Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Jawatankuasa selaras pascabanjir Hulu Langat mudahkan kutipan KDEBWM

SHAH ALAM, 4 JAN: Penubuhan jawatankuasa penyelarasan pascabanjir di Hulu Langat memudahkan kerja pembersihan, kata pengarah urusan KDEB Waste Management (KDEBWM).

Ramli Mohd Tahir berkata proses kutipan sampah di kawasan itu berjalan lancar meskipun lokasi sesak dengan kehadiran sukarelawan serta pihak tertentu.

Pekerja KDEB Waste Management (KDEBWM) menjalankan kerja pembersihan pascabanjir di Taman Sri Nanding, Hulu Langat pada 2 Januari 2022. Foto Facebook KDEBWM

“Jawatankuasa sebagai koordinator menjadikan semua proses sistematik dan teratur. Contohnya pembabitan polis yang mengawal trafik dan majlis (pihak berkuasa tempatan) turut memberi kelulusan guna tanah untuk kita letakkan sampah.

“Kerjasama semua pihak sangat membantu. Jika semua diserah kepada KDEBWM kerja jadi susah dan mungkin ambil masa untuk selesaikan pembersihan,” katanya kepada SelangorKini.

Ramli berkata memandangkan Hulu Langat bersebelahan Kuala Lumpur, beberapa pihak antaranya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Alam Flora turut tampil menghulur bantuan.

Bermula 24 Disember Kerajaan Negeri menubuhkan jawatankuasa diketuai EXCO Generasi Muda Mohd Khairuddin Othman bagi mengkoordinasi proses pemulihan banjir termasuk pembersihan dan agihan bantuan di Hulu Langat.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata stesen koordinasi turut dibina sementara bagi mengawal kesesakan susulan kehadiran sukarelawan dan badan bukan kerajaan (NGO) di kawasan terjejas.