajaan Negeri.

Kerajaan Negeri sebelum ini mengarahkan PKNS untuk membatalkan penjualan ‘siapa cepat dia dapat’ dengan serta-merta dan menggantikannya dengan saluran jawatankuasa khas.

Jawatankuasa itu akan menyenarai pendek permohonan dan membuat tawaran jualan kepada pemohon yang layak melalui proses temuduga membabitkan kriteria pemilihan tertentu. -NFN-