Categories
EXCO SELANGOR

EXCO: Jawatankuasa pemulihan digesa mesyuarat setiap bulan, tangani projek terbengkalai

SHAH ALAM, 23 DIS: Jawatankuasa Pemulihan Projek Terbengkalai negeri ini diminta mengadakan mesyuarat setiap bulan bagi menyelesaikan isu berkaitan secara menyeluruh.

EXCO perumahan berkata jawatankuasa terbabit didapati hanya bermesyuarat empat kali setahun sehingga mengakibatkan isu ribuan unit rumah terbiar gagal ditangani.

“Rata-rata saya tidak berpuas hati maka kita cadangkan supaya mereka lebih kerap berjumpa dan meneliti isu berkenaan.

“Ini kerana banyak unit terkena malah ada isu lebih 30 tahun masih tidak bergerak. Kita mahu selesaikan masalah ini kerana kasihan kepada mereka yang sudah lama menunggu,” kata Rodziah Ismail pada sidang media di Hotel De’Palma di sini semalam.

Beliau berkata berdasarkan semakan, senarai unit rumah terbiar dikenal pasti setakat ini diurus Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Kebanyakannya di bawah PBT malah ada yang berlesen dan tidak berlesan, jadi sekiranya ia tidak diberi tumpuan maka perkara itu perlu menunggu empat bulan baru diangkat di peringkat Kerajaan Negeri,” katanya.

Pada 3 November, Rodziah memaklumkan Kerajaan Negeri berjaya menyelamatkan sebanyak 104 projek terbengkalai antara 2008 sehingga Oktober lalu meliputi 35,776 projek perumahan, komersial dan industri.