Categories
AGENDA NASIONAL

10,000 anggota bomba siap siaga hadapi kecemasan menjelang Aidilfitri

PUTRAJAYA, 27 APRIL: Hampir 10,000 anggota dan pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di seluruh negara diletakkan dalam keadaan siap siaga untuk sebarang kecemasan menjelang sambutan Aidilfitri bulan depan.

Ketua Pengarah JBPM Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata kesemua kira-kira 15,000 anggota pasukan itu bertanggungjawab memastikan perkhidmatan bomba tidak terjejas walaupun ketika musim perayaan.

“Kita telah keluarkan surat arahan kepada 322 balai melibatkan kira-kira 15,000 anggota seluruh negara mengenai pembekuan cuti pada Aidilfitri ini. Ini bagi memastikan kesemua anggota sentiasa bersedia dalam pelbagai kes kecemasan seperti kebakaran, kemalangan, lemas serta khidmat kemanusiaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis perhimpunan bulanan JBPM di sini hari ini.

Terdahulu dalam ucapannya, Mohammad Hamdan menyentuh mengenai aspek pengekalan kompetensi anggota dan dengan itu tiga ‘simulator’ latihan sedang dibangunkan di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur di Marang, Terengganu yang dijangka siap pada Oktober 2024.

Selain itu, katanya JBPM sedang dalam perancangan membina dua akademi Bomba iaitu di Sabah dan Sarawak yang akan dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Ke-12.

Mohammad Hamdan turut melancarkan ‘Bomba Fighters Malaysia Virtual Run’ sejauh 10 kilometer, bermula pada 1 Jun hingga 1 Julai 2021 secara maya yang menyasarkan 15,000 penyertaan orang awam serta anggota JBPM.

– BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Operasi padam 11 kontena terbakar di perairan Pulau Carey masih berjalan

SHAH ALAM, 11 APRIL: Operasi pemadaman 11 kontena barangan perindustrian yang terbakar di dalam sebuah kapal kargo, Interasia Catalyst di perairan Pulau Carey pada Rabu lepas masih giat dijalankan.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Hafisham Mohd Noor berkata JBPM menerima panggilan mengenai kejadian berkenaan pada 5.38 petang bermula dengan lima kontena yang kemudiannya merebak ke 11 kontena hari ini.

“Pihak bomba telah berjaya membuka lapan kontena bagi memadam kebakaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata 47 angota bomba dari balai bomba Port Klang, North Port, Westport, serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Polis Marin, dan Pasukan Khas Laut (Paskal) Tentera Laut Diraja Malaysia digegaskan ke lokasi kira-kira 15 batu nautika di perairan Pulau Carey, bagi membantu pemadaman kebakaran.

“Setakat ini, lima kontena telah padam sepenuhnya, tiga kontena membawa Sodium Carbonate Peroxyhydrate sedang disejukkan manakala tiga kontena selebihnya dalam proses pemadaman,” kata Hafisham.

– BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Hutan simpan terbakar, pekerja Indonesia ditahan

SHAH ALAM, 5 MAC: Seorang pekerja warga Indonesia ditangkap kerana melakukan pembakaran terbuka di kawasan Hutan Simpan Kekal Kuala Langat Selatan, petang semalam.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor (JBPM) memaklumkan pihaknya menahan lelaki itu dan menyerahkan kepada polis Sepang untuk tindakan selanjutnya.

Jelasnya, aktiviti pekerja itu dikesan selepas menemui kawasan kebakaran baru di kompartment 38 yang menyebabkan kejadian tersebut seluas 2.43 hektar.

“Selain itu, kita juga mengesan satu lagi lokasi dengan insiden sama di Hutan Simpan Kekal Kuala Langat Utara yang meliputi 4.05 hektar,” kata Norazam Khamis ketika dihubungi.

Mengulas lanjut, beliau berkata secara keseluruhan 60 peratus api berjaya dipadamkan di kedua-dua kawasan itu termasuk di lokasi kebakaran sebelum ini.

“Saya jangkakan seminggu lagi diperlukan untuk memadam sepenuhnya. Diharapkan petani tidak melakukan aktiviti pembakaran untuk pertanian bagi mengelak api kembali merebak,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kadar patuh SOP keselamatan di lebuh raya masih lemah

MELAKA, 4 MAC: Kadar pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) keselamatan dalam kalangan pemaju dan kontraktor yang masih rendah terus mengundang risiko kepada pengguna lebuh raya, kata Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Soiman Jahid.

Beliau berkata kejadian runtuhan perancah besi pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) berhampiran Desa Tun Razak, Kuala Lumpur semalam bukan pertama kali insiden seumpamanya berlaku malah boleh dielakkan jika pihak pemaju dan kontraktor mengamalkan SOP yang betul.

“Tiada kecacatan dalam SOP tetapi pematuhan yang kurang menyebabkan ia terus berlaku. Saya lihat peraturan telah ditetapkan dan dilaksanakan oleh pihak berkuasa tempatan tetapi masih ada pemaju atau kontraktor yang gagal mematuhi peraturan.

“Jadi denda dan hukuman sepatutnya dikenakan ke atas pemaju dan kontraktor supaya mereka lebih bertanggungjawab,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja rasmi ke JBPM negeri Melaka di sini hari ini, dengan diiringi Pengarah JBPM negeri Melaka Abu Obaidat Mohamad.

Tambah Soiman, pembinaan melibatkan kawasan lebuh raya yang diketahui sangat berisiko juga memerlukan pemaju sentiasa mengambil kira faktor keselamatan termasuklah menyediakan amaran ketinggian dan pencahayaan yang baik agar kenderaan yang melalui jalan tersebut tidak melanggar struktur yang merintangi jalan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Beberapa daerah Pahang ibarat lautan ‘teh tarik’

KUANTAN, 9 JAN: Ibarat lautan ‘teh tarik’ itulah gambaran beberapa daerah di Pahang selepas negeri ini dilanda banjir sejak Ahad lepas.

Banjir besar yang melanda negeri itu sejak minggu lepas telah menenggelamkan sebahagian besar penempatan penduduk dengan air naik melepasi paras bumbung bangunan.

Tinjauan Bernama bersama Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) baru-baru ini mendapati landskap di beberapa pekan utama di negeri itu berubah seperti air sungai yang keruh berwarna lumpur.

Juruterbang JBPM Penguasa Kanan Bomba 1 Sofian Ahmed @ Ibrahim berkata situasi itu menjadi cabaran buat pasukannya untuk membantu dan mengesan mangsa dari udara yang terjejas akibat banjir.

“Misi kali ini kami perlu peka dan fokus keadaan sekeliling kerana mangsa selalunya akan mencari tempat yang tinggi dan selamat seperti berpaut pada pokok dan tiang agar tidak dihanyutkan.

“Jika pasukan udara mengesan mangsa, kami akan memaklumkan kepada pusat kawalan agar pasukan di lapangan dapat mengambil mereka menggunakan bot,” katanya.

Terdahulu, Sofian mengemudi helikopter AgustaWestland AW139 dengan dibantu juruterbang kedua, Penguasa Bomba Faridullahamin Mohd Amin bersama tiga kru penerbangan dan wartawan Bernama membuat tinjauan udara di beberapa daerah di Pahang antaranya Temerloh, Lipis, Rompin dan Maran sejak petang kelmarin (Khamis).

Menurut Soffian, selain memantau keadaan semasa, JBPM juga melaksanakan beberapa misi penerbangan ihsan untuk membawa pesakit yang terperangkap ke hospital selepas jalan utama dinaiki air banjir.

“Sekurang-kurangnya lima penerbangan ihsan dilakukan setiap hari bergantung kepada keadaan cuaca,” tambahnya.

Sementara itu, wartawan Bernama yang mengikuti tinjauan udara itu turut merasai kepayahan dan kesungguhan anggota penyelamat berkenaan dalam memastikan keselamatan mangsa banjir sentiasa diutamakan.

Mereka sanggup bersengkang mata siang dan malam, meninggalkan keluarga malah tiada sedikit pun keluh-kesah yang terpacul daripada mulut mereka demi menabur bakti kepada masyarakat setempat.

Setakat malam tadi, jumlah mangsa banjir di Pahang mencatatkan penurunan kepada 26,075 orang berbanding 27,090 orang petang semalam yang ditempatkan di 284 pusat pemindahan di sembilan daerah, dengan Temerloh menjadi daerah paling teruk terjejas banjir.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Zuraida: Anggota JBPM perlu teruskan kecemerlangan

PUTRAJAYA, 4 MEI: Khidmat dan bakti yang selama ini dicurahkan setiap anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) wajar dikenang setiap rakyat Malaysia.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, komitmen dan semangat tinggi yang ditunjukkan setiap anggota JBPM dalam menjalankan tugas seharian adalah satu perkara yang tidak boleh disangkal lagi.

“Kepada seluruh anggota JBPM, teruskan kecemerlangan anda demi negara yang tercinta.

“Selamat menyambut Hari Anggota Bomba Sedunia 2019. Bomba Tonggak Penyelamatan Negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataannya hari ini yang dikeluarkan sempena sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2019.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Jangan jadikan kes Muhammad Adib sebagai bahan kempen

PUTRAJAYA, 18 JAN: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) kesal dengan tindakan pihak tertentu menjadikan kes kematian anggotanya, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim sebagai bahan kempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands yang sedang berlangsung.

Ketua Pengarahnya, Datuk Mohamad Hamdan Wahid berkata, selain boleh menimbulkan sentimen perkauman, tindakan itu juga dikhuatiri akan menjejaskan kredibiliti siasatan yang sedang dijalankan.

Katanya, semua pihak harus membenarkan proses siasatan dan inkues bagi menyiasat punca kematian Muhammad Adib berlangsung dengan lancar, tanpa didahului gambaran negatif melalui kenyataan yang mungkin bercanggah dengan bukti atau hasil siasatan diperolehi.

“Kita tidak setuju dan tidak mahu ia diungkit menjadi satu sentimen untuk memberi gambaran negatif yang boleh menjejaskan perpaduan serta kredibiliti siasatan oleh pihak berkuasa.

“Tindakan sebegitu juga mempunyai implikasi undang-undang dan yang pasti kita tidak mahu kehilangan nyawa seorang pegawai yang ikhlas dan sejujur Muhammad Adib digunakan untuk kepentingan tertentu oleh mana-mana pihak,” katanya.

Mohamad Hamdan berkata, pihaknya akan melakukan yang terbaik bagi memastikan keadilan untuk Muhammad Adib dan keluarganya terpelihara.

Terdahulu, beliau ditemui selepas upacara perbarisan tahunan JBPM, di sini hari ini.

Pada majlis itu, Muhammad Adib dianugerahkan Pingat Jasa Bomba yang disampaikan kepada abangnya Mohd Ashraf.

Muhammad Adib, 24, anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) JBPM Subang Jaya, parah selepas diserang dan dipukul dalam kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.

Beliau disahkan meninggal dunia semasa menerrima rawatan di Institut Jantung Negara, pada 17 Disember 2018.

*Sumber: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Inkues Muhammad Adib bermula esok

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 17 JAN: Inkues ke atas anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, yang terkorban ekoran diserang perusuh, di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya akan diadakan esok (18 Januari), di Mahkamah Koroner.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Muhammad Hamdan Wahid berkata, semua saksi akan dipanggil termasuk doktor yang merawat dan forensik yang melakukan proses bedah siasat terhadap Muhammad Adib.

“Inkues akan bermula esok, saksi yang tersenarai akan dipanggil termasuk pegawai bomba terbabit dalam operasi pemadaman kes kebakaran yang berlaku di Kuil Sri Maha Mariamman, Seafield, baru-baru ini.

“Mereka akan dipanggil berhubung siasatan dan perkara berkaitan insiden terbabit dan jika ada pihak bertanggungjawab dengan kematian itu, kita serahkan kepada kerajaan untuk mengambil tindakan undang-undang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penganugerahan Pangkat Kehormat kepada Timbalan Menteri Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial, Datuk Wira Dr Md Farid Md Rafik, di Ibu Pejabat JBPM, Putrajaya, di sini, hari ini.

Signifikan pangkat kehormat itu dianugerahkan kerana Dr Md Farid berperanan penting dalam mengaturkan rawatan selanjutnya terhadap Muhammad Adib, di IJN sehari selepas Allahyarham menerima rawatan, di Pusat Perubatan Subang Jaya.

Muhammad Adib, 24, parah selepas dipercayai diserang dan dipukul perusuh dalam kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, pada 27 November tahun lalu.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN), pada 17 Disember 2018.