Categories
AGENDA NASIONAL SELANGOR

Air pasang besar: Bomba Selangor tempatkan anggota di kawasan berisiko

SHAH ALAM, 2 JAN: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor menempatkan anggota di kawasan berisiko bagi melakukan rondaan susulan fenomena air pasang besar yang melanda beberapa kawasan bermula hari ini.

Pengarahnya Norazam Khamis berkata seramai enam anggota dari setiap balai ditempatkan di kawasan dikenal pasti berisiko seperti Sabak Bernam, Tanjung Karang, Sungai Besar, Kuala Langat, Banting, Kuala Selangor dan Sepang.

“Anggota kita sudah mula menjalankan tugas pagi tadi dengan rondaan dilakukan secara berkala. Bagi penduduk berada di kawasan ini saya nasihatkan mereka sentiasa berwaspada,” katanya kepada SelangorKini.

Norazam berharap orang ramai khususnya di kawasan terlibat agar patuh dengan arahan apabila diarah berpindah jika air naik secara berterusan.

“Segera tinggalkan rumah jika air mula masuk dengan anggota kita sedia membantu, namun biasanya situasi air pasang ia hanya sementara dan air akan surut tidak lama kemudian.

“Bagaimanapun langkah berjaga-jaga perlu diambil kerana kita khuatir jika berlaku hujan ia akan mengakibatkan banjir,” katanya.

Penduduk di pesisir pantai khususnya di negeri pantai barat Semenanjung disaran lebih berwaspada susulan fenomena air pasang besar yang dijangka melanda selama empat hari mulai hari ini.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan kawasan terlibat adalah di Kedah (Kuala Muda), Perak (Bagan Datoh), Selangor (Klang, Kuala Langat, Sabak Bernam dan Kuala Selangor) dan Johor (Batu Pahat dan Pontian).

Categories
AGENSI SELANGOR

Kekangan bahasa sukarkan proses nyahkuman kediaman warga asing

SHAH ALAM, 27 OKT: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor berdepan kesukaran ketika melaksana operasi nyahkuman di penempatan warga asing.

Pengarahnya Norazam Khamis berkata kebanyakan golongan itu tidak fasih berbahasa Melayu sekali gus menyukarkan pihaknya memberi arahan.

“Bila kita datang untuk sanitasi, kita beri arahan sepatutnya dan terangkan SOP (tatacara operasi piawaian), namun tidak dihiraukan kerana mereka tidak faham.

“Jadi kita perlukan masa untuk terangkan kepada mereka,” katanya kepada pemberita selepas operasi sanitasi Pusat Transformasi Bandar (UTC) Anggerik Mall di sini hari ini.

Norazam berkata proses nyahkuman bagi mencegah penularan Covid-19 setakat ini berjalan lancar dan mendapat kerjasama baik masyarakat.

“Orang awam menyuarakan rasa selamat kerana tempat mereka disanitasi. Virus ini tidak nampak jadi langkah keselamatan perlu diambil,” katanya lagi.

Categories
SELANGOR

JBPM Selangor mohon kuota perumahan

BANGI, 16 APRIL: Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor memohon Kerajaan Negeri menimbang cadangan menyediakan kuota khas perumahan bagi anggotanya yang berpangkat rendah.

Pengarahnya, Norazam Khamis berkata, pihaknya akan mengemukakan permohonan kepada Dato’ Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, dalam masa terdekat bagi kuota khas berkenaan untuk projek di bawah Kerajaan Negeri.

“Ramai anggota bomba golongan berpendapatan rendah di negeri ini masih belum memiliki rumah sendiri kerana ramai berasal dari tempat lain ditambah faktor kos sara hidup yang tinggi,” katanya kepada pemberita selepas melawat Balai Bomba dan Penyelamat Bangi di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut menggesa anggota bomba menyertai koperasi bomba bagi mendapatkan kemudahan berkaitan insurans, kewangan dan perumahan ke arah memelihara kebajikan mereka.

Dalam perkembangan lain, Norazam berkata pihaknya menerima 20,591 panggilan kecemasan pada tahun lepas, antaranya 7,223 panggilan membabitkan pemadaman kebakaran dan 13,283 operasi menyelamat.

— BERNAMA