Categories
NASIONAL SELANGOR

UPEN Sahkan Selangor Mampu Hasilkan Air Terawat

SHAH ALAM 8 OGOS : Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) mengesahkan Selangor mampu menghasilkan air terawat yang mencukupi untuk kegunaan penduduk di Lembah Klang.

Timbalan Pengarahnya, Nor Azmi Diron berkata Jawatankuasa Pemantauan Air yang ditubuhkan oleh Kerajaan Negeri bagi mencari penyelesaian krisis air mendapati, 34 loji yang sedia ada mampu mengeluarkan air terawat sebanyak 4,807 juta liter sehari (JLH).

Katanya, jumlah pengeluaran air itu mengatasi jumlah penggunaan air penduduk di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya iaitu sebanyak 2,944 JLH.

Azmi menjelaskan jumlah pengeluaran air terawat itu juga berlebihan kerana Syarikat Bekalan Air Selangor(Syabas) hanya mengagihkan air sebanyak 4,371 hingga 4,411 JLH sahaja.

“Manakala kadar pengeluaran air yang tidak terhasil (NRW) oleh Syabas sebanyak 1,389 JLH atau 32 peratus.

“Jumlah NRW ini adalah air yang tidak sampai kepada pengguna. Jadi Syabas gagal memenuhi tanggung jawab untuk membekalkan air terawat yang secukupnya kepada pengguna seperti yang dipersetujui dalam Penjanjian Penswastaan Air 2004,” katanya dalam taklimat isu air  dan hutang Talam di Shah Alam Convention Centre, di sini.

Beliau berkata dua daripada loji terawat iaitu Loji Langat dan Semenyih mampu mengeluarkan lebih 20 peratus air terawat kerana reka bentuknya sejak 20 tahun lalu.

“Manakala ada juga loji yang hanya mampu mengeluarkan air terawat sebanyak 800 JLH iaitu Sungai Selangor fasa 3 kerana reka bentuknya,” katanya.

Justeru,  catuan air yang dicadangkan oleh Syabas kepada kerajaan adalah tidak tepat dan merupakan pendirian yang tidak boleh diterima.

Jawatankuasa Pemantauan Air itu dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Muhammad Khusrin Munawi dan dianggotai oleh pegawai-pegawai dari Unit Perancang Ekonomi Negeri, Konsortium ABBAS dan bekas kakitangan Perbadanan Urus Air Selangor.