Categories
SELANGOR

Rakyat terus nyata sokongan

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA SELANGOR, 5 NOV: Penyertaan ribuan rakyat dalam program jelajah peduli rakyat di daerah Sabak Bernam, membuktikan sokongan mereka terhadap pentadbiran Kerajaan Negeri diterajui PAKATAN.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata Kerajaan Negeri menghargai dokongan diberikan itu dan akan terus menunaikan tanggungjawab dengan penuh berintegriti bersesuaian dengan Belanjawan 2018 dibentangkan.

“Kehadiran ramai dalam program berkaitan wanita di Bagan Terap diikuti acara lain termasuk menonton perlawanan akhir Piala Malaysia dengan penyertaan golongan muda menandakan sokongan terhadap pentadbiran Kerajaan Negeri.

“Kita menghargainya dan akan terus menjalankan pelbagai program demi rakyat seperti mana terkandung di dalam Belanjawan 2018,” katanya.

Program turun padang Dato’ Menteri Besar ke daerah ini bermula semalam dengan beberapa acara antaranya Program Dialog Pemberdayaan Wanita dan Pro Rakyat dan Penyampaian Inisiatif Peduli Rakyat di Dataran Niaga Bagan Terap dan menonton perlawanan akhir Piala Malaysia bersama orang ramai di Sungai Besar serta Tanjung Karang.

Ia bersambung hari ini dengan acara senaman sihat pagi di Bukit Melawati, lawatan ke Jeti Sky Mirror, penyampaian sumbangan dan mesra rakyat di Arena Pasir Tuntong dan Mengecat Bumbung Rumah Kedai di Bestari Jaya.

=EZY=

Categories
NASIONAL SELANGOR

MB : Tolak Tawaran RM9.65 Juta Bukti Syabas Tidak Percaya Rakyat Selangor

air-syabas_MBa

KLANG, 22 FEB: Kerajaan Negeri tidak akan menaikkan tarif air selama lima tahun selepas pengambilalihan daripada pemegang konsesi air di negeri ini.

Ini kerana menurut Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, bayaran RM9.65 bilion yang akan dibuat kepada pemegang saham Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) itu merupakan dana kerajaan dari hasil cukai yang dikutip dari rakyat.

Pendirian Kerajaan Negeri itu jelas bertentangan dengan pendirian Syabas yang tidak sabar-sabar mahu menaikan tarif air sehingga bertindak menyaman Kerajaan Negeri kerana menyekat kenaikan tarif air seperti mana dalam perjanjian penswastaan air 2004.

Menurut Abdul Khalid tawaran RM9.65 bilion yang dibuat oleh Kerajaan Negeri kepada Syabas itu juga dibuat bagi pihak rakyat Selangor yang jelas mahukan hak pengurusan air dikembalikan kepada mereka.

“Saya tawarkan semalam RM9.65 bilion, kita buktikan kalau mereka tidak terima ini bererti mereka tidak mempercayai rakyat, mereka menipu rakyat kerana RM9.65 bilion yang kita bayar, dia dapat untung bukan rugi.

“Kita dapat tentukan harga air dalam jangkamasa lima tahun yang akan datang tidak akan naik kerana rakyat sudah membayar harga air (semasa pengambil alihan itu),” kata Abdul Khalid di hadapan hampir 7,000 hadirin dalam ceramah Jelajah Rakyat di Taman Rakyat, Sri Andalas di sini.

Abdul Khalid juga berkata Kerajaan Negeri tidak akan sesekali membayar gaji Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) lebih RM400,000 sebulan seperti mana yang sedang dinikmati oleh CEO Syabas, Tan Sri Rozali Ismail kini.

MB-air

Sebelum ini dalam isu kenaikan tarif air, Selangorkini melaporkan perjanjian penswastaan air 2004, Syabas dibenarkan menaikkan tarif air sebanyak 37 peratus pada 2009 dan 25 peratus pada 2012.

Perjanjian tersebut sekiranya dilaksanakan sekaligus menyebabkan pengguna terpaksa membayar RM18.80 bagi setiap 20 meter padu air setiap bulan, sedangkan melalui skim air percuma Kerajaan Negeri, pengguna di Selangor tidak perlu membayar apa-apa untuk jumlah sama.

Bagaimanapun Kerajaan Negeri bertindak menyekat kenaikkan tarif air tersebut kerana Syabas tidak menepati terma perjanjian menurunkan kadar air tidak berhasil (NRW), iaitu air yang hilang akibat dicuri atau bocor kepada 19.98 peratus.

Rentetan tindakan Kerajaan Negeri menghalang kenaikan itu, Syabas yang mementingkan keuntungan berbanding kepentingan rakyat bertindak balas menyaman Kerajaan Negeri bagi menuntut pampasan berjumlah RM1.05 bilion.

Selain itu, dalam perjanjian penswastaan air 2004 itu juga Syabas diberikan kenaikan tambahan 20 peratus pada 2015 dan 10 peratus lagi pada 2018 yang menyebabkan rakyat Selangor perlu membayar RM3.15 bagi setiap satu meter padu air pada 2018.