Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Pandu lebih 200 km dari Melaka hadir Jelajah Selangor Bekerja

HULU LANGAT, 13 NOV: Seorang graduan kejuruteraan menempuh perjalanan sejauh 246 kilometer (km) dari Tengkera, Melaka untuk mencari kerja menerusi program Jelajah Selangor Bekerja di Dewan Demesne di Bandar Baru Bangi hari ini.

Muhammad Luqman Arif Mohd Zainud-din, 26, berkata dia mahu mencari pekerjaan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor kerana bakal isterinya bekerja di Klang.

“Saya hadir pada program ini walaupun terpaksa memandu jauh kerana banyak peluang kerja disediakan sesuai dengan kelulusan saya dalam bidang kejuruteraan.

Muhammad Luqman Arif Mohd Zainud-din datang dari Tengkera, Melaka untuk mencari kerja di program Jelajah Selangor Bekerja di Dewan Demesne di Bandar Baru Bangi, Kajang pada 13 November 2021. Foto AMIN RIDZUAN ISHAK/SELANGORKINI

“Alhamdulillah syarikat saya hadiri proses temu duga hari ini memberi maklum balas baik dan ada yang memanggil saya untuk proses selanjutnya,” kata lulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Teknologi Kapal Terbang dari Institut Teknologi Penerbangan Malaysia, Universiti Kuala Lumpur (UniKL).

Bagi seorang lagi peserta, Norharhanah Kasnin, 35, dia hadir untuk mencari pekerjaan baru kerana kontraknya dengan sebuah agensi kerajaan bakal tamat penghujung tahun ini.

“Saya tidak tahu sama ada kontrak disambung atau tidak tetapi lebih baik saya buat persediaan dari sekarang.

“Lagi pun bila hadir program seperti ini dapat juga lihat peluang pekerjaan lain yang lebih baik,” katanya.

Pada program itu, sebanyak 31 majikan menawarkan lebih 1,000 pekerjaan.

Jelajah Selangor Bekerja 2021 berjalan sejak 23 Oktober mendapat kerjasama hampir 200 syarikat dengan menawarkan lebih 25,000 peluang pekerjaan.

Program diadakan di tiga lagi lokasi iaitu Dewan Demesne, Hulu Langat (hari ini); Dewan Meranti, Bandar Baru Sungai Buluh (20 November) dan Dewan Jubli Perak, Pejabat SUK Selangor (27 November).

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Jelajah Selangor Bekerja bantu kelindan lori mula kerjaya baharu di Proton

HULU SELANGOR, 7 NOV: Jelajah Selangor Bekerja 2021 siri ketiga semalam memberi harapan baharu buat seorang kelindan lori apabila berjaya mendapat pekerjaan di Proton Holding Bhd.

Amirul Ramdan Hasim, 23, pelajar lepasan Diploma Kejuruteraan Politeknik Kuching, Sarawak berkata dia sukar mendapatkan kerja bersesuaian ekoran penularan wabak Covid-19.

Amirul Ramdan Hasim,
23

“Saya habis belajar sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Oleh kerana sukar dapat kerja ikut kelulusan, saya lakukan apa saja kerja untuk tampung hidup.

“Hari ini saya datang cuba nasib. Tak sangka dapat kerja mulai Isnin ini. Majikan jamin untuk beri jawatan sesuai dengan kelayakan pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu pekerja perkhidmatan penghantaran makanan Mohd Imran Mohd Noor,23, mencuri sedikit masa kerjayanya untuk hadir ke program itu bagi mendapatkan pekerjaan lebih sesuai.

“Saya minat bidang kejuruteraan malah ada diploma dari Politeknik Ungku Omar, Ipoh. Tadi saya lihat ada satu syarikat sesuai dengan kelulusan saya.

“Mereka temu duga. Saya harap permohonan diterima dan dapat panggilan dalam masa terdekat,”katanya.

Pelajar lepasan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Persekitaran Universiti Teknologi Mara, Nurdalila Aida Mazlan berkata dia berharap ada syarikat menerima permohonannya.

Nurdalila Aida Mazlan, 25

“Saya nak cari kerja sementara sebelum dapat kerja sesuai. Saya faham sekarang sukar mendapatkan kerja bersesuaian dengan kelulusan jadi tidak kisah untuk apa-apa kerja.

“Untuk mereka yang masih belum kerja boleh manfaatkan program ini. Satu langkah Kerajaan Selangor dalam membantu pelajar,” katanya.

Jelajah Selangor Bekerja 2021 berjalan sejak 23 Oktober mendapat kerjasama hampir 200 syarikat dengan menawarkan lebih 25,000 peluang pekerjaan.

Program diteruskan di tiga lagi lokasi iaitu Dewan Demesne, Hulu Langat (13 November); Dewan Meranti, Bandar Baru Sungai Buluh (20 November) dan Dewan Jubli Perak, Pejabat SUK Selangor (27 November).

Categories
AGENSI BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Jelajah Selangor Bekerja tumpu lahir tenaga mahir, tawar gaji ideal

HULU SELANGOR, 6 NOV: Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Ikhtisas Smart Selangor (IKTISASS) bagi melahirkan tenaga mahir antara yang ditawarkan dalam Jelajah Selangor Bekerja 2021.

Seramai 20 peserta bawah 35 tahun layak mengikuti program sejajar perkembangan Revolusi Industri 4.0 setakat ini, kata eksekutif kanan Pusat Pembangunan Tenaga Manusia Selangor.

Berbaki 10 kekosongan, program selama dua bulan bermula hujung bulan ini masih dibuka sehingga siri jelajah berkenaan tamat pada 27 November, jelas Juraina Jumali.

“Program dengan kerjasama syarikat peneraju teknologi kecerdasan buatan Skymind memberi jaminan kerjaya dengan gaji lebih RM3,500 sebulan,” katanya ditemui pada Jelajah Selangor Bekerja hari ini.

Majikan syarikat Pusat Pembangunan Tenaga Manusia Selangor (SHRDC) memberi taklimat kepada seorang peserta program Jelajah Selangor Bekerja di Dewan Merdeka, Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor pada 6 November 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Kerajaan Negeri memperuntuk RM15 juta melalui IKTISASS bagi melengkapkan ekosistem pendidikan latihan teknikal dan vokasional sekali gus mencipta peluang kerja baharu.

Sementara itu, Proton Holdings Bhd menawarkan 200 kekosongan bagi jawatan operator pengeluaran sepanjang sesi jelajah berlangsung mulai Oktober.

Eksekutif Kanannya Shadeli Sham A Khalek berkata pihaknya turut menawarkan jawatan jurutera dengan penelitian dalam temu duga bagi mencari calon yang layak.

“Kita ingatkan peserta yang hadir supaya bersedia dengan segala dokumen selain berpakaian kemas. Syarikat turut menilai aspek itu,” katanya.

Lebih 25,000 peluang pekerjaan ditawarkan menerusi program berkenaan yang dijadual antara 23 Oktober hingga 27 November melibatkan beberapa daerah.

Orang ramai yang berminat boleh mendaftar melalui pautan www.selangorbekerja.com.my.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

MB ajak sertai Jelajah Selangor Bekerja di Kuala Kubu Bharu esok

SHAH ALAM, 5 NOV: Dato’ Menteri Besar mengajak warga negeri ini menyertai siri ketiga Jelajah Selangor Bekerja 2021 di Dewan Merdeka, Kuala Kubu Bharu esok.

Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan jelajah tersebut melibatkan hampir 200 syarikat meliputi sektor perkhidmatan, pembuatan, elektronik, pengurusan dan angkasa.

“Warga Selangor digalakkan menyertai jelajah ini dengan mendaftar di www.selangorbekerja.com.my sekarang,” katanya menerusi Facebook.

Sebelum ini, penganjurannya Jelajah Selangor Bekerja 2021 diadakan di Shah Alam serta Kuala Selangor pada 23 dan 30 Oktober lalu.

Selain Hulu Selangor, siri jelajah akan diteruskan di Dewan Meranti, Paya Jaras, Petaling pada 20 November ini.

Menerusi jelajah ini, seramai 1,108 warga negeri ini menerima manfaat menerusi dua siri jelajah berkenaan.

Jumlah itu merangkumi 239 peserta telah diterima bekerja manakala 513 orang lagi layak untuk temuduga kedua.

Categories
AGENDA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Lebih 1,000 terima manfaat Jelajah Selangor Bekerja 2021

SHAH ALAM, 5 NOV: Seramai 1,108 warga negeri ini telah menerima manfaat menerusi dua siri Jelajah Selangor Bekerja 2021 setakat ini.

Dato’ Menteri Besar berkata jumlah itu merangkumi 239 peserta telah diterima bekerja manakala 513 orang lagi layak untuk temuduga kedua.

“Kerajaan Negeri menyeru warga Selangor untuk menghadiri dan memanfaatkan program ini sebaik-baiknya.

“Jelajah Selangor Bekerja masih berbaki empat lokasi lagi yang akan berlangsung sekitar Selangor,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Facebook.

Katanya, mereka yang berminat boleh mengunjungi www.selangorbekerja.com.my untuk maklumat terkini.

“Semoga inisiatif ini dapat membantu rakyat mendapatkan pekerjaan dan seterusnya meningkatkan kualiti kehidupan masing-masing,” katanya.

Proton, Assembly Services Sdn Bhd (UMW Toyota) dan Oldtown Kopitiam adalah antara syarikat yang menyertai program mencari pekerja ini.

Jelajah Selangor Bekerja diteruskan lagi esok dan dijadualkan berlangsung di Dewan Merdeka, Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor.

Selain Hulu Selangor, siri jelajah akan diteruskan di Dewan Meranti, Paya Jaras, Petaling pada 20 November ini.

Penganjuran Jelajah Selangor Bekerja sebelum ini diadakan di Shah Alam serta Kuala Selangor pada 23 dan 30 Oktober lalu.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Jelajah Selangor Bekerja di Kuala Selangor bantu 163 dapat kerja

SHAH ALAM, 1 NOV: Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati gembira program Jelajah Selangor Bekerja di Kuala Selangor, Sabtu lalu membantu seramai 163 orang mendapat pekerjaan.

Juwairiya Zulkifli berkata kejayaan program sehari itu satu perkembangan positif dalam usaha Kerajaan Negeri membantu pencari kerja dan mengurangkan pengangguran.

“Syukur siri di Kuala Selangor bantu 163 peserta mendapat kerja dan 285 lagi layak ke temu duga kali kedua,” katanya di sini, hari ini.

Lebih 25,000 peluang pekerjaan ditawarkan menerusi program Jelajah Selangor Bekerja yang dijadual antara 23 Oktober hingga 27 November melibatkan beberapa daerah.

Orang ramai yang berminat boleh mendaftar melalui pautan www.selangorbekerja.com.my .

Tarikh dan lokasi jelajah siri seterusnya seperti berikut:

6 November: Dewan Merdeka, Kuala Kubu Bharu
13 November: Dewan Demesne, Hulu Langat
20 November: Dewan Meranti Bandar Baru Sungai Buloh
27 November: Dewan Jubli Perak, SUK

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Lebih 2,000 peluang kerja ditawar menerusi Jelajah Selangor Bekerja esok

SHAH ALAM, 29 OKT : Lebih 2,000 peluang pekerjaan ditawarkan menerusi Jelajah Selangor Bekerja yang akan diadakan di Dewan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) esok.

EXCO Pembangunan Generasi Muda Mohd Khairuddin Othman berkata sebanyak 19 majikan daripada syarikat ternama terlibat meliputi sektor perkhidmatan, pembuatan, elektronik, pengurusan dan aeroangkasa.

“Kita mengalu-alukan kehadiran penduduk sekitar Kuala Selangor mahupun luar kawasan itu hadir dan mengambil peluang disediakan Kerajaan Negeri ini.

“Program ini juga dianjur bagi membantu rakyat Selangor terutama mereka yang tiada pekerjaan di samping mengurangkan kadar pengangguran di negeri ini,” katanya kepada SelangorKini.

Menurutnya golongan graduan, penganggur dan individu kehilangan kerja segera mengambil peluang untuk menyertai program itu dengan mendaftar di laman sesawang www.selangorbekerja.com.my.

Lebih 25,000 peluang pekerjaan ditawarkan menerusi enam siri jelajah hingga 27 November depan.

Tarikh dan lokasi jelajah siri berikutnya adalah seperti berikut:

30 Oktober: Dewan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS), Bandar Baru Kuala Selangor
6 November: Dewan Merdeka, Kuala Kubu Bharu
13 November: Dewan Demesne, Hulu Langat
20 November: Dewan Meranti Bandar Baru Sungai Buloh
27 November: Dewan Jubli Perak, SUK

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

15 orang dapat kerja dalam sejam pertama Jelajah Selangor Bekerja

SHAH ALAM, 23 OKT: Seramai 15 orang mendapat pekerjaan dalam tempoh satu jam pertama penganjuran program Jelajah Selangor Bekerja 2021 yang bermula hari ini, kata EXCO pembangunan generasi muda.

Mohd Khairuddin Othman berkata perkembangan itu membuktikan kejayaan inisiatif Kerajaan Negeri berkenaan membantu pencari kerja terutama mereka yang kehilangan pekerjaan akibat pandemik Covid-19.

Menurutnya, setakat ini program itu menerima 10,000 pendaftaran dari seluruh negara menerusi laman sesawang www.selangorbekerja.com.my dan mereka akan dipanggil untuk temu duga oleh majikan berpotensi.

“Dalam fasa empat ini (Pelan Pemulihan Negara), kita jangka banyak syarikat mula mencari lebih ramai pekerja bagi meningkatkan pengeluaran selepas memperlahankannya semasa Perintah Kawalan Pergerakan.

“Kerajaan Negeri bantu proses pemulihan ini termasuk dengan cara menganjurkan program mencari kerja,” katanya selepas meninjau program Jelajah Selangor Bekerja 2021 di Dewan Jubli Perak, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini, hari ini.

Hampir 3,000 peluang pekerjaan ditawarkan menerusi program hari ini yang bermula jam 10 pagi hingga 5 petang yang membabitkan penyertaan 40 majikan daripada syarikat ternama termasuk sektor aeroangkasa.

Lebih 25,000 peluang pekerjaan ditawarkan menerusi enam siri jelajah hingga 27 November depan.

Tarikh dan lokasi jelajah siri berikutnya adalah seperti berikut:

30 Oktober: Dewan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS), Bandar Baru Kuala Selangor
6 November: Dewan Merdeka, Kuala Kubu Bharu
13 November: Dewan Demesne, Hulu Langat
20 November: Dewan Meranti Bandar Baru Sungai Buloh
27 November: Dewan Jubli Perak, SUK

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Tumpu sektor aeroangkasa, peluang kerja rakyat tempatan

SHAH ALAM, 13 OKT: Peluang kerja dalam sektor aeroangkasa, pengilangan dan elektronik untuk rakyat tempatan antara tumpuan Jelajah Selangor Bekerja 2021 hujung bulan ini.

Bakal dianjurkan secara hibrid, senarai syarikat terlibat dalam program itu sedang dikenal pasti Invest Selangor Berhad selaku penganjur bersama, kata ketua pegawai eksekutifnya.

“Kalau kita lihat sekarang kerajaan membekukan pengambilan pekerja asing, jadi kita harap rakyat tempatan ambil peluang yang selama ini dimonopoli golongan itu,” kata Dato’ Hasan Azhari Idris.

Beliau bercakap pada pelancaran Jelajah Selangor Bekerja 2021 di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini semalam.

Hasan berkata pihaknya juga akan menganjurkan Pameran Penerbangan Selangor 2021 di Subang SkyPark Regional Aviation Centre mulai 25 hingga 27 November.

“Kita akan bekerjasama dengan pengurusan sumber manusia dan majikan sektor aeroangkasa untuk buka peluang pekerjaan,” katanya lagi.

Agensi penggalak pelaburan negeri itu buat julung kalinya bekerjasama dalam jelajah enam siri bermula 23 Oktober hingga 27 November.

Berikut tarikh dan lokasi jelajah:

1. Dewan Jubli Perak, Pejabat SUK Selangor (23 Oktober)

2. Stadium Tertutup, Kuala Selangor (30 Oktober)

3. Dewan Merdeka, Kuala Kubu Bharu (6 November)

4. Dewan Demesne, Hulu Langat (13 November)

5. Dewan Meranti, Paya Jaras (20 November)

6. Dewan Jubli Perak, Pejabat SUK Selangor (27 November)