PUTRAJAYA, 13 NOV: Jawatankuasa Khas yang ditubuhkan untuk menyiasat secara teliti kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim kini dianggotai oleh pakar undang-undang, patologi forensik dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar turut mengumumkan bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Kamardin Hashim dan Perunding Kanan Patologi Forensik Penang Medical College Datuk Dr Bhupinder Singh sebagai anggota Jawatankuasa Khas itu.
Ia juga dianggotai Profesor Ulung Fakulti Perubatan Universiti Malaya Datuk Prof Dr Looi Lai Meng; pakar kriminologi Datuk Dr P. Sundramoorthy; Ketua Penolong Pengarah (D10) Forensik PDRM SAC Azari Abd Rahman serta Ketua Pusat Pengajian Sains Penyiasatan dan Pendakwaan PDRM SAC Mohammad Abd Hamid.
“Mesyuarat Jemaah Menteri pada 29 Okt lepas bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Khas tersebut bagi memastikan pembelaan sewajarnya dibuat terhadap kes kematian Muhammad Adib,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada 9 Okt, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata sebuah Jawatankuasa Khas akan diwujudkan bagi memastikan siasatan menyeluruh, telus dan pembelaan sewajarnya berhubung kes kematian Muhammad Adib.
Ismail Sabri berkata Jawatankuasa Khas yang dipengerusikan Wan Junaidi itu dianggotai Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican; serta Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun.
Mengulas lanjut, Wan Junaidi berkata Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri akan menjadi urus setia bersama Kementerian Dalam Negeri serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi Jawatankuasa Khas itu.
“Memorandum Jemaah Menteri berhubung penubuhan Jawatankuasa Khas ini termasuk terma rujukan, keanggotaan dan implikasi kewangan akan dibentangkan untuk pertimbangan dan kelulusan Jemaah Menteri dalam masa terdekat.
“Jawatankuasa ini akan mengemukakan dapatan dan syor-syor kepada mesyuarat Jemaah Menteri dalam tempoh enam bulan sebagaimana keputusan Jemaah Menteri pada 29 Okt lepas,” katanya.
Muhammad Adib, cedera parah semasa rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov 2018 dan meninggal dunia pada 17 Dis 2018, selepas berjuang untuk hidup selama 21 hari.
Allahyarham dikatakan diserang serta dipukul sehingga cedera parah, malah jentera bomba turut dirosakkan selain dua kenderaan lain dibakar dalam rusuhan yang berlaku berikutan perselisihan antara dua kumpulan mengenai isu perpindahan tapak kuil berusia lebih 100 tahun itu.
Prosiding inkues bagi menyiasat kematian Muhammad Adib di Mahkamah Koroner Shah Alam di hadapan Koroner Rofiah Mohamad berlangsung selama 41 hari dan berakhir 24 Julai 2019. Seramai 30 saksi dipanggil dan 137 bahan bukti dikemukakan.
Pada 27 Sept 2019, Mahkamah Koroner memutuskan kematian Muhammad Adib adalah perbuatan jenayah dilakukan lebih daripada dua individu tidak dikenali.
– BERNAMA