Categories
SELANGOR

Shamsudin Lias: Tunggu sidang media Isnin ini

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 6 DIS: Ketua Pembangkang Dewan Negeri Selangor (DNS), Datuk Mohd Shamsudin Lias akan mengadakan sidang media bagi mengumumkan keputusan sama ada akan menerima atau menolak pelantikan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Kerajaan (PAC).

Ketika dihubungi Selangor Kini, beliau memaklumkan, sidang media itu akan diadakan di pejabat DNS, jam 10 pagi, pada 8 Disember ini..

shamsudin lias 3“Tunggu hari Isnin. Saya akan buat satu sidang media di Pejabat DNS, pada jam 10 pagi,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Burong.

Dewan sebelum ini meluluskan pindaan Peraturan Tetap 68(1) supaya Ketua Pembangkang dilantik menjadi Pengerusi PAC yang turut disertai seorang ADUN Barisan Nasional (BN) dan lima lagi anggota lain daripada ADUN Pakatan Rakyat (PR).

Mohd Shamsudin berkemungkinan besar berdepan dengan tuntutan melepaskan jawatan sebagai Ketua Pembangkang jika menolak pelantikan berkenaan.

-NFN-

Categories
NASIONAL

KPN perlu dihadap ke Jawatankuasa Khas Ketua Audit Negara

Audit-Polis

SHAH ALAM 9 OKT : Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Khalid Abu Bakar perlu dihadapkan ke Jawatankuasa Khas berkenaan Laporan Ketua Audit Negara 2012 untuk memberi penjelasan tentang kehilangan senjata api dan aset polis, bukannya menjadi anggota jawatankuasa berkenaan.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, perkara ini penting kerana Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang menafikan bahawa polis memberi penjelasan kepada Jabatan Audit tentang kehilangan 44 pucuk senjata api dan aset polis lain.

“Ambrin menyangkal beberapa laporan menyebut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Zahid Hamidi mengatakan bahawa satu laporan dikemukakan kepada Ketua Audit Negara berkenaan barangan polis yang hilang tetapi penjelasan dalam laporan tersebut tidak dimasukkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012.

“Atas sebab ini, Ketua Polis Negara perlu dihadapkan ke hadapan Jawatankuasa Khas untuk memberi penjelasan penuh dan memuaskan tentang kehilangan aset polis bernilai RM1.33 juta,” kata Kit Siang dalam satu kenyataan.

Kit Siang berkata, adalah sesuatu yang menggusarkan kerana tiada tanda Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) ingin memanggil KPN untuk memberi penjelasan tentang kehilangan aset polis itu.

“Agak menghairankan mengapa PAC tidak menyenaraikan kehilangan aset polis bernilai RM1.33 juta sebagai salah satu perkara yang perlu segera disiasat.

“Sedangkan orang awam mengharapkan perkara ini diberikan keutamaan dalam senarai siasatan oleh PAC,” kata beliau.