Categories
NASIONAL

Wanita KEADILAN desak Kerajaan Persekutuan laksanakan IPG

OLEH : AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 22 APR: Jelajah Prihatin Penoreh Getah KEADILAN menyelusuri sembilan daerah di Kedah bagi menyelami keperitan penoreh getah ketika ini.

Naib Ketua Wanita KEADILAN, Dr Daroyah Alwi, berkata jelajah selama dua hari pada 17 dan 18 April itu di anjurkan Wanita KEADILAN diketuai Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamarudin.

JELAJAH GETAH 2“Kita mendengar keluhan mereka mengenai harga getah yang rendah sehingga RM0.60 sekilogram. Kehidupan mereka sangat perit dengan pendapatan sedikit.

“Kebanyakan mereka bukan pemilik ladang getah, maka pendapatan itu perlu dibahagi dua. Secara purata pendapatan mereka RM400 ke bawah sebulan.

“Lebih menyedihkan mereka tidak mampu membeli beras sekampit hingga terpaksa membeli beras timbang,” katanya kepada Selangor Kini.

Bagi mengatasi masalah ini, Ahli Parlimen Wanita KEADILAN akan membawa perkara itu ke Dewan Rakyat dalam persidangan akan datang bagi mendesak Kerajaan Persekutuan melaksanakan Insentif Penoreh Getah (IPG).

JELAJAH GETAH 1“Kita akan bawa isu ini ke Parlimen bagi mendesak kerajaan melaksanakan Insentif Penoreh Getah (IPG) supaya mereka boleh memperoleh pendapatan minima RM1,000.

“Dengan pendapatan RM400, IPG boleh membantu penoreh tersebut mendapatkan tambahan bantuan supaya menjadi RM1,000,” katanya.

Jelas Daroyah, Kerajaan Persekutuan sudah memperuntukan RM200 juta untuk program itu tambahan ia sudah dilaksanakan pada 2015 dengan peruntukan RM100 juta.

“Tahun 2015 RM100 juta diperuntukan tetapi digunakan RM12 juta sahaja tetapi selebihnya kita tidak tahu ke mana ia disalurkan.

“Kita akan pastikan program ini benar-benar dilaksanakan secara telus bagi membela nasib pekebun getah,” katanya.

-nR-