Categories
AGENDA ALAM SEKITAR & CUACA NASIONAL

Fasa peralihan monsun berterusan hingga pertengahan Mei

PUTRAJAYA, 19 MAC: Fasa peralihan monsun dijangka berterusan sehingga pertengahan Mei tahun ini dengan kejadian ribut petir, hujan lebat dan angin kencang boleh berlaku khususnya pada petang dan awal malam, kata Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Menurutnya perkara itu dimaklumkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pada Mesyuarat Jawatankuasa Induk Jerebu dan Cuaca Kering Kebangsaan Bil. 1 Tahun 2021 yang dipengerusikannya di Ibu Pejabat Jabatan Alam Sekitar (JAS) di sini.

“Cuaca panas dan kering masih boleh berlaku dan akan reda sepenuhnya menjelang April tahun ini. Fenomena ini adalah normal, berlaku sekitar Feb hingga April setiap tahun dan tiada cuaca panas yang luar biasa diramal akan berlaku tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata jumlah hujan bulanan terendah pada Februari tahun ini adalah di Pulau Langkawi dan Alor Setar, Kedah dengan 0.0mm manakala suhu maksimum tertinggi adalah 36.8ْC di Kuala Krai, Kelantan pada 26 Februari lepas.

Sementara itu menurutnya 1,586 kes pembakaran terbuka dilaporkan bagi tempoh 1 Jan hingga 10 Mac tahun ini, dan 29 kes kebakaran berskala besar telah dilaporkan, yang melibatkan hutan simpan kekal, belukar dan hutan tanah gambut serta tapak pelupusan sampah.

Tuan Ibrahim berkata JAS telah mengambil tindakan penguatkuasaan dengan mengeluarkan 52 saman, 37 kompaun, 62 notis arahan,168 surat arahan dan 26 penyediaan kertas siasatan untuk tindakan mahkamah ke atas kesalahan melakukan pembakaran terbuka.

“Kerajaan akan mengambil tindakan serius bagi membenteras isu kebakaran di tapak pelupusan sampah haram, di samping menambah baik tindakan pencegahan kebakaran hutan serta belukar tanah gambut yang menjejaskan kualiti udara serta menyebabkan jerebu tempatan,” katanya.

Beliau berkata kerajaan sentiasa bersedia bagi menghadapi keadaan cuaca panas dan kering dengan meningkatkan usaha-usaha pencegahan ke atas aktiviti pembakaran terbuka dan jerebu tempatan yang menjejaskan kualiti udara dan kesihatan awam.

Jawatankuasa Induk Jerebu Kebangsaan yang ditubuhkan pada 1997 dan bermesyuarat secara dwi tahunan, bertanggungjawab untuk melaporkan status semasa berhubung keadaan jerebu dan cuaca panas kering yang melanda negara.

Jawatankuasa itu dianggotai pelbagai agensi kerajaan yang berkait rapat dengan pengurusan bencana jerebu termasuk Agensi Pengurusan Bencana Negara, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli, Kementerian Kesihatan, JAS dan MetMalaysia.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

RUU Perbekalan 2021 bagi JPM lulus peringkat Jawatankuasa

KUALA LUMPUR, 30 NOV: Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 peringkat Jawatankuasa bagi Jabatan Perdana Menteri (JPM) menerusi undi belah bahagian.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun ketika mengumumkan keputusan undian berkata sejumlah 105 undi menyokong, 95 tidak bersetuju, manakala 20 ahli parlimen tidak hadir.

Undi belah bahagian itu diadakan selepas lebih 15 ahli parlimen bangun meminta proses belah bahagian dilakukan.

Terdahulu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 peringkat Jawatankuasa bagi JPM, menyentuh isu yang dibangkitkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) mengenai jumlah pelantikan anggota pentadbiran yang besar.

Mohd Redzuan berkata pelantikan itu berdasarkan keperluan kerajaan terutama dalam memastikan segala program dan projek kerajaan dilaksanakan dengan cekap, lancar serta memberi impak yang lebih bermakna.

“Dalam hal ini, jumlah anggota pentadbir Perikatan Nasional tak terlalu besar, walaupun ada penambahan berbanding ketika kerajaan Pakatan Harapan. Ini dibuat atas keperluan semasa bagi memastikan segala projek kerajaan berjalan lancar dan memberi impak yang lebih bermakna,” katanya.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri ketika menggulung perbahasan bagi pihak portfolio beliau, berkata lebih dari RM536 juta zakat dikutip oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) khusus untuk membantu mereka yang terjejas ketika negara dilanda pandemik Covid-19.

Bagi inisiatif sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa bermula Mac lepas, menurutnya MAIWP membelanjakan hampir RM75 juta untuk membantu mereka yang terjejas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Takiyuddin Hassan ketika menggulung isu berkaitan Parlimen dan undang-undang pula berkata kerajaan sedang meneliti penubuhan Akta Perkhidmatan Parlimen.

Menurutnya, berdasarkan libat urus dan tinjauan yang dijalankan terhadap pegawai yang sedang berkhidmat di Parlimen mereka lebih cenderung agar perkhidmatan Parlimen dibuat secara terbuka atau ‘open service’ kerana menganggap ia lebih baik dari segi kenaikan pangkat dan peluang kerjaya yang lebih luas.

“Akta Perkhidmatan Parlimen yang pada asalnya ditubuhkan pada 1963 tapi dibatalkan pada 20 Nov 1992. Untuk maklumat, draf Rang Undang-undang Suruhanjaya Perkhidmatan Parlimen sebenarnya ada disediakan. Namun demikian kerajaan memperhalusi dan meneliti kembali penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Parlimen ini,” katanya.

Terdahulu, seramai 18 ahli parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang mengambil bahagian dalam perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 di peringkat Jawatankuasa bagi JPM selama kira-kira satu jam 45 minit.

Perbahasan hari pertama peringkat jawatankuasa rang undang-undang itu tertumpu kepada pelbagai isu, antaranya berkaitan peruntukan perbelanjaan untuk Jabatan Kehakiman Mahkamah Syariah, penyerapan pekerja kontrak, peruntukan perbelanjaan hal ehwal Islam, pilihan raya kecil Parlimen Gerik dan Dewan Undangan Negeri Bugaya serta Sabah dan Sarawak.

-BERNAMA

 

Categories
SELANGOR

Selangor Tubuh task force Pelupusan Sampah

Haniza-sampah

SELAYANG 22 JULAI : Selangor telah menubuhkan satu pasukan petugas khas atau ?task force? bagi mengatasi masalah pelupusan sampah memandangkan tapak pelupusan sampah atau ?landfill? di negeri ini hampir penuh.

Jawatankuasa itu, yang disertai Exco Selangor Dr Ahmad Yunus Hairi dan Elizabeth Wong, akan mengkaji kaedah lain bagi pelupusan sampah seperti penggunaan loji pembakar sampah atau ?incinerator? yang pernah menjadi kontroversi satu ketika dulu.

Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Datuk Teng Chang Khim berkata, jawatankuasa tersebut akan membuat kajian mendalam terhadap pelbagai strategi sebelum mengambil satu keputusan muktamad.

“Dalam konteks Selangor, kita lihat dari segala aspek, kaedah tapak pelupusan tidak mungkin digunakan lagi melainkan yang sedia ada,” katanya dalam sidang media selepas majlis perjumpaan dengan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) di sini baru-baru ini.

Beliau berkata tapak pelupusan sampah di Jeram akan ditutup pada 2016 dan Kerajaan Negeri perlu memutuskan untuk menggunakan cara baru atau menghantar sisa pepejal ke tapak lain seperti di Bukit Tagar.

Bagaiamanpun kata Teng, kaedah itu melibatkan kos yang tinggi.

“Kita akan turut mengadakan dialog dengan pihak yang prihatin tentang alam sekitar sebelum Kerajaan Negeri membuat keputusan,” katanya lagi.