Categories
AGENDA NASIONAL

Hantar bantuan, NGO perlu rujuk Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah

SHAH ALAM, 2 APRIL: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) diminta merujuk kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah untuk menghantar bantuan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ini kerana wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berada dalam jawatankuasa terbabit bagi menyelaraskan isu berkaitan untuk diagihkan kepada penerima.

“Saya percaya JKM sudah mengeluarkan peraturan kepada NGO iaitu berdaftar dengannya dan barangan dihantar mesti jelas penerimanya,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Sebelum ini, ada NGO menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap keputusan kerajaan yang tidak membenarkannya menghantar terus kepada penerima sebaliknya diserahkan kepada JKM.

Namun Ismail Sabri menjelaskan arahan itu adalah bagi mengelak ahli NGO terdedah kepada jangkitan Covid-19.

Dalam pada itu, beliau berkata orang ramai juga diminta menyerahkan aduan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah di kawasan masing-masing sekiranya ada isu berbangkit dalam tempoh PKP.

“Ada individu membuat aduan secara berswafoto dan merakam video kemudiannya dimasukkan ke YouTube, sebaiknya ia harus disampaikan kepada jawatankuasa dipengerusikan pegawai daerah,” katanya.